Menyingkap Ucapan Presiden WADAH Malaysia, Dato' Dr. Siddiq Fadzil pada Muktamar Nasional Ketujuh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia pada kali ini memfokuskan beberapa elemen penting untuk dihayati serta difahami oleh semua ahli gerakan. Antaranya ialah Perubahan jiwa dan minda yang menekankan kepada kekuatan ilmu yang boleh membawa kepada sikap sedar dan insaf terhadap apa yang sepatutnya dilakukan. Wahyu pertama yang diturunkan kepada ar-Rasul saw adalah 'Iqra' yang telah berjaya membina fikrah insaniyah serta daya intelektual tinggi yang membawa kepada revolusi kemanusiaan seterusnya menyedari hak sebagai hamba serta kehebatan pencipta. Watak manusia yang sentiasa mahukan perubahan, adalah amat perlu menguasai pelbagai disiplin ilmu untuk merubah persekitarannya tanpa melanggar sunnatullah. Fiqh perubahan serta fiqh realiti dua perkara utama yang semestinya difahami secara tuntas dalam melakukan perubahan. Fiqh awlawiyyat perlu difahami untuk merencana sesuatu agenda besar demi maslahat ummah. Kualiti kepimpinan adalah manifestasi terhadap keutuhan perubahan dan sekiranya kepimpinan tidak memiliki kekuatan ilmu, maka perubahan tidak akan dapat bertahan lama. Pembinaan watak insaniah sebagai peneraju perubahan amat penting. Zaman ar-Rasul saw adalah modul penting yang menjadi ikutan atau huswatun hasanah. Baginda memimpin kerajaan Islam selama 23 tahun dan telah berjaya melahirkan watak-watak manusia yang unggul seperti Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Ibn Affan, Ali Abi Talib, Abdur Rahman Auf dan lain-lainnya. Selain itu, beliau juga menjelaskan isu kepelbagaian aliran pemikiran yang melingkari dunia Islam. Keadaan ini harus dilihat dari sudut positifnya yang mana akan memberi makna besar terhadap kebolehupayaan Islam dalam menanggapi fenomena pluralistik yang sudah wujud serta perlu bijaksana mengurus kepelbagaian perbezaan yang wujud dalam masyarakat. Beliau juga menyentuh secara sinis tentang sistem demokrasi terpimpin yang menjadi amalan dalam politik negara ini. Ketulenan demokrasi yang dicanang tidak juga dipatuhi sepenuhnya kerana kuasa majoriti rakyat tidak juga dihormati. Sistem pilihan raya gerrymandering atau pilihan raya akal-akalan telah mencemar kuasa rakyat sebenar. Ketelusan memaknai demokrasi oleh golongan tertentu amat mengaibkan moral pilihan raya yang tidak amanah serta jujur. Demokrasi dimanipulasi serta dieksploitasi sepenuhnya untuk kepentingan satu kuasa yang meletakkan rakyat keliru dan seterusnya tertipu. Untuk itu, politik para mursalin adalah modul terbaik yang perlu dicontohi oleh pelbagai golongan agar keadilan Islam lebih terserlah kepada rakyat sama ada Islam atau bukan Islam.