Pengenalan
Kedatangan Islam ke Alam Melayu
merupakan penerusan terhadap penyebaran Islam di luar Wilayah Hijaz, dan ianya
berlaku apabila empayar Islam semakin luas serta tersebar hampir ke seluruh
dunia. Peranan kerajaan Bani Umayyah serta Bani Abbasiyah meluaskan empayar
turut membantu penyebaran Islam dengan lebih berkesan. Ini dapat dibuktikan
apabila wujudnya beberapa kerajaan Islam di Afrika, Eropah, India, China dan
Asia Tenggara. Islam mula berkembang apabila Nabi Muhammad saw dilantik menjadi
rasul pada tahun 610 Masehi, dan baginda telah menyebarkannya kepada penduduk
Arab selama 23 tahun sehinggalah Islam turut berkembang ke Alam Melayu.
Menurut beberapa
catatan dan laporan menjelaskan bahawa Nusantara adalah antara yang terawal
menerima Islam. Laporan orang Cina menunjukkan Islam bertapak di Alam Melayu bermula pada abad
ke 7 Masehi, di Kedah dan Palembang. Menurut
Prof. Dr. Syed Muhammad Naqiub Al-Attas, kedatangan Islam ke Nusantara telah
dibawa juga oleh para pendakwah dari Tanah Arab selain pedagang yang datang
menyebarkan Islam, dan mereka ini terdiri daripada ahli sufi. Antara tokoh-tokoh pendakwah
tersebut seperti Nurudin ar-Raniri, Abdul Rauf Singkel dan Samsuddin
as-Sumatrani. Golongan ini membawa aliran mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hujah
Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas ini telah dikuatkan lagi dengan sistem
bacaan al-Quran mengikut resam Uthmani yang telah diperkenalkan pada zaman
pemerintahan Khalifah Uthman Ibn Affan iaitu khalifah yang keempat.
Walaupun pandangan
beliau ini bertentangan dengan beberapa sarjana Barat, seperti Emanuel Eredia
Gadinho dan Snock Hugronjee serta S. Q. Fatimi, namun pandangan beliau dan John
Crawford adalah lebih tepat berbanding pandangan yang lain. Kejituan pandangan
ini dibuktikan dengan suasana pengamalan Islam di Alam Melayu menepati amalan
orang Arab.
Beberapa maklumat
juga menyatakan bahawa Islam sampai lebih awal lagi berbanding pengislaman
sultan Melaka pada tahun 1414 M. Pada tahun 1136 Masehi, terdapat masyarakat
Islam di Kedah dan ini dibuktikan apabila Raja Kedah yang bernama Derba Raja
memeluk Islam hasil dakwah Tuan Shaykh Abdullah dari Yaman. Pembuktian
juga turut diperkukuhkan dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 22
Februari 1303 Masehi. Seterusnya
Islam berkembang ke Sumatera dan telah membawa kepada kewujudan beberapa
kerajaan yang mengamalkan undang-undang Islam. Antaranya kerajaan Islam Acheh yang
merupakan kerajaan terawal muncul menggantikan kedudukan Melaka sebagai pusat
Islam setelah serangan Portugis pada tahun 1511 M. Kedudukan Acheh yang amat strategik
dan berhadapan dengan Selat Melaka telah membantu kegiatan Islam terus
berkembang.
Peranan Kerajaan
Brunei Terhadap Penyebaran Islam
Islam bukan sahaja berkembang di
Semenanjung Tanah Melayu tetapi Islam juga bertapak di pulau Borneo. Kewujudan
kerajaan Melayu Islam Brunei adalah antara bukti bahawa masyarakat Borneo telah
pun menerima Islam. Kedatangan Islam ke Sabah dan Sarawak lebih kepada pengaruh
kedatangan Islam ke Brunei. Pengislaman kerajaan Brunei dilihat oleh ahli
Sejarah sebagai asas kepada pengislaman Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Islam Brunei
telah wujud sekitar tahun 1368 dan pada ketika itu Brunei diperintah oleh seorang
sultan yang dikenali sebagai Sultan Muhammad dari keturunan Sultan Sharif
Zainal Abidin dari kesultanan Johor. Ada
dakwaan yang mengatakan bahawa Awang Alak Betatar adalah orang yang sama dengan
Sultan Muhammad, namun hujah ini dinafikan oleh Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas,
di mana beliau menjelaskan bahawa Sultan Muhammah adalah dari salasilah keturunan Sultan Sharif Zainal
Abidin dari Johor dan bukan Awang Alak Betatar.
