SEJARAH

SEJARAH

Sunday, April 24, 2016

NAHDAH ASIA: Pembangunan Masyarakat Madani

Gelombang kebangkitan atau Nahdah Asia yang mendapat rangsangan daripada ketangkasan ekonomi yang mengimbangi dan mula mencabar dominasi ekonomi Barat. Tanah Asia yang besar serta kaya dengan sumber alam boleh menghasilkan pasaran yang amat luas dan mampu bersaing dengan negara-negara Eropah.

Dalam beberapa aspek kelemahan struktur ekonomi misalnya Asia Timur masih banyak bergantung kepada teknologi Barat, lemah dari sudut penyelidikan dan belum cukup gigih membangunkan sumber daya manusia. Di kala ekonomi semakin luas dan penghasilan yang besar, namun berlaku kemiskinan dan ketidakadilan sosial yang menjolok mata. Justeru itu Asia tidak boleh mengukur kekayaan dan kejayaan ekonomi sekadar dengan angka dan petunjuk konvensional. Kebangkitan Asia sebagai paksi kegiatan ekonomi sejagat berlaku secara mendadak dan berkesan sekali. Ia amat penting bagi memberi kestabilan dari segi politik, sosial, ekonomi dan budaya.

Meskipun kebangkitan ekonomi Asia sememangnya penting dan mendasar, namun ia hanya suatu dimensi kebangkitan perkasa semula benua Asia yang lebih jauh. Meskipun Asia pernah dijajah oleh berbagai-bagai bangsa yang datangnya dari Barat, namun tidak semua yang dibawa oleh Barat itu memberi impak yang buruk terhadap Asia. Barat juga mempunyai keunikan tamadunnya yang tersendiri. Istilah nahdah mengingatkan kita tentang Renaissance Eropah yang bermula di Florentina, Itali dan merebak ke seluruh benua tersebut, dan seterusnya membina zaman moden yang berlaku sekitar abad ke-14 Masihi. Renaissance tersebut mempunyai sifat tertentu yang bersendikan konsep yang disebutkan oleh sejarawan dan filasuf Amerika, Will Durant sebagai “kemerdekaan berfikir dan kebebasan ikatan moral”. Daya manusia untuk menentukan nasib dirinya yang didewakan itu menyebabkan suburnya perkembangan humanisme sekular yang menyeleweng dari pegangan agama. Pengkaji sejarah tamadun tersebut menegaskan: “Begitu mempersonakan akal yang telah dimerdekakan. Ia menghirup hingga kering segala sumber tuntutan akhlak, tetapi tidak ada penggantinya yang berkesan. Akibatnya ialah penolakan segala kongkongan, maka berlakulah keruntuhan akhlak yang pernah disaksikan oleh sejarah sejak golongan sofis merobek mitos, membebaskan dan menghakis akhlak zaman Yunani purba”.

Justeru itu sementara diakui terdapatnya persamaan antara Nahdah Asia dengan Renaissance Eropah kerana sesungguhnya aliran tersebut melibatkan kebangkitan, misalnya menimba ilham daripada keagungan zaman silam tamadun masing-masing, namun terdapat juga perbezaan asas antara keduanya. Perbezaan paling asas ialah Nahdah Asia berlandaskan agama dan tradisi, bukannya agama yang diwarisi secara taklid dan melulu yang dihasilkan oleh para leluhur sehingga menafikan pencernaan akal sama sekali dan jauh daripada ajaran agama yang sebenar, akan tetapi agama dan tradisi yang digilap semula daripada jelaga zaman lampau agar sinar kerohanian dan ajaran akhlaknya tampak lebih jelas dan semakin bertenaga.

Renaissance Eropah pula didorong oleh semangat pemberontakan. Sewaktu mencari perlambangan untuk mengucapkan ideanya tentang insan, pemikiran Renaissance Eropah telah menghidupkan kembali dongeng purba tentang Prometheus yang disebut dalam mitos Yunani. (Prometheus, menurut dongeng Yunani purba ialah dewa yang memberontak melawan dewa agung Zeus. Beliau mencari api dari Olympus, tempat kediaman para dewa, dan memberinya kepada manusia. Sebagai hukuman Prometheus diikat dengan rantai pada batu besar di mana setiap hari dadanya dirobek oleh seekor helang yang memakan hatinya). Prometheus tidak lagi dilihat dengan jelek, sebagai lambang pemberontakan insan terhadap Tuhan, sebaliknya dipuja sebagai manusia yang bebas daripada peraturan ilahiah dan alamiah. Konsep ini semestinya cukup bertentangan, bukan sahaja terhadap faham Islam berhubung konsep insan sebagai khalifah Allah di bumi (khalifah Allah fi’l-ardh) dan konsep jen dalam ajaran Kung Fu Tze, malah dengan ajaran agama Nasrani yang mengungkapkan insan sebagai Imago Deo atau Pontifex, yang menjadi penghubung antara dunia dan akhirat.

Pemberontakan Eropah terhadap kewibawaan agama dan tradisi zaman Renaissancenya berpunca daripada pengalaman dan sejarah khusus tamadun Barat. Perjuangan pembebasan daripada pemikiran jumud serta kongkongan kuasa kejam sudah tentu munasabah dan sah. Tetapi kebebasan boleh disalahgunakan, malah dijadikan sebagai dalih untuk melakukan fasad yang tentunya menimbulkan huru-hara dan membiakkan budaya nafsu secara berleluasa.

Sewaktu menerajui Nahdahnya, Asia perlu meneliti pengalaman Renaissance di Eropah untuk menolak unsur yang menjadi racun kepada tamadun moden, sekaligus menjadikannya sebagai sempadan. Nahdah Asia perlu menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan penyegaran masyarakat berlandaskan satu tasawwur kesempurnaan, yakni masyarakat yang dipupuk dengan nafas kebenaran dan mencintai ilmu, keadilan dan ihsan, iaitu masyarakat yang saling menghormati dan menganjurkan kesabaran, yang mengimbangi kebebasan dengan tanggungjawab. Hal ini amat penting kerana kepercayaan dan amalan agama di Asia bukan terbatas sebagai panduan hidup untuk diri perseorangan semata-mata, malah merupakan nadi kehidupan masyarakat. Sesungguhnya, agamalah yang berhasil menampilkan Asia sebagai benua yang memiliki segala kepelbagaian, mempesona dan menakjubkan. Maka pengisbatan keimanan dan penyegaran prinsip dan kenyataan jamak budaya tetap menjadi ciri utama Nahdah Asia.

Nahdah Asia juga amat menekankan keperluan memahami keutamaan masyarakat agar tidak terseret dalam pertelingkahan furuk dan masalah ranting. Keutamaannya ialah memelihara tata kemasyarakatan kerana tanpanya kekacauan akan bermaharajalela. Asia yang muncul sebagai naga ekonomi, perlu bergerak untuk membina kekuatan moral dalam pembentukan desa sejagat. Masyarakat Asia sepakat mengatakan bahawa perkembangan masyarakat madani yang subur memerlukan ekonomi yang kukuh dan tangkas agar kestabilan dapat dicapai. Kestabilan yang dimaksudkan semestinya memberikan keadilan kepada masyarakat. Tidak akan ada keadilan jika individu ditekan dan hak asasinya ditekan. Keadilan juga tidak akan wujud apabila seluruh masyarakat terperangkap dalam kancah perang, kekejaman dan pembunuhan. Ia tidak akan tercapai apabila 85 peratus kekayaan dunia hanya dapat dinikmati oleh 20 peratus penduduk dunia. Kita juga tidak akan dapat menghidu kemuliaan dan keadilan selagi tatadunia dikuasai oleh sekelompok penguasa yang menyerukan demokrasi dalam negara tetapi menodainya dari luar.

Masyarakat madani yang kita bayangkan ialah mempunyai prinsip akhlak yang mantap dan pemerintahan berlandaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Agama merupakan sumber kekuatan umat Asia dan akan terus menjadi benteng pertahanan dalam menangani cabaran keruntuhan akhlak dan kegoyahan sendi masyarakat. Pandangan hidup Asia dan sumber warisan akliahnya akan memberi arah tersendiri terhadap pertumbuhan masyarakat madaninya. Khususnya, konsep manusia sebagai makhluk berakhlak dan memilik unsur mutaaliah (transcendent) yang memiliki hak asasi yang sebati dengan dirinya, bahkan terikat dengan tanggungjawab kepada Tuhan, keluarga, sesama manusia dan alam.

- Sumber : Gelombang Kebangkitan Asia’,  Anwar Ibrahim

oleh
Mohd. Nur Fahmie Ikhwan Milus

No comments:

Post a Comment

LinkWithin