Pages

Sunday, December 19, 2010

KEMERDEKAAN MINDANAO: HARAPAN DAN REALITI (siri 1)


Kunjungan ke Mindanao baru-baru ini banyak memberikan pengalaman dan pengajaran dalam melihat sebenar perjuangan umat Islam Mindanao terutama usaha besar MILF membebaskan pulau Mindanao dari pulau Luzon. Perjuangan umat Islam di Selatan Filipina ini sudah melebih usia 300 tahun dan antara perjuangan yang paling lama bertahan di dunia ini. Kegigihan serta kecekalan para pejuang Islam ini adalah didokong oleh kekuatan Islam yang menjadi teras terhadap perjuangan mereka.

Sebelum wujudnya MILF para pejuang bergabung di bawah MNLF yang dulunya dipimpin oleh Nur Misuari, namun akhirnya mereka telah berpecah apabila MNLF menerima kuasa autonomi, di mana sebahagian para pejuang Islam tidak bersetuju dengan kuasa autonomi dan mereka mahukan kemerdekaan, dan kumpulan ini menubuhkan MILF atau Mindanao Islamic Front Libaration.

Namun pada masa kini umat Islam di Mindanao juga sudah terbahagi kepada beberapa kumpulan yang bergerak mengikut hala tuju masing-masing. Di samping MILF wujudnya Abu Sayyaf, Autonomous Region in Muslim Mindanao atau ARMM, kumpulan para Mayor yang pro kepada kerajaan Filipina dan beberapa wilayah seperti Marawi City yang tidak mahu menerima kumpulan lain dan para pemimpin dari Marawi City mempunyai hubungan terus dengan kerajaan pusat.

Kalau sebelum ini Mindanao hampir 90% dikuasai oleh umat Islam, kini mereka semakin menjadi minoriti dan beberapa wilayah atau Bandar umat Islam menjadi minoriti. Contohnya Cagayan De Oro, Ilegan City dan Cotabato, hanya Marawi City penduduk umat Islam melebihi 90%.

Cabaran besar perjuangan umat Islam khususnya MILF ialah menyatukan umat Islam yang berpecah belah dan terpisah daripada garisan perjuangan kemerdekaan sebenar. Abu Sayyaf dengan hala tujunya ARMM dengan misinya dan kumpulan-kumpulan lain yang tidak menerima kemerdekaan yang menjadi gagasan MILF. Persoalan besar juga ialah mengapa MILF tidak berusaha menawan kembali Kem Abu Bakar yang menjadi mercu perjuangan?

Satu ketika MILF telah menguasai Marawi City hampir sepuluh tahun, namun kini mereka hanya bertahan di beberapa wilayah seperti Zamboanga, selepas itu muncul ARMM yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Filipina.

Melihat kepada senario ini kerajaan Filipina telah berjaya memecahbelahkan perpaduan umat Islam yang dulunya bernaung di bawah MNLF selepas itu MILF. Sekarang ini apa yang kita lihat kerajaan Filipina hanya berhadapan dengan MILF dan Abu Sayyaf, namun Abu Sayyaf bukanlah satu pertubuhan yang menggagaskan tuntutan kemerdekaan, tetapi hanya bergiat menculik para pelancong luar yang datang ke Filipina untuk kepentingan sendiri. Musuh sebenar kerajaan pusat Filipina adalah MILF, namun melihat kepada percaturan ini kerajaan Filipina tidak akan menghapuskan MILF dengan kadar yang segera tetapi akan melakukannya secara perlahan-lahan. Kerajaan pusat akan mengadu domba antara MILF dengan ARMM di samping para mayor yang berkepentingan.

Peristiwa Esmael Mangudadatu dengan Andal Ampatuan kedua-duanya Islam yang melibatkan korban besar pada 23 November 2009, merupakan cabaran besar terhadap perpaduan umat Islam. Akhbar Filipina ‘Philippine Daily Inquirer, 21 November 2010’ melaporkan bahawa bunuh membunuh merupakan budaya Islam. Gambaran ini telah memburukkan lagi imej perjuangan Islam yang sebenar.

Usaha kerajaan pusat menguasai pulau Mindanao secara halus sedang berlaku dengan rancak. Bandar-bandar yang majoritinya bukan Islam pada masa ini dibangunkan dengan baik berbanding Bandar yang dikuasai oleh umat Islam. Dasar pecah dan perintah sedang dilaksanakan secara terancang oleh kerajaan pusat agar umat Islam tidak dapat bersatu dan bergerak dalam satu wadah yang menyebabkan mereka bersatu menentang kerajaan pusat.

Wednesday, November 24, 2010

SUMBANGAN BESAR KERAJAAN CHINA TERHADAP MELAKA SEBAGAI EMPAYAR MELAYU DI NUSANTARA



Pembukaan Melaka pada tahun 1400 telah membawa satu perubahan besar terhadap kuasa Melayu Nusantara. Parameswara sebagai tokoh utama banyak memainkan peranan besar terhadap perkembangan pembangunan rantau Nusantara khususnya kewujudan Melaka. Melaka yang asalnya sebuah perkampungan nelayan telah muncul sebagai sebuah kerajaan tersohor serta berwibawa dan bergerak maju ke hadapan dengan beberapa pelan pembangunan yang digariskan oleh Parameswara.

Apa yang menjadi dasar ialah kemunculan Melaka sebagai sebuah empayar besar di Nusantara pada abad ke 15 adalah hasil sokongan dan perlindungan suaka politik oleh kerajaan China pada tahun 1400. Kemunculan Melaka ketika itu telah mengangkat martabat orang Melayu sebagai satu bangsa yang tersohor dalam sejarah seterusnya telah memainkan peranan penting terhadap politik dunia. Menurut Prof. Dr. Redzuan Othman kemunculan Melaka adalah lebih awal dari 1400 kerana pihak sarjana Barat sendiri menyatakan bahawa pada tahun tersebut Melaka sudah maju dari segi kuasa perdagangan berbanding pelabuhan Vince.

Kemasyhuran Melaka adalah didokong oleh kerajaan China dengan memberi perlindungan daripada ancaman Siam dan Majapahit. Komitmen kerajaan China ini dibuktikan apabila Maharaja China mengutus Laksamana Yin Ching ke Melaka pada tahun 1403 dan diikuti oleh Laksamana Cheng Ho pada tahun 1409 untuk mengukuhkan hubungan serta memberi amaran kepada Siam supaya jangan mengganggu Melaka. Kunjungan Laksamana Yin Ching ke Melaka membawa bersama hadiah-hadiah kain sutera dan lansai yang dihiaskan dengan emas.

Tindakan kerajaan China ini telah memberi peluang kepada Melaka membangun dengan pesat tanpa ganngguan daripada dua kuasa utama tersebut. Hubungan ini berterusan apabila Parameswara menghantar utusan ke China pada tahun 1405 dan pada tahun berikutnya Maharaja Yung Lo mengiktiraf Parameswara sebagai raja berdaulat dengan menghadiahkan satu mohor diraja, sekaki paying berwarna kuning dan sepasang pakaian sutera yang melambangkan kebesaran kerajaan Melayu Melaka.

Oleh kerana kerajaan China amat prihatin terhadap Melaka, maka Parameswara sendiri telah membuat lawatan rasmi ke china pada tahun 1411 bersama pegawai baginda seramai 540 orang. Selepas Parameswara hubungan ini diteruskan oleh putera baginda Megat Iskandar Syah yang telah melawat China sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1415, 1416 dan 1418. Hubungan ini menggambarkan bagaimana eratnya serta akrabnya orang China dan Melayu pada masa itu. Seterusnya Sultan Muzaffar Syah juga meneruskan tradisi ini dengan menghantar utusan ke China pada tahun 1456 dan 1458.

Apabila Sultan Mansur Syah menaiki takhta pada tahun 1459 hingga 1477, baginda telah dikurniakan oleh Maharaja China seorang puteri yang bernama Hang Li Po sebagai permaisuri. Puteri Hang Li Po datang ke Melaka dengan pengikut seramai 500 orang dan mereka menetap di sebuah bukit yang kemudiannya dinamakan sebagai Bukit Cina.

Kesan terhadap hubungan ini menjadikan Melaka sebagai kuasa politik yang tersohor dan disegani oleh kuasa luar. Melaka juga turut terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang telah menjemput pedagang-pedagang luar datang ke Melaka dan terus menenggelamkan ancaman Siam dan Majapahit.

