Pages

Monday, July 23, 2012

MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE (siri III)

Zaman Khalifah Ar-Rasiyydin

Setelah kewafatan Nabi SAW pada 10H, pemerintahan Islam Madinah diterajui oleh empat orang sahabat baginda yang tersohor iaiatu, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Ibn Affan dan Ali Abu Talib. Apabila Abu bakar as-Siddiq mengambilalih sebagai khalifah, beliau telah menyelesaikan beberapa masalah yang timbul seperti ‘Peristiwa Bani Sahidah’ iaitu sekumpulan kaum Ansar yang cuba mengambilalih pentadbiran kerajaan Islam Madinah, dan isu ‘Perang Ridda’. Dalam keadaan yang mencabar ini, Abu Bakar as-Siddiq berjaya juga mententeramkan keadaan dan meluaskan lagi pengaruh Islam ke Iraq.

Selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab telah mengambilalih pentadbiran kerajaan Islam Madinah, dan beliau telah meluaskan lagi pemerintahannya hingga ke Mesir dan Syria. Tindakan Saidina Umar ini menawan Mesir dan Syria adalah satu laluan mudah untuk umat Islam menghamipiri kota Constantinople. Sedangkan pada ketika itu Islam memiliki kekuatan tentera serta panglima-panglima yang terkenal seperti Khalid al-Walid dan Abu Ayub al-Ansari. Namun Saidina Umar tidak pun menggerakkan tenteranya menuju Constantinople.

Kerajaan Bani Umayyah

Berdasarkan kepada hadis tersebut, maka para sahabat berlumba-lumba membuka Constantinople bagi mendapatkan darjat tertinggi dalam Islam. Syaidina Umar sendiri menaruh hajat terhadap pembukaan kota ini, namun baginda sendiri tidak berkesempatan. Cita-cita pembukaan kota Constantinople diteruskan oleh Mu’awiyah Abu sufyan. Pada tahun 50H, Mu’awiyah telah menyediakan satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Busr bin Artah dan Sufyan bin Awf al-Azdi ke Byzantine dan Fadalah bin ‘Ubaydillah al-Ansari di bahagian laut untuk menyerang kota Constantinople. (SahrulAzmi Sidek:2012:92).

Sebelum itu, Abu Ubaidah telah melaksanakan misi ke atas beberapa empayar Rom semasa pemerintaahan Syadina Umar al-Khattab. Beberapa kota terpenting yang berada di bawah empayar Rom telah dibuka semula oleh Abu Ubaidah, dan antaranya ialah Damsyik yang diperintah oleh Raja Jabalah. Ketika Abu Ubaidah menghampiri kota ini, Panglima tenteran Rom Hiraqla telah membantu Raja Jabalah, namun mereka tidak dapat menghalang kemaraan tentera Islam, dan selepas itu menawan kota Baisan, Hims dan kota Aleppo serta Atakiah, (Abdul Latip Talib: 2009:248,249,283,320,321). Tindakan Abu Ubaidah ini merupakan rintis awal terhadap semangat Umat Islam untuk membuka kota Constantinople.

Keghairan umat Islam menawan Constantinople amat tinggi, kerana beberapa bandar utama serta tamadun lain sudah berada dalam penguasaan Islam. Parsi sebuah empayar terbesar juga telah menerima Islamisasi. Dan begitu juga Damsyik atau Syria sudah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Bani Umayah yang mmenghubungkan antara Eropah Asia Barat atau Negara-negara Arab.

Kerajaan Bani Abbasiyyah

Setelah kejatuhan kerajaan Bani Umayyah, maka kerajaan Bani Abasiyyah yang telah mengambilalih kuasa tersebut melalui gerakan keluarga Abbas. Gerakan ini dipelopori oleh beberapa kumpulan yang lahir daripada perpecahan tentera Saidina Ali melalui perang Siffin serta Majlis Tahkim. Melalui majlis itu wujud satu kumpulan baru yang dikenali sebagai kumpulan al-Khawarij.

Saturday, July 7, 2012

MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE (siri II)

Asas Islamisasi ke Constantinople

Misi Islamisasi ke kota ini telah lama diutarakan, semasa peristiwa perang Khandak dan pada waktu itu Nabi SAW dengan umat Islam Madinah tengah menggali parit mengelilingi kota Madinah sebagai bentang mempertahankannya daripada serangan kaum Quraisy Makkah. Ketika inilah pencungkil Nabi SAW terkena batu dan mengeluarkan tiga percikan api, dan Nabi SAW mentafsirkan tentang percikan tersebut. Percikan pertama Baginda melihat bayangan di udara Istana Putih di negeri Yaman. Percikan kedua Baginda melihat bayangan Istana Kisra di negeri Parsi, dan percikan ketiga Baginda melihat mahligai raja-raja di Constantinople. (Ab. Hamid Ali: 2011:29). Tafsiran itu diperteguhkan lagi dengan sebuah hadith yang menyatakan tentang bagaimana kota Constantinople dapat ditakluki. Antara kandungan hadis tersebut ialah; ‘Pastilah kamu akan menakluki Constantinople, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya’.

