Pages

Tuesday, June 18, 2013

KETERLIBATAN ORANG IRANUN DI KEDAH

Beberapa maklumat menyatakan bahawa orang Iranun telah cuba membantu Sultan Abdullah menyerang Francis Light di Pulau Pinang, dan peristiwa ini berlaku pada 1791. Kemarahan Sultan Abdullah disebabkan Francis Lighit gagal mematuhi perjanjian dengan kerajaan Kedah berkaitan pendudukan British di Pulau Pinang. 

Dalam perjanjian ini British dan Francis Light hendaklah melindungi kerajaan Kedah daripada ancaman luar, namun apabila Siam mahu menyerang Kedah, Francis Light tidak mahu memberi bantuan. Keadaan ini menjadikan Sultan Abdullah marah dengan Francis Light kerana memungkiri perjanjian yang dipersetujui sebelum ini. 

Perjanjian Inggeris-Kedah 1786: 
1. Inggeris membantu Kedah sekiranya Kedah diserang oleh musuh 
2. Inggeris tidak boleh melindungi musuh Kedah 
3. Inggeris akan membayar sebanyak 30 000 dolar Sepanyol setahun kepada sultan sebagai pampasan

Bila mana British tidak membantu Kedah menghadapi Siam, lalu Sultan Abdullah telah meminta bantuan daripada beberapa buah negeri dan raja, termasuklah Raja Lanoon iaitu Raja Iranun. Di bawah ini adalah surat Sultan Abdullah kepada Francis Light sebagai peringatan kepada Francis Light.

"Sebuah perutusan yang penuh kasih sayang dan persahabatan yang kekal abadai dari Bendahara dan Laksamana, Raja Wolama dan Raja Mooda Ante dan semua Raja-raja dan semua pembesar-pembesar mempersembahkan kepada sahabat kami Gabenor Poolo Pinang yang pengetahuannya tentang perniagaan tidak boleh ditandingi, mula-mula hal ehwal yang diarahkan oleh Raja kepada kami, hal ehwal Poolo Pinang yang lama belum diselesaikan, beberapa pucuk perutusan telah dihantar dan diterima namun tidak apa-apa nampaknya yang disetujui oleh kehendak Raja, sahabat kami tidak menyembahkan sesuatu yang sesuai kepada kami, kami juga begitu, oleh itu sekarang kita pendekkan saja perkara ini. Raja tidak memperkenankan sahabat kami tinggal lama lagi di Poolo Pinang oleh itu sahabat kami hendaklah menyelesaikan urusannya secepat mungkin kerana Poolo Pinang ialah milik Raja Queda sejak zaman berzaman, tambahan pula jika sahabat kami cuba tinggal dengan menggunakan kekerasan. Tuhan yang mengetahui segala-galanya akan mendatangkan bala ke atasnya maka janganlah dipersalahkan kami. Kami dan Raja, Raja Lanoon dan semua Panglima meletakkan kepercayaan kami kepada Tuhan dan Rasul kami Mohammad nabi terakhir dari segala nabi. Dengan itu kami mengutuskan Datoo Bundar Seralata Pallowan dan Che Kadar dengan penentuan terakhir ini". (Ditulis pada April 1791). 

Raja Lanoon yang dimaksudkan itu adalah Raja Iranun yang datang membantu Sultan Abdullah di Kedah, menurut beberapa pandangan, Sultan Abdullah tidak sempat menyerang Francis Light kerana British lebih dulu menyerang mereka, dan Sultan Abdullah kalah kerana tersilap jangkaan. 

Menurut pandangan itu, Raja Iranun tersebut tidak mahu bertangguh untuk menyerang Pulau Pinang seperti pengalaman mereka menyerang Belanda di Tanjung Pinang, Riau Johor pada tahun 1787 dan mereka menang dan begitu juga ketika mereka menyerang British di Pulau Balambangan pada tahun 1775 dan mereka menang kedua-dua serangan ini. 

Kegiatan orang Iranun ini amat tidak disenangi oleh Barat, dan Barat melihat orang Iranun merupakan ancaman terhadap kegiatan mereka di Nusantara ini, dan akhirnya orang Iranun menjadi buruan oleh Barat dan kegiatan mereka sentiasa dipantau oleh Barat. 

Penentangan terakhir orang Iranun berlaku pada tahun 1915, di Pandasan. Orang Iranun, Bajau dan Dusun bergabung tenaga menentang SBUB. 

Keterlibatan orang Iranun di Pulau Pinang ini menunjukkan orang Iranun mempunyai hubungan dengan kuasa-kuasa Melayu di Nusantara.