Pages

Wednesday, October 20, 2010

UCAPAN YB TAN SRI PANDIKAR AMIN HJ MULIA YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA 50 TAHUN PARLIMEN MALAYSIA PADA 15 OKTOBER 2010


Bismillahir Rahmaanir Rahiim
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mengadap Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Ampun Tuanku.

Bagi pihak Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia, patik merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua berkenan untuk mencemar duli, berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Sempenan 50 tahun Parlimen Malaysia. Majlis Makan Malam ini merupakan acara kemuncak kepada sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia. Sesungguhnya, dengan keberangkatan Tuanku berdua maka bertambah seri lah Majlis pada malam ini.

Ampun Tuanku.

Patik Mohon perkenan Tuanku untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada dif-dif yang hadir pada malam ini.

Ampun Tuanku.

Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Datuk Zurina binti Kassim.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Rosmah Mansor,

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar bin Dato' Nika Ujang dan Yang Berbahagia Puan Sri Sharifah Rugayah binti Syed Jaffar

Yang Berhormat Dato' Sri Anwar bin Ibrahim Ketua Pembangkang dan Yang Berbahagia Datin Sri Wan Azizah binti Wan Ismail.

Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi Mantan Perdana Menteri Malaysia

Yang Amat Berbahagia Tun-Tun dan Yang amat Berbahagia Toh Puan-Toh Puan.

Yang Berhormat Menteri-Menteri, dan isteri-isteri.

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan isteri-isteri.

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri dan isteri-isteri, Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negara dan dewan Rakyat dan isteri-isteri.

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri dan isteri-isteri.

Yang Berbahagia Mantan ahli-ahli Parlimen Malaysia, Dif-Dif LKehormat; tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian.

Saya memanjatkan kesyukuran yang setinggi-tinggnya ke hadrat Allah Subhanahu Wataala keran dengan limpah rahmat dan izinNya, dapat kita bersama-sama menghadiri Majlis Makan Malam Sempena 50 tahun Parlimen Malaysia, di dalam suasana harmoni dan di dalam keadaan sihat walafiat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Perayaan 50 tahun Parlimen yang telah menyusun beberapa aktiviti bagi menyambut Perayaan 50 Tahun Parlimen Malaysia pada tahun 2009. Ini termasuklah pelancaran duit syiling 50 Tahun Parlimen Malaysia yang telah dilaksanakan pada pertengahan 2009 yang lalu.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

Saya gembira mendapati kehadiran ramai mantan Ahli-ahli Parlimen di majlis ini. Kehadiran YBhg. Tan Sri, Datuk-datuk, tuan-tuan dan puan-puan mantan ahli-ahli Parlimen memberi makna yang besar kepada kita semua kerana tuan-tuan dan puan-puan, samada dari parti-parti pendokong kerajaan atau penyokong pparti-parti pembangkang, merupakan tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Negara dan rakyat menghargai khidmat bakti dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Pastinya, sejarah akan mengabadikan sumbangan ini untuk tatapan, rujukan dan pedoman generasi yang akan datang. Buat mantan ahli-ahli parlimen yang tidak lagi bersama kita, marilah kita berdoa aggar Allah swt menganugerahkan balasan yang sebaik-baiknya di atas khidmat bakti dan jasa mereka kepada negara.

Bersempena dengan pereistiwa yang bersejarah ini, izinkan saya memetik kata-kata seorang ilmuan,

"Setiap beberapa ratus tahun dalam sejarah dunia, akan berlaku transformasi yang ketara. Di dalam beberapa dekad yang pendek,, masyarakat menyusunatur diri dan pandangannya terhadap dunia; terhadap kesenian; terhadap institusi-institusi penting. 100 tahun kemudian, satu dunia baru muncul. Dan mereka yang dilahirkan pada masa itu tidak dapat membayangkan dunia yang dihuni oleh nenek-moyang mereka dan mutakhir ini mereka tidak dapat membayangkan keadaan dunia kelahiran ibubapa mereka."

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

Saya berharap mesej tersirat kata-kata ini dapat kita hayati. Sesungguhnya keadaan dunia hari ini adalah berbeza dari keadaan dunia 50 tahun dahulu. Sejak lebih 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita telah menyaksikan banyak perubahan-perubahan. Perubahan-perubahan berlaku pada kadar yang jauh lebih pantas jika dibandingkan dengan kurun-kurun sebelum ini. Kemajuan yang dicapai dalam bidang sains dan teknologi telah mengubah cara masyarakat kita menjalani kehidupan seharian.