“The Brunei Stone Tablet on which the Tarsila was inscribed dated 1807 gives
a straightforward construction of the salasilah
of the Sultans of Brunei up to that time. There is no mention there of Awang
Alak Betatar, nor of his identity as Sultan Muhammad,…”
Kerajaan Melayu Islam
Brunei ini meliputi hampir seluruh Sarawak dan separuh daripada Sabah.
Kekuasaan Brunei ke atas Sarawak dan Sabah hanya berakhir setelah berlaku
penjajahan terhadap pulau Borneo seawal abad ke 18. Satu pandangan menyatakan
bahawa Islam telah sampai ke Sabah sekitar abad ke 10 dengan berdasarkan hujah
pengislaman kerajaan Sulu yang dicatatkan oleh peniaga China pada tahun 982 M,
serta kewujudan kerajaan Brunei yang dikenali sebagai Pu-ni yang terletak di
pulau Borneo. Pandangan lain juga turut menjelaskan bahawa kedatangan Islam di Borneo adalah
atas pengaruh kerajaan Brunei.
Menurut
Najeeb M. Saleeby dan Antonio Martel de Gayangos, peranan kerabat diraja Johor dari
keturunan Sultan Sharif Zainal Abidin adalah amat penting terhadap penyebaran
Islam yang dibawa oleh beberapa orang anaknya dan mendarat di beberapa kawasan
seperti Brunei, Kuran, Tempasuk, Sandakan, Palimbang, Banjar, Sulug Tubuk, dan
Malabang. Rombongan ini telah belayar dan kapal mereka telah bertembung dengan angin kuat
dan menyebabkan rombongan ini berpecah dan terdampar di beberapa pulau dan
seterusnya menetap dan menyebarkan Islam di kawasan tersebut. Mengikut maklumat
ini, keturunan Sultan Sharif Zainal Abidin dari Johor telah memainkan peranan
penting terhadap pertapakan Islam di Brunei dan Tempasuk. Peranan yang
dimainkan oleh Sultan Muhammad amat penting terhadap memperkukuhkan Islam, dan
manakala di Tempasuk tokoh tempatannya adalah Raja Ismail yang telah membina
kekuatan untuk mempertahankan Islam daripada serangan pihak Barat.
“…..menyuruhlah
ia satu utusan ke Tempasuk (adalah yang pergi itu namanya Encik Talib serta
beberapa orang lagi sertanya) membawa surat kepada raja Tempasuk minta
pertolongan (kepada raja Tempasuk itu) pada mengamuk Holanda di dalam Riau. (Dan
pada satu kaul memang keturunan daripada raja Johor di dalam Tempasuk itu
bernama Raja Ismail. Maka tatkala tibalah Encik Talib itu dimaklumkannya
seperti maksud Raja Indera Bongsu itu kepada raja Tempasuk. Maka diterimalah
oleh raja Tempasuk kehendak Raja Indera Bongsu serta Baginda Sultan Mahmud
itu). Maka lalulah menyuruh anak-anaknya tiga orang, dan empat dengan Raja
Ismail itu, dan adalah Raja Ismail itu menjadi panglima besarnya. Adalah
namaraja yang disuruhnya itu pertama Raja Tebuk (namanya), kedua Raja Alam
(namanya,. Adalah Raja Alam membawa isterinya bernama Raja Aisyah), ketiga Raja
Muda (Umak namanya, dan keempat datuk-datuknya yang bernama Datuk Sikolo, dan
maka apabila selesailah mereka itu daripada muafakatnya dan musyawarahnya) maka
belayarlah mereka itu ke Riau.” .
Pernyataan di atas
telah menjelaskan lagi kedudukan dan peranan kerabat Sultan Sharif Zainal
Abidin tentang penyebaran Islam di kepulauan Nusantara ini. Sultan Sharif
Zainal Abidin bukan sahaja sebagai ketua kerajaan tetapi sebagai keluarga
penyebar Islam yang sangat berjasa terhadap pertapakan Islam di kepulauan ini.
