Pages

Sunday, March 12, 2017

PEMBARATAN SATU ANCAMAN PEMIKIRAN

Tanpa kita sedari, terdapat satu gelombang yang telah melanda umat Islam yang mana gelombang itu mampu menggugat akidah dan keimanan seorang muslim. Gelombang yang dimaksudkan itu ialah Al-Ghazwul Fiqh atau lebih dikenali sebagai serangan pemikiran. Serangan pemikiran merupakan salah satu bentuk serangan psikologi yang bersifat halus dan tidak melibatkan tindakan berbentuk fizikal atau ketenteraan. Bagaimana serangan ini berjaya memasuki minda umat Islam? Melalui ideologi-ideologi seperti ekstrimisme, sekularisme, plurisme dan liberalisme. Siapakah yang bertanggungjawab dalam menyebarkan gelombang ini? Sudah tentu dan pastinya golongan para orientalis barat yang sentiasa memusuhi Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud,“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah  itulah petunjuk (yang benar)”. dan Sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah  tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Al-Ghazwul Fiqh Satu Propaganda

Al-Ghazwul fiqh adalah satu strategi yang telah dirancang dengan begitu sistematik untuk melumpuhkan pemikiran serta memesongkan daya fikir umat Islam agar tunduk dengan sistem atau cara hidup yang telah diciptakan oleh penjajah barat. Serangan pemikiran juga merupakan satu propaganda yang dilakukan ke atas kebudayaan dan cara hidup umat islam secara halus dan nyata. Serangan ini diterapkan dengan cukup ilmiah agar cara hidup Islam yang berpaksikan Al-quran dan As-sunnah berubah mengikut lojik akal semata-mata tanpa memerlukan seseorang itu keluar atau mengubah agamanya malah terus kekal menjadi seorang Islam tetapi tidak lagi mempercayai dan mengikuti ajaran agamanya yang sebenar, sebagai contohnya golongan sekularisme. Gerakan sekularisme berskala global berusaha keras memisahkan syariat Islam dari kehidupan umat Islam. Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam bukunya ‘Islam and Secularism’ telah memberikan definisi sekularisme sebagai suatu fahaman yang bersifat anti-agama dan anti-Tuhan. Dalam peradaban Barat moden, mereka akan memberikan penghormatan yang tinggi kepada kebendaan dan mengenepikan prinsip ketuhanan. Ini bermakna peradaban Barat moden lebih mementingkan unsur individualistik yang jadi amalan serta terus meresap dalam corak kehidupan seharian, dan antaranya konsep materialistik yang lebih memberikan tumpuan kepada usaha untuk menikmati kebendaan semata-matanya.

Pembinaan Wahdatul Fiqh

Seperti yang diketahui, wahdatul fiqh adalah lambang kesatuan ummah. Apa kaitannya dengan penyelesaian kepada kekeliruan yang berlaku? Membina wahdatul fiqh adalah salah satu wahana bagi umat Islam membanteras atau membentengi umat daripada serangan pemikiran. Hal ini kerana, musuh-musuh Islam sentiasa berikhtiar dan mencari jalan untuk menghapuskan Islam. Teropong sentiasa dibuka dan dihalakan kepada umat Islam untuk mencari jalan bagi memusnahkan dan berusaha memecah belahkannya. Namun demikian, dengan akidah dan iman yang teguh serta persiapan dari segi ilmu yang mantap, punya prinsip yang kuat dan gerak dakwah yang berlandaskan Al-quran dan As-sunnah, dengan izin Allah benteng yang dibina oleh umat Islam tidak mudah dihancurkan. Di Malaysia, terdapat pelbagai gerakan Islamiyyah telah ditubuhkan dan setiap gerakan itu mempunyai fahaman yang berbeza namun perbezaan fikrah bukanlah penghalang untuk bersatu demi ummah kerana semua gerakan dakwah tidak lain dan tidak bukan misi utama yang satu iaitu mendidik umat serta mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Kebergantungan Terhadap Ilmu Barat

