Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 kembali mewarnai gelanggang politik negeri seperti sebuah pesta perayaan penuh sorakan, perhimpunan besar, hiburan, warna-warni bendera serta gegak-gempita suara kempen. Di setiap daerah, dari pedalaman hingga ke bandar pesisir, suasananya seakan karnival sosial yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar, budaya dan generasi.
Namun di sebalik kemeriahan itu, persoalan lebih mendalam muncul: adakah pilihanraya ini sekadar pesta lima tahun sekali, atau platform memilih parti yang benar-benar mampu membawa perubahan kepada Sabah?
Pilihanraya sebagai pesta budaya politik yang diwarisi
Sabah sememangnya terkenal dengan budaya politik yang meriah. Ceramah politik menjadi seperti persembahan, bendera umpama dekorasi festival, dan kehadiran pemimpin besar menjadi acara yang ditunggu-tunggu.
Bagi sebahagian rakyat, pilihanraya adalah ruang bersosial, berjumpa pemimpin, menikmati hiburan, bahkan menerima pelbagai bentuk rangsangan politik. Politik menjadi sebuah ritual budaya, bukan sekadar proses demokrasi.
Tetapi apabila politik diperlakukan sebagai perayaan, risiko yang muncul ialah wujudnya kecenderungan untuk melihat calon sebagai selebriti, bukan pentadbir, menilai parti berdasarkan persepsi, bukan rekod, Dan memilih kerana emosi, bukan keperluan pembangunan.
Realiti Sabah negeri kaya, rakyat masih menanti pembaharuan
Walaupun pesta pilihanraya mengujakan, realiti Sabah tidak boleh disapu bawah karpet.
Masih banyak isu yang membelenggu negeri ini dan antaranya adalah ekonomi yang tidak setara antara bandar dan luar bandar, kebergantungan tinggi kepada hasil federal, infrastruktur asas yang belum tuntas, peluang pekerjaan anak muda yang terhad, isu tanah, kos sara hidup, dan ketidaktentuan politik yang semakin bercelaru serta tidak terarah sepenuhnya.
Rakyat Sabah wajar bertanya, jika setiap pilihanraya disambut seperti pesta, tetapi keadaan masih sama dan persoalannya “di mana silapnya?” soalan ini wajar dijawab secara tuntas dan bermakna agar undi yang dilakukan menepati tuntutan sebenar pilihanraya tersebut.
Pilihan kali ini perlu menjadi keputusan berasaskan masa depan
PRN ke-17 bukan sekadar pertandingan slogan atau kekuatan jentera atau siapa yang banyak bendera. Namun, sepatutnya menjadi detik rakyat menilai siapa yang mampu membawa perubahan sebenar, bukan sekadar menceriakan suasana kempen. Rakyat perlu melihat pertama rekod prestasi parti dalam menunaikan janji, kedua keupayaan calon sebagai pemimpin yang berintegriti, ketiga agenda pembangunan yang realistik, bukan retorik, keempat hubungan negeri dan persekutuan serta manfaatnya kepada Sabah Dan yang kelima adalah keupayaan membawa kestabilan politik jangka panjang.
Pilihan raya bukan hanya memilih siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa paling berkemampuan mengurus dan mentadbir dengan lebih baik serta berkesan.
Dari pesta ke perubahan menuju politik matang Sabah
Tidak salah menikmati kemeriahan pilihanraya, kerana itu sebahagian daripada budaya demokrasi yang subur dan memilih pemimpin serta parti yang mampu menggalas tanggungjawab kepada rakyat, tetapi pesta tidak boleh mengaburi tanggungjawab rakyat untuk memilih pemimpin yang mampu memulihkan dan mengangkat ekonomi negeri ini serta memperluaskan pembangunan, mampu menjaga kebajikan rakyat tanpa gagal dan Memastikan suara Sabah dihormati dalam persekutuan.
Sabah tidak memerlukan pesta yang berpanjangan yang mempamirkan seolah-olah pesta hiburan yang hanya menonjolkan watak-watak hipokrit yang akan hanya muncul lima tahun sekali dan selepas itu menghilangkan diri. Masalah ini yang seharusnya difikirkan oleh rakyat Sabah untuk memilih pemimpin yang sentiasa peduli kepada masalah rakyat. Sabah memerlukan kepimpinan yang bekerja selepas pentas, lampu dan lagu kempen berakhir.
Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 adalah cermin kepada kematangan rakyatnya. Sama ada ia kekal sebagai pesta meriah atau berubah menjadi platform memilih masa depan, keputusan itu berada di tangan rakyat sendiri. Apa yang rakyat mahu ialah pada akhirnya, perkara paling penting bukanlah warna bendera yang berkibar, tetapi arahan hati rakyat yang benar-benar mahukan perubahan demi masa depan Sabah yang lebih makmur, stabil dan bermaruah. Pilih pemimpin jangan salah memilih dengan memilih artis pemimpin iaitu pemimpin yang mahu kelihatan sebagai artis atau selebriti.
MHAW

No comments:
Post a Comment