SEJARAH

SEJARAH

Saturday, July 24, 2010

BELIA DAN BUDAYA ILMU

Jiwa belia Islam hari ini jauh berbeza dengan jiwa belia ketika zaman kegemilangan Islam, dewasa ini belia amat cenderung jiwanya terhadap budaya yang lebih bersifat hiburan berbanding majlis keilmuan. Kecenderungan ini dapat dilihat apabila majlis-majlis ilmuan jarang sekali dihadiri oleh para belia, bahkan mereka lebih suka berada di pusat-pusat beli-belah hanya semata-mata melayani jiwa membuang masa.

Perkara ini amat membimbangkan dan menggerunkan kita terutama ahli masyarakat serta ibu bapa yang amat prihatin terhadap gejala sosial yang melanda belia hari ini. Saban hari sama di media cetak atau elektronik ada sahaja kes-kes yang membabitkan belia. Hubungan luar nikah banyak berlaku dalam kalangan belia yang akhirnya melahirkan anak-anak luar nikah yang begitu menggerunkan dan kesannya ramai bayi yang dibuang di merata tempat, di mana tindakan ini tidak lagi menjadi kesalahan besar dalam kalangan para belia.

Di sinilah kekuatan ilmu untuk mendidik para belia kini memahami dan menghargai nilai kehidupan sebagai insan yang dijadikan oleh Allah SWT. Apabila para belia memiliki kekuatan ilmu, kejadian-kejadian seumpama ini pasti tidak berlaku. Para belia kurang mendapat pendedahan yang kuat tentang hidup beragama. Ilmu yang mereka miliki tidak mampu menangkis godaan dan tarikan kehidupan yang menyeronokan. Tanpa ilmu yang utuh dan kukuh serta pengamalan dan penghayatan sepenuh keimanan, maka belia-belia ini akan sentiasa terdedah kepada kemungkaran dan kemaksiatan.

Sepatutnya tradisi keilmuan yang telah mengangkat martabat umat Islam perlu diperkukuhkan serta dirancang dengan penuh teliti agar ianya kelihatan lebih menarik. Contohnya 'Sehari bersama Tokoh Ilmuan', di mana dalam program itu disediakan cabutan-cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik yang mensasarkan kepada citarasa belia yang berlandaskan Islam. Seperti hadiah buku-buku ilmiah, pakaian (wanita/lelaki Islam), pakej-pakej Umrah atau sebagainya.

Menggabungkan program keilmuan selaras dengan jiwa belia amat perlu, seperti perkhemahan beliawanis dalam kalangan wanita Islam dengan pengisian yang menjurus kepada mencintai ilmu, begitu juga dengan belia lelaki sesama mereka. Perkhemahan mestilah dilakukan secara berasingan. Secara tidak langsung kita mendidik belia-belia kita menjauhi perkara kemaksiatan dan dapat mengelak percampuran antara lelaki dan perempuan.

Belia merupakan aset utama terhadap kelangsungan masa depan umat ini, andainya kita gagal memberikan mereka pendidikan yang sempurna selaras dengan tuntutan Islam, maka kerosakan pasti akan terjadi. Ilmu adalah asas utama sebagai kekuatan umat dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Majlis-majlis ilmu masa kini tidak lagi menjadi kegilaan dalam kalangan belia, bahkan hiburan lebih menarik mereka untuk hadir dan menyebabkan mereka lalai dan terbuai dengan suasana tersebut. Ilmu berupaya menjadikan para belia lebih cemerlang dalam segenap kehidupan serta boleh melahirkan generasi yang dapat dipertanggungjawabkan tentang masa depan umat ini.

Kekerapan mengadakan seminar dan wacana amat signifikan dengan jiwa belia yang membawa kepada pembinaan akliyah yang mantap. Budaya ilmu juga boleh membina adab serta akhlak mulia dalam kalangan belia yang Islamik. Tokoh-tokoh ilmuan harus bersifat pemurah dengan ilmu yang mereka miliki, jangan meletakkan majlis ilmu itu dengan harga yang mahal kerana para belia tidak berupaya hadir kerana yuran penyertaan yang mahal. Biarlah ilmu yang dimiliki itu dapat dikembangkan serta direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Pengabaian terhadap rencana kehidupan berilmu amat besar implikasinya dalam masyarakat. Oleh itu, belia dan budaya ilmu hendaklah selari dan selaras dengan pembangunan negara serta menjadi aspirasi setiap warga sama ada pemimpin atau tokoh-tokoh ilmuan. Lihatlah pengalaman Islam lampau, di mana kekuatan mereka kerana ilmu yang dimiliki oleh masyarakatnya. Iraq suatu masa merupakan pusat keilmuan yang menggerunkan dunia barat. Mereka mencemburui kekuatan ilmu yang dimiliki oleh dunia Islam, dan akhirnya mereka akur dan terus menerokai alam pemikiran tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ibn Khaldun, al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Arabi, Ibn Sina dan ramai lagi yang telah menjadikan barat lebih membangun dan maju dalam pelbagai disiplin keilmuan.