Hubungan kekeluargaan ini banyak membantu menyebarkan Islam dan sentiasa
bekerjasama untuk mempertahankan kerajaan serta Islam yang menjadi anutan.
Selain itu, para pedagang
China juga mendapati bahawa kerajaan Pu-ni atau Brunei telah mengamalkan Islam
terutama keluarga istana serta rakyat
negeri tersebut. Penulis-penulis China mencatatkan bahawa kerajaan
P’o-ni juga dikenali sebagai kerajaan Brunei. Sultan Brunei yang memerintah
ketika itu telah melawat Negeri China pada tahun 1408. Selain itu, Magellan
juga menyebut bahawa Borney adalah merujuk kepada Brunei. Beberapa
replika seperti batu nisan yang bercorak Islam telah ditemui yang digunakan
oleh masyarakat Brunei. Pengislaman golongan istana ini telah mempermudahkan
penyebaran Islam di pulau Borneo dan masyarakat khususnya pesisir pantai dari
Sarawak hinggalah ke Pantai Utara Sabah yang telah menerima Islam sebagai
pegangan dan anutan. Pengaruh kerajaan Brunei dan kerajaan Sulu ke atas Sabah
turut mengukuhkan kedudukan Islam terutama bahagian sebelah Pantai Timur yang
dipengaruhi oleh kerajaan Sulu dan sebelah Pantai Barat dipengaruhi oleh
kerajaan Brunei.
Ada
juga pendapat menyatakan bahawa Islam yang sampai ke Sabah adalah atas pengaruh
kaum yang menduduki sepanjang pesisir pantai di Sabah. Kedatangan kaum-kaum ini
seperti Suluk, Bajau, Iranun, Bugis dan kaum-kaum lain juga telah membawa Islam
secara tidak langsung. Kaum-kaum ini menetap di kawasan pesisir pantai dan
membina penempatan yang berbentuk kekal dan akhirnya mereka berkembang menjadi
satu masyarakat yang kuat berpegang serta pemahaman terhadap Islam.
Pengaruh kesultanan
Sulu adalah amat penting terhadap penyebaran Islam di Sabah. Kuasa pemilikan
bahagian Utara Sabah oleh sultan Sulu membuktikan bahawa masyarakat yang
mendiami dari wilayah Tempasuk hinggalah ke Sungai Sibuku Lahad Datu boleh menjelaskan
lagi pengaruh Islam yang semakin melebar. Suku kaum Suluk, Iranun dan Bajau
adalah antara kaum yang sudah menerima Islam sebelum berhijrah ke Sabah seawal
abad ke 10. Kaum Suluk telah menerima Islam daripada Syarif Awliya yang telah
datang ke kepulauan Sulu sekitar tahun 1360 untuk menyebarkan Islam dan
seterusnya berkahwin dengan puteri Sulu. Sharif Awliya ini juga dikenali sebagai Tuan Masha’ika atau Karim al-Makhdum. Begitu
juga dengan kaum Iranun yang telah menerima Islam daripada Syarif Kabungsuwan
yang telah mendarat di Maguindanao dan mengislamkan penduduk Maguindanao
sekitar tahun 1515.
Berdasarkan
maklumat di atas, maka kedatangan Islam ke Sabah adalah atas pengaruh
kerajaan-kerajaan yang wujud di sekitarnya seperti kerajaan Islam Brunei dan kerajaan
Islam Sulu. Hubungan serta pengaruh dua kerajaan ini ke atas Sabah adalah amat
kuat sekali, di samping itu Sabah juga menjadikan hubungan Brunei dan Sulu
semakin erat. Menurut seorang sarjana iaitu Nik Suhaimi menyatakan bahawa
sempadan antara kerajaan Brunei dan kerajaan Sulu adalah Sungai Pandasan yang
terletak di wilayah Tempasuk. Walau pun Brunei dan Sulu adalah dua kerajaan Islam, namun kedua-dua kerajaan ini
mempunyai persefahaman untuk menguasai Sabah dan tidak ada rekod yang
menyatakan bahawa berlaku perebutan atau pertembungan antara kedua kuasa ini ke
atas Sabah.