Namun, soal yang perlu ditanyakan kepada diri kita sendiri ialah mengapakah dunia Islam terlalu bergantung pada dunia barat untuk mencari ilmu, mempelajari sains, menciptakan teknologi senjata bagi mempertahankan bumi Islam? Sepatutnya negara Islam meneliti dengan lebih mendalam dan mencari jalan solusinya berdasarkan perintah Tuhan berhubung dengan soal ilmu. Berbicara soal kewajipan menuntut ilmu dalam Islam, mengkaji rahsia alam, sentiasa berfikir dan memajukan ummah melalui ilmu. Istilah seperti “Islamisasi Ilmu” dalam Islam sering kita dengari, tetapi semua wacana ini nampaknya tidak sampai ke peringkat pelaksanaan. Di peringkat amalan, berbagai-bagai rintangan dan masalah yang timbul. Sayangnya, kepentingan politik, perselisihan mazhab dan pertentangan antara ulama dengan golongan pemikir dan ahli sains “sekular” sering menyebabkan teori dan idealisme tentang kerangka ilmu Islamiah itu tinggal di atas kertas sahaja. Peradaban barat telah masuk ke fikiran umat Islam sehingga terlintas dalam minda manusia sekiranya ingin melihat dunia Islam maju kehadapan harus menyerap segala epistemologi barat ke dalam sistem pendidikan negara. Apa yang malangnya ada juga berpendapat menggunakan Al-quran dan As-sunnah sebagai rujukan tidak sesuai dengan peredaran zaman dan terlalu lapuk. Bukankah Al-quran itu penuh dengan ilmu pengetahuan tidak kira ilmu sains, ekonomi, politik dan ilmu yang berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia. Kenapa terlalu bergantung dengan ilmu dari dunia barat? Kegemilangan dunia Islam yang telah berjaya menawan tiga per empat dunia suatu ketika dahulu kerana penghayatan dan pemahaman terhadap Al-quran sebagai sumber rujukan untuk menekuni pelbagai ilmu pengetahuan. Segala teori dan falsafah yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu adalah hanya bersumberkan kitabullah dan ilmu-ilmu itu diambil oleh orang-orang barat lalu dievolusikan seolah-olah teori dan falsafah itu ditemui oleh mereka. Dalam proses pembentukan wahdatul fiqh, umat Islam boleh mengambil disiplin ilmu barat untuk diadunkan dengan disiplin ilmu Islam dan adalah tidak menjadi masalah tetapi sebaik-baiknya ilmu itu perlu diislamisasikan dengan ilmu-ilmu Islam agar tidak berlaku kontra yang mengelirukan. Umat Islam perlu sentiasa mengkaji mana-mana ilmu yang boleh dicontohi atau yang perlu ketepikan yang tidak boleh diamalkan kerana bersumberkan ilmu daripada peradaban barat yang terlalu menekankan nilai-nilai materialistik dan boleh merosakkan gaya hidup umat Islam. Selain itu, konsep westernization yang berpaksikan kebendaan boleh mempengaruhi pola pemikiran umat Islam dan akan berlaku ketidak sefahaman dalam isu yang berkait rapat dengan ilmu. Mengapa perlu mengagungkan para ilmuwan dari dunia barat sedangkan dunia Islam juga mempunyai ahli falfasah, cendekiawan dan golongan ilmuwan  pakar dalam ilmu sains, ekonomi dan politik yang boleh dijadikan rujukan.

