Oleh kerana Iblis telah pun menerima hukuman awalnya sebagai golongan kafirun, maka adalah amat malang bagi Iblis sekiranya manusia tidak mendapat balasan seperti mana balasan yang dia terima iaitu terhumban ke dunia. Kerana apabila manusia berada di muka bumi, maka mudahlah bagi Iblis untuk melaksanakan misi utamanya iaitu menyesatkan manusia seperti mana dia memohon dan berjanji dengan Allah SWT agar diberi kebenaran untuk melakukan rencana awalnya.
Dendam Iblis ini sangat tinggi terhadap manusia, sedangkan Iblis hanya bertelingkah dengan Allah SWT berkaitan dengan kedudukan manusia. Namun Iblis menjadikan manusia adalah sasaran utamanya dan kenapa Iblis tidak menjadikan juga makhluk lain sebagai sasaran? Justeru Iblis bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia sesesat-sesatnya hinggakan Iblis tidak memberi peluang kepada manusia walau sesaat pun untuk bermunajat kepada Allah SWT dan juga menghalangi manusia daripada melakukan kebaikan. Tindakan nekad Iblis ini merupakan pengisytiharan perang besar-besaran yang amat dahsyat terhadap warga manusia yang diwartakan oleh Allah SWT sebagai ‘khalifah’ di muka bumi ini.
Melihat kepada peristiwa Nabi Adam a.s. ini mungkin timbul beberapa persoalan, apakah sebenar kerugian Iblis sekiranya ia menerima serta akur terhadap perintah Allah SWT supaya turut mengakui akan pemartabatan Allah SWT terhadap manusia sebagai khalifah di muka bumi ini? Apakah rasionalnya Iblis menentang Allah SWT dalam persoalan ini? Adakah Iblis tidak menyedari dengan siapa sebenarnya dia berkonfrantasi? Apakah kehebatan Iblis menentang perintah Allah SWT?
Sikap Iblis berkonfrantasi dengan Allah SWT dilihat sebagai kedegilan, kesombongan, keangkuhan serta kebodohan Iblis meledakkan gendang perangnya terhadap Allah SWT demi menghancurkan manusia yang ketika itu hanya akur kepada Allah rabbul jalil dengan sikap ‘sami’na waa a thana’ (kami dengar dan kami patuh) terhadapmu ya Allah. Tetapi Iblis tidak memusuhi makhluk-makhluk lain yang pada peringkat awalnya turut memprotes tentang perlantikan manusia sebagai khalifah, seperti Malaikat, Jin dan segala makhluk yang diciptakan oleh Alllah. Namun Iblis benar-benar menjadikan manusia adalah sasaran utama sebagai musuh. Dari itu Iblis akan memburu manusia dari segenap penjuru agar menjadi derhaka terhadap Allah SWT.