Monday, July 5, 2010

KUASA TEMPATAN DI TEMPASUK (1781-1879)


Tempasuk mempunyai sejarah silam yang amat terpenting di Nusantara pada suatu ketika dahulu. Nama Tempasuk amat terkenal dalam kalangan kerajaan-kerajaan yang wujud di Nusantara seperti kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Johor Riau, Kedah, Brunei, Sulu dan beberapa kerajaan yang wujud pada seawal abad ke-15 dan hinggalah ketika kedatangan kuasa barat seawal tahun 1500-an, iaitu Portugis, Belanda, Inggeris, dan Sepanyol.


Kemunculan Tempasuk sekitar tahun 1700-an adalah didorong oleh aktiviti yang amat sinonim dengan masyarakat Iranun iaitu kegiatan 'perlanunan di perairan Nusantara'. Kegiatan ini menjadikan masyarakat Iranun amat dikenali oleh kuasa-kuasa tradisional di seluruh Nusantara. Masyarakat ini amat aktif dalam kegiatan merompak di perairan Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan. Menurut Ahmad Jelani Halimi, istilah 'lanun'adalah disinonimkan oleh orang Melayu dengan kegiatan etnik Iranun sebagai 'perompak laut'. Menurut beliau lagi, orang Iranun amat aktif dan mereka menyerang perkampungan untuk mendapatkan harta serta hamba abdi yang akan diniagakan. Owen Rutter juga turut menyatakan tentang kegiatan 'merompak di laut' oleh masyarakat Iranun ini dalam buku beliau 'The Pirate Wind'.

Beberapa pandangan ahli sejarah sama ada tempatan dan luar, menyatakan bahawa orang Iranun adalah berasal dari Pulau Mindanao. Oleh kerana orang Iranun ini suka mengembara di laut atau di sebut 'pelayag-layag', maka mereka telah membuka beberapa kawasan baru di Utara Borneo seperti, Kudat, Tungku dan Tempasuk sebagai penempatan baru.

Penempatan Iranun di Tempasuk disebabkan oleh kedudukannya yang berhampiran dengan pantai serta muara sungai Tempasuk yang amat strategik sebagai pusat kegiatan mereka. Pada tahun 1781, Tempasuk dikuasai sepenuhnya oleh orang Iranun dan ketuanya dikenali sebagai Raja Ismail. Semasa berlaku peperangan antara Sultan Mahmud dengan pihak Belanda di Riau Johor, maka Sultan Mahmud telah memohon bantuan daripada Raja Ismail untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Menurut Sultan Mahmud, Raja Ismail ada kaitan kekeluargaan dengan beliau, dan dengan sebab itulah Sultan Mahmud tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada raja Tempasuk iaitu Raja Ismail. Baginda telah mengutus Encik Talib ke Tempasuk bagi menyampaikan hasrat tersebut.

Oleh kerana hubungan yang sedia ada antara Tempasuk dan Riau Johor, maka Raja Ismail pula tidak menolak permintaan Sultan Mahmud dan mengarahkan para pengikutnya untuk berangkat ke Johor dengan kekuatan lebih tiga puluh buah perahu dan kapal. Raja Ismail bersama dengan tiga orang anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam berserta isterinya Raja Aisyah dan Raja Muda Umak dan Datu Sikolo serta Tok Lukus merupakan para pembesar yang turut serta. Menurut catatan dalam Tuhfat al-Nafis, serangan tersebut berlaku pada 1215 hijrah.

Dalam serangan itu, tentera Sultan Mahmud dan Raja Ismail telah mengalahkan Belanda, tetapi ketika Sultan Mahmud meraikan kemenangan itu beserta tentera Iranun dari Tempasuk yang diraikan bersama pembesar Iranun iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak sahaja yang hadir, manakala Raja Ismail tidak disebut dalam majlis tersebut. Ada kemungkina n Raja Ismail telah terkorban dalam serangan tersebut.

Setelah selesai majlis tersebut, Raja Tebuk dan Raja Alam kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memberi perlindungan terhadap Sultan mahmud. Menurut sumber tempatan Raja Alam tidak ikut balik ke Tempasuk, tetapi beliau mencari penempatan baru. Manakala Raja Tebuk kembali ke Tempasuk dan menggantikan ayahanda beliau Raja Ismail sebagai ketua atau raja baru di Tempasuk.

Raja Tebuk atau dikenali juga sebagai Sultan Sa Tebuk telah mengetuai masyarakat Iranun di Tempasuk dan adalah difahamkan Raja Tebuk menetap di Matampai atau sekarang dikenali sebagai Kg. Kota Peladok. Semasa Raja Tebuk berkuasa di Tempasuk, beliau telah menyerang Ambong yang pada ketika itu di bawah kekuasaan Raja Brooke. Setelah Raja Brooke mengetahui serangan Raja Tebuk itu, maka beliau telah menghangtar utusan bagi mendapat penjelasan mengapa Raja Tebuk menyerang Ambong. Antara alasan Raja Tebuk ialah berlaku kekecohan antara orang Iranun dan penduduk Ambong sendiri, maka itu, Raja Brooke tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Raja Tebuk. Peristiwa ini dijelaskan oleh Ivor H. Evan dalam bukunya 'Among Primitive Peoples in Borneo'.

Dalam masa yang sama wujud juga kuasa tempatan di Pandasan yang diketuai oleh Mirajah Dinda, namun kuasa ini juga adalah tertakluk dalam kuasa Tempasuk yang diketuai oleh Raja Tebuk selepas bapanya Raja Ismail. Pengaruh Raja Tebuk ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud mengiktiraf kedudukannya selepas serangan ke atas Belanda. Raja Brooke juga turut mengakui kedudukan Raja Tebuk sebagai ketua orang Iranun di Tempasuk. Ketika W. Pretymen datang ke Tempasuk Raja Tebuk sudah digantikan oleh anaknya Datu Komidal yang memakai gelaran juga sebagai Sultan Sa Tebuk seperti bapanya. Oleh itu, ketika W. Pretymen menjadi residen di Tempasuk pada tahun 1879 sebelum pemajakan penuh Syarikat Berpiagam Borneo Utara Berhad atau SBBUB pada tahun 1881, beliau turut mengakui wujudnya sultan Iranun di Tempasuk dan selepas itu beliau telah memberikan kuasa ke atas perkampungan di pesisir pantai iaitu Tamau, Merabau dan Matampai (Kota Peladok) sebagai ketua utama di samping Datu Mamuda yang mengawal Tamau, Merabau dan Asam, manakala Rampayan dan Nanamun diketuai oleh Datu Inderajayah.

Kesan terhadap kehadiran W. Pretymen sebagai residen Tempasuk, Sultan Sa Tebuk telah kehilangan kuasa sepenuhnya ke atas Tempasuk yang diwarisinya daripada bapanya Raja Tebuk. Sultan Sa Tebuk tidak dapat membantah tindakan W. Pretymen ini kerana beliau di pengaruhi oleh ipar beliau iaitu Datu Rambangan yang telah berkahwin dengan adiknya Bai Pandaupan.

Pembahagian kuasa atau lebih dikenali sebagai Mukim ini telah menjejaskan kedudukan Sultan Sa Tebuk atau Datu Komidal sebagai kuasa dominan. Datu Rambangan telah dilantik sebagai ketua utama ke atas perkampungan berhampiran sebelah kanan sungai Tempasuk seperti Linau, Bobot, Gunding, Gadding, Tambulion, Tempasuk, dan Piasau. Manakala Datu Tumongong sebagai ketua utama di perkampungan sebelah kiri sungai Tempasuk seperti Labuan, Lebak Inged, Gantisan, Timbang Dayang, Sembirai, Ragussa, Abai dan Lantigi. Inilah kedudukan Tempasuk setelah British datang sebagai kuasa baru yang mengambilalih kuasa Sultan Sa Tebuk.

Sebenarnya Tempasuk ini dahulu dikenali sebagai sebuah kerajaan, namun disebabkan pembuktian yang kurang kukuh, maka mengangkat Tempasuk sebagai satu kerajaan adalah amat sukar. Sejarah kewujudan Tempasuk sebagai satu entiti politik penting dalam sejarah Nusantara memang tidak dapat dinafikan dan kuasa Sultan Sa Tebuk berakhir apabila kuasa barat datang menjajah Tempasuk sekitar 1879 dan seterusnya pemajakan ke atas Borneo oleh SBBUB pada tahun 1881.