Kemajuan Melaka juga bukan tertumpu kepada politik dan ekonomi, tetapi turut berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara yang telah menarik perhatian para ilmuan Islam untuk datang ke Melaka. Peranan ini menyebabkan Islam tersebar luas di Nusantara dan orang Melayu yang pada awalnya berfahaman Hindu, telah memilih Islam sebagai cara hidup. Pusat-pusat pendidikan didirikan seperti surau, madrasah, pondok dan istana juga turut dijadikan pusat keilmuan Islam.

Begitulah besarnya sumbangan kerajaan China terhadap kuasa Melayu Melaka di dunia dan seterusnya Islam dapat berkembang dengan luas tanpa gangguan daripada kuasa lain di Nusantara. Kegemilangan Melaka turut melahirkan tamadun Melayu Islam di rantau Asia Tenggara. Kehebatan ini juga telah mengundang rasa iri hati kuasa Barat kerana Melaka berupaya bersaing dengan tamadun Barat. Oleh itu, kuasa pertama menakluki Melaka adalah Portugis.

Kesimpulannya Melaka tidak akan berkembang jauh lebih maju sekiranya perlindungan kerajaan China tidak diperoleh pada ketika itu. Hubungan akrab ini banyak menguntungkan kedua-dua belah pihak sehinggalah masing-masing menghadapi zaman keruntuhan di bawah kuasa Barat.




Wednesday, November 10, 2010

KEPRIHATINAN LUQMAN AL-HAKIM TERHADAP PENDIDIKAN


'Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya, "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan(Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar" (Luqman: ayat 13)

Ayat ini adalah antara kandungan Surah Luqman yang telah disampaikan oleh Dato' Dr. Siddiq Mohd. Fadhil dalam program ABIM Sabah baru-baru ini, iaitu 'Kuliah Tafsir Maudhu'iy Siri Ke-15'. Kandungan ini menjelaskan bagaimana Luqman Al-Hakim memberi peringatan kepada anak-anaknya tentang pendidikan tawhid iaitu jangan menyengutukan Allah SWT. Beliau amat prihatin agar anak-anaknya terselamat daripada sifat syirik. Kerana syirik itu adalah kezaliman yang amat besar yang dilakukan oleh manusia. Mempersekutukan Allah SWT sangat mengancam kehidupan beragama dalam Islam. Sebab itulah Luqman berkali-kali mengingatkan anak-anaknya jangan terjebak dengan kesyirikan.

Namun hari ini, ibu bapa tidak lagi risau tentang pendidikan anak-anak. Ibu bapa tidak lagi mahu tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak, balik lewat malam atau ke mana pergi anak-anak itu bukan lagi kerisauan besar terhadap para ibu bapa. Pendidikan secara Islam bukanlagi tuntutan besar atau syarat utama untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa akan risau apabila anak mereka tidak cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM, dan STPM, tetapi tidak risau apabila anak-anak mereka tidak tahu ambil air sembahyang, tidak bersolat, tidak puas, tidak menghormati mereka dan pelbagai lagi perlakuan yang tidak melambangkan syariat Islam.

Tetapi Luqman telah lama mengajar manusia serta memperingatkan anak-anaknya supaya patuh dan taat kepada Allah SWT. Pendidikan tawhid yang terkandung dalam Islam sudah cukup memandu manusia mencapai kehidupan yang bermakna dan sempurna. Pendidikan tawhid juga merupakan pembebasan besar terhadap natijah insaniah daripada pelbagai kecelaruan dan kekeliruan dalam hidup.

Luqman juga mengingatkan anak-anaknya agar jangan lalai mengerjakan solat, kerana solat itu banyak membantu manusia dalam menghadapi kehidupan sebagai hamba. Lihat bagaimana Luqman memberi pesanan kepada anak-anaknya;

"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)". (Luqman: ayat 17)

Peringatan Luqman ini amat penting bagi manusia supaya jangan sekali-kali meninggalkan solat, kerana solat itu akan lebih menghampirkan diri kepada Allah SWT. Ia juga merupakan tanda pengabdian yang amat luhur terhadap Maha Pencipta. Solat juga adalah tanda bersyukur oleh al-insan terhadap Allah SWT.

Bagaimana pula ibu bapa hari ini, adakah anak-anak sentiasa diingatkan tentang solat? adakah anak-anak dipastikan bersolat? adakah anak-anak diajak bersolat? atau bagaimana para ibu bapa memberi kefahaman terhadap peri pentingnya solat dalam kehidupan? Luqman telah mengambil tanggungjawab besar terhadap anak-anaknya agar jangan meninggalkan solat, kerana solat itu adalah pokok segala kehidupan supaya anak-anak memahami tugas dan peranan mereka diturunkan ke dunia ini.

Begitulah Luqman mengingatkan anak-anaknya, bahkan kita umat Islam hari ini yang semakin lama semakin jauh dari konsep hidup sebagai hamba yang dijadikan oleh Allah SWT. Marilah kita hayati dan fahami pesan-pesan Luqman ini agar kita tergolong dalam golongan yang diredhai dan diberkati hidup di dunia dan di akhirat.

Wednesday, October 20, 2010

UCAPAN YB TAN SRI PANDIKAR AMIN HJ MULIA YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA 50 TAHUN PARLIMEN MALAYSIA PADA 15 OKTOBER 2010


Bismillahir Rahmaanir Rahiim
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mengadap Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Ampun Tuanku.

Bagi pihak Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia, patik merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua berkenan untuk mencemar duli, berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Sempenan 50 tahun Parlimen Malaysia. Majlis Makan Malam ini merupakan acara kemuncak kepada sambutan 50 Tahun Parlimen Malaysia. Sesungguhnya, dengan keberangkatan Tuanku berdua maka bertambah seri lah Majlis pada malam ini.

Ampun Tuanku.

Patik Mohon perkenan Tuanku untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada dif-dif yang hadir pada malam ini.

Ampun Tuanku.

Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Utama Datuk Zurina binti Kassim.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Rosmah Mansor,

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar bin Dato' Nika Ujang dan Yang Berbahagia Puan Sri Sharifah Rugayah binti Syed Jaffar

Yang Berhormat Dato' Sri Anwar bin Ibrahim Ketua Pembangkang dan Yang Berbahagia Datin Sri Wan Azizah binti Wan Ismail.

Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi Mantan Perdana Menteri Malaysia

Yang Amat Berbahagia Tun-Tun dan Yang amat Berbahagia Toh Puan-Toh Puan.

Yang Berhormat Menteri-Menteri, dan isteri-isteri.

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan isteri-isteri.

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri dan isteri-isteri, Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negara dan dewan Rakyat dan isteri-isteri.

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri dan isteri-isteri.

Yang Berbahagia Mantan ahli-ahli Parlimen Malaysia, Dif-Dif LKehormat; tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian.

Saya memanjatkan kesyukuran yang setinggi-tinggnya ke hadrat Allah Subhanahu Wataala keran dengan limpah rahmat dan izinNya, dapat kita bersama-sama menghadiri Majlis Makan Malam Sempena 50 tahun Parlimen Malaysia, di dalam suasana harmoni dan di dalam keadaan sihat walafiat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Perayaan 50 tahun Parlimen yang telah menyusun beberapa aktiviti bagi menyambut Perayaan 50 Tahun Parlimen Malaysia pada tahun 2009. Ini termasuklah pelancaran duit syiling 50 Tahun Parlimen Malaysia yang telah dilaksanakan pada pertengahan 2009 yang lalu.

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

Saya gembira mendapati kehadiran ramai mantan Ahli-ahli Parlimen di majlis ini. Kehadiran YBhg. Tan Sri, Datuk-datuk, tuan-tuan dan puan-puan mantan ahli-ahli Parlimen memberi makna yang besar kepada kita semua kerana tuan-tuan dan puan-puan, samada dari parti-parti pendokong kerajaan atau penyokong pparti-parti pembangkang, merupakan tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan kelangsungan sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Negara dan rakyat menghargai khidmat bakti dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Pastinya, sejarah akan mengabadikan sumbangan ini untuk tatapan, rujukan dan pedoman generasi yang akan datang. Buat mantan ahli-ahli parlimen yang tidak lagi bersama kita, marilah kita berdoa aggar Allah swt menganugerahkan balasan yang sebaik-baiknya di atas khidmat bakti dan jasa mereka kepada negara.

