Keputusan terkini Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil cukai negeri Sabah merupakan satu titik perubahan besar dalam sejarah hubungan antara negeri dan Persekutuan Malaysia. Langkah ini bukan sekadar keputusan perundangan, tetapi manifestasi kepada semangat keadilan, federalisme sejati dan penghormatan terhadap hak-hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Isu 40 peratus hasil cukai Sabah berpunca daripada Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa negeri Sabah berhak menerima semula sehingga 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di negeri itu. Namun, sejak beberapa dekad lalu, pelaksanaan peruntukan ini sering tertangguh dan menjadi bahan rundingan antara kerajaan negeri dan pusat. Kelewatan serta ketidakjelasan dalam pelaksanaan hak ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah yang merasakan hasil negeri tidak kembali kepada pembangunan tempatan dengan sewajarnya.
Selepas proses undang-undang yang panjang, mahkamah akhirnya memutuskan bahawa hak 40 peratus tersebut adalah sah dan perlu dihormati. Namun, timbul persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan akan merayu keputusan tersebut. Dalam mesyuarat kabinet terkini, kerajaan memutuskan untuk tidak merayu pokok keputusan itu — satu langkah berani yang disambut baik oleh rakyat Sabah serta pemerhati politik di seluruh negara.
Bermakna keputusan kabinet untuk tidak merayu membawa makna yang mendalam dari sudut politik, ekonomi dan hubungan antara kerajaan. Dari sudut politik, keputusan ini menggambarkan komitmen Perdana Menteri dan pentadbiran Madani untuk menghormati autonomi negeri Sabah serta menunaikan janji-janji reformasi institusi. Ia menjadi simbol bahawa era politik berasaskan dominasi pusat semakin beralih kepada politik kerjasama, konsultasi dan pengiktirafan hak negeri dalam semangat Malaysia Madani.
Dari sudut ekonomi, keputusan ini membuka lembaran baharu terhadap pembangunan mampan di Sabah. Pemulangan hasil cukai sebanyak 40 peratus mampu meningkatkan kemampuan fiskal kerajaan negeri untuk melaksanakan projek infrastruktur asas seperti jalan luar bandar, pendidikan, kesihatan, serta bekalan air dan elektrik. Sabah yang selama ini menjadi penyumbang utama hasil petroleum, kelapa sawit dan sumber asli negara akhirnya berpeluang menikmati pulangan ekonomi yang lebih adil.
Sementara itu, dari sudut perundangan dan perlembagaan, keputusan ini menzahirkan penghormatan kerajaan terhadap institusi kehakiman. Dengan tidak merayu keputusan mahkamah, kerajaan memperlihatkan bahawa proses undang-undang dihormati sepenuhnya, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Walaupun keputusan untuk tidak merayu merupakan kemenangan moral bagi Sabah, pelaksanaan hak tersebut memerlukan pendekatan yang teliti dan berstruktur. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dijangka akan mengadakan rundingan rasmi dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menentukan mekanisme pelaksanaan, jumlah sebenar, serta tempoh pembayaran. Pendekatan berasaskan rundingan ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak berusaha mencari jalan penyelesaian yang adil, berperlembagaan dan mampan.
Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa pelaksanaan tuntutan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan berpandukan kemampuan fiskal negara, supaya tidak menjejaskan kestabilan ekonomi Persekutuan. Dalam masa yang sama, rakyat Sabah mengharapkan agar dana yang diterima nanti digunakan secara telus dan berfokus kepada pembangunan rakyat luar bandar, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.
Apa yang jelas keputusan ini akan menjadi penanda aras baharu hubungan federalisme di Malaysia. Sabah kini dilihat bukan lagi sebagai penerima dasar, tetapi sebagai rakan setara dalam struktur negara bangsa. Keputusan tidak merayu ini memperkukuh semangat MA63 dan membuka ruang bagi negeri Sarawak menuntut keadilan yang sama. Dalam jangka panjang, langkah ini boleh memperkukuh perpaduan nasional, kerana ia membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan bersedia untuk mendengar suara rakyat di wilayah Borneo.
Pada keseluruhannya, keputusan kabinet untuk tidak merayu terhadap tuntutan 40 peratus hasil cukai Sabah bukan sekadar keputusan pentadbiran, tetapi satu pengiktirafan terhadap hak, maruah dan suara rakyat Sabah. Ia menandakan kematangan politik negara dalam menguruskan perbezaan wilayah secara adil dan inklusif. Dalam semangat Malaysia Madani, keputusan ini menjadi lambang kepada keadilan distributif dan pengukuhan semula kontrak sosial antara Sabah dan Persekutuan.
Sabah akhirnya berdiri bukan sekadar sebagai negeri dalam Persekutuan, tetapi sebagai rakan pembangunan yang dihormati, selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
I
Milus Hj Abd Wahab

No comments:
Post a Comment