Pages

Wednesday, July 17, 2013

MENEROPONG SEPINTAS LALU FAHAM SEKULAR

Sekularisme merupakan aliran pemikiran Barat yang berkembang dengan pesat sehingga memasuki dunia Islam. Pengaruh sekularisme ini turut mengancam ajaran samawi yang cuba memisahkan antara urusan dunia dengan ukhrawiy. Ulama-ulama Islam sedunia menentang fahaman ini kerana membawa satu pemikiran yang akan menjarakkan antara insan serta khaliq.

Menurut Prof. Dr Syed Nuqiub Al-Attas, sekularisme membawa makna 'ke di sini kinian', yang maksudnya membuang makna-makna rohani dari alam tabii, sesuai  dengan sifat faham ini yang lahir dari peradaban Barat. Kewujudan pemikiran sekular ini hanya berpandukan kepada keupayaan pancaindera yang bersifat logik akal. Akibatnya golongan sekular ini tidak berupaya melihat dan menerima kewujudan Khaliq selaku pencipta. Mereka menafikan nilai-nilai kekudusan dari kepimpinan, dan tidak menjadikan agama sebagai sebahagian daripada sistem umum. 

 Fahaman ini juga cuba memisahkan kehidupan beragama dalam rutin harian manusia. Mereka mewar-warkan kebebasan sosial yang jauh terpesong dari nilai-nilai insaniyah serta cuba mengawal akal dengan nafsu seluas-luasnya. Faham ini juga tidak memiliki nilai tetap yang menjadi panduan kepada pengikutnya, ianya cuba bertindak membebaskan manusia dari hukum kekudusan yang mengawal tingkahlaku manusia dari menyedari diri tentang penciptanya. 

 Aliran sekularisme ini cuba membawa masyarakat kepada faham anti-Tuhan yang dilihat sebagai ancaman kebebasan sosial, dan ianya amat berbeza dengan Islam. Masyarakat Islam dikenali sebagai masyarakat madani yang tidak memerlukan sekularisasi dan meletakkan sifat ketuhanan sebagai tunjang utama seperti iman, ibadah, syariah dan akhlak. 

 Dunia Barat mengalami kekeliruan yang amat sangat dan masyarakatnya tersasar daripada hakikat wujudiyah. Barat merupakan peradaban yang pelbagai dan tidak ada persamaan dengan Islam. Barat menjadikan undang-undang Rom sebagai panduan bernegara, agama dominan adalah Kristian serta Yahudi, mereka juga mengambil ilmu-ilmu Greek dan Yunani sebagai teras pembangunan mental dan fizikal. Seperti yang dimaklumi, tamadun Rom dan Yunani merupakan tamadun terawal, namun kedua tamadun ini hanya menekankan kepada pembangunan lahiriyah semata.   

Sekularisme  muncul ketika Barat berada dalam kekeliruan nilai budaya hidup yang bercelaru dan cuba meyakinkan masyarakat bahawa tingkahlaku yang bebas dari kongkongan agama akan membawa kebaikan yang hakiki. Maka itu, sekularisme amat bertentangan dengan Islam, di mana Islam menjadikan addin sebagai nilai terbaik dalam mengurus kehidupan duniawi.