SEJARAH

SEJARAH

Thursday, September 1, 2011

MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! 54 TAHUN


Laungan Merdeka yang telah bergema 54 tahun yang lalu amat menggamit jiwa sanubari umat Melayu dan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini. 31 Ogos 1957, merupakan hari bersejarah bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu, manakala 16 September 1963, adalah hari bersejarah untuk penduduk Sabah dan Sarawak. Pembentukan ‘Malaysia’ yang telah dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan manifestasi terhadap penyatuan dua wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan antara Semenanjung Tanah Melayu dan Utara Pulau Borneo yang telah melahirkan ‘Negara Malaysia’ yang tercinta. Sebenarnya antara tujuan utama penyatuan ini adalah berdasarkan kepada faktor sejagat yang melibatkan kepentingan politik dan ekonomi dikedua-dua wilayah ini. Semasa perbincangan pembentukan ini, faktor sosial dan agama telah diketepikan dan perkara ini dapat dilihat dalam perjanjian 20 perkara kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.


Kenapa setelah 54 tahun Semenanjung Tanah Melayu dan 48 tahun Sabah dan Sarawak merdeka, kita masih sangsi terhadap kesetiaan kita terhadap ‘Negara Malaysia’? Mengapa kita meragui semangat Merdeka di kalangan rakyat kita sendiri? Apa sebenarnya yang berlaku terhadap semangat kewarganegaraan kita? Kenapa kita masih menagih simpati agar rakyat ada semangat MERDEKA. Ini adalah beberapa persoalan yang dikemukakan sebagai asas untuk direnungkan dan dihayati.


Asasnya 54 dan 48 kita Merdeka, namun jati diri Malaysia masih hambar meresap di jiwa sanubari setiap rakyat di Negara tercinta ini. Sehingga kini boleh dilihat bagaimana kita menghayati, memahami, dan menjiwai kemerdekaan yang telah diperolehi. Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berjaya membebaskan kita daripada cengkaman penjajahan Barat, manakala Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah menggagaskan pembangunan Ekonomi, begitu juga Allahyarham Tun Hussein Onn cuba membina hubungan kaum yang lebih baik, seterusnya Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan beberapa gagasan yang agak mantap, diikuti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menerajui kepimpinan Negara kini, dan kita masih lagi menagih simpati ‘semangat merdeka’ dengan rakyat. Seolah-olah 54 tahun kita merdeka amat tidak mencukupi, tetapi kita masih gagal menanamkan semangat ini kepada rakyat. Pelbagai cara telah digunakan untuk menanamkan kecintaan kepada Malaysia dan terkini 1Malaysia.

Ironinya bukan semangat sahaja yang menjadi keutamaan kita, kerana mereka yang telah melaungkan gema Merdeka 54 dan 48 tahun yang lalu mungkin sudah menjadi generasi terakhir abad ini dan jiwa mereka tetap utuh dengan semangat ini, tetapi kita lupa kepada generasi kini yang lahir dalam suasana negara sudah merdeka. Apakah mereka ini perlu melaungkan lagi gema MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! sedangkan mereka sudah berada dalam suasana negara merdeka. Kita lupa, bahawa mereka tidak pernah mengangkat senjata seperti Datu Paduka Mat Salleh, Datuk Bahaman, Ibrahim Yaakub, Shamsiah Fakih, Dr. Burhanuddin Helmy, Rosli Dhobi dan beberapa pejuang kemerdekaan terawal, mereka juga tidak pernah mengalami keperitan hidup dengan berjalan kaki berbatu-batu ke sekolah sepertimana Tun Abdul Razak, mereka tidak pernah berhujan berpanas demi meneruskan kehidupan.


Sebenarnya kita telah terlupa bahawa ‘Pembentukan Malaysia’ hanya menekankan penyatuan politik dan ekonomi secara menyeluruh, tetapi mengabaikan faktor sosial dan agama, maka lahirlah warganegara yang longgar jiwa merdekanya. Kita juga gagal memberi kefahaman serta penghayatan tentang kemerdekaan kepada genarasi kini. Proses ‘pemerdekaan’ sebenar tidak berjalan dengan lancar, dan jiwa merdeka gagal ditafsirkan dengan tepat. Genarasi kini menghayati kemerdekaan dengan temsya songsang yang amat terpesong daripada erti kemerdekaan yang sebenar. Mereka telah lari daripada nilai-nilai adab serta moral agama yang luhur dan mulia. Pesta merdeka diisi dengan kegiatan sumbang dan bersifat liar dan merosakkan daya fikir serta intergeriti jiwa merdeka. Nilai agama tidak lagi dijadikan asas jiwa merdeka, manakala pengaruh barat semakin menular dengan wewenangnya tanpa sekatan dan batasan daripada pelbagai pihak. Seolah-olah kita membiarkan mereka hanyut dengan situasi itu, tetapi dalam masa yang sama kita menyalahkan mereka.

LinkWithin