Tanpa kita sedari, terdapat satu
gelombang yang telah melanda umat Islam yang mana gelombang itu mampu menggugat
akidah dan keimanan seorang muslim. Gelombang yang dimaksudkan itu ialah Al-Ghazwul Fiqh atau lebih dikenali sebagai
serangan pemikiran. Serangan pemikiran merupakan salah satu bentuk serangan
psikologi yang bersifat halus dan tidak melibatkan tindakan berbentuk fizikal
atau ketenteraan. Bagaimana serangan ini berjaya memasuki minda umat Islam?
Melalui ideologi-ideologi seperti ekstrimisme, sekularisme, plurisme dan
liberalisme. Siapakah yang bertanggungjawab dalam menyebarkan gelombang ini?
Sudah tentu dan pastinya golongan para orientalis barat yang sentiasa memusuhi
Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud,“Orang-orang
Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama
mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang
benar)”. dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah
pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan
penolong bagimu.”
Al-Ghazwul
Fiqh Satu Propaganda
Al-Ghazwul fiqh adalah satu
strategi yang telah dirancang dengan begitu sistematik untuk melumpuhkan
pemikiran serta memesongkan daya fikir umat Islam agar tunduk dengan sistem
atau cara hidup yang telah diciptakan oleh penjajah barat. Serangan pemikiran
juga merupakan satu propaganda yang dilakukan ke atas kebudayaan dan cara hidup
umat islam secara halus dan nyata. Serangan ini diterapkan dengan cukup ilmiah
agar cara hidup Islam yang berpaksikan Al-quran dan As-sunnah berubah mengikut
lojik akal semata-mata tanpa memerlukan seseorang itu keluar atau mengubah
agamanya malah terus kekal menjadi seorang Islam tetapi tidak lagi mempercayai
dan mengikuti ajaran agamanya yang sebenar, sebagai contohnya golongan
sekularisme. Gerakan sekularisme berskala
global berusaha keras memisahkan syariat Islam dari kehidupan umat Islam. Menurut
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam bukunya ‘Islam and Secularism’ telah memberikan definisi sekularisme
sebagai suatu fahaman yang bersifat anti-agama dan anti-Tuhan. Dalam peradaban
Barat moden, mereka akan memberikan penghormatan yang tinggi kepada kebendaan
dan mengenepikan prinsip ketuhanan. Ini bermakna peradaban Barat moden lebih
mementingkan unsur individualistik yang jadi amalan serta terus meresap dalam corak
kehidupan seharian, dan antaranya konsep materialistik yang lebih memberikan
tumpuan kepada usaha untuk menikmati kebendaan semata-matanya.
Pembinaan
Wahdatul Fiqh
Seperti yang diketahui, wahdatul fiqh adalah lambang kesatuan
ummah. Apa kaitannya dengan penyelesaian kepada kekeliruan yang berlaku?
Membina wahdatul fiqh adalah salah satu wahana bagi umat Islam membanteras atau
membentengi umat daripada serangan pemikiran. Hal ini kerana, musuh-musuh Islam
sentiasa berikhtiar dan mencari jalan untuk menghapuskan Islam. Teropong
sentiasa dibuka dan dihalakan kepada umat Islam untuk mencari jalan bagi
memusnahkan dan berusaha memecah belahkannya. Namun demikian, dengan akidah dan
iman yang teguh serta persiapan dari segi ilmu yang mantap, punya prinsip yang
kuat dan gerak dakwah yang berlandaskan Al-quran dan As-sunnah, dengan izin
Allah benteng yang dibina oleh umat Islam tidak mudah dihancurkan. Di Malaysia,
terdapat pelbagai gerakan Islamiyyah telah ditubuhkan dan setiap gerakan itu
mempunyai fahaman yang berbeza namun perbezaan fikrah bukanlah penghalang untuk
bersatu demi ummah kerana semua gerakan dakwah tidak lain dan tidak bukan misi
utama yang satu iaitu mendidik umat serta mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Kebergantungan
Terhadap Ilmu Barat
Namun, soal yang perlu ditanyakan
kepada diri kita sendiri ialah mengapakah dunia Islam terlalu bergantung pada
dunia barat untuk mencari ilmu, mempelajari sains, menciptakan teknologi
senjata bagi mempertahankan bumi Islam? Sepatutnya negara Islam meneliti dengan
lebih mendalam dan mencari jalan solusinya berdasarkan perintah Tuhan berhubung
dengan soal ilmu. Berbicara soal kewajipan menuntut ilmu dalam Islam, mengkaji
rahsia alam, sentiasa berfikir dan memajukan ummah melalui ilmu. Istilah
seperti “Islamisasi Ilmu” dalam Islam sering kita dengari, tetapi semua wacana
ini nampaknya tidak sampai ke peringkat pelaksanaan. Di peringkat amalan,
berbagai-bagai rintangan dan masalah yang timbul. Sayangnya, kepentingan
politik, perselisihan mazhab dan pertentangan antara ulama dengan golongan
pemikir dan ahli sains “sekular” sering menyebabkan teori dan idealisme tentang
kerangka ilmu Islamiah itu tinggal di atas kertas sahaja. Peradaban barat telah
masuk ke fikiran umat Islam sehingga terlintas dalam minda manusia sekiranya
ingin melihat dunia Islam maju kehadapan harus menyerap segala epistemologi
barat ke dalam sistem pendidikan negara. Apa yang malangnya ada juga
berpendapat menggunakan Al-quran dan As-sunnah sebagai rujukan tidak sesuai
dengan peredaran zaman dan terlalu lapuk. Bukankah Al-quran itu penuh dengan
ilmu pengetahuan tidak kira ilmu sains, ekonomi, politik dan ilmu yang berkait
rapat dengan kehidupan seharian manusia. Kenapa terlalu bergantung dengan ilmu
dari dunia barat? Kegemilangan dunia Islam yang telah berjaya menawan tiga per
empat dunia suatu ketika dahulu kerana penghayatan dan pemahaman terhadap
Al-quran sebagai sumber rujukan untuk menekuni pelbagai ilmu pengetahuan.
