Bicara kali ini adalah merujuk kepada
sebuah kisah dalam al-Quran Surah al-Naml yang telah meriwayat kisah Nabi Sulayman
‘a.s., iaitu sebuah kerajaan yang hebat serta mendapat keberkatan daripada
Allah swt. Kerajaan Nabi Sulayman ‘a.s. merupakan suatu kerajaan besar kerana
kehebatan Nabi Sulayman ‘a.s. mengurus dan mentadbir negara tersebut dengan
cara bijaksana, adil dan bertertib. Baginda berupaya menguasai seluruh makhluk
yang berada di muka bumi ketika itu. Kehebatan Sulayman ‘a.s. ini telah
menggerunkan sesiapa sahaja sama ada kawan atau lawan, namun apa yang dipertontonkan
oleh baginda ialah sifat ketaatan kepada penciptaNya, walaupun ianya memiliki
sebuah kerajaan yang besar. Dalam Surah al-Naml, ayat ke 16;
“Dan
Sulayman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu)
Nabi Sulayman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa
pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap
sesuatu(yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia
(dari Allah) yang jelas nyata”
Nabi
Sulayman memiliki dua darajat iaitu sebagai nabi dan ketua negara, walaupun begitu,
Nabi Sulayman tidak berasa angkuh serta takbur, bahkan baginda merasa rendah
diri kepada penciptanya. Dalam surat baginda kepada Balqis iaitu ketua kerajaan
Saba’, ayat ke 30 dan 31;
“Sesungguhnya (surat) itu dari Sulayman yang
isinya, “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Janganlah engkau
berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah
diri”.
Surat
baginda kepada Balqis yang dimulai dengan ayat ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang’, adalah
merujuk kepada rasa rendah diri kepada pencipta. Nabi Sulayman telah meletakkan
Allah swt sebagai tunjang kekuatan kerajaannya iaitu mengisbatkan Allah sebagai
tuhan yang Esa yang sepatutnya disembah, bukannya menyerahkan diri kepada
makhluk lain.
Kenapa
Nabi Sulayman ‘a.s terlalu mengambil berat terhadap kerajaan Balqis?, di situ
dapat dilihat bagaimana Nabi Sulayman menjadikan negaranya sebagai ‘Negara Dakwah’, iaitu mengajak manusia
supaya kembali kepada pencipta iaitu Tuhan sekalian alam. Kerajaan Balqis telah
mencabuli sifat kehambaannya, sehingga dia lupa kepada asal usulnya, dia alpa terhadap
perjanjiannya ketika berada dalam alam roh.
Misi
Nabi Sulayman ‘a.s ialah mengembalikan manusia kepada fitrah kehambaan iaitu
makhluk yang dicipta oleh yang Maha Pencipta. Balqis tersasar daripada natijah
insan yang bersifat hamba, sehingga Balqis dan rakyatnya mengenepikan kekuasaan
Allah swt sebagai tuhan sekalian alam. Berita yang dibawa oleh burung Hudhud tentang kehebatan kerajaan Balqis
iaitu sebuah kerajaan yang berada berada dalam kesesatan, dan telah menarik
perhatian Nabi Sulayman ‘a.s.
Komitmen
Nabi Sulayman ‘a.s menyelamatkan Balqis dan rakyatnya daripada tersesat jauh,
merupakan salah satu misi rabbaniy
yang diamanahkan kepada beliau sebagai utusan iaitu nubuwah. Laporan Hudhud amat
menyentuh hati nurani Nabi Sulayman, lalu beliau mengambil tindakan untuk
membawa kembali Balqis dan rakyat jelatanya menyembah Tuhan Yang Maha Esa.
Baginda Sulayman ‘a.s telah menulis surat kepada Balqis sebagai satu
peringatan.
Surat
peringatan itu dimulai dengan al-basmalah
yang merujuk tentang pentauhidan Allah swt (‘Dengan
nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang’). Balqis yang sedar akan kehebatan
kerajaan Nabi Sulayman memilih untuk berdamai daripada berperang dengan
menghantar hadiah-hadiah lumayan untuk melembutkan Nabi Sulayman agar tidak
akan melanggari kerajaan beliau, ayat 35 menyatakan;
“Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan
kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan
dibawa kembali oleh utusan-utusan itu”.
Persis
hadiah tersebut tidak menarik perhatian baginda, bahkan baginda dengan tegas
menempelak akan hadiah itu di hadapan utusan Balqis, ayat 36 menjelaskan;
“Maka tatkala utusan itu sampai kepada
Sulayman, ia (Sulayman) berkata, ‘Apakah (patut) kamu menolong aku dengan
harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang
diberikan-Nya kepadamu; tetapi kamu berasa bangga dengan hadiahmu”.
Nabi
Sulayman ‘a.s telah menetapkan pendirian, bahawa harta bukan tututannya, bukan
juga sebagai galang ganti terhadap misi
nubuwah. Sulayman ‘a.s telah pun memiliki kekayaan yang besar yang tiada
taranya dan yang dianugerahkan oleh Allah swt. Apa yang dipinta oleh Sulayman ‘a.s
ialah Balqis dan seluruh kerajaannya mestilah beriman kepada Allah swt.
Penolakan terhadap hadiah-hadiah lumayan itu,
memperlihatkan mesej sebenar Sulayman ‘a.s bukannya semata-mata politik
duniawi, tetapi adalah persoalan dakwah iaitu mengajak manusia kepada keimanan
yang tulus kepada Allah swt, yakni pembebasan mutlak manusia dari belenggu
kesesatan dan kejahilan. Kerana manusia
apabila lupa kepada misi insaniyy, maka ianya akan tersasar daripada tujuan
murni sebagai ‘khalifa’ di muka bumi
yang membawa manusia kepada kesejahteraan dunia dan kebahagiaan akhirat.