Bersempena dengan pereistiwa yang bersejarah ini, izinkan saya memetik kata-kata seorang ilmuan,

"Setiap beberapa ratus tahun dalam sejarah dunia, akan berlaku transformasi yang ketara. Di dalam beberapa dekad yang pendek,, masyarakat menyusunatur diri dan pandangannya terhadap dunia; terhadap kesenian; terhadap institusi-institusi penting. 100 tahun kemudian, satu dunia baru muncul. Dan mereka yang dilahirkan pada masa itu tidak dapat membayangkan dunia yang dihuni oleh nenek-moyang mereka dan mutakhir ini mereka tidak dapat membayangkan keadaan dunia kelahiran ibubapa mereka."

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

Saya berharap mesej tersirat kata-kata ini dapat kita hayati. Sesungguhnya keadaan dunia hari ini adalah berbeza dari keadaan dunia 50 tahun dahulu. Sejak lebih 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita telah menyaksikan banyak perubahan-perubahan. Perubahan-perubahan berlaku pada kadar yang jauh lebih pantas jika dibandingkan dengan kurun-kurun sebelum ini. Kemajuan yang dicapai dalam bidang sains dan teknologi telah mengubah cara masyarakat kita menjalani kehidupan seharian.

Sungguhpun demikian, sejauh manapun sains dan teknologi mengubah cara kita berkomunikasi atau mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian, nilai-nilai ketimuran dan sejagat seperti amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab, berbudi bahasa dan pekerti mulia, adalah merupakan nilai-nilai murni yang tidak lapuk dek peredaran zaman dan merupakan pedoman dari dahulu, kini, hinggalah ke masa hadapan yang perlu dipertahankan.

Institusi Parlimen Malaysia mencapai usia 50 tahun pada September tahun lepas. dewan Negara dan Dewan Rakyat bersidang serentak untuk kali pertama pada September 1959. Kita berbangga dengan khidmat cemerlang yang telah dimainkan oleh pemimpin-pemimpin negara dan wakil-wakil rakyat yang terdahulu daripada kita. sejarah merakam dan mengabadikan jasa bakti mereka. Tetapi pada hemat saya, tidak kurang pentingnya atau lebih penting lagi adalah peranan sebagai wakil rakyat yang akan diteruskan oleh ahli-ahli Yang Berhormat yang berkhidmat pada masa ini.

Dengan dapat menghayati intipati kata-kata seorang ilmuan yang saya petik sebentar tadi, saya berharap kita akan dapat membaharuio silatturrahim dan persahabatan di antara satu sama lain sambil mengenang kembali akan peristiwa-peristiwa asam manis yang telah berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia sejak 50 tahun yang lalu. Saya percaya, banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh dikongsi bersama demi untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi berparlimen untuk kesejahteraan tanahair kita yang tercinta.

Peranan inilah yang perlu diberi perhatian dan penekanan kerana ianya perlu dilaksanakan secara beretika dan penuh bertanggungjawab demi untuk memastikan institusi Parlimen ini akan terus subur untuk 50 tahun yang akan datang. Hanya dengan kesedaran untuk memikul dan melaksanakan peranan ini dengan penuh tanggungjawab dan beretika, maka kita akan terus dapat membincangkan dan mengambil ketetapan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Biarlah kita mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza mengenai hal-hal tertentu, tetapi pastikan bahawa perbezaan ini akan menyuburkan lagi sistem demokrasi berparlimen di negara ini, dengan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan beretika.

Sistem demokrasi berparlimen dan Raja Beperlembagaan yang kita dokong selama lima dekad ini telah memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh rakyat Malaysia. Mariulah kita bertekad untuk terus mempertahankan institusi Parlimen kita ini dengan cara kita yang telah terbukti kejayaannya, agar ianya terus memberi kesejahteraan kepada rakyat negara kita, Insya Allah.

Ampun Tuanku,

Sekian sahaja sembah ucapan patik pada malam ini dan patik sudahi dengan ucapan wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Monday, October 18, 2010

Ucapan Dasar Tun Datu Mustapha Pada Perhimpunan Agong USNO Ke 21 (28 - 29 November 1987: Berkaitan Kemasukan UMNO Ke Sabah) (Siri 3)



Datuk Pengerusi, tuan-tuan dan paun-puan para hadirin yang saya hormati sekalian.

Dengan penjelasan saya itu tadi, di manakah yang betul? Saya campur di dalam pilihanrayapun salah, dan saya tidak campur juga salah. Oleh yang demikian, saya serahkan perkara ini ke atas kebijaksanaan dan pertimbangan tuan-tuan dan puan-puan.

Datuk Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan, para perwakilan yang saya hormati sekalian.

Di sini, saya ingin berpesan dan memberi ingatan ddi dalam soal ini hendaklah ditimbang, dikaji dan ditapis sedalam-dalamnya sama ada keputusan Bahagian, Cawangan dan ahli-ahli UMNO mengatakan bersetuju atau tidak atas rancanngan percantuman dua parti itu. Dan tidak payah para perwakilan bertanya kepada saya, sama ada baik atau tidak, manakala terwujudnya. Jawapan saya, tidaklah boleh mengatakan baik atau tidak kerana perkara ini kita semuanya belum ketahui dan merasainya sebab belum berlaku. Tetapi, pada hakikatnya, adalah baik untuk perpaduan Bumiputra khasnya dan rakyat Malaysia, amnya.

Datuk Pengerusi Majlis, sebelum saya mengakhiri kata-kata saya ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Pengerusi. Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pergerakan Pemuda USNO, Pergerakan Wanita USNO, para pemerhati USNO dari keseluruhan Bahagian, para pemerhati seterusnya pada hadirin yang dihormati sekelian amnya dan Y.A.B. Datuk Presiden UMNO yang sudi dan bermurah hati menghantar Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, yang telah bersusahpayah sama ada datangnya dari jauh mahupun dekat kerana menghadiri ke Majlis Mesyuarat Perhimpunan Agung Tergempar pada hari ini. Semoga Allah menurunkan rahmatnya ke atas kita keseluruhannya, negeri kita Sabah, khasnya dan negara kita Malaysia, amnya.

Sekian.
Wabiluallahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saturday, October 9, 2010

Ucapan Dasar Tun Datu Mustapha Pada Perhimpunan Agong USNO Ke 21 (28 - 29 November 1987: Berkaitan Kemasukan UMNO Ke Sabah) (Siri 2)


Saya sedar dan faham bahawasanya pada Perhimpunan Mesyuarat Agung USNO yang berlansung paada 25hb dan 26 hb Oktober. Majlis Perhimpunan Agung itu, para perwakilan telah mengambil ketetapan dan keputusan memberi mandat kepada Presiden, mandat yang bertandatangan yang maksudnya memberi kuatkuasa kepada Presiden USNO iaitu apa jugalah keputusan dan diputuskan oleh Presiden USNO, maka muktamad. Di sini, saya ingin memberi perhatian kepada tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan dan para pemerhati. Saya rasa tidaklah waras pada diri saya mengambil satu-satu keputusan atas soal USNO bercantum atau bergabung dengan UMNO dengan begitu sahaja. Kerana soal ini, adalah sangat-sangat berlainan daripada soal yang lain. Umpamanya, seperti penyerahan Pulau Labuan yang mana diputuskan oleh seorang dua sahaja, kerana tanah daratan Sabah ini kalau saya tidak silap 90 atau 100 kali ganda besarnya darripada Pulau Labuan. Di samping itu juga, ahli-ahli parti USNO ini bukannya sahaja terdiri daripada keturunan Bajau, Brunei, Bisaya, Kedayan, Suluk, Benadan, Ubian, Sonsogon, Tagibang, Murut, Kadazan, Dusun, Dusun Banggi, Kuijau, Balabak, Sunagi, Jawa, Banjar, Tidung, Bugis, Te morist, Keling, Benggali dan sebagainya. Jadi dalam pendapat saya, saya tidak berhak memberi keputusan kepada parti UMNO sama ada bersetuju atau pun tidak. Pendek kata, ahli-ahli USNO keseluruhannya sehingga budak kecil yang mempunyai fikiran adalah berhak memberi pandangannya. Lebih jelas lagi saya mengatakan di sini, saya sebagai Presiden USNO tidaklah hanya mengambil kira atau menitik beratkan satu kaum atau satu puak sahaja, sebabnya saya sedar, misalannya, satu puak atau satu kaum sahaja membuat keputusan dalam soal ini. Kalaulah kiranya perkara ini tidak akan mendatangkan hasil yang memberi munafaat kelak, maka semua kaum juga akan menderita. Dari itu, tuan-tuan dan puan-puan, saya juga akan dikecam oleh orang-orang Sabah hingga kejenerasi yang akan datang. Contohnya: Pada Pilihanraya Umum di Sabah di dalam tahun 1976 yang mana parti USNO hanya mendapat 20 kerusi dan telah kalah, maka ada pula pihak-pihak yang tertentu di dalam negeri Sabah ini mencerca dan mengecam saya, kononnya, saya tidak lagi diingini oleh rakyat Sabah. Kemudian, pada Pilihanraya Umum negeri Sabah ini pada tahun 1981, pada ketika itu saya tidak menyertainya dengan sebab-sebab yang tertentu. Malangnya, USNO ditimpa oleh kekalahan yang teruk iaitu hanya mendapat tiga kerusi, saya juga yang menjadi sasaran dibuah mulut mereka ya ng sama. Kononnya; sayalah seorang yang tidak bertanggungjawab dakwa mereka itu, kononnya; saya hanya berfoya-foya bersenang-lenang dengan keluarga saya di luar negeri. Pada tahun 1985 sekali lagi di adakan Pilihanraya Umum di negeri Sabah dan pada ketika itu saya ikut bersama atas permintaan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Parti USNO untuk mengetuainya, dengan takdir Allah Subhanahu wataala, maka Parti USNO mendapat kemenangan 16 kerusi. Ini juga saya dicerca dan dikecam oleh pihak-pihak yang sama, mengatakan seperti berikut: Orang tua yang tamak pangkat itu masih juga campur, kalaulah orang tuan itu tidak campur sudah tetap Parti USNO boleh mendapat 22 kerusi. Pada Pilihanraya tahun ini, 1986, saya tidak menyertainya, maka Parti USNO hanya mendapat 12 kerusi, tiba-tiba dua orang daripada 12 itu meninggalkan Parti USNO. Jadi, Parti USNO hanya tinggal 10 orang Ahli Dewan Undangan egeri Sabah hinggalah kehari ini. Ini juga saya dikesal, dicerca, dikecam dengan perkataan yang buruk disebarkan oleh pihak-pihak yang tertentu, kononnya: Saya tidak mengindahkan Parti USNO berseronok di luar negeri dan sebagainya. (bersambung)