Menepis Serangan Pemikiran

Kebergantungan dengan dunia barat juga adalah salah satu punca serangan pemikiran berjaya menjajah di minda umat Islam dan agak keterlaluan bila mana segalanya datang dari barat dan diterima tanpa ada penapisan. Segala ilmu-ilmu dari barat dianggap baik sehingga yang buruk juga dibenarkan, sebagai contoh liberalisme adalah fahaman yang membenarkan apa sahaja, meraihkan kepelbagaian budaya sehingga lupa ada sebahagian budaya bertentangan dengan akidah Islam dan mampu menggugat pemikiran dan keimanan seseorang. Tanpa disedari, penyebaran ilmu barat adalah salah satu saluran buat golongan orientalis untuk memperluaskan lagi pengaruh mereka agar berjaya masuk dalam pemikiran orang Islam secara perlahan-lahan. Terdapat institusi dahulu yang cenderung dalam membentengi serangan pemikiran. Penubuhan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC)  merupakan institusi penyelidikan dan pengajian pasca sarjana yang diasaskan oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada 27 Februari 1987 dan objektif ditubuhkan adalah untuk melahirkan sarjana atau cendekiawan Islam mengikut acuan serta pandangan sisi Islam. ISTAC suatu ketika dulu merupakan institusi yang aktif dalam melakukan kajian dan penelitian mengenai Pemikiran dan Peradaban Islam serta memberikan respon yang kritis terhadap Peradaban Barat.

Kesimpulan

Intipesannya, berhati-hati dalam menerima pemikiran baru yang bisa menggugatkan akidah dan keimanan terutamanya generasi muda. Hal ini kerana, generasi muda sangat senang dipengaruhi dengan tawaran-tawaran manis yang dijelmakan dalam budaya kuning dan juga sikap mudah terikut-ikut dengan peradaban barat dari segi pemakaian, bahasa, tingkah laku dan semestinya pemikiran.

oleh
Nurul 'Ain Alwani Milus


Sunday, February 26, 2017

MENARA GADING PUSAT GOLONGAN INTELEKTUAL


Menjadi mahasiswa adalah satu penghormatan tetapi menjadi mahasiswa juga adalah satu tanggungjawab . Mahasiswa mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas. Perkataan mahasiswa, terdiri daripada 2 kata iaitu maha yang bererti besar dan siswa yang bererti orang yang sedang melakukan pembelajaran. Menurut Suwono (1978), mahasiswa merupakan golongan intelektual atau cendekiawan muda dalam suatu lapisan masyarakat yang seringkali terikat dengan pelbagai syarat. Peringkat paling tinggi yang dimaksudkan adalah menara gading. Maksud penggunaan simpulan bahasa ‘menara gading’ adalah merujuk kepada universiti atau lebih dikenali sebagai institusi pengajian tinggi. Bila sahaja mendengar perkataan tersebut semestinya pandangan dan ekspektasi adalah masyarakat tinggi dan sudah tentu yang menuntut di menara gading tidak kurang juga dipandang sebagai golongan ilmuwan. Universiti adalah institusi yang diangkat tinggi oleh masyarakat di luar lingkungannya punya tarikan istimewa yang menjadikan sesiapa sahaja memiliki impian untuk menjadi warganya.

Malang sekali, menara gading kini tidak lagi dianggap sebagai pusat melahirkan ahli falsafah dan para pemikir kerana timbulnya persoalan daripada pihak luar yang menyatakan kejayaan tidak semestinya diperolehi dalam universiti. Sekiranya semua orang berfikir sedemikian, bagaimana untuk kita merealisasikan harapan negara untuk melahirkan lebih ramai golongan intelektual? Masyarakat seharusnya sedar situasi mahasiswa kini yang menggambarkan kelesuan bukanlah satu cerita rekaan. Malaysia sekarang daif dengan anak muda yang mempunyai kecerdasan intelektual atau tenaga berfikir yang berani dan kritis. Melahirkan cendekiawan muda yang bermutu tidak semudah yang disangka kerana pelbagai pengaruh luar dan dalam yang dihadapi oleh seorang mahasiswa. Berada di peringkat menara gading, setiap individu seharusnya bijak menilai baik dan buruk sesuatu perkara sebelum bertindak melakukannya serta perlu ada ketegasan dalam menjaga martabat diri.