Sungguhpun demikian, sejauh manapun sains dan teknologi mengubah cara kita berkomunikasi atau mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian, nilai-nilai ketimuran dan sejagat seperti amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, berbudi bahasa dan pekerti mulia, adalah merupakan nilai-nilai murni yang tidak lapuk dek peredaran zaman dan merupakan pedoman dari dahulu, kini, hinggalah ke masa hadapan yang perlu dipertahankan.

Institusi Parlimen Malaysia mencapai usia 50 tahun pada September tahun lepas. dewan Negara dan Dewan Rakyat bersidang serentak untuk kali pertama pada September 1959. Kita berbangga dengan khidmat cemerlang yang telah dimainkan oleh pemimpin-pemimpin negara dan wakil-wakil rakyat yang terdahulu daripada kita. sejarah merakam dan mengabadikan jasa bakti mereka. Tetapi pada hemat saya, tidak kurang pentingnya atau lebih penting lagi adalah peranan sebagai wakil rakyat yang akan diteruskan oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang berkhidmat pada masa ini.

Dengan dapat menghayati intipati kata-kata seorang ilmuan yang saya petik sebentar tadi, saya berharap kita akan dapat membaharuio silatturrahim dan persahabatan di antara satu sama lain sambil mengenang kembali akan peristiwa-peristiwa asam manis yang telah berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia sejak 50 tahun yang lalu. Saya percaya, banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh dikongsi bersama demi untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi berparlimen untuk kesejahteraan tanahair kita yang tercinta.

Peranan inilah yang perlu diberi perhatian dan penekanan kerana ianya perlu dilaksanakan secara beretika dan penuh bertanggungjawab demi untuk memastikan institusi Parlimen ini akan terus subur untuk 50 tahun yang akan datang. Hanya dengan kesedaran untuk memikul dan melaksanakan peranan ini dengan penuh tanggungjawab dan beretika, maka kita akan terus dapat membincangkan dan mengambil ketetapan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Biarlah kita mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza mengenai hal-hal tertentu, tetapi pastikan bahawa perbezaan ini akan menyuburkan lagi sistem demokrasi berparlimen di negara ini, dengan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan beretika.

Sistem demokrasi berparlimen dan Raja Beperlembagaan yang kita dokong selama lima dekad ini telah memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat Malaysia. Mariulah kita bertekad untuk terus mempertahankan institusi Parlimen kita ini dengan cara kita yang telah terbukti kejayaannya, agar ianya terus memberi kesejahteraan kepada rakyat negara kita, Insya Allah.

Ampun Tuanku,

Sekian sahaja sembah ucapan patik pada malam ini dan patik sudahi dengan ucapan wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Monday, October 18, 2010

Ucapan Dasar Tun Datu Mustapha Pada Perhimpunan Agong USNO Ke 21 (28 - 29 November 1987: Berkaitan Kemasukan UMNO Ke Sabah) (Siri 3)



Datuk Pengerusi, tuan-tuan dan paun-puan para hadirin yang saya hormati sekalian.

Dengan penjelasan saya itu tadi, di manakah yang betul? Saya campur di dalam pilihanrayapun salah, dan saya tidak campur juga salah. Oleh yang demikian, saya serahkan perkara ini ke atas kebijaksanaan dan pertimbangan tuan-tuan dan puan-puan.

Datuk Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan yang saya hormati sekalian.

Di sini, saya ingin berpesan dan memberi ingatan ddi dalam soal ini hendaklah ditimbang, dikaji dan ditapis sedalam-dalamnya sama ada keputusan Bahagian, Cawangan dan ahli-ahli UMNO mengatakan bersetuju atau tidak atas rancanngan percantuman dua parti itu. Dan tidak payah para perwakilan bertanya kepada saya, sama ada baik atau tidak, manakala terwujudnya. Jawapan saya, tidaklah boleh mengatakan baik atau tidak kerana perkara ini kita semuanya belum ketahui dan merasainya sebab belum berlaku. Tetapi, pada hakikatnya, adalah baik untuk perpaduan Bumiputra khasnya dan rakyat Malaysia, amnya.

