Pages

Monday, May 7, 2012

KEKELIRUAN UMAT TERHADAP MISI RABBANYY

Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih dari segala dosa dan di mana ketika manusia belum baligh keadaannya adalah terpelihara sama ada dalam Islam atau pun perundangan manusia. Oleh itu, situasi ini telah menyatakan bahawa manusia adalah insan bersih seperti kain putih yang tidak tercemar oleh pelbagai kotoran dosa. Bahkan manusia di awal kelahiran sehinggalah meningkat remaja, iaitu sebelum seruan diwajibkan kepadanya, maka ianya tetap suci dan bersih. Dalam usia sebegini juga manusia tidak dikenakan sebarang hukuman oleh Allah SWT.

Namun begitu kesucian ini sukar dipertahankan secara konsisten, kerana selepas mengharungi kehidupan sebagai insan aqil baligh, maka dia sudah mula meneroka alam baru yang banyak cabaran dan ujian yang datang silih berganti. Apatah lagi, apabila manusia sudah mula mengenal dunia kehidupan yang sifat duniawinya terlalu mencabar.

Allah mengingatkan manusia dalam al-Quran, ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Ku’. Peringatan ini sebenarnya mempunyai makna mendalam bagi manusia dan jin agar sedar akan keadaan diri sendiri yang mempunyai tanggungjawab terhadap Khaliq pencipta yakni Allah SWT. Manusia tidak akan wujud di dunia ini sekiranya Allah SWT tidak mengkehendakinya. Kuasa serta sifat maha pencipta yang dimiliki-Nya menjadikan manusia berada di muka bumi ini. Pada ketika inilah manusia perlu mengkoreksi diri untuk mengenal diri dan memahami serta mematuhi fitrah kehidupan sebagai insan.

Hakikat kewujudan manusia sebagai makhluk adalah memiliki misi rabbani, dan antara misi itu ialah memakmurkan, mendidik, membina, membimbing serta memelihara keharmonian hidup di dunia ini. Untuk melaksanakan misi ini, maka Allah SWT telah mengangkat martabat manusia sebagai ‘khalifah’, yakni ketua pada sekalian makhluk yang turut mendiami cakrawala bumi ini. Ketika mana Allah mangangkat darjat dan martabat manusia, wujud kompleks yang maha dahsyat iaitu protes berterusan daripada golongan Iblis yang amat meragui keupayaan manusia menerajui perjalanan duniawi ini. Bahkan protes ini tidak akan berakhir sehinggalah ke panghujung perjalanan di dunia ini dan akan diadili di akhirat kelak.

Namun, apa yang berlaku ialah manusia sebahagiannya jauh tersasar daripada asal penciptaannya. Manusia menjadi lupa dan alpa serta lalai terhadap misi rabbani yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Keadaan ini menjadikan manusia menjadi angkuh dan sombong serta hilang sifat insanyyah. Manusia telah menjadikan kehidupan dunia ini seumpama kekal selama-lamanya (abada’). Perkara ini dapat dilihat bila mana manusia telah meletakkan tuntutan beragama menjadi perkara terakhir dalam kehidupan. Misi rabbani yang telah diwartakan oleh Allah SWT telah tersasar jauh dari jiwa dan sanubari mereka. Dalam hal ini, misi Iblis memerangi manusia hampir berjaya dan telah memakan korban yang banyak tanpa disedari.

Buktinya, lihatlah bagaimana manusia mengaplikasikan agama dalam kehidupan ini. Sifat ‘ubud dunnia’ telah melangkau segala-galanya. Setiap gerak dan langkah akan dihitung dengan nilai harta benda, dan bagi golongan ini mereka berfahaman adalah amat malang bagi individu sekiranya tidak menggunakan peluang sepenuhnya di dunia ini.

Inilah serangan paling hebat yang berlaku terhadap umat Islam pada masa kini, di mana-mana saja pemikiran seumpama ini sudah meresap serta sudah mula menghancurkan hati dan jiwa umat Islam satu demi satu. Seorang mujahid Islam menyatakan kebimbangannya terhadap serangan ini, beliau mengatakan;

‘Perkara yang membimbangkan saya hanyalah bahaya-bahaya yang menimpa agama. Pada masa dahulu bahaya datang dari luar. Oleh sebab itu cara mengatasinya adalah mudah. Tetapi sekarang bahaya datang dari dalam. Cacing telah masuk ke dalam tubuh. Maka sekarang pertempuran menjadi susah. Saya membimbangi bahawa tubuh masyarakat ini tidak boleh bertahan menghadapinya kerana tubuh tersebut tidak menyedari musuhnya. Mereka menganggap bahawa musuh terbesar yang memotong urat nadi dan meminum darahnya itu sebagai kawan yang rapat. Jika mata hati masyarakat menjadi buta begini, ketika itu kubu keimanan dalam keadaan bahaya. Justeru kebimbangan saya, bahkan satu-satunya kebimbangan bagi saya ialah perkara ini.’ (Badiuzzaman Said Nursi).

Kesedaran secara total terhadap misi rabbani ini amat perlu supaya generasi serta umat pada hari ini dapat kembali kepada fitrah asal kejadiannya. Manusia sewajarnya ada sifat koreksi diri, demi untuk membuat penilaian kembali terhadap misi rabbani ini. Kegagalan menuruti tuntutan rabbani ini akan membawa petaka besar dalam kehidupan ini. Al-Quran dengan jelas dan terang memberi peringatan serta amaran terhadap erti kehidupan ini. Dalam surah al-Fatihah dinyatakan ‘Inilah jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah kami redhai ke atas mereka’. Perjalanan hidup ini semestinya mematuhi petunjuk kitab suci al-Quran ini, sekiranya manusia cuba mengingkarinya, maka tunggulah balasan dari-Nya. Surah al-Baqarah menyatakan, ‘Inilah kitab yakni al-Quran yang menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa’. Maknanya, apabila manusia keluar daripada lingkungan rabbani ini, maka ianya tersesat jauh dan pasti akan terdedah kepada pelbagai ancaman bahaya.

Oleh itu, sekiranya manusia memilih petunjuk selain al-Quran, maka ianya sudah tersasar jauh daripada misi rabbani. Manusia akan menjadi derhaka serta angkuh terhadap Tuhannya dan akan hilang pertimbangan insaniyyah. Manusia akan melihat tuhan terdekat mereka adalah harta benda yang kononnya boleh ‘menghidupkan dan mematikan’. Mereka akan menjadi ganas dan buas, mereka akan menjadi buta serta pekak, mereka akan alpa buat selamanya.

Akhirnya manusia akan menerima pengadilan seadil-adilnya dariapa Khaliq Pencipta yang menentukan kedudukan dan status manusia pada ketika itu. Penyesalan tidak lagi berguna, segala rayuan dan belas kasihan tidak lagi dapat menyelamatkan manusia dari hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT.