Pages

Monday, April 5, 2021

SIAPA BERKUASA RAKYAT ATAU WAKIL RAKYAT?

Rakyat sering dikelirukan dengan istilah Yang Berhormat, di mana istilah ini sering dianggap lebih berkuasa atau ada karamah berbanding kuasa rakyat. Ketika wakil rakyat melawat kawasan, maka rakyat akan disibukkan dengan sambutan yang meriah, gilang-gemilang dengan pelbagai acara yang dipertontonkan semata-mata untuk menggembirakan wakil rakyat atau dipanggil Yang Berhormat (YB). Rakyat akan disibukkan kerana YB tersebut akan melawat kawasannya yang telah diamanahkan untuknya menjadi wakil rakyat. 

Apa sebenarnya makna 'Wakil Rakyat'? Wakil Rakyat cuma menjadi wakil kepada rakyat untuk mengambil tanggungjawab bagi menyuarakan masalah rakyat atau memudahkan urusan rakyat di kawasan yang dia menjadi wakil rakyat kerana dipilih semasa pilihan raya. Semasa pilihan raya, semua calon-calon yang bertanding akan merayu bersungguh-sungguh kepada rakyat untuk dia dipilih sebagai wakil rakyat. Segala janji, segala tawaran, segala sogokan akan dihamburkan kerana semata-mata mahu dipilih, mereka akan merayu, mereka akan memujuk, mereka akan bersumpah untuk berkhidmat dengan sesungguhnya kepada rakyat. Bahkan mereka akan berjanji juga untuk membawa permasalahan rakyat ke sidang Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Mereka berkempen dari rumah ke rumah merayu dan memujuk kepada rakyat agar undi mereka, dan yang anehnya ada yang sanggup menangis depan rakyat mohon dipilih dengan alasan membela nasib rakyat yang terabai dan tidak dipedulikan. 

Hakikatnya memang pun dalam pertandingan setiap pilihan raya keutamaan adalah memilih wakil rakyat yang boleh membawa masalah rakyat kepada pemerintah yang mendapat mandat rakyat secara majoriti. Masalah rakyat sangat berkait dengan kehidupan mereka, dan antaranya prasarana yang diperlukan kerana berkaitan dengan kegiatan ekonomi serta keselesaan mereka. Selain itu, rakyat juga perlukan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itulah mereka memilih wakil rakyat yang boleh menyuarakan keperluan sebenar mereka.

Tetapi apa yang berlaku ramai wakil rakyat tidak sedar diri bahawa mereka sebenarnya mewikili rakyat yang mana rakyat adalah tuan mereka, boss mereka yang telah memilih mereka. Bukannya wakil rakyat itu yang menjadi boss kepada rakyat. Apabila sudah menang mereka boleh mengugut dan mengherdik rakyat sesuka hati mereka. Mereka menipu rakyat dengan pelbagai helah untuk memperlihatkan diri mereka adalah lebih besar daripada tuan sebenar mereka.

Bahkan ada ungkap sinis daripada wakil rakyat itu terhadap rakyatnya, contoh dialognya "YB, kami datang ini menuntut janji YB semasa pilihan raya, kenapa sehingga kini YB tidak menunaikannya?...jawab YB "bersyukurlah kamu sebab saya ada buat janji, tapi cuba kamu fikir berapa ramai lagi rakyat seperti kamu ini yang saya belum buat janji"...contoh kedua "YB, jalan raya kampung kami itu belum bertar lagi?"...jawab YB "kamu ingat kampung kamu sajakah yang ada masalah jalan, kampung lain pun ada masalah jalan"...itulah adalah contoh-contoh dialog sinis sahaja, kerana ketika menang situasinya sudah berubah, di mana wakil rakyat menjadi big boss, manakala rakyat menjadi hamba kembali.