Datuk Pengerusi Majlis, sebelum saya mengakhiri kata-kata saya ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Pengerusi. Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pergerakan Pemuda USNO, Pergerakan Wanita USNO, para pemerhati USNO dari keseluruhan Bahagian, para pemerhati seterusnya pada hadirin yang dihormati sekelian amnya dan Y.A.B. Datuk Presiden UMNO yang sudi dan bermurah hati menghantar Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, yang telah bersusahpayah sama ada datangnya dari jauh mahupun dekat kerana menghadiri ke Majlis Mesyuarat Perhimpunan Agung Tergempar pada hari ini. Semoga Allah menurunkan rahmatnya ke atas kita keseluruhannya, negeri kita Sabah, khasnya dan negara kita Malaysia, amnya.

Sekian.
Wabiluallahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saturday, October 9, 2010

Ucapan Dasar Tun Datu Mustapha Pada Perhimpunan Agong USNO Ke 21 (28 - 29 November 1987: Berkaitan Kemasukan UMNO Ke Sabah) (Siri 2)


Saya sedar dan faham bahawasanya pada Perhimpunan Mesyuarat Agung USNO yang berlansung paada 25hb dan 26 hb Oktober. Majlis Perhimpunan Agung itu, para perwakilan telah mengambil ketetapan dan keputusan memberi mandat kepada Presiden, mandat yang bertandatangan yang maksudnya memberi kuatkuasa kepada Presiden USNO iaitu apa jugalah keputusan dan diputuskan oleh Presiden USNO, maka muktamad. Di sini, saya ingin memberi perhatian kepada tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan dan para pemerhati. Saya rasa tidaklah waras pada diri saya mengambil satu-satu keputusan atas soal USNO bercantum atau bergabung dengan UMNO dengan begitu sahaja. Kerana soal ini, adalah sangat-sangat berlainan daripada soal yang lain. Umpamanya, seperti penyerahan Pulau Labuan yang mana diputuskan oleh seorang dua sahaja, kerana tanah daratan Sabah ini kalau saya tidak silap 90 atau 100 kali ganda besarnya darripada Pulau Labuan. Di samping itu juga, ahli-ahli parti USNO ini bukannya sahaja terdiri daripada keturunan Bajau, Brunei, Bisaya, Kedayan, Suluk, Benadan, Ubian, Sonsogon, Tagibang, Murut, Kadazan, Dusun, Dusun Banggi, Kuijau, Balabak, Sunagi, Jawa, Banjar, Tidung, Bugis, Te morist, Keling, Benggali dan sebagainya. Jadi dalam pendapat saya, saya tidak berhak memberi keputusan kepada parti UMNO sama ada bersetuju atau pun tidak. Pendek kata, ahli-ahli USNO keseluruhannya sehingga budak kecil yang mempunyai fikiran adalah berhak memberi pandangannya. Lebih jelas lagi saya mengatakan di sini, saya sebagai Presiden USNO tidaklah hanya mengambil kira atau menitik beratkan satu kaum atau satu puak sahaja, sebabnya saya sedar, misalannya, satu puak atau satu kaum sahaja membuat keputusan dalam soal ini. Kalaulah kiranya perkara ini tidak akan mendatangkan hasil yang memberi munafaat kelak, maka semua kaum juga akan menderita. Dari itu, tuan-tuan dan puan-puan, saya juga akan dikecam oleh orang-orang Sabah hingga kejenerasi yang akan datang. Contohnya: Pada Pilihanraya Umum di Sabah di dalam tahun 1976 yang mana parti USNO hanya mendapat 20 kerusi dan telah kalah, maka ada pula pihak-pihak yang tertentu di dalam negeri Sabah ini mencerca dan mengecam saya, kononnya, saya tidak lagi diingini oleh rakyat Sabah. Kemudian, pada Pilihanraya Umum negeri Sabah ini pada tahun 1981, pada ketika itu saya tidak menyertainya dengan sebab-sebab yang tertentu. Malangnya, USNO ditimpa oleh kekalahan yang teruk iaitu hanya mendapat tiga kerusi, saya juga yang menjadi sasaran dibuah mulut mereka ya ng sama. Kononnya; sayalah seorang yang tidak bertanggungjawab dakwa mereka itu, kononnya; saya hanya berfoya-foya bersenang-lenang dengan keluarga saya di luar negeri. Pada tahun 1985 sekali lagi di adakan Pilihanraya Umum di negeri Sabah dan pada ketika itu saya ikut bersama atas permintaan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Parti USNO untuk mengetuainya, dengan takdir Allah Subhanahu wataala, maka Parti USNO mendapat kemenangan 16 kerusi. Ini juga saya dicerca dan dikecam oleh pihak-pihak yang sama, mengatakan seperti berikut: Orang tua yang tamak pangkat itu masih juga campur, kalaulah orang tuan itu tidak campur sudah tetap Parti USNO boleh mendapat 22 kerusi. Pada Pilihanraya tahun ini, 1986, saya tidak menyertainya, maka Parti USNO hanya mendapat 12 kerusi, tiba-tiba dua orang daripada 12 itu meninggalkan Parti USNO. Jadi, Parti USNO hanya tinggal 10 orang Ahli Dewan Undangan egeri Sabah hinggalah kehari ini. Ini juga saya dikesal, dicerca, dikecam dengan perkataan yang buruk disebarkan oleh pihak-pihak yang tertentu, kononnya: Saya tidak mengindahkan Parti USNO berseronok di luar negeri dan sebagainya. (bersambung)