Friday, October 1, 2010

Ucapan Dasar Tun Datu Mustapha Pada Perhimpunan Agong USNO Ke 21 (28 - 29 November 1987: Berkaitan Kemasukan UMNO Ke Sabah) (Siri 1)


Bismillah Hirrahman Nirrahim
Alhamdulillah Hirabil Alamin. Ahmadullahu Taala Wa-Ussalli Wa-Ussallimu Ala Asrapil Anbia Walmursalin Saidina Muhammadin Waala Alihi Wasahbihi Limandaa Beda'Watika Ila Yaumeddin.

Yang Berbahagia Datuk Pengerusi Tetap Persidangan USNO seluruh Sabah.
Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran Malaysia dan mewakili Y.A.B. Presiden UMNO.
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Malaysia.
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO
Ahli-Ahli Yang Berhormat
Pergerakan Pemuda USNO, Pergerakan Wanita USNO
Datuk-Datuk dan Datin-Datin,
Para Perwakilan dari Seluruh Bahagian
Para Pemerhati,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala dan dengan Qudrat Iradatnya membolehkan kita kesemuanya berhimpun pada pagi ini di dalam majlis yang mulia dan yang bersejarah.

Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di dalam majlis Mesyuarat Perwakilan yang tergempar pada hari ini, dan faham betapa masalahnya yang harus diuruskan untuk datang ke Kota Kinabalu. Inilah kali yang keduanya di dalam tahun ini tuan-tuan dan puan-puan telah membuat pengorbanan yang besar untuk menghadiri persidangan mesyuarat USNO yang terpenting sekali dan bersejarah ini. Pada kali yang pertama telah diadakan Mesyuarat Agung USNO pada 26 hb dan 27 hb Oktober tahun ini dan ini pula kali yang kedua diadakan Mesyuarat Perwakilan USNO yang tergempar. Pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan ini adalah yang sangat berat kerana datang berduyun-duyun ke Kota Kinabalu dengan perbelanjaan tambang menambang kenderaan, bayaran penginapan dan sebagainya, kan halnya saya memang sedia maklum, bukan sahaja perekonomian tuan-tuan dan puan-puan telah merosot tetapi juga hampir-hampir 'O' sedangkan perekonomian Negara pun telah merosot ke tahap yang rendah disebabkan pengeluaran barangan mentah dan komiditi negara kita telah merosot harganya di pasaran dunia dan pengangguran juga banyak bilangannya. Oleh yang demikian, sudah pada tempatnya kalaulah saya mengucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, syabas ! atas keazaman dan keteguhan semangat perjuangan tuan-tuan dan puan-puan terhadap parti kita USNO yang kita cintai ini bukan sahaja saya sanjung tinggi tetapi juga akan tercatit di dalam lembaran sejarah yang akan kita perturunkan kepada anak, cucu, cicit, keturunan dan seterusnya di negara Malaysia ini, khasnya dan mungkin keseluruhan dunia amnya.

Datuk Pengerusi Majlis, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Izinkan saya berucap membawa tuan-tuan dan puan-puan kepada perkara dan maksud yang akan kita bincangkan bersama di dalam majlis ini iaitu tujuan dan topiknya ialah berkenaan dengan ura-ura percantuman dan penggabungan Parti UMNO (Parti yang terbesar dan yang mendukung Kerajaan Persekutuan Malaysia) dengan Parti USNO yang mana tuan-tuan dan puan-puan telah sedia maklum perkhabaran ke sini sana di dalam masa satu dua bulan ini yang begitu hebohnya. Ura-ura atas tujuan yang tersebut, ada pula segelintir orang-orang di negeri Sabah ini telah pun membentuk Protem Comittee dengan sibuknya menaja Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan UMNO. Kita sendiri pun tidak tahu menahu. Tetapi tidak apalah, itu adalah urusan mereka. Sama ada mendapat tauliah atau mandat daripada Ibu Pejabat UMNO atau tidak, adalah hal mereka. Hanya apa yang saya ketahui, adalah mereka yang tertentu di dalam keadaan 'Desperate' kerana ketiadaan tempat di dalam mana-mana parti politik pun di dalam negeri Sabah ini disebabkan pendirian mereka kurang stabil, dari mulanya negeri Sabah ini berpolitik.

Datuk Pengerusi, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, soal dan perkara yang kita bincangkan ini, pada diri saya sendiri adalah saya sifatkan satu-satunya perkara ini yang terbesar dan berat sekali daripada perkara-perkara yang sudah-sudah berlaku selama ini, dan soal ini pada hemat saya adalah seakan-akan serupa dan sama seperti masa pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 16hb Januari, 1962 dan sekurang-kurangnya mengambil sedikit masa. Saya berkata demikian dan menggambarkannya ialah soal percantuman atau pergabungan di antara UMNO dan USNO bukanlah perkara yang boleh diputuskan oleh Presiden USNO seorang atau oleh Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USNO. Bahagian-Bahagian USNO dan Cawangan-Cawangan USNO seluruh Sabah, tetapi juga perkara ini adalah meliputi keseluruhan ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO, agak keterlaluan kalaulah saya katakan sedangkan budak-budak kecilpun harus terlibat. Kerana perkara ini adalah satu perkara yang bukan sahaja orang-orang kita yang dewasa dan anak-anak kecil, juga harus diperhitungkan, kerana merekalah yang akan mewarisinya dari jenerasi ke jenerasi yang akan datang. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan para hadirin di dalam majlis yang sangat-sangat bersejarah ini iaitu janganlah tergopoh gapah mengambil keputusan sebelumnya berunding dengan rakan-rakan tuan-tuan dan puan-puan di peringkat Bahagian, Cawangan dan seterusnya ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO kerana perkara ini tidak dapat dinafikan sekiranya rancangan ini terwujud perlaksanaannya, maka dalam pendapat saya, sekiranya tujuan ini membawa kepada hasil yang baik dan kebahagiaan, maka kita kesemuanya bersyukur kepada Allah Subhanahuwataallah dan kesyukuran yang tidak terhingga atas rahmat Tuhan yang menurunkan ke atas hamba-hambaNya khasnya, ahli-ahli USNO dan amnya, rakyat Sabah. Disebaliknya pula, jikalaulah percantuman atau pergabungan ini hasilnya tidak sebagaimana yang diidam-idamkan dan diharap-harapkan, maka tidaklah salah kalau saya katakan ianya akan menjadi penyesalan yang tidak berguna. Inilah makanya kita mengadakan Mesyuarat Tergempar untuk membincangkan mengenai soal tersebut dan seterusnya melibatkan kepada semua kaum di dalam Parti USNO. Dari itu, saya mencadangkan Majlis Perhimpunan kita pada hari ini, tidaklah bijak mengambil keputusan hanya setakat di sini sahaja atau diperbincangkan pada hari ini sahaja, tetapi ada baiknya kita tangguhkan selama 2 - 3 hari untuk tuan-tuan dan puan-puan berfikir dan pada perjumpaan kita yang akan datang yang kedua itu juga tidaklah berapa waras Majlis Tergempar ini membari keputusan, melainkan kita masing-masing balik ke Bahagian dan Cawangan masing-masing sebagaimana yang saya sebutkan tadi.

Pendapat atau cadangan saya ini adalah merupakan satu-satunya menjadi beban besar kepada tuan-tuan dan puan-puan dan para perwakilan untuk melaksanakannya. Tetapi, jangan lupa, apa-apa juga pekerjaan atau perbuatan, katalah memasak makanan di dapur kalaulah kita tidak bersusahpayah tidak membasuh beras, tidak memasak sayur, lauk dan sebagainya, sudah seharusnya kita tidak boleh memakannya. Begini jugalah perkara yang penting ini, kalau kita tidak berfikir betul-betul dan bersusahpayah, maka akibatnya akan menjadi penyesalan daripada saat-saat itu hinggalah ketamatnya dunia ini.(bersambung)

Monday, September 13, 2010

Minda Iranun Kini

Apabila membicarakan soal perubahan dan anjakan paradigma, maka semua lapisan masyarakat akan turut terlibat. Globalisasi yang berlaku kini merupakan satu cabaran baru yang terpaksa diterima oleh semua golongan dan kumpulan.

Dalam hal ini, Iranun tidak terkecuali daripada arus perubahan ini dan mahu tidak mahu terpaksa bertarung dengan cabaran ini. Proses globalisasi ini memerlukan daya saing serta nilai upaya yang tinggi.

Orang Iranun kini perlu dan wajib keluar daripada gaya berfikir secara 'kampungan' atau 'makan asal hidup'. Istilah ini mestilah dilontar jauh-jauh ke sudut dunia fata morgana yang tidak wujud dalam realiti kini.

Melihat kepada persoalan ini, orang Iranun adalah masyarakat yang amat sensitif dalam pelbagai hal, apa lagi sekiranya isu yang diperdebatkan itu menyentuh sensitiviti masyarakat itu sendiri, maka ianya tidak akan selesai dalam jangka waktu yang singkat.

Antara perkara utama yang amat sensitif dalam pola pemikiran Iranun ialah;

1. Persoalan Bangsa.

Pada pandangan orang Iranun bangsa adalah perkara penting dalam menentukan jati diri Iranun itu sendiri. Persoalan ini juga turut dipertahankan oleh semua bangsa dalam dunia ini, namun orang Iranun amat kuat sifat kebangsaannya walaupun ada segelintir kini yang tidak lagi mempedulikan persoalan ini terutama apabila berlakunya migrasi dari desa ke kota, dan perkahwinan campur. Bagi yang terlibat dalam migrasi dari desa ke kota, ianya telah menerima 'shocke culture' atau kejutan budaya. Gejala ini sungguh merimaskan serta menggerunkan dan sehingga melesapkan nilai-nilai mulia yang dimiliki oleh orang tua-tua dahulu zaman berzaman.

Orang tua-tua dahulu meletakkan jati diri bangsa dihadapan sebagai wadah perjuangan dan perkara ini cuba dipertahankan. Namun dalam hal ini, orang Iranun perlu menerima hakikat bahawa masyarakat lain adalah penting dalam mencapai hasrat tersebut. Dunia kini sudah jauh berubah dan setiap etnik tidak boleh lagi berdiri sendiri tanpa kebersamaan etnik yang lain dan begitu juga etnik Iranun.

Oleh itu, etnik Iranun perlu menerima hakikat ini dan terus mengukuhkan hubungan dengan etnik-etnik yang terdapat dalam negara ini tanpa sikap prejudis. Hanya ini sahaja jalannya untuk Iranun kekal dan dapat mengangkat martabatnya seiring dengan bangsa lain.

2. Agama

Orang Iranun adalah antara penganut terawal Islam di nusantara. Pengislaman etnik Iranun di Selatan Filipina sekitar 1400-an oleh Syarif Awliya dan Syarif Miraja membuktikan bahawa Iranun telah menerima tarbiyah Islami seperti di Melaka, Ahceh dan Brunei.

Sentimen agama sudah berakar lama dalam masyarakat ini. Penentangan terhadap kolonial Barat juga adalah bersandarkan Islam selain kepentingan ekonomi. Antara faktor utama orang Iranun lambat menerima sistem pendidikan ala Barat ketika penjajahan ialah risau tentangan serangan 'aqidah' oleh Barat.

Pada masa kini orang Iranun sebahagiannya terus mempertahankan sikap beragama walaupun ada sudah yang berubah dalam menanggapi 'Islam is way of life'. Golongan yang mempertahankan 'Islam and civilization' ini cuba mengukuhkan kedudukannya dalam masyarakat Iranun.

Faktor ini banyak merubah dimensi pemikiran Iranun kini dan pertembungan telah berlaku antara 'Islam pragmatik dengan Islam Liberal' dalam masyarakat Iranun, dan tidak juga dinafikan tentang 'Islam Otodork' yang cuba mengekalkan faham yang mencampurkan antara khurafat dan Islam.

3. Faktor Ekonomi

Corak kehidupan etnik Iranun sejak dari dulu lagi banyak dipengaruhi oleh persekitaran laut. Ketika era keterlibatan Iranun dalam sektor ekonomi di Nusantara, mereka telah menjejaki beberapa pelabuhan tersohor di Nusantara dan melibatkan diri dalam perdagangan hamba.

Setelah Barat memulakan penjajahan, maka orang Iranun mula mengalihkan kegiatan mereka dengan menyerang pihak Barat sama ada mengambil upah (tentera upahan) daripada kerajaan-kerajaan Nusantara untuk menyerang Barat atau ketika berlaku pertembungan di laut.

Selepas itu, mereka mula bergiat di daratan dengan membuka penempatan baru sebagai petani dan nelayan. Namun sejak dari dahulu lagi belum ada orang Iranun yang berjaya dalam kedua-dua sektor ini. Sedangkan orang Iranun adalah antara etnik yang mahir di laut dan juga telah membuka kawasan-kawasan tanah yang sesuai untuk pertanian.

Melihat kepada senario ini dari dulu hingga kini, rupanya orang Iranun ada satu sikap yang disebut di atas 'makan asal hidup'. Tiga perkataan ini telah menjadikan orang Iranun kurang usaha, kurang daya saing, tidak kreatif dan tidak ada strategi.

Namun kini, orang Iranun mula mengorak langkah dan cuba keluar daripada kepompong pemikiran silam. Anjakan paradigma terus bergerak walaupun secara perlahan. Para peniaga Iranun cuba membawa satu gaya berfikir dengan menyertai pelbagai sektor dan termasuklah pengkorpratan, cuma mereka belum sampai kepada sistem konsortium.

Satu perkara penting juga yang perlu dilihat oleh peniaga-peniaga Iranun ialah mengaktifkan sistem ekonomi kampung dan di mana banyak tanah-tanah masyarakat yang terbiar tanpa diusahakan secara maksima. Para peniaga ini mesti memecahkan kebuntuan ini dan terus memikirkan strategi atau pelan pembangunan yang sifatnya lebih komprehensif. Apa kata para peniaga ini melakukan ledakan ekonomi secara integral di bawah satu organisasi iaitu 'Sabah Iranun Development Centre' atau SIDC?

4. Politik

Persoalan politik sering menjadi tumpuan besar dalam masyarakat Iranun, seolah-olah politik adalah segala-galanya. Apabila berbicara soal masyarakat, maka tidak sah sekiranya tidak ada politik. Adalah tidak dinafikan tentang peranan politik dalam pembangunan masyarakat, namun sistem berpolitik yang sifatnya kondusif adalah amat perlu.

Dewasa ini orang Iranun juga turut memainkan peranan dalam politik setempat, negeri atau negara.

Kekadang ada pemikiran yang terlalu mengecilkan ruang lingkup politik Iranun dalam konteks yang terlalu terpinggir. Sewajarnya corak politik Iranun mestilah bersifat global dengan mendasari arus perubahan yang berlaku sama ada dalam ruang lingkup pemerintah atau pihak pembangkang.

Politik kampungan hendaklah ditinggalkan, dan orang Iranun harus bersedia untuk berubah dan berkongsi kejayaan dengan etnik-etnik lain. Etnik Iranun tidak akan mencapai kejayaan secara sendirian sekiranya tidak mengwujudkan kerjasama dengan etnik lain. Politik 'win win situation' amat perlu dalam pemikiran politik Iranun.

Pada masa kini idea ini sedang dicanangkan oleh Tan Sri Pandikar Amin sebagai satu gagasan besar dalam era politik global. Beliau selaku pemikir perancang telah melihat aspek ini lebih dulu lagi. Walau pun dilihat ada beberapa tindakan beliau yang sukar dijangkau oleh pemikiran biasa dan selalu difikirkan telah membelakangkan dasar awal, namun sebenarnya beliau cuba membawa satu wajah baru dalam dimensi politik Iranun dengan menekankan 'win win situation'.

Kemunculan gagasan baru ini atau sebenarnya bukan baru, telah dipengaruhi oleh perubahan politik nasional terutama dalam politik pihak pembangkang. Ramai generasi kini melihat perubahan mestilah selari dengan perubahan nasional dan internasional.

5. Bidang Pendidkan

Dalam bidang pendidikan etnik Iranun tidak ketinggalan, dalam masyarakat Iranun ada lima buah sekolah rendah iaitu SK Rampayan Ulu, SK Keguran, SK Nanamun, Sk Tamau dan SK Peladok. Manakala sekolah menengah ada dua iaitu SMK Usukan dan SMK Taun Gusi walau pun bercampur.

Oleh itu, proses ini berlaku dengan lancar dan ramai anak-anak Iranun yang sudah berjaya dalam pendidikan dan ramai yang sudah menjadi graduan cuma belum ada data secara terperinci.

Dalam hal ini, hanya peranan ibubapa sahaja yang diperlukan agar anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Sektor pendidikan ini banyak menyumbang kepada pembangunan etnik Iranun dan merubah pemikiran masyarakat. Oleh itu, bidang ini mestilah dimurnikan agar ianya berjalan dengan baik serta berterusan.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, etnik Iranun dalam rumpun Melayu ini mesti sedar dan berubah serta menerima hakikat tentang realiti kini bahawa etnik ini bukan lagi bersaing dengan etnik minoriti di Sabah sahaja tetapi bersaing dengan masyarakat di seluruh dunia.

Gaya berfikir orang Iranun hendaklah sentiasa di-upgrade-kan agar etnik ini sentiasa melihat ke hadapan dan bersedia untuk menerima sebarang perubahan yang bersifat drastik. Sifat menyendiri mestilah dilontar jauh-jauh supaya Iranun sentiasa beroleh manfaat dari semuanya.

Sunday, September 5, 2010

Hari Raya: Peluang Bermaaf-Maafan


Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan 1 Syawal iaitu hari semua umat Islam akan bergembira. Setelah satu bulan mengharungi cabaran Ramadhan dengan penuh istiqamah, maka sudah tiba masanya hari penuh bersejarah ini disambut dengan rasa gembira dan kesyukuran.

Hari yang berbahagia ini, menyediakan banyak peluang kepada umat Islam untuk menghulurkan tangan persaudaraan seIslam. Persaudaraan yang akan mengembalikan manusia kepada sifat bermaaf-maafan, melupakan segala sengketa, meluhurkan hati, melapangkan dada, dan menghiasi diri dengan penuh takwa.

Islam menyediakan peluang bermaaf-maafan sekiranya berlaku keterlanjuran kata antara sesama Islam, dengan harapan agar hubungan ukhuwah Islamiyah kekal selamanya. Allah SWT tidak pernah membezakan antara sesama Islam kerana perbezaan pendapat, warna kulit atau bangsa, dan yang akan menentukan status manusia itu ialah 'taqwa'.

Macam mana individu itu beroleh pelbagai kejayaan sekali pun dalam kehidupan duniawi ini, namun sekiranya dia gagal menjaga ketaqwaannya kepada Allah SWT, maka manusia itu masih lagi gagal mencapai kejayaan yang hakiki. Lihat bagaimana Allah SWT mengangkat Bilal bin Rabah' sebagai manusia yang mulia. Ketika ar-Rasul saw dibawa melawat Syurga semasa Israq Mikraj, ar-Rasul saw telah diperlihatkan tentang sebuah bangunan yang cantik, apabila baginda bertanya kepada Malaikat Jibril'siapa pemiliknya, Malaikat jibril memberitahu bahawa bangunan itu dimiliki oleh Bilal bin Rabah'.

Bilal bin Rabah' yang berbangsa Habsiy tetap diberi keistimewaan oleh Allah SWT kerana 'taqwa' yang dia miliki. Bagaimana pula kehidupan kita hari ini yang jauh berbeza dengan suasana Bilal bin Rabah'. Bukan bererti kita mesti berbuat seperti Bilal bin Rabah', tetapi memadailah kita meningkatkan taqwa kita kepada Allah SWT.

Oleh itu, Madrasah Ramadhan yang tidak lama lagi akan meninggalkan kita ini, wajar dijadikan sebagai titik tolak dalam melakukan perubahan terhadap diri. Jika selama ini, kerja kita mengata, mengumpat, mencaci, menghina atau apa sahaja sifat-sifat Mazmumah yang menjadi amalan kita, maka kita wajib tinggalkannya, dan mengambil sifat Mahmudah sebagai galang ganti kepada sifat Mazmumah.

Satu Syawal adalah dunia baru untuk menanamkan azam melakukan perubahan dengan mengukuhkan ikatan silaturrahim. Berlapang dadah, sentiasa bermujahadah dan bersikap pemurah menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja sama ada kawan atau pun lawan. Ambil sikap sepertimana Salahuddin al-Ayubi ketika Perang Salib berlaku antara umat Islam dan Kristian, di mana pada suatu ketika Panglima Lion Richard, jatuh sakit dan tidak dapat keluar berperang. Lalu Salahuddin al-Ayubi mengisytiharkan pada hari itu cuti kerana Panglima Lion Richard jatuh sakit dan beliau mahu menziarahinya. Setelah memasuki khemah Lion Richard, Salahuddin al-Ayubi mendoakan beliau agar cepat sembuh dan dapat berperang semula.

Tindakan Salahuddin al-ayubi ini menggambarkan, betapa Islam itu menghormati semua golongan sama ada musuh atau sesiapa sahaja. Kalaulah dalam kehidupan ini, kita meletakkan Islam itu sentiasa di hadapan, maka masyarakat akan sentiasa harmoni.

Hari Raya inilah akan kita lihat bagaimana semua kaum, bangsa atau pelbagai golongan akan bergembira sebagai tanda bersyukur. Jangan pula Hari Raya yang mulia ini kita hiasai dengan kegiatan-kegiatan yang berbentuk maksiat dan mungkar. Hari Raya Adildil Fitri ini adalah anugerah Allah SWT kepada hambanya yang bertaqwa. Jadikanlah Hari Raya ini untuk kita semakin hampir dan dekat dengan Allah SWT.

Friday, August 27, 2010

Lembu: Masalah Masyarakat di Kota Belud

Masalah lembu yang berlaku di daerah Keningau itu (Sabah Times), turut juga berlaku di daerah Kota Belud. Saya sebagai salah seorang pengguna jalanraya di Kota Belud, turut terpanggil untuk menyatakan masalah yang sama berkaitan lembu berkeliaran.

Di Pekan Kota Belud, lembu merupakan salah satu pelawat utama dengan mengunjungi pasar besar yang banyak meninggalkan sisa-sisa sayuran yang menjadi kegemaran binatang tersebut. Binatang ini juga turut menjejaskan kebersihan pekan Kota Belud selain boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Masalah lembu ini sudah lama diutarakan oleh para peniaga di pekan Kota Belud, selain pengguna jalanraya. Pelbagai pendekatan digunakan untuk menghalang lembu-lembu ini memasuki pekan tersebut. Sejak akhir-akhir ini pihak Majlis Daerah Kota Belud telah berusaha untuk mengatasi masalah lembu masuk pekan, tapi apa yang diperlukan ialah kerjasama para penternak di sekitar pekan ini.

