Pages

Tuesday, April 28, 2020

DR SIDDIQ FADZIL: TADHKIRAH BERANI

TARBIAH RAMADHAN DAN SIFAT BERANI: MENGAPA SESUATU BANGSA ITU BOLEH DITINDAS

Apabila berlaku penindasan oleh pemerintah yang zalim ke atas rakyatnya, adalah lazim pemerintah itu akan dihina dan dipersalahkan. Hakikatnya, tanpa kita sedari, kezaliman itu boleh berlaku, dengan rela dan izin oleh bangsa itu sendiri. 

Siapakah mereka yang termasuk kumpulan ini? 

Pertama:Bangsa penakut (al-ra’iyyat al-kha ifah

Di dalam al Qur’an, terakam kisah Bani Israil yang pernah menjadi bangsa paling penakut. Ia adalah kesan indoktrinasi puluhan tahun Kerajaan Firaun ke atas mereka. 

Penakut adalah watak Bani Israil pada zaman nabi Musa a.s. Mereka takut untuk mengisytiharkan pendirian ketika jelas kebenaran mengatasi kebathilan dalam pertembungan Nabi Musa a.s. dan tukang-tukang sihir Firaun. 

Maka dikisahkan, meskipun jelas tongkat Musa sudah menelan semua ular ahli-ahli sihir, namun rakyat masih tak berani menerima kebenaran risalah Nabi Musa dan menolak kebatilan Firaun.Ia adalah akibat terlalu dibenam psikologi penakut. 

Mereka terus menerus dihantui ketakutan terhadap Firaun walaupun telah terlepas daripada cengkaman kezaliman. Walaupun Firaun telah mati ditelan laut, namun mereka masih berperwatakan penakut. Sifat berani telah pupus dalam diri mereka apabila diperintahkan untuk memasuki tanah yang dijanjikan kerana takut untuk berhadapan dengan Qauman Jabbarin.

Apabila penyakit penakut sudah jadi watak, memakan beberapa generasi lamanya untuk berubah. Walaupun Firaun sudah mati berpuluh tahun, watak penakut tetap wujud lagi. 

Maka Allah sesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun. Kenapa padang pasir dan tempoh 40 tahun? 

Ia bagi menghapuskan generasi penakut dan melahirkan generasi pemberani yang mampu meneruskan kehidupan dalam ketandusan dan kegersangan padang pasir yang memeritkan.Keberanian hanya timbul bersama kepayahan. Keberanian lahir di luar zon selesa.Keberanian hanya lahir setelah ketakutan dikuburkan.

Sebab itulah kita disaran mengamalkan doa yang di ajar oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w. 

"Allahumma a’inni ‘a'uzubika minal hammi wal hazan...." (Ya Allah, jauhkanlah aku daripada penyakit lemah dan rasa penakut). 

Kedua: Budaya dan moral hidup bangsa itu sudah rosak 

Contohnya: Jika penyakit rasuah dan gila kebendaan begitu membarah ke atas setiap individu bangsa itu,maka masakan mereka akan menolak pemimpin yangg rasuah. Kerana mereka sendiripun akan amalkan rasuah itu, jika ada peluang dan kesempatan. Mereka menjadi masyarakat ‘, mudah serta sedia disuap dan amat terangsang dengan rasuah.

Dengan sikap yang sudah hina sebegini, maka semakin mudahlah pihak berkuasa yang korup mengambil kesempatan memanipulasi sikap rakyat yang tersedia sudah rosak itu. Umat yang terkena sumpahan kefasiqkan’ 

Jembalang kefasiqkan, adalah jembalang yang menghantui ummah. Ummah disumpah kehinaan atas rasukan kefasiqkan yang menggila. Segala fikir, zikir, kata, daya dan aksi berkiblatkan keuntungan duniawi.

Apa yang boleh diharap pada masyarakat yang dirasuk kefasiqkan. Segalanya rosak baik yang tua dan yang muda, pemimpin mahu pun rakyat jelata, ilmuwan mahu pun agamawan semuanya hina 

Adakah realistik untuk kita mengharapkan masyarakat yang sebegini terhindar daripada penindasan? Malah merekalah yang merelakan diri dan keluarga mereka dizalimi, ditindas malah diratah semahunya oleh pemimpin penindas demi secubit keuntungan duniawi. Sudah tentu mereka bukan sahaja mengiyakan malah menyokong penindas agar terus berkuasa semahunya. 

Tiada makna ditelanjangkan segala kebobrokan, dijaja kekudusan perjuangan jika masyarakat masih terus disumpah kefasiqkan. 

Maka, untuk mengharap rakyat yang sakit untuk menolak pemimpin yang sakit adalah suatu yang mustahil. 

Benarlah apa yang terpahat dalam pesan Baginda Rasulullah ﷺ mafhumnya, bahawasanya kita diperlakukan sebagaimana peri keadaan kita. Pemimpin penindas hanya akan terus dijulang oleh masyarakat yang disumpah kefasiqkan. 

Mafhum Hadith: "Sesungguhnya, seseorang dari kamu akan diperlakukan orang mengikut peri keadaan diri kamu sendiri. 