Friday, October 1, 2010

Ucapan Dasar Tun Datu Mustapha Pada Perhimpunan Agong USNO Ke 21 (28 - 29 November 1987: Berkaitan Kemasukan UMNO Ke Sabah) (Siri 1)


Bismillah Hirrahman Nirrahim
Alhamdulillah Hirabil Alamin. Ahmadullahu Taala Wa-Ussalli Wa-Ussallimu Ala Asrapil Anbia Walmursalin Saidina Muhammadin Waala Alihi Wasahbihi Limandaa Beda'Watika Ila Yaumeddin.

Yang Berbahagia Datuk Pengerusi Tetap Persidangan USNO seluruh Sabah.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran Malaysia dan mewakili Y.A.B. Presiden UMNO.
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Malaysia.
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO
Ahli-Ahli Yang Berhormat
Pergerakan Pemuda USNO, Pergerakan Wanita USNO
Datuk-Datuk dan Datin-Datin,
Para Perwakilan dari Seluruh Bahagian
Para Pemerhati,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala dan dengan Qudrat Iradatnya membolehkan kita kesemuanya berhimpun pada pagi ini di dalam majlis yang mulia dan yang bersejarah.

Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di dalam majlis Mesyuarat Perwakilan yang tergempar pada hari ini, dan faham betapa masalahnya yang harus diuruskan untuk datang ke Kota Kinabalu. Inilah kali yang keduanya di dalam tahun ini tuan-tuan dan puan-puan telah membuat pengorbanan yang besar untuk menghadiri persidangan mesyuarat USNO yang terpenting sekali dan bersejarah ini. Pada kali yang pertama telah diadakan Mesyuarat Agung USNO pada 26 hb dan 27 hb Oktober tahun ini dan ini pula kali yang kedua diadakan Mesyuarat Perwakilan USNO yang tergempar. Pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan ini adalah yang sangat berat kerana datang berduyun-duyun ke Kota Kinabalu dengan perbelanjaan tambang menambang kenderaan, bayaran penginapan dan sebagainya, kan halnya saya memang sedia maklum, bukan sahaja perekonomian tuan-tuan dan puan-puan telah merosot tetapi juga hampir-hampir 'O' sedangkan perekonomian Negara pun telah merosot ke tahap yang rendah disebabkan pengeluaran barangan mentah dan komiditi negara kita telah merosot harganya di pasaran dunia dan pengangguran juga banyak bilangannya. Oleh yang demikian, sudah pada tempatnya kalaulah saya mengucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, syabas ! atas keazaman dan keteguhan semangat perjuangan tuan-tuan dan puan-puan terhadap parti kita USNO yang kita cintai ini bukan sahaja saya sanjung tinggi tetapi juga akan tercatit di dalam lembaran sejarah yang akan kita perturunkan kepada anak, cucu, cicit, keturunan dan seterusnya di negara Malaysia ini, khasnya dan mungkin keseluruhan dunia amnya.