Hadis ini telah menjadi sandaran kuat bagi umat Islam membuka kota ini, bahkan keinginan kuat untuk menawan Constantinople telah dijadikan cita-cita besar setiap pemerintah Islam, yang bermula ketika pemerintahan Khalifah ar-Rasyyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan terakhir Kerajaan Uthmaniyyah. Cita-cita ini terpendam beratus-ratus tahun lamanya dan hanya terlaksana ketika pemerintahan Islam Uthmaniyyah. (bersambung.....)

Monday, July 2, 2012

MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE

Sejarah Ringkas

Sejarah telah melakarkan tentang kehebatan Kota Constantinople sebagai sebuah kota terhebat dalam sejarah Dunia. Kota yang hebat dan gagah ini menjadi lambang kehebatan masyarakat Eropah seluruhnya. Constantinople merupakan bandar dan kota yang mewarisi tamadun Greek yang telah melahirkan tokoh-tokoh tersohor seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Pemikiran mereka ini telah meletakkan Constantinople sebagai kota ilmuan yang amat terkenal. Pada tahun 753M seorang raja yang dikenali sebagai Romulus telah membina empayar Rom yang hebat dengan menjadikan bahasa latin sebagai bahasa komunikasi. Bahasa ini telah berupaya membina kekuatan empayar Rom dengan menghasilkan pelbagai disiplin ilmu yang diwarisi oleh tamadun Eropah itu sendiri.

Kehebatan empayar Rom ini dapat dilihat kepada tiga tahap iaitu Zaman Beraja (753-509SM), Zaman Republik (509-27SM), dan Zaman Empayar (27SM-476M). Empayar Rom lebih terserlah ketika zaman Helenistik dan Pax Ramona, dan berakhir pada zaman Marcus Aurelius pada tahun 180M, (Ab. Hamid Ali: 2011:12-13). Ketika kejatuhan empayar Rom, kota ini tidak terjejas keutuhannya, dan ini diakui oleh para sejarahwan bahawa kota ini sebahagian daripada kemegahan empayar Rom yang terhebat. Constantinople yang dikelilingi oleh tembok yang kuat termasuk bahagian laut dan direntangi oleh rantai besi sebagai menghalang kapal-kapal musuh, menjadikan kota ini menjadi rebutan. (Sahrulazmi Sidek: 2012:93). Hal ini diakui oleh Ab. Hamid Ali, menurut beliau, tidak semua empayar Eropah mengalami Zaman Gelap, cuma di bahagian Barat sahaja, tetapi Rom Timur masih bertahan sehingga tahun 1453M, dan Constantinople menjadi ibu kota Rom Timur.

Namun begitu, kehebatan Constantinople akhirnya tergugat juga selepas tahun 1453M, apabila pihak pemerintah mula mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kemaslahatan rakyat. Kemerosotan ini berlaku dalam dua faktor iaitu, faktor dalaman dan faktor luaran. Antara faktor dalaman yang menyumbang terhadap kejatuhan kota ini ialah; pertama kerajaan Byzantine diwarisi oleh pemimpin yang mementingkan pangkat dan kuasa, kedua pergolakan dalaman akibat sikap cuai, tamak dan terlalu leka, ketiga anak-anak aristokrat hanya mementingkan diri, keempat berlaku penyelewengan dalam pentadbiran, kelima penyalahgunaan kuasa dalam kalangan para pembesar kerajaan, keenam mengalami masalah ekonomi yang teruk akibat pemborosan kerajaan yang melampau, dan ketujuh kerajaan menjual tanah jajahan seperti Salonika pada tahun 1423M. Manakala faktor luaran ialah, pertama berlakunya peristiwa The Black Death atau wabak taun, kedua wabak ini telah membunuh seramai 5000 orang penduduk dalam sehari, dan ketiga perselisihan agama antara Kristian Timur dan Kristian Barat. (Ab. Hamid Ali: 2011:24).

Kesan terhadap pergolakan yang melampau ini telah mempercepatkan kejatuhan kota Constantinople, kes-kes yang berlaku itu menambah masalah yang mendalam terhadap keutuhan dan perpaduan. Pihak pemerintah sudah lupa tugas dan tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat. Bahkan pihak pemerintah lebih mengutamakan kepentingan peribadi dengan penyalahgunaan kuasa. (.....bersambung....)