Segala teori dan falsafah yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam
terdahulu adalah hanya bersumberkan kitabullah dan ilmu-ilmu itu diambil oleh
orang-orang barat lalu dievolusikan seolah-olah teori dan falsafah itu ditemui
oleh mereka. Dalam proses pembentukan wahdatul fiqh, umat Islam boleh mengambil
disiplin ilmu barat untuk diadunkan dengan disiplin ilmu Islam dan adalah tidak
menjadi masalah tetapi sebaik-baiknya ilmu itu perlu diislamisasikan dengan
ilmu-ilmu Islam agar tidak berlaku kontra yang mengelirukan. Umat Islam perlu
sentiasa mengkaji mana-mana ilmu yang boleh dicontohi atau yang perlu ketepikan
yang tidak boleh diamalkan kerana bersumberkan ilmu daripada peradaban barat yang
terlalu menekankan nilai-nilai materialistik dan boleh merosakkan gaya hidup
umat Islam. Selain itu, konsep westernization
yang berpaksikan kebendaan boleh mempengaruhi pola pemikiran umat Islam dan
akan berlaku ketidak sefahaman dalam isu yang berkait rapat dengan ilmu.
Mengapa perlu mengagungkan para ilmuwan dari dunia barat sedangkan dunia Islam
juga mempunyai ahli falfasah, cendekiawan dan golongan ilmuwan pakar dalam ilmu sains, ekonomi dan politik
yang boleh dijadikan rujukan.
Menepis
Serangan Pemikiran
Kebergantungan dengan dunia barat
juga adalah salah satu punca serangan pemikiran berjaya menjajah di minda umat
Islam dan agak keterlaluan bila mana segalanya datang dari barat dan diterima
tanpa ada penapisan. Segala ilmu-ilmu dari barat dianggap baik sehingga yang
buruk juga dibenarkan, sebagai contoh liberalisme adalah fahaman yang
membenarkan apa sahaja, meraihkan kepelbagaian budaya sehingga lupa ada
sebahagian budaya bertentangan dengan akidah Islam dan mampu menggugat
pemikiran dan keimanan seseorang. Tanpa disedari, penyebaran ilmu barat adalah
salah satu saluran buat golongan orientalis untuk memperluaskan lagi pengaruh
mereka agar berjaya masuk dalam pemikiran orang Islam secara perlahan-lahan.
Terdapat institusi dahulu yang cenderung dalam membentengi serangan pemikiran.
Penubuhan International Institute of
Islamic Thought and Civilization (ISTAC)
merupakan institusi penyelidikan dan pengajian pasca sarjana yang
diasaskan oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 27 Februari
1987 dan objektif ditubuhkan adalah untuk melahirkan sarjana atau cendekiawan
Islam mengikut acuan serta pandangan sisi Islam. ISTAC suatu ketika dulu
merupakan institusi yang aktif dalam melakukan kajian dan penelitian mengenai
Pemikiran dan Peradaban Islam serta memberikan respon yang kritis terhadap
Peradaban Barat.
Kesimpulan
Intipesannya, berhati-hati dalam
menerima pemikiran baru yang bisa menggugatkan akidah dan keimanan terutamanya
generasi muda. Hal ini kerana, generasi muda sangat senang dipengaruhi dengan
tawaran-tawaran manis yang dijelmakan dalam budaya kuning dan juga sikap mudah
terikut-ikut dengan peradaban barat dari segi pemakaian, bahasa, tingkah laku
dan semestinya pemikiran.
oleh
Nurul 'Ain Alwani Milus