Bukti-bukti yang boleh diperakui ialah senjata sebuah meriam yang digunakan ketika mereka menyerang Belanda di Riau Johor 1781 yang masih ada di perkuburan Kg. Peladok. Selain itu, kubur Raja Tebuk di Kg. Kota Peladok (dulu Matampai) juga turut menjadi bukti penting dan juga jurai keturunan beliau yang masih dekat mengikut tarsila keluarga ini. Menurut sumber tempatan, Raja Tebuk juga mempunyai alat-alat kebesaran sebagai raja, tetapi malangnya peralatan ini telah hilang begitu saja terutama apabila pihak penjajah datang dan beberapa orang kepercayaan Raja Tebuk yang telah diamanahkan untuk menjaga peralatan tersebut telah menjualnya. Orang kepercayaan beliau ini terdiri daripada keluarga beliau juga, mungkin keadaan pada masa itu tidak lagi memerlukan perlindungan kuasa raja tetapi kuasa barat adalah lebih baik dan juga tekanan ekonomi yang amat kuat.

Ada juga pandangan daripada keturunan Raja Tebuk yang menyatakan antara faktor Raja Tebuk tidak mempedulikan kuasa beliau ialah tekanan barat. Orang Iranun adalah etnik yang amat kuat semangatnya menentang barat. Mereka menyerang kapal-kapal dagang barat yang berdagang di kepulauan Nusantara, maka itu orang Iranun merasa tekanan ini amat berat dan membiarkan kuasa mereka hilang begitu saja apabila barat menjajah.

Mengikut maklumat keluarga ini, Raja Tebuk juga memiliki kapal besar yang boleh memuatkan lebih 150 orang tentera. Kapal ini telah digunakan ketika belayar ke Riau Johor dan juga apabila mereka menyerang kapal-kapal dagang pihak barat. Kapal ini musnah di Sungai Tempasuk berhampiran Kg. Peladok dan Kota Peladok. Meriam yang ada sekarang ini adalah sebahagian daripada meriam yang ditemui oleh penduduk Kg. Peladok dan diarahkan oleh Sharif Junit merupakan Ketua Kampung pada tahun 1951 dan ditanam secara menegak di perkuburan Kg. Peladok.

Oleh itu, sejarah kuasa tempatan Iranun di Tempasuk bukanlah satu rekaan seperti yang diwar-warkan. Bahkan ianya merupakan realiti sejarah yang mempunyai bukti kukuh dan boleh diperakui. Pengkitirafan oleh para sejarawan tempatan dan luar negara telah membuktikan bahawa etnik Iranun telah memainkan peranan besar terhadap penentangan kuasa-kuasa barat yang cuba menguasai kegiatan ekonomi, politik, agama dan sosial di Nusantara. Serangan demi serangan yang dibuat oleh etnik Iranun amat menggerunkan pihak barat sehingga mereka menggelar Iranun adalah 'pirate' sebagai gambaran negatif terhadap etnik ini yang cuba menghalang barat daripada menyebarkan agama Kristian serta pengaruh mereka.

Itulah sebabnya orang Iranun lambat menerima pendidikan yang dianjurkan oleh barat berbanding pendidikan agama Islam yang diajar oleh guru-guru agama seperti belajar al-Quran dan Berzanji sentiasa dititik beratkan oleh setiap keluarga dalam masyarakat Iranun.

Rujukan:

Mohd. Yassin Isa, 1987. Asal-Usul Bajau, dalam Buletin Membaca. Bil. 2, Perpustakaan Negeri Sabah.

Ranjit Singh, 2000. The Making of Sabah 1865-1941. Kuala Lumpur: Universiti of Malaya Press.

Lanuns and other Pirates, The British North Borneo Herald, 17th Januari 1938.

G. N. Appell, Ethnographic Notes on the Iranon Maranao (Illanun) of Sabah.

G. N. Appell, Iventory of Urgent Antropological Research: II. Borneo Research Bulletin 2: 5-7, 1970.

D. Headly, Some Illanun and Bajau Marriage Customs in the Kota Belud District, North Borneo, Journal Vo., XXIV., Part III., Oct., 1951.

Virginia Matheson Hooker, 1991. Tuhfat Al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ivor H. Evans, 1922. Among Primitive Peoples in Borneo. London: Seeley Service.

Ahmad Jelani Halimi, 2006. Perdagangan dan Perkapalan di selat Melaka. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tom Harrisson, The Diary of Mr. Pretymen: First Resident of Tempassuk, North Borneo.

Owen Rutter, 1986. The Pirate Wind: Tales of the Sea-Robbers of Malaya. Singapore: Oxford University Press.

LinkWithin