Selain kebersihan dan keselamatan, lembu juga turut mencemarkan pemandangan pekan sekitar Kota Belud. Pekan Kota Belud yang mahu dijadikan pekan pelancongan perlu kepada persekitaran yang cantik, indah dan ceria agar para pengunjung yang datang melawat Kota Belud memperoleh kepuasan ketika melawat pekan ini.

Selain lembu, kerbau juga menjadi masalah keselamatan pengguna jalanraya terutama laluan utama jalan lintas ke Kudat. Seorang pengguna jalan raya bernama Mursid Nanang telah melanggar seekor kerbau pada waktu malam tahun lalu di jalan tersebut. Akibatnya kenderaan beliau telah mengalami kerosakan yang teruk dan hampir-hampir mencederakan beliau sendiri dan kesannya beliau terpaksa membelanjakan lebih RM2,000.00 untuk memperbaiki kerosakan terhadap kenderaannya.

Satu lagi peristiwa yang berlaku ditempat yang sama, di mana sebuah Van Nissan Vanate telah melanggar seekor kerbau pada tahun lalu lebih kurang jam 10.30 malam. Kebetulan saya dalam perjalanan balik kampung dari Kota Kinabalu. Akibatnya Van tersebut telah mengalami kerosakan yang teruk dan berlaku sedikit kecederaan.

Banyak lagi kes-kes yang berlaku sebelum ini di Kota Belud dan ada yang mengakibatkan kematian. Tetapi para penternak langsung tidak ada rasa prihatin terhadap masalah ini. Selain kematian yang berlaku, kerugian juga turut dialami oleh kedua belah pihak. Seekor lembu boleh berharga lebih kurang RM2,000.00.

Untuk mengatasi masalah ini pihak Jabatan Haiwan, Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah, Majlis daerah serta Wakil Rakyat turut memainkan peranan utama agar masalah lembu berkeliaran di daerah ini dapat di atasi dan Kota Belud boleh muncul sebagai Pekan Pelancongan menjelang 2020.

Thursday, August 26, 2010

Kisah Dua Beranak Dengan Seekor Keldai


Dikisahkan oleh beberapa pencerita yang melibatkan dua beranak dengan seekor keldai, di mana tujuan dua beranak ini ialah mahu menguji tentang sikap manusia dalam melihat pelbagai keadaan dan peristiwa yang akan berlaku ke atas mereka, di mana mereka berdua pun memulakan perjalanan dengan melintasi;

Kampung A

Ketika mereka melintasi kampung A, sianak tengah menunggang keldai tersebut dan sibapa menonton atau menarik keldai tersebut dengan berjalan kaki, ketika penduduk kampung A melihat peristiwa tersebut, mereka mengherdik sianak, kenapa dia yang naik keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki, ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak menghormati ibubapa.

Kampung B

Setelah melintasi kampung A, mereka menukar kedudukan pula, di mana sibapa pula yang menunggang keldai tersebut. Apabila mereka melintasi kampung B, penduduk di situ terus mengherdik sibapa pula, kenapa anak yang masih kecil lagi itu dibiarkan berjalan kaki sedangkan sibapa lebih besar daripada anak itu dan sepatutnya sianak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati perut.

Kampung C

Kini mereka berdua pula akan melintasi kampung C, kali ini dua beranak tersebut menunggang keldai tersebut, bila mana dilihat oleh penduduk kampung C, maka penduduk di situ terus mengherdik mereka berdua 'betapa teruknya dua beranak itu kerana menunggang berdua keldai yang kecil itu, mana mungkin keldai kecil itu boleh menanggung beban dua beranak tersebut', tiada berakal keduanya.

Kampung D

Pada kali ini mereka berdua tidak menunggang keldai tersebut dan hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang, namun apabila mereka melintasi kampung D mereka diherdik lagi oleh masyarakat di situ, kenapa mereka membiarkan keldai itu tidak ditunggangi, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat yang sedia ada.

Kampung E

Kampung E adalah kampung terakhir, pada kali ini dua beranak tersebut tidak menunggang, atau tidak juga membiarkan keldai tersebut berjalan sendirian, tetapi mereka memikul keldai tersebut. Apabila mereka melintasi kampung E mereka diherdik teruk dan dikatakan bodoh, kerana tidak menunggang keldai tersebut bahkan memikulnya pula, bukankah itu tindakan yang tidak masuk akal memikul keldai.

Di akhir ekspedisi dua beranak itu, lalu sibapa menjelaskan kepada anaknya, apa yang dilihat, didengar, dan dialami tadi merupakan sikap manusia yang tidak akan merasa senang dengan orang lain. Selain itu, manusia juga akan sentiasa mengata dan mengata, mengkritik dan terus mengkritik walau apa sahaja yang kau lakukan, sama ada berbentuk kebaikan atau sebaliknya.

Oleh itu, kita tidak heran dengan kedudukan msayarakat hari ini, mungkin mereka perlu maklumat, mahu memperbaiki, mahu membantu, mahu menegur dengan harapan berlaku sebarang perubahan. Oleh itu, kita kena positif dan berlapang dada kepada sesiapa sahaja kerana itu haknya untuk menegur, tapi biarlah bersopan, berbudi bahasa, ikhlas dan bukan berdasarkan ada kepentingan peribadi.

Wednesday, August 25, 2010

Bahasa Jiwa Bangsa



Bahasa Jiwa Bangsa, demikianlah bidalan Melayu yang selalu diungkapkan sebagai lambang jati diri sesuatu bangsa. Tapi hari ini, bidalan atau perumpamaan yang penuh makna ini tidak lagi menjadi identiti generasi kini. Jauh di sudut hati mereka untuk mengungkapkan kata-kata penuh makna ini. Kita lihat macam mana bezanya generasi dulu dengan generasi kini;

Generasi Dulu;

Titah mereka, titah bernada
Bicara mereka, penuh bermakna
Adab mereka, adab aulia
Langkah mereka, langkah panglima
Marah mereka, marah murka
Tegur mereka, tegur berhemah
Nasihat mereka, penuh berhikmah
Jiwa mereka, jiwa perwira
Hati mereka, penuh mulia

Generasi Kini;

Titah mereka, titah dusta
Tegur mereka, tegur menghina
Marah mereka, umpama api neraka
Nasihat mereka, penuh amarah
Jiwa mereka, gundah gulana
Hati mereka, cukup tersiksa
Hujah mereka, cukup terasa
Adab mereka, tiada sembah
Langkah mereka, langkah sandiwara
Jasad mereka, cukup terdera
Hiudp mereka, di alam maya

Kalau betul, kenapa bercelaru?
Kalau salah, di mana punca?
Kalau tak tahu, kenapa membisu?
Kalau tak faham, kenapa tak bertanya?

Demikianlah generasi dahulu membina budaya dan tamadunnya,
ijazah, master dan phd, bukan nilainya,
budi bahasa adalah amalannya,
hidup biar berbudi,
jangan mati akan dikeji.

Mohon maaf, jua ku pinta
jauh sekali, menghina sesiapa
kerana pulut, santan binasa
kerana mulut, badan merana
kerana sengketa, bangsa musnah
menyesel kemudian, tiada guna

Setiausaha
PAGISA

Saturday, August 21, 2010

RESPON PAGISA TERHADAP KELAPA MAWAR

Terima kasih KM, kerana tulisan dan luahan yang menggamit kalbu, saya juga terharu atas artikel ini. Saya amat menghargai setiap tulisan dan kritikan yang membina serta dapat mengingatkan kita atas kelalaian yang berlaku dalam masyarakat Iranun ini. Saya secara terus terang tidak terlintas untuk menentang sebarang penubuhan Wadah Baru Iranun. Pada saya sesiapa sahaja berhak melakukan apa yang mereka fikirkan baik untuk bangsa ini. Saya juga mengalakkan sebarang perbincangan yang menjurus terhadap pembangunan bangsa ini. Soal politik tidak ada termaktub dalam mana undang-undang atau perlembagaan Negara yang hanya dimiliki oleh seorang individu dan orang lain tidak berhak untuk berpolitik. WBI yang menjadi polimek sekarang ini pun berhak untuk lahir dan dilahirkan. Soal perpaduan yang dikatakan akan terjejas dengan adanya WBI, ianya adalah khayalan dan igauan yang tidak berpijak di bumi nyata. Selama ini Iranun sudah pun mempunyai ideologi politik yang berbeza, dan ianya berlaku sejak awal lagi.

