Bismillahir Rahmaanir Rahiim
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mengadap Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Ampun Tuanku.
Bagi pihak Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia, patik merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua berkenan untuk mencemar duli, berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Sempenan 50 tahun Parlimen Malaysia. Majlis Makan Malam ini merupakan acara kemuncak kepada sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia. Sesungguhnya, dengan keberangkatan Tuanku berdua maka bertambah seri lah Majlis pada malam ini.
Ampun Tuanku.
Patik Mohon perkenan Tuanku untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada dif-dif yang hadir pada malam ini.
Ampun Tuanku.
Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Datuk Zurina binti Kassim.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Rosmah Mansor,
Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.
Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar bin Dato' Nika Ujang dan Yang Berbahagia Puan Sri Sharifah Rugayah binti Syed Jaffar
Yang Berhormat Dato' Sri Anwar bin Ibrahim Ketua Pembangkang dan Yang Berbahagia Datin Sri Wan Azizah binti Wan Ismail.
Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi Mantan Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berbahagia Tun-Tun dan Yang amat Berbahagia Toh Puan-Toh Puan.
Yang Berhormat Menteri-Menteri, dan isteri-isteri.
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan isteri-isteri.
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri dan isteri-isteri, Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negara dan dewan Rakyat dan isteri-isteri.
Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri dan isteri-isteri.
Yang Berbahagia Mantan ahli-ahli Parlimen Malaysia, Dif-Dif LKehormat; tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian.
Saya memanjatkan kesyukuran yang setinggi-tinggnya ke hadrat Allah Subhanahu Wataala keran dengan limpah rahmat dan izinNya, dapat kita bersama-sama menghadiri Majlis Makan Malam Sempena 50 tahun Parlimen Malaysia, di dalam suasana harmoni dan di dalam keadaan sihat walafiat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Perayaan 50 tahun Parlimen yang telah menyusun beberapa aktiviti bagi menyambut Perayaan 50 Tahun Parlimen Malaysia pada tahun 2009. Ini termasuklah pelancaran duit syiling 50 Tahun Parlimen Malaysia yang telah dilaksanakan pada pertengahan 2009 yang lalu.
Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,
Saya gembira mendapati kehadiran ramai mantan Ahli-ahli Parlimen di majlis ini. Kehadiran YBhg. Tan Sri, Datuk-datuk, tuan-tuan dan puan-puan mantan ahli-ahli Parlimen memberi makna yang besar kepada kita semua kerana tuan-tuan dan puan-puan, samada dari parti-parti pendokong kerajaan atau penyokong pparti-parti pembangkang, merupakan tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Negara dan rakyat menghargai khidmat bakti dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Pastinya, sejarah akan mengabadikan sumbangan ini untuk tatapan, rujukan dan pedoman generasi yang akan datang. Buat mantan ahli-ahli parlimen yang tidak lagi bersama kita, marilah kita berdoa aggar Allah swt menganugerahkan balasan yang sebaik-baiknya di atas khidmat bakti dan jasa mereka kepada negara.
Bersempena dengan pereistiwa yang bersejarah ini, izinkan saya memetik kata-kata seorang ilmuan,
"Setiap beberapa ratus tahun dalam sejarah dunia, akan berlaku transformasi yang ketara. Di dalam beberapa dekad yang pendek,, masyarakat menyusunatur diri dan pandangannya terhadap dunia; terhadap kesenian; terhadap institusi-institusi penting. 100 tahun kemudian, satu dunia baru muncul. Dan mereka yang dilahirkan pada masa itu tidak dapat membayangkan dunia yang dihuni oleh nenek-moyang mereka dan mutakhir ini mereka tidak dapat membayangkan keadaan dunia kelahiran ibubapa mereka."
Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,
Saya berharap mesej tersirat kata-kata ini dapat kita hayati. Sesungguhnya keadaan dunia hari ini adalah berbeza dari keadaan dunia 50 tahun dahulu. Sejak lebih 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita telah menyaksikan banyak perubahan-perubahan. Perubahan-perubahan berlaku pada kadar yang jauh lebih pantas jika dibandingkan dengan kurun-kurun sebelum ini. Kemajuan yang dicapai dalam bidang sains dan teknologi telah mengubah cara masyarakat kita menjalani kehidupan seharian.
Sungguhpun demikian, sejauh manapun sains dan teknologi mengubah cara kita berkomunikasi atau mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian, nilai-nilai ketimuran dan sejagat seperti amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, berbudi bahasa dan pekerti mulia, adalah merupakan nilai-nilai murni yang tidak lapuk dek peredaran zaman dan merupakan pedoman dari dahulu, kini, hinggalah ke masa hadapan yang perlu dipertahankan.
Institusi Parlimen Malaysia mencapai usia 50 tahun pada September tahun lepas. dewan Negara dan Dewan Rakyat bersidang serentak untuk kali pertama pada September 1959. Kita berbangga dengan khidmat cemerlang yang telah dimainkan oleh pemimpin-pemimpin negara dan wakil-wakil rakyat yang terdahulu daripada kita. sejarah merakam dan mengabadikan jasa bakti mereka. Tetapi pada hemat saya, tidak kurang pentingnya atau lebih penting lagi adalah peranan sebagai wakil rakyat yang akan diteruskan oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang berkhidmat pada masa ini.
Dengan dapat menghayati intipati kata-kata seorang ilmuan yang saya petik sebentar tadi, saya berharap kita akan dapat membaharuio silatturrahim dan persahabatan di antara satu sama lain sambil mengenang kembali akan peristiwa-peristiwa asam manis yang telah berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia sejak 50 tahun yang lalu. Saya percaya, banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh dikongsi bersama demi untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi berparlimen untuk kesejahteraan tanahair kita yang tercinta.
Peranan inilah yang perlu diberi perhatian dan penekanan kerana ianya perlu dilaksanakan secara beretika dan penuh bertanggungjawab demi untuk memastikan institusi Parlimen ini akan terus subur untuk 50 tahun yang akan datang. Hanya dengan kesedaran untuk memikul dan melaksanakan peranan ini dengan penuh tanggungjawab dan beretika, maka kita akan terus dapat membincangkan dan mengambil ketetapan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat negara ini.
Biarlah kita mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza mengenai hal-hal tertentu, tetapi pastikan bahawa perbezaan ini akan menyuburkan lagi sistem demokrasi berparlimen di negara ini, dengan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan beretika.
Sistem demokrasi berparlimen dan Raja Beperlembagaan yang kita dokong selama lima dekad ini telah memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat Malaysia. Mariulah kita bertekad untuk terus mempertahankan institusi Parlimen kita ini dengan cara kita yang telah terbukti kejayaannya, agar ianya terus memberi kesejahteraan kepada rakyat negara kita, Insya Allah.
Ampun Tuanku,
Sekian sahaja sembah ucapan patik pada malam ini dan patik sudahi dengan ucapan wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.