SEJARAH

SEJARAH

Thursday, February 14, 2019

International Seminar : Islam and Global Peace Sabah 2016, Promenade Hotel Kota Kinabalu

Berikut adalah resolusi Seminar Antarabangsa Islam dan Keamanan Sejagat: Perspektif Sejarah dan Kontemporar pada hari ini 28 Mei 2016 bertempat di Promenande Hotel, Kota Kinabalu Sabah, Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal-ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), United Ngos Of Islamic World (UNIW) dan Sabah Islamic Future Network (SIFN) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Gabungan NGOs Islam Sabah (CONCERN) yang telah dihadiri oleh Panel Pembentang dan Para-Peserta dari Negara Malaysia, Indonesia, Kemboja, Turki, Sepanyol, Kenya, Yemen, Bangladesh, Arab Saudi, Sudan, Algeria, Kazakhstan, Afrika Selatan, Syria, Filipina dan Lubnan.

Resolusi 1
Keamanan sejagat adalah salah satu teras dalam ajaran Islam. Justeru itu sumbangan Tamadun Islam dalam mempelopori keamanan sejagat perlu ditelusuri dan dinilai secara adil dan ilmiah, agar sumbangan ini terus menjadi panduan keamanan sejagat.

Resolusi 2
Konsep La Convivencia, The co-existence iaitu hidup bersama dalam sejarah ketamadunan Al-Andalusia perlu dikaji dan dipromosikan dalam kehidupan masyarakat moden hari ini.

Resolusi 3
Gambaran buruk dan prejudis tentang Islam dan umat Islam perlu dihentikan oleh semua pihak. Gambaran Islam yang sebenar perlu ditonjolkan menerusi sumber sebenar agama Islam iaitu Al-Qur’an dan Hadith. Disamping pandangan Jumhur Ulama.

Resolusi 4:
Seminar ini menyeru agar semua pihak merentas sempadan geografi dan silang budaya agar melakukan gerak kerja secara kolektif untuk mengangkat martabat Islam sebagai agama keamanan sejagat, melalui penganjuran seminar, konferensi dan dialog tentang keamanan sejagat. Wacana sebegini perlu disusun dan dilakukan dengan lebih sistematik.

Resolusi 5:
Seminar ini turut menyeru agar semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memasukkan kursus berkaitan peranan Islam dalam mempelopori keamanan sejagat. Seterusnya menggalakkan kajian ilmiah, perbincangan dan dialog berkaitan Islam dan keamanan sejagat.

Resolusi 6:
Sebuah institusi pengajian tentang Islam dan keamanan sejagat perlu dibangunkan untuk membuat kajian dan penelitian secara ilmiah dan menjadi sumber rujukan berkaitan isu-isu Islam dan keamanan sejagat.

Resolusi 7:
Institusi keluarga perlu menjadi “nucleus” dan “catalyst” untuk mendidik faham keamanan sejagat dan hubungan silang budaya yang harmoni dan saling faham memahami dalam kehidupan hari ini. 

Resolusi 8:
Mencadangkan agar ditubuhkan sebuah Sekretariat Antarabangsa untuk menyelaras perbincangan, diskusi, konferensi tentang Islam dan Keamanan Sejagat secara berterusan, berkala dan merentasi sempadan geografi dan fahaman politik.

Resolusi 9 :
Kajian tentang isu dan penyelesaian berkenaan keamanan sejagat perlu dibuat secara berterusan dan disebarkan secara konsisten agar literatur berkenaan  berada dalam “main-stream” mempromosikan keamanan sejagat dan memberi perspektif yang betul tentang Islam dan umat islam.

Resolusi 10 :
Generasi Muda perlu diberi kefahaman tentang Islam yang sebenar, agar mewarisi semangat ketamadunan Islam yang pernah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiyah yang tiada taranya, dan telah berjaya melahirkan insan-insan sempurna dari kurun ke kurun.

Resolusi 11 :
Generasi muda hendaklah juga dididik dengan hikmah dan adab serta benar-benar insaf menyedari amanah kepimpinan, dimantapkan  dengan ilmu yang sejati.

LinkWithin