Dalam buku yang berjudul ‘Imbasan’ hasil penulisan Hassan Ahmad, telah dinyatakan ilmu dianggap sebagai disiplin akademik, sebagai sesuatu yang elitis dan serius. Ternyata dengan ilmu, mahasiswa boleh mengetahui dan memahami ilmu secara global atau secara menyeluruh untuk membolehkan mahasiswa merenung kembali tentang hakikat hidup sebenar dan mengikuti perkembangan yang berlaku di persekitarannya untuk membina pandangan hidup yang luas dan menghindari diri daripada mangsa kejahilan dan kepalsuan atau putar belit maklumat yang kerap berlaku, bukan sahaja melalui media massa, malah juga dalam beberapa banyak buku yang dikatakan berasaskan ilmu. Tambahan pula, dalam agama Islam, setiap seorang muslim adalah diwajibkan menuntut ilmu yang tidak hanya terbatas pada ilmu akhirat saja tetapi juga tentang keduniaan. Tujuan diwajibkannya menuntut ilmu dalam Islam tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melahirkan umat yang cerdas serta jauh dari kejahilan atau kebodohan.

Pada era globalisasi ini, wajarlah anak muda memfokuskan minda ke arah pembangunan diri dan negara kerana usia muda adalah proses merekayasa generasi intelektual pada masa hadapan. Negara kini kekurangan anak muda yang aktif melibatkan diri dalam gerakan mahasiswa. Tidak kurang juga yang membudayakan ilmu dalam kampus adalah amat tidak memberansangkan. Sehubungan dengan itu, salah satu langkah menangani masalah ini maka sebuah gerakan mahasiswa  iaitu Siswazah Muda ABIM Sabah atau lebih dikenali sebagai SISMA telah menganjurkan program Perkampungan Menara Gading Sabah setiap tahun dengan kerjasama daripada pihak-pihak tertentu. Hasrat ini dilaksanakan dengan meletakkan tradisi pembentukan bangsa yang mapan dan pembinaan tamadun yang tinggi. Tambahan pula, program ini bertujuan membantu mendedahkan para pelajar tentang kehidupan di kampus serta memupuk sahsiah yang tinggi dengan memiliki matlamat yang jelas dan mampu untuk membangunkan diri, keluarga dan negara berlandaskan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul. Melalui medium ini, SISMA juga berusaha mengubah paradigma para pelajar ke arah yang lebih positif seiring dengan arus pembangunan dan perkembangan intelektual pada hari ini serta menyemai intelektualisme bagi membudayakan ilmu dalam setiap tindakan dan perancangan untuk menghadapi zaman cabaran yang berada di hadapan.

Untuk pengetahuan semua, Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah ABIM Sabah dan merupakan sayap kanan ABIM Sabah di mana SISMA banyak menumpukan kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi dan para siswazah. Biro ini ditubuh khas bagi mengumpulkan lapisan generasi muda ABIM yang terdiri daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi di IPT mahu pun yang masih menuntut dan yang telah tamat pengajian untuk berpartisipasi secara aktif dan serius dalam aktiviti-aktiviti belia. Gerakan ini ditubuhkan khusus untuk melatih dan melahirkan siswazah muda Islam yang dinamik yang mampu menyumbangkan tenaga dalam usaha-usaha dakwah dan kebajikan dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda di Sabah. SISMA juga berperanan melahirkan intelektual-intelektual muda yang dapat menyumbang kepada pembangunan ummah dan menyokong serta mendokong ABIM untuk membina Khayra Ummah.

Tegasnya, mahasiswa harus mengubah pola pemikiran terhadap IPT serta mengubah tanggapan masyarakat dan menjadikan institusi pendidikan sebagai medan melahirkan golongan pemikir muda yang membudayakan ilmu dalam kampus. Ketahuilah bahawa menjadi mahasiswa mempunyai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas kerana mahasiswa adalah agent of change kepada pembangunan negara.


Lampiran

Bibliophilia adalah salah satu platform untuk SISMA membudayakan ilmu.









Barisan penggerak Perkampungan Menara Gading Sabah 2017.




Oleh 
Nurul 'Ain Alwani Milus