Justeru, apa yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan bangsa yang sudah parah diwabaki penyakit penakut dan rosak moral, jika ia benar-benar berlaku? Ini suatu soalan yang tidak mudah untuk dileraikan. Ini memerlukan tarbiah dan islah 

Di sinilah terpusatnya gerak daya islah. ‘Islah mas tata'tu’ yang menagih segala kesungguhan dan keikhlasan juga kecerdasan yang menuntut komitmen dari segala sudut, dari setiap lapangan dan golongan. Juru dakwah perlu tangkas mendidik dan menghentikan sumpahan ini. Hanya kebenaran dan keadilan yang mampu menumpaskan jembalang yang bersekongkol dengan pemimpin penindas. 

Tarbiah Ramadhan adalah tarbiah untuk melahirkan sifat keberanian. Keluar dari kebiasaan, melawan keselesaan. Lapar dan dahaga diharungi demi menyempurnakan titah Ilahi. Hanya yang berani sahaja mampu mengharungi keperitan Ramadhan. 

Inilah maqasid puasa yang gagal dihayati ummat. Ketakutan terus dipasakkan bersama ilusi yang tiada berpenghujung.Segenap tempat dan ketika ketakutan menjelma tanpa malu dan silu. Umat Islam ditakutkan seolah-olah tiada lagi kekuatan yang tersisa dan hidupnya hanya meminta-minta. 

Ayuh! Dalam baki waktu termahal dalam Ramadhan ini, kita bina keberanian bersama munajat menghambat Lailatul Qadr. 

Profesor Dato' Dr. Siddiq Fadzil. 
Kg. Sg. Ramal Dalam.

Saturday, April 18, 2020

ANWAR IBRAHIM MUSLIM DEMOKRAT - Bahagian 3

PELOPOR ISLAM DAN DEMOKRASI, MUSLIM DEMOKRAT SERTA DIALOG PERADABAN

Umat Islam menginginkan sistem kerajaan berperwakilkan dan punya akauntabiliti – boleh dipertanggungjawabkan sebagai satu-satu cara mampan bagi memastikan kebebasan, keadilan, kebijaksanaan dan kedaulatan undang-undang, demi mencapai kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara mereka. 

Apa yang menjadikan Anwar Ibrahim unik dan unggul adalah bagaimana dia menterjemahkan visinya dan perjuangannya kepada tindakan dan kepada sebuah pergerakan. Anwar adalah seorang pengasas kepada gerakan Demokrat Muslim. 

Demokrat Muslim menekankan fundamental tadbir urus menentukan keabsahan kerajaan. Pokok permasalahan adalah ketidakupayaan umat berpartisipasi dalam proses menentukan siapa yang patut mewakili dan memimpin mereka mesti diatasi. Demokrat Muslim berjuang untuk ekonomi manusiawi dan kerajaan yang bersih serta prihatin, mengimbangi di antara pasaran bebas dan tuntutan keadilan sosial, menjaminkan hak dan kebebasan asasi, tadbir urus baik dan kebebasan kehakiman, layanan adil kepada kaum minoriti, wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya. 

Demokrat Muslim berazam membasmikan rasisme dan sifat kebencian sesama insan. Anwar menegaskan bahawa ini memerlukan dan pembaharuan serta keberanian menelusuri jejak yang dipandukan oleh maqasid al-Shari’a. Ia memerlukan agar menekankan sifat Islam yang sebenar, sejahtera dan meraikan kemajmukan. Intelektual Muslim dan orang ramai diseru kembali kepada keunggulan mesej Islam tentang kebebasan dan rahmatan lil ‘alamin.

Anwar menggalakkan trend sihat di kalangan ulama Muslim untuk mendalami ruang dialog peradaban kerana pentingnya mengadakan program dialog antara agama dan budaya bagi menangani kepelbagaian dan perbedaan. Dia menganjurkan saling faham memahami di antara satu sama lain, berinteraksi dengan bermakna dan kehidupan bersama merujuk kepada pengalaman silam kerajaan Islam Andalusia di mana manusia pelbagai latarbelakang dan keturunan telah menjalani hidup makmur dan aman damai. 

Pemberdayaan ekonomi sangat mustahak agar menyelamatkan umat yang separuh berada di bawah paras kemiskinan kerana peminggiran ekonomi membawa kepada natijah sosio-ekonomik yang dahsyat. Keadilan sosial seperti dianjurkan oleh al Qur’an and al Sunnah adalah ajaran Islam tentang menyediakan kesihatan, pendidikan, perumahan dan pekerjaan. Ketaksaksamaan buruk yang melanda dunia Islam akan kekal dan bertambah teruk jika tiada usaha kolektif dan bersungguh-sungguh menanganinya.

Berdasarkan maqasid al-Shari’a, tugas pemimpin-pemimpin Muslim mendirikan institusi-institusi tabdir urus demi keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia bagi memacukan kebangkitan ummah. Kebangkitan Islam mesti memastikan kebebasan bersuara dan bebas daripada ancaman penahanan tangkapan rambang serta penindasan penguasa. 

Anwar mengakui bahawa ini waktu getir bagi dunia Islam, di samping jalan ke arah pemulihan dan kekuatan itu jauh dan berliku-liku lantas cabaran terbesar dihadapi umat adalah dan pembaharuan tajdid dan islah yang mesti datang daripada diri kita sendiri. 

Anwar Ibrahim sering menegaskan bahawa dia berdiri tegak sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka dan inklusif bagi partisipasi dan libatserta semua lapisan masyarakat, penggantian kuasa aman dan tatakelola teliti dengan akauntabiliti. Itulah yang diperjuangkannya dengan gigih di lapangan.