Peranan
kerajaan Brunei sebagai kuasa Islam turut membantu memperkukuhkan Islam
terhadap masyarakat Sabah, ini dibuktikan dengan hubungan erat antara kerajaan
dan kuasa tempatan khususnya Tempasuk. Hubungan ini diikat dengan perkahwinan
antara Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei dengan puteri Iranun iaitu
keluarga kepada Raja Ismail yang menjadi ketua di Tempasuk sekitar 1700an.
‘The Sultan Omar Ali had, amongst others, two sons,
Mahommed Tuzudeen and Mahommed Kanzul Alam; the former of whom being the
eldest, succeede his father Omar Alion the throne; and had one legitimate son,
Jamalul Alam and, amongst his islegitimate sons, Pangeran Usop, our present
adversary. The second brother, Mahommed Kanzul Alam, had by his fisrt wife,
Rajah Api and Noor Alam a daughter. By his second wife, Pengeran Muda Hashim
and Pangeran Muhammad, and by his third wife (an Illanun woman of rank). Pangeran
Budruddin Jelaluddin and Pangeran Ishmael.
Hasil perkahwinan
antara orang tempatan dengan kerabat Brunei ini telah membina satu jalinan erat
yang telah membantu kedudukan Brunei sama ada dari segi politik, ekonomi serta
sosial. Hubungan ini telah memperkukuhkan lagi kekuasaan kerajaan Brunei
terhadap Sabah serta berjaya menyebarkan pengaruh Islam dalam kalangan
masyarakat tempatan.
Hubungan
ini semakin bertambah erat apabila pembesar Iranun dan bangsawan Brunei iaitu
Pengeran Muda Hashim dan Sharif Osman yang menjalinkan persahabatan dengan
Iranun di Utara Borneo iaitu kawasan Tempasuk dan Teluk Marudu ketika
menghadapi serangan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kesan
terhadap kerjasama antara kerajaan Brunei dengan beberapa kuasa tempatan Utara
Borneo telah memperkukuhkan kuasa politik kerajaan Brunei, di mana kuasa-kuasa
Barat yang sentiasa mengancam kerajaan Brunei dapat dihalang oleh kuasa-kuasa
tempatan seperti Raja Laut di Lahad Datu, Sharif Osman di Teluk Marudu dan juga
Raja Ismail di Tempasuk. Antara buktinya ialah pertempuran Raja Laut di Sungai
Sibahat Lahad Datu dengan pihak Sepanyol pada tahun 1840. Raja Laut dapat
menguasai tiga sungai kecil iaitu Sungai Tunku, Sibahat dan Mekawa, yang menjadi laluan Barat untuk mendapatkan bahan-bahan mentah daripada
pedalaman Sandakan.
Kesan
besar terhadap pengaruh kerajaan Brunei ini telah meletakkan Islam sebagai
agama dominan selain daripada kepercayaan animisme masyarakat tempatan. Pengaruh
ini bukan sahaja tertumpu kepada kuasa politik, tetapi dalam amalan keagamaan
turut berlaku. Contohnya kandungan khutbah masyarakat di Sabah masih lagi
meletakkan nama kesultanan Brunei sebahagian kandungan utama, contohnya khutbah
‘Ilaahu’. Bukti
penemuan manuskrip dalam bahasa Idahan di Lahad Datu menyatakan tentang
kedatangan Islam ke Sabah. Manuskrip itu direkodkan pada tahun 1408. Seorang
penduduk tempatan bernama Abdullah telah diIslamkan oleh seorang makhdum yang
mengajarkan tentang ajaran di dalam Islam. Berdasarkan penemuan manuskrip ini menunjukkan bahawa Islam begitu berpengaruh
dalam masyakarat pesisir pantai Sabah. Hubungan kaum pesisir pantai ini amat
rapat dan saling bantu membantu demi untuk mempertahankan Islam. Kewujudan
kuasa tempatan seperti kuasa Raja Ismail di Tempasuk sekitar tahun 1700an dan
berakhir ketika Pretymen menjadi Residen Pertama Tempasuk, kuasa Sharif Osman
di Teluk Marudu sekitar tahun 1830 hingga 1845 serta pengaruh kesultanan
Makasar di sebelah Tawau dan kuasa Raja Laut di Tunku sekitar tahun 1840an, peristiwa-peristiwa
penting ini menggambarkan bahawa Islam begitu dominan dan berpengaruh di Sabah.