Datuk Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Izinkan saya berucap membawa tuan-tuan dan puan-puan kepada perkara dan maksud yang akan kita bincangkan bersama di dalam majlis ini iaitu tujuan dan topiknya ialah berkenaan dengan ura-ura percantuman dan penggabungan Parti UMNO (Parti yang terbesar dan yang mendukung Kerajaan Persekutuan Malaysia) dengan Parti USNO yang mana tuan-tuan dan puan-puan telah sedia maklum perkhabaran ke sini sana di dalam masa satu dua bulan ini yang begitu hebohnya. Ura-ura atas tujuan yang tersebut, ada pula segelintir orang-orang di negeri Sabah ini telah pun membentuk Protem Comittee dengan sibuknya menaja Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan UMNO. Kita sendiri pun tidak tahu menahu. Tetapi tidak apalah, itu adalah urusan mereka. Sama ada mendapat tauliah atau mandat daripada Ibu Pejabat UMNO atau tidak, adalah hal mereka. Hanya apa yang saya ketahui, adalah mereka yang tertentu di dalam keadaan 'Desperate' kerana ketiadaan tempat di dalam mana-mana parti politik pun di dalam negeri Sabah ini disebabkan pendirian mereka kurang stabil, dari mulanya negeri Sabah ini berpolitik.

Datuk Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, soal dan perkara yang kita bincangkan ini, pada diri saya sendiri adalah saya sifatkan satu-satunya perkara ini yang terbesar dan berat sekali daripada perkara-perkara yang sudah-sudah berlaku selama ini, dan soal ini pada hemat saya adalah seakan-akan serupa dan sama seperti masa pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 16hb Januari, 1962 dan sekurang-kurangnya mengambil sedikit masa. Saya berkata demikian dan menggambarkannya ialah soal percantuman atau pergabungan di antara UMNO dan USNO bukanlah perkara yang boleh diputuskan oleh Presiden USNO seorang atau oleh Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO. Bahagian-Bahagian USNO dan Cawangan-Cawangan USNO seluruh Sabah, tetapi juga perkara ini adalah meliputi keseluruhan ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO, agak keterlaluan kalaulah saya katakan sedangkan budak-budak kecilpun harus terlibat. Kerana perkara ini adalah satu perkara yang bukan sahaja orang-orang kita yang dewasa dan anak-anak kecil, juga harus diperhitungkan, kerana merekalah yang akan mewarisinya dari jenerasi ke jenerasi yang akan datang. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan para hadirin di dalam majlis yang sangat-sangat bersejarah ini iaitu janganlah tergopoh gapah mengambil keputusan sebelumnya berunding dengan rakan-rakan tuan-tuan dan puan-puan di peringkat Bahagian, Cawangan dan seterusnya ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO kerana perkara ini tidak dapat dinafikan sekiranya rancangan ini terwujud perlaksanaannya, maka dalam pendapat saya, sekiranya tujuan ini membawa kepada hasil yang baik dan kebahagiaan, maka kita kesemuanya bersyukur kepada Allah Subhanahuwataallah dan kesyukuran yang tidak terhingga atas rahmat Tuhan yang menurunkan ke atas hamba-hambaNya khasnya, ahli-ahli USNO dan amnya, rakyat Sabah. Disebaliknya pula, jikalaulah percantuman atau pergabungan ini hasilnya tidak sebagaimana yang diidam-idamkan dan diharap-harapkan, maka tidaklah salah kalau saya katakan ianya akan menjadi penyesalan yang tidak berguna. Inilah makanya kita mengadakan Mesyuarat Tergempar untuk membincangkan mengenai soal tersebut dan seterusnya melibatkan kepada semua kaum di dalam Parti USNO. Dari itu, saya mencadangkan Majlis Perhimpunan kita pada hari ini, tidaklah bijak mengambil keputusan hanya setakat di sini sahaja atau diperbincangkan pada hari ini sahaja, tetapi ada baiknya kita tangguhkan selama 2 - 3 hari untuk tuan-tuan dan puan-puan berfikir dan pada perjumpaan kita yang akan datang yang kedua itu juga tidaklah berapa waras Majlis Tergempar ini membari keputusan, melainkan kita masing-masing balik ke Bahagian dan Cawangan masing-masing sebagaimana yang saya sebutkan tadi.

Pendapat atau cadangan saya ini adalah merupakan satu-satunya menjadi beban besar kepada tuan-tuan dan puan-puan dan para perwakilan untuk melaksanakannya. Tetapi, jangan lupa, apa-apa juga pekerjaan atau perbuatan, katalah memasak makanan di dapur kalaulah kita tidak bersusahpayah tidak membasuh beras, tidak memasak sayur, lauk dan sebagainya, sudah seharusnya kita tidak boleh memakannya. Begini jugalah perkara yang penting ini, kalau kita tidak berfikir betul-betul dan bersusahpayah, maka akibatnya akan menjadi penyesalan daripada saat-saat itu hinggalah ketamatnya dunia ini.(bersambung)