Pages

Saturday, July 24, 2010

BELIA DAN BUDAYA ILMU

Jiwa belia Islam hari ini jauh berbeza dengan jiwa belia ketika zaman kegemilangan Islam, dewasa ini belia amat cenderung jiwanya terhadap budaya yang lebih bersifat hiburan berbanding majlis keilmuan. Kecenderungan ini dapat dilihat apabila majlis-majlis ilmuan jarang sekali dihadiri oleh para belia, bahkan mereka lebih suka berada di pusat-pusat beli-belah hanya semata-mata melayani jiwa membuang masa.

Perkara ini amat membimbangkan dan menggerunkan kita terutama ahli masyarakat serta ibu bapa yang amat prihatin terhadap gejala sosial yang melanda belia hari ini. Saban hari sama di media cetak atau elektronik ada sahaja kes-kes yang membabitkan belia. Hubungan luar nikah banyak berlaku dalam kalangan belia yang akhirnya melahirkan anak-anak luar nikah yang begitu menggerunkan dan kesannya ramai bayi yang dibuang di merata tempat, di mana tindakan ini tidak lagi menjadi kesalahan besar dalam kalangan para belia.

Di sinilah kekuatan ilmu untuk mendidik para belia kini memahami dan menghargai nilai kehidupan sebagai insan yang dijadikan oleh Allah SWT. Apabila para belia memiliki kekuatan ilmu, kejadian-kejadian seumpama ini pasti tidak berlaku. Para belia kurang mendapat pendedahan yang kuat tentang hidup beragama. Ilmu yang mereka miliki tidak mampu menangkis godaan dan tarikan kehidupan yang menyeronokan. Tanpa ilmu yang utuh dan kukuh serta pengamalan dan penghayatan sepenuh keimanan, maka belia-belia ini akan sentiasa terdedah kepada kemungkaran dan kemaksiatan.

Sepatutnya tradisi keilmuan yang telah mengangkat martabat umat Islam perlu diperkukuhkan serta dirancang dengan penuh teliti agar ianya kelihatan lebih menarik. Contohnya 'Sehari bersama Tokoh Ilmuan', di mana dalam program itu disediakan cabutan-cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik yang mensasarkan kepada citarasa belia yang berlandaskan Islam. Seperti hadiah buku-buku ilmiah, pakaian (wanita/lelaki Islam), pakej-pakej Umrah atau sebagainya.

Menggabungkan program keilmuan selaras dengan jiwa belia amat perlu, seperti perkhemahan beliawanis dalam kalangan wanita Islam dengan pengisian yang menjurus kepada mencintai ilmu, begitu juga dengan belia lelaki sesama mereka. Perkhemahan mestilah dilakukan secara berasingan. Secara tidak langsung kita mendidik belia-belia kita menjauhi perkara kemaksiatan dan dapat mengelak percampuran antara lelaki dan perempuan.

Belia merupakan aset utama terhadap kelangsungan masa depan umat ini, andainya kita gagal memberikan mereka pendidikan yang sempurna selaras dengan tuntutan Islam, maka kerosakan pasti akan terjadi. Ilmu adalah asas utama sebagai kekuatan umat dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Majlis-majlis ilmu masa kini tidak lagi menjadi kegilaan dalam kalangan belia, bahkan hiburan lebih menarik mereka untuk hadir dan menyebabkan mereka lalai dan terbuai dengan suasana tersebut. Ilmu berupaya menjadikan para belia lebih cemerlang dalam segenap kehidupan serta boleh melahirkan generasi yang dapat dipertanggungjawabkan tentang masa depan umat ini.

Kekerapan mengadakan seminar dan wacana amat signifikan dengan jiwa belia yang membawa kepada pembinaan akliyah yang mantap. Budaya ilmu juga boleh membina adab serta akhlak mulia dalam kalangan belia yang Islamik. Tokoh-tokoh ilmuan harus bersifat pemurah dengan ilmu yang mereka miliki, jangan meletakkan majlis ilmu itu dengan harga yang mahal kerana para belia tidak berupaya hadir kerana yuran penyertaan yang mahal. Biarlah ilmu yang dimiliki itu dapat dikembangkan serta direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Pengabaian terhadap rencana kehidupan berilmu amat besar implikasinya dalam masyarakat. Oleh itu, belia dan budaya ilmu hendaklah selari dan selaras dengan pembangunan negara serta menjadi aspirasi setiap warga sama ada pemimpin atau tokoh-tokoh ilmuan. Lihatlah pengalaman Islam lampau, di mana kekuatan mereka kerana ilmu yang dimiliki oleh masyarakatnya. Iraq suatu masa merupakan pusat keilmuan yang menggerunkan dunia barat. Mereka mencemburui kekuatan ilmu yang dimiliki oleh dunia Islam, dan akhirnya mereka akur dan terus menerokai alam pemikiran tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ibn Khaldun, al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Arabi, Ibn Sina dan ramai lagi yang telah menjadikan barat lebih membangun dan maju dalam pelbagai disiplin keilmuan.

1 comment:

  1. Apa kah mencari ilmu tidak menarik? paparkan puncanya.. paparkan juga penyelesaiannya

    ReplyDelete