SEJARAH

SEJARAH

Wednesday, June 17, 2020

PERANG DALAM MASYARAKAT IRANUN




Orang Iranun mula terlibat dalam peperangan ini sejak Sepanyol menduduki Filipina. Kerajaan Melayu Islam di pulau Luzon yang terakhir adalah di bawah pemerintahan oleh Sultan Sulaiman III dan jatuh kepada Sepanyol pada 19 Mei 1571. Lopez de Legazpi adalah ketua tentera yang menyerang kerajaan Sultan Sulaiman III. Keterlibatan Iranun dalam peperangan ini disebabkan pendudukan Sepanyol ke atas Filipina dan Sepanyol mula melebarkan pengaruhnya ke beberapa kepulauan lain seperti Mindanao dan Sulu. Maka itu, orang Iranun telah berusaha mengekang penjajahan Sepanyol ke atas pulau Mindanao yang majoriti penduduknya adalah orang Iranun.

            Artikel pendek ini cuba meninjau secara ringkas strategi perang yang diamalkan oleh Iranun ketika berhadapan dalam beberapa pertembungan dengan pihak penajajah Barat. Meneliti beberapa siri pertempuran yang melibatkan orang Iranun banyak rahsia yang tersembunyi berkaitan Iranun dan peperangan. Kenapa pihak Barat menggelar orang Iranun sebagai ‘lanun’? Bagaimana istilah ini muncul?, tentu ada sesuatu perkara yang menarik hingga menyebabkan pihak Barat melebalkan mereka sedemikian.

Dalam setiap peperangan orang Iranun juga mempunyai kaedah-kaedah yang amat sesuai dengan persekitaran mereka. Persekitaran orang Iranun ini banyak dipengaruhi oleh laut, di mana laut itu sendiri menjadi lambang kemegahan orang Iranun sebagai sumber ekonomi utama selain sebagai petani. Orang Iranun adalah antara bangsa yang mengasimilasikan diri dengan laut, selain bangsa Balanini, Bugis, Suluk, Bajau dan lain-lain bangsa.

Antara strategi orang Iranun dalam peperangan adalah;

1.      Serang hendap
a.    menyerang lawan dalam keadaan tidak bersedia, di mana pihak lawan dalam keadaan tidak menyedari kehadiran penyerang atau tidak menjangkakan serangan dibuat secara mengejut.

b.  tujuan teknik ini digunakan adalah untuk menjadikan pihak lawan rasa terkejut dan kelam kabut, di samping pihak lawan rasa panik dan segala persediaan tidak terurus dengan lebih teratur.

c.   strategi ini digunakan semasa serangan ke atas Syarikat Hindia Timur Inggeris oleh Datu Tating bersama orang-orang Iranun pada tahun 1775 di Pulau Balambangan.

d.     serangan ke atas Belanda di Tajung Pinang Riau johor pada tahun 1787 yang diketuai oleh Raja Ismail. Dalam dua serangan ini mereka berjaya mengalahkan pihak lawan.

e.   serangan Datu Mamuda, Mat Sator dan Kamunta ke atas Syarikat Berpiagam Utara Borneo (SBUB) di Kudat pada tahun 1903.

f.   serangan Iranun ke atas kapal H.M.S Samarang yang diketuai oleh Captain Sir Edward Belcher pada 3 Jun 1844 di pulau Jilolo (Halmaehira) iaitu salah satu kepulauan Spice.

g.      selalunya teknik ini dilakukan pada waktu malam,

2.      Sistem bertahan

a.    teknik ini digunakan dengan harapan mereka dapat mengawal situasi perang tersebut, namun mereka gagal bertahan dengan keadaan perang yang banyak memihak kepada lawan serta memakan masa yang lama, di mana situasi perang ini memerlukan kelengkapan senjata serta bekalan makanan yang mencukupi, namun mereka gagal bertahan dengan keadaan perang ini, di mana mereka menghadapi risiko yang tinggi antaranya;

                                                              i.      kelengkapan persenjataan berbanding pihak lawan

                                                      ii.      bilangan tentera yang tidak ramai berbanding pihak lawan, apabila korban tentera ramai di pihak Iranun maka pihak lawan dengan mudah dapat mengalahkan mereka.

                                                            iii.      jenis senjata yang digunakan, orang Iranun banyak menggunakan peralatan yang jarak dekat seperti bangkau, keris, karundaan, parang, sundang, bangkung dan yang boleh digunakan ketika bertarung secara dekat. Mereka juga memiliki senjata ‘laila’ atau dikenali sebagai ‘meriam laila’.