Kesimpulan
Ada juga pendapat
menyatakan, pengislaman Sabah dan Sarawak, tidak terdapat bukti yang jelas,
namun pengislaman itu dikaitkan dengan pengislaman Brunei. Maknanya
Brunei adalah kuasa besar yang banyak melindungi serta membantu penyebaran
Islam ke atas Sabah. Pendapat yang mengatakan bahawa kedatangan Islam ke Sabah
tidak ada bukti jelas adalah hujah yang cuba melindungi peranan kerajaan
Brunei, Sulu, Makasar dan Mindanao terhadap Sabah. Bahkan peranan kerabat
Sultan Sharif Zainal Abidin dari Johor amat penting dan juga merupakan satu
penjelasan baru terhadap penyebar Islam dalam kalangan istana. Penjelasan oleh
Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya ‘Historical Fact and Fiction’ banyak sumber baru yang mengesahkan
peranan Islam di Nusantara ini dan peranan kerajaan Brunei ke atas perkembangan
Islam di Borneo. Hubungan yang wujud antara kerajaan Brunei, kerajaan Sulu dan
kerajaan Mindanao menunjukkan satu pertalian kerabat daripada Sultan Sharif
Zainal Abidin dari Johor, yang mana mereka saling memerlukan antara satu sama
lain. Ancaman Barat terhadap kerajaan Islam di Alam Melayu turut dipertahankan
oleh kerajaan-kerajaan yang ada perkaitan salasilah. Kerajaan Brunei di Borneo
berjaya menempatkan Islam sebagai kuasa yang disegani di Alam Melayu dan
kerajaan Brunei juga berperanan membantu kerajaan yang dalam ancaman Barat.
Rujukan
Abu
Bakar Abdullah, 1986. Ke Arah
Perlaksanaan Undang-Undang Islam Di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya.
Kuala Terengganu: Pustaka Damai.
Cesar
Adib Majul (terjemahan Shamsuddin Jaapar), 1988. Islam di Filipina. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Gilbert
Khoo & Dorothy Lo, 1978. Asia Dalam Perubahan: Sejarah Tenggara, Selatan
dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) LTD.
Haji
Mokhtar Ramli, 1988. Sejarah Islam dan Perjuangan Ulamak Sabah. Sabah:
Kota Kinabalu, Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Sabah.
Journal
Of James Brooke, Narative Of Events In
Borneo & Celebes, Down To The Occupation Of Labuan: John Murray, Albermarle Street, 1848 hal. 20 (Dipetik dalam
Mini Tesis Jasmi Datu Tumai, 2012. Sejarah
Asal-Usul Kaum Iranun: Iranun, Illanun atau Lanun?, hal. 11.)
Milus Bin Alu @ Abd Wahad, 2009. Masyarakat Iranun Di Sabah, 1780-an Hingga
1994: Persaingan Politik Akar Umbi Di Kota Belud. Universiti Malaysia
Sabah: Sekolah Sains Sosial.
Milus Hj Abd Wahab & Muddin
Beting, 2015. Figura dan Fakta:
Perjuangan Islam di Sabah. Kota Kinabalu, Angkatan Belia Islam Malaysia
Cawangan Sabah.
Muhiddin
Yusin, 1990. Islam Di Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Najeeb
M Saleeby, Studies in Moro History, Law
and Religion and Antonio Martel de Gayangos, 1976. The Island of Mindanao, Manila, Filipina Book Guild, Inc. XXIV.
Nik
Anuar Nik Mahmud, 2001. Tuntutan Filipina ke Atas Borneo Utara, Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Syed
Muhammad Naquib Al-Attas, 2011. Historical
Fact and Fiction: Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Malaysia.
Virginia
Matheson Hooker, 1991. Tuhfat Al-Nafis:
Sejarah Melayu-Islam. Kuala Lumpur,
Dewan Bahasa dan Pustaka.