SEJARAH

SEJARAH

Sunday, December 19, 2010

KEMERDEKAAN MINDANAO: HARAPAN DAN REALITI (siri 1)


Kunjungan ke Mindanao baru-baru ini banyak memberikan pengalaman dan pengajaran dalam melihat sebenar perjuangan umat Islam Mindanao terutama usaha besar MILF membebaskan pulau Mindanao dari pulau Luzon. Perjuangan umat Islam di Selatan Filipina ini sudah melebih usia 300 tahun dan antara perjuangan yang paling lama bertahan di dunia ini. Kegigihan serta kecekalan para pejuang Islam ini adalah didokong oleh kekuatan Islam yang menjadi teras terhadap perjuangan mereka.

Sebelum wujudnya MILF para pejuang bergabung di bawah MNLF yang dulunya dipimpin oleh Nur Misuari, namun akhirnya mereka telah berpecah apabila MNLF menerima kuasa autonomi, di mana sebahagian para pejuang Islam tidak bersetuju dengan kuasa autonomi dan mereka mahukan kemerdekaan, dan kumpulan ini menubuhkan MILF atau Mindanao Islamic Front Libaration.

Namun pada masa kini umat Islam di Mindanao juga sudah terbahagi kepada beberapa kumpulan yang bergerak mengikut hala tuju masing-masing. Di samping MILF wujudnya Abu Sayyaf, Autonomous Region in Muslim Mindanao atau ARMM, kumpulan para Mayor yang pro kepada kerajaan Filipina dan beberapa wilayah seperti Marawi City yang tidak mahu menerima kumpulan lain dan para pemimpin dari Marawi City mempunyai hubungan terus dengan kerajaan pusat.

Kalau sebelum ini Mindanao hampir 90% dikuasai oleh umat Islam, kini mereka semakin menjadi minoriti dan beberapa wilayah atau Bandar umat Islam menjadi minoriti. Contohnya Cagayan De Oro, Ilegan City dan Cotabato, hanya Marawi City penduduk umat Islam melebihi 90%.

Cabaran besar perjuangan umat Islam khususnya MILF ialah menyatukan umat Islam yang berpecah belah dan terpisah daripada garisan perjuangan kemerdekaan sebenar. Abu Sayyaf dengan hala tujunya ARMM dengan misinya dan kumpulan-kumpulan lain yang tidak menerima kemerdekaan yang menjadi gagasan MILF. Persoalan besar juga ialah mengapa MILF tidak berusaha menawan kembali Kem Abu Bakar yang menjadi mercu perjuangan?

Satu ketika MILF telah menguasai Marawi City hampir sepuluh tahun, namun kini mereka hanya bertahan di beberapa wilayah seperti Zamboanga, selepas itu muncul ARMM yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Filipina.

Melihat kepada senario ini kerajaan Filipina telah berjaya memecahbelahkan perpaduan umat Islam yang dulunya bernaung di bawah MNLF selepas itu MILF. Sekarang ini apa yang kita lihat kerajaan Filipina hanya berhadapan dengan MILF dan Abu Sayyaf, namun Abu Sayyaf bukanlah satu pertubuhan yang menggagaskan tuntutan kemerdekaan, tetapi hanya bergiat menculik para pelancong luar yang datang ke Filipina untuk kepentingan sendiri. Musuh sebenar kerajaan pusat Filipina adalah MILF, namun melihat kepada percaturan ini kerajaan Filipina tidak akan menghapuskan MILF dengan kadar yang segera tetapi akan melakukannya secara perlahan-lahan. Kerajaan pusat akan mengadu domba antara MILF dengan ARMM di samping para mayor yang berkepentingan.

Peristiwa Esmael Mangudadatu dengan Andal Ampatuan kedua-duanya Islam yang melibatkan korban besar pada 23 November 2009, merupakan cabaran besar terhadap perpaduan umat Islam. Akhbar Filipina ‘Philippine Daily Inquirer, 21 November 2010’ melaporkan bahawa bunuh membunuh merupakan budaya Islam. Gambaran ini telah memburukkan lagi imej perjuangan Islam yang sebenar.

Usaha kerajaan pusat menguasai pulau Mindanao secara halus sedang berlaku dengan rancak. Bandar-bandar yang majoritinya bukan Islam pada masa ini dibangunkan dengan baik berbanding Bandar yang dikuasai oleh umat Islam. Dasar pecah dan perintah sedang dilaksanakan secara terancang oleh kerajaan pusat agar umat Islam tidak dapat bersatu dan bergerak dalam satu wadah yang menyebabkan mereka bersatu menentang kerajaan pusat.

LinkWithin