                                                       iv.      mereka tidak memiliki senjata seperti pihak lawan, di mana  pihak barat pada masa itu sudah menggunakan senapang dan meriam yang jauh lebih canggih berbanding orang Iranun.

b.   Membuat kubu - Strategi ini digunakan ketika perang di Teluk Marudu pada tahun 1845, di mana orang Iranun serta Bajau dan Suluk yang diketuai oleh Syarif Uthman mempertahankan Teluk Marudu daripada serangan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Syarif Uthman dan pengikutnya membina kubu di Teluk Marudu bagi melindungi pengikutnya serta masyarakat di Teluk Marudu. Dalam peperangan ini mereka telah dikalahkan oleh British. Selain itu, mereka juga turut kalah dalam perang Pandasan pada tahun 1915 yang diketuai oleh Syarif Ali, di mana mereka juga membina kubu di sebuah bukit yang melindungi perkampungan Pandasan.

3.      Penggunaan ilmu batin.

Orang Iranun juga tidak terkecuali dalam hal-hal kebatinan ini, mereka menggunakan kebatinan sebagai pendinding terhadap diri sendiri, antara ilmu yang digunakan adalah ‘ilmu kubela’, ‘ilmu pulias’ dan ‘ilmu palimun’ . Ilmu kubela (ilmu kebal) ini menjadikan para pejuang Iranun tidak gentar berhadapan dengan kecanggihan senjata musuh pada masa itu. Para pahlawan Iranun dengan gagah dan berani memasuki kawasan musuh tanpa rasa takut. Selain itu,  ilmu pulias juga adalah ilmu penting yang menepis senjata musuh daripada menuju sasarannya terutama di badan, kubu dan kapal. Manakala ilmu palimun adalah ilmu yang menjadikan musuh tidak nampak sasaran sebenar, musuh akan keliru kerana sasaran sebenar sukar ditemui.

4.      Ilmu persilatan.

Ilmu mempertahankan diri merupakan salah satu syarat dalam peperangan yang mesti dimiliki oleh para pahlawan, namun tidak semua memiliki kecekapan yang sama ketika berhadapan dengan musuh. Ilmu persilatan ini digunakan ketika pertarungan dalam jarak dekat dan antara ilmu persilatan yang dekat dengan masyarakat Iranun ialah ‘Silat Betawi dan Silat Sepering’.

Namun begitu, banyak perang di laut yang berlaku dan sebahagian besarnya memihak kepada orang Iranun, pertempuran laut amat sinonim dengan kepakaran orang Iranun yang sudah terkenal dengan kebolehupayaan mereka mengeksplotasikan laut. Oleh kerana kepakaran mereka di laut amat dikagumi oleh Barat, maka pihak barat memanggil orang Iranun sebagai raja di laut dan selepas itu Barat melebalkan orang Iranun sebagai ‘pirate’ atau lanun, dan gelaran ini melekat kepada orang Iranun sempena nama bangsa itu adalah Illanun atau Iranun lalu disinonimkan dengan istilah ‘lanun’.

Maknanya kegiatan menyerang kapal-kapal Barat serta beberapa kedudukan mereka di kepulauan Melayu banyak dilakukan oleh orang Iranun, contohnya: bila ditanya ‘siapa yang menyerang itu? lalu dijawab, ‘orang-orang Illanun yang menyerang’. Oleh kerana kekerapan orang Iranun mengancam kedudukan Barat di kepulauan Melayu ini amat mengganggu aktiviti perniagaan, maka gelaran atau status dan istilah ‘lanun’ itu telah menjadi sebutan para peniaga yang berniaga di beberapa kepulauan Melayu. Sedangkan orang Iranun tidak juga mengganggu para pedagang lain yang berasal dari kepulauan Melayu.

Hakikatnya orang Iranun menentang Barat kerana perebutan kawasan perdagangan, di mana pihak Barat ingin menguasai sepenuhnya perdagangan di kepulauan Melayu, disebabkan tindakan Barat ini telah menjejaskan ruang perniagaan untuk mendapatkan bekalan, maka orang Iranun sering menyerang kapal-kapal Barat yang telah menguasai beberapa pelabuhan di kepuluan Melayu dalam abad ke 17 dan abad ke 18. Pada masa ini pihak Barat secara terancang meluaskan lagi jajahan mereka ke atas negeri-negeri di kepulauan Melayu terutama negeri-negeri yang memiliki sumber ekonomi yang menguntungkan pihak Barat.

LinkWithin