SEJARAH

SEJARAH

Saturday, April 18, 2015

SUDUT PANDANG POLITIK IRANUN DI KOTA BELUD; ANALISIS SEBELUM PRU 13.

Fokus penulisan pada kali ini lebih tertumpu kepada kegiatan politik masyarakat Iranun di Kota Belud dari kaca mata BN. Sebagai menjelaskan polarisasi masyarakat Iranun di daerah ini, suku kaum Iranun berjumlah sekitar 15,000 orang, dan  yang boleh mengundi sekitar 8,000 orang di DUN Tempasuk dan Usukan. Mengikut data Suruhan Jaya Pilihanraya pengundi masyarakat Iranun lebih ramai bertumpu  di Tempasuk, sekitar 5,500'orang berbanding di Usukan sekitar 2,500 orang. Kedudukan pengundi di tiga DUN iaitu Tempasuk, Kedamaian dan Usukan, Tempasuk mempunyai jumlah pengundi seimbang antara tiga kaum. Oleh itu, untuk mendominasi satu-satu DUN, masyarakat Iranun tidak memiliki peluang seperti masyarakat Bajau dan Dusun yang menguasai sepenuhnya Usukan dan Kedamaian.

Untuk melihat secara terperinci lagi, masyarakat Iranun hanya mendiami secara majoriti beberapa buah kampung seperti, Kg. Payas-Payas, Kg. Liang, Kg. Peladok dan Kg. Pantai Emas terletak dalam DUN Usukan, manakala Kg. Kota Peladok, Kg. Rudang, Kg. Merabau, Kg. Kota Bongan, Kg. Tawadakan, Kg. Tamau, Kg. Pintasan, Kg. Kayu Putih, Kg. Nanamun, Kg. Rampayan Laut, Kg. Keguruan, dan Kg. Rampayan Ulu terletak dalam DUN Tempasuk. Bagi penempatan yang didiami secara campuran seperti Kg. Pandasan dan Kg. Sarang dalam DUN Tempasuk, bagi Kg. Tandu Watu dan Kg. Umpul ianya terletak dalam DUN Usukan.

Berdasarkan data-data tersebut menjelaskan bahawa peluang politik masyarakat Iranun adalah tipis dan tidak memiliki kekuatan serta keistimewaan seperti Bajau dan Dusun. Kawasan yang selesa untuk masyarakat Iranun tidak wujud dalam persempadanan pilihan raya. Pada tahun 1994, berlaku perubahan persempadanan pilihan raya, kawasan Iranun terlibat secara besar-besaran. Perkampungan seperti Kota Peladok dan Merabau dipindahkan ke kawasan DUN Tempasuk supaya lebih ramai orang Iranun di kawasan ini. Namun strategi ini tidak menguntungkan kuasa politik Iranun berbanding antara Bajau dan Dusun yang lebih majoriti di Usukan dan Kedamaian, di mana kuasa politik Bajau dan Dusun tidak dapat dicabar oleh suku kaum lain.

Oleh itu, berdasarkan beberapa siri pilihan raya di Kota Belud telah mencatatkan bahawa suku kaum Iranun  hanya berpeluang menjadi Wakil Rayat melalui pilihan raya di Usukan dan Tempasuk dalam tempoh yang tidak lama serta silih berganti antara Bajau, Suluk dan Iranun seperti yang tertera di bawah ini;


  1. Pada tahun 1983 - 1985, Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia, Wakil Rakyat DUN Usukan, dari Parti USNO dan pembangkang dari suku kaum Iranun.
  1. Pada tahun 1985 - 1990, Tun Datu Hj Mustapha Datu Harun, Wakil Rakyat DUN Usukan dari Parti USNO dari suku kaum Suluk dan selepas ini DUN Usukan tidak lagi menjadi rebutan antara Bajau dan Iranun.
  1. Pada tahun 1994 -  1999, Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia, Wakil Rakyat DUN Tempasuk dari Parti AKAR.
  1. Pada tahun 1999 - 2004, Datuk Hj Musbah Hj Jamli, Wakil Rakyat Parti UMNO dari suku kaum Bajau.
  1. Pada tahun 2004 - 2008, Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia, Wakil Rakyat DUN Tempasuk Parti UMNO dari suku kaum Iranun.
  1. Pada tahun 2008 - hinggalah kini, Datuk Hj Musbah Hj Jamli, DUN Tempasuk sebagai Wakil Rakyat.
Data Pilihan Raya 2008 bagi DUN Tempasuk, menunjukkan masyarakat Iranun telah memberikan undi kepada BN 1,820, manakala PKR 2,132. Angka ini telah merisaukan BN dan menjejaskan peluang untuk orang Iranun sebagai calon pada PRU13 yang lalu. Analisis ini turut mempengaruhi keputusan pusat untuk memilih orang Iranun sebagai calon BN pada pilihan raya 2013. Menjelang PRU14, apakah BN akan memberi peluang kepada orang Iranun dicalonkan dalam DUN Tempasuk nanti, namun orang Iranun lebih berpeluang dalam Pakatan Rakyat sebagaimana al-Fadhil Ust. Awang Laiman menjadi calon Pakatan Rakyat di DUN Tempasuk.

Justru itu kuasa politik Iranun tidak lagi menjadi ancaman kepada suku kaum lain sama ada Dusun dan Bajau. Dalam DUN Tempasuk itu sendiri tidak lagi wujud dominasi sesuatu kaum, bahkan kawasan ini lebih terbuka sifatnya kepada ketiga-tiga kaum tersebut dan paling mudah ialah apabila dua kaum bergabung, maka kaum yang satu pasti akan menerima padahnya.


Merujuk kepada data itu, maka ianya turut menjejaskan peluang orang Iranun untuk bersaing dengan masyarakat Bajau dan Dusun bagi DUN Tempasuk. Orang Iranun kehilangan peluang ini walaupun berdasarkan formula 2-1-1 yang pernah dicetuskan sebagai persefahaman kaum dengan harapan setiap kaum memiliki wakil rakyat di setiap DUN. Formula 2-1-1 bukan lagi menjadi tuntutan sosial atau undang-undang yang wajib dipatuhi, namun ianya hanya sebagai persefahaman sekiranya masih relevan.

Hakikatnya masyarakat Iranun tidak memiliki peluang seperti kaum Bajau dan Dusun. Beberapa pandangan menjelaskan bahawa suku kaum Iranun adalah ancaman kepada Barisan Nasional, atas alasan masyarakat ini lebih cenderung kepada parti pembangkang berdasarkan sokongan masyarakat Iranun terhadap PAS khususnya di Kg. Tamau. Walau bagaimana pun hujah ini tidak boleh dijadikan sebab utama untuk menidakkan DUN Tempasuk diberikan kepada kaum Iranun.

Selain itu, ada juga pandangan bahawa amalan politik perkauman dalam BN mestilah ditinggalkan dan boleh menjejaskan peluang BN untuk menang dengan mudah. Sesiapa sahaja yang menang dalam pilihanraya dia juga adalah wakil yang diterima semua kaum dan pada masa yang sama dapat memperkukuhkan proses asimilasi antara kaum demi untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

LinkWithin