Saya ada mengkaji politik Iranun dalam Master Sejarah saya di UMS dengan tajuk 'Masyarakat Iranun Di Sabah, 1780-an Hingga 1994: Persaingan Politik Akar Umbi Di Kota Belud', dan dalam analisis saya mendapati bahawa masyarakat Iranun telah terlibat dalam politik Nusantara sebelum 1700-an, dan orang Iranun adalah antara bangsa yang kuat dan aktif menentang para penjajah Barat dengan menyerang kapal-kapal pedagang tersebut, selepas itu mereka juga mempunyai hubungan politik dan perdagangan dengan beberapa kerajaan Melayu Nusantara seperti Johor, Kelantan, Siam, Acheh, Brunei, Singapura, Sulawesi dan Melaka, begitu juga Sri Langka, Afrika, dan Burma.

Selepas itu, orang Iranun menumpukan penentangan mereka di Sabah dengan menyerang penempatan English East India Company di pulau Balambangan yang diketuai oleh Datu Tating pada tahun 1775, mereka turut mempertahankan Kubu mereka di Teluk Marudu daripada serangan British pada tahun 1845 yang diketuai oleh Sharif Uthman, membantu Mat Salleh menyerang Ambong pada tahun 1897, menyerang Kudat pada 28 April 1900 yang diketuai oleh Mat Sator, pada ogos 1902 mereka juga menyerang Kudat kembali yang diketuai oleh Kamunta, serangan Raja Laut ke atas kapal British HMS Kestrel 1878 di Lahad Datu, penentangan Datu Kedunding 1879 di Tungku dan terakhir peristiwa Pandasan 1915.

Ketika pendudukan Jepun 1941-1945, ada orang Iranun yang terlibat dalam penentangan ini, antaranya Sharif Yakin di Kaniong, Haji Kasah Lawading, Datu Dani Datu Abpa, dan Datu Oker Datu Ansau, tetapi penentangan ini dilakukan secara senyap.

Era kemerdekaan pula, orang Iranun turut terlibat ketika kongres USNO di Kudat pada 24 Disembar 1961, yang diketuai oleh Haji Mulia. Namun pembentukan J/Kuasa USNO KB, Haji Mulia tidak dilantik sebagai AJK.

Semasa kemerdekaan, berlaku perpecahan politik antara masyarakat Iranun dalam USNO mula muncul, USNO yang dipimpin oleh Anuar Hj. Arshad telah memilih Iranun sebelah Kota Peladok dan Peladok sebagai AJK USNO KB, seperti KK Raya, KK Raup, Datu Ansau Datu Nanong, manakala Iranun sebelah Rampayan diberikan jawatan seperti Datu Oker dan juga Haji Mulia, situasi ini dilihat oleh Pinjaman Hasin pada masa itu sebagai menganak-tirikan orang Iranun dalam pentadbiran USNO, lalu beliau menubuhkan USAP dengan menyertai beberapa pilihan raya. Ketika pilihan raya 1974, beliau telah dibelasah oleh sebahagian penyokong fantik USNO yang menyebabkan kecederaan dan beliau tidak dapat bertanding kerana borang pencalonan beliau di kotorkan oleh penyokong2 fanatik USNO. Sebelum pencalonan beliau menjadi buruan dan mengisi borang dalam perahu ketika waktu malam, selepas itu beliau diburu lagi oleh pihak berkuasa untuk diISAkan, lalu rakan2 beliau dalam USAP yang tidak tahan dgn tekanan membatalkan USAP, beliau kemudian menyertai PEKEMAS dan berkempen menjelaskan hala tuju PEKEMAS ke seluruh pelusuk Sabah, namun parti itu turut terkubur.

Era BERJAYA 1976 yang menjatuhkan USNO, Jabar Khan Napi dan Raskan Asing antara tokoh utama selain Datu Masangkai yang menubuhkan parti ini, maka orang Iranun terbahagi kepada dua kumpulan iaitu USNO sebagai pembangkang dan BERJAYA sebagai pemerintah. Pada masa ini juga Tan Sri Pandikar muncul dalam politik USNO dan bertanding dalam pilihan raya 1981 dalam parlimen P. 169 Kota Belud dan beliau kalah, selepas itu memenangi pilihan raya kecil Usukan 1982.

Maka era Tan Sri Pandikar, orang Iranun mula mendapat tempat dalam politik Sabah dan KB dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan dan kini sebagai Speaker Parlimen. (lihat blog saya - abuhilmie.blogspot.com)

Melihat kepada sedikit urutan perjuangan Iranun, saya amat yakin bahawa perbezaan fahaman politik bukanlah faktor utama Iranun akan mundur dan miskin atau akan merempat dalam negara ini. Soal WBI bukanlah masalah sebenar, tetapi apa yang penting kita sentiasa membuka ruang kepada sesiapa yang berminat dalam politik. Kadang kita terlalu takut apabila ada kumpulan yang cuba mahu menjadi hero dalam masyarakat ini dan kita cop mereka sebagai petualang, pengkhianat, pemecah-belah, tamak, rakus dan berbagai tuduhan yang tak sepatutnya dipaparkan. Dunia ini Allah SWT yang jadikan bukan dimiliki oleh hanya satu bangsa, satu glongan, tetapi semuanya bebas menjalani kehidupan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Dalam perjuangan ini kita hendaklah sentiasa terbuka, bukan menghalang dan kalau kita ada sikap seperti ini, ianya lebih teruk daripada zaman British dan zaman Jepun. "Malaysia Negara Demokrasi' bebas bersuara, bebas berhujah, apa yang kita risaukan. Soal kepimpinan orang senior seperti Pinjaman Hasin, Tan Sri Pandikar atau sesiapa sahaja, kita tak pernah mengenepikan mereka, kita hormati jasa mereka, kita hargai pengorbanan mereka, kita kenang mereka, kita juga mengambil pandangan dan saranan mereka, tetapi kadangkala berlaku juga pertembungan idea dan pandangan dengan mereka, ini bukan bererti kita menderhaka. Berbeza itu bukan bererti berpecah, bersatu itu bukan juga menandakan kita sehaluan.

Agenda utama kita ialah meletakkan Iranun dalam pelbagai sektor utama negara ini, seperti Politik, Ekonomi, Sosial dan juga dalam Jabatan2 Kerajaan supaya masing-masing dapat memainkan peranan.

Kadang-kala kita tersalah tafsir bahawa hanya politik sahaja yang mampu melakukan semua ini. Kalau inilah tanggapan kita bagus semua kakitangan kerajaan yang berbangsa Iranun terjun dalam politik dan yang berniaga, yang menjadi nelayan, para petani dan sebagainya tinggalkan semua itu, kita berpolitik semua.

Saudara KM, jangan putus asa teruskan mendidik bangsa ini dengan pena anda, teruskan ...menulis dan terus menulis... kerana bangsa ini yang memerlukan pembelaan dan dahagakan pembangunan secara menyeluruh, membangun lahir daripada keupayaan menterjemah serta mengutarakan idea2 yang bermutu dan berwibawa.

Saya juga selaku S/U PAGISA yang dituduh gagal mengaktifkan persatuan ini memohon maaf. Saya ada beberapa kekangan dalam hal ini; 1. Saya tengah menghabiskan tesis master sejarah saya yang baru saja selesai pada bulan Julai lalu dan telah dihantar ke UMS.
2. Saya juga kakitangan kerajaan seorang Cikgu, kadang tumpuan lebih kepada perkhidmatan. 3. Kekuatan Ekonomi yang terhad, ahli tidak bayar yuran. dalam hal ini saya amat berterima kasih kepada Abu Aslam selaku S/U Kewangan yang banyak menyumbang dalam pelbagai aktiviti PAGISA dialah pendana utama persatuan ini. 4. Kelemahan saya sendiri.

Namun begitu PAGISA ada juga aktiviti yang dilakukan;

Peringkat International
1. Menyertai Delegasi Kecil Malaysia ke Syria dan Mesir (saya wakilnya)
2. Lawatan AMT ke India
3. Penganjuran bersama dalam CORNCEN Seminar BIMP-EAGA di UMS

Peringkat National
1. Menyertai Seminar Kesultanan Melayu Nusantara di Kuantan Pahang (saya dan presiden wakilnya)

Peringkat Negeri
1. Penganjur bersama CORNCEN 'Gejala Murtad' di Masjid Negeri
2. Penganjur bersama CORNCEN 'Isu Kalimah Allah'
3. Kunjungan Hormat dengan TYT bersama CORNCEN ( yang pertama saya wakil, kunjungan kedua Presiden)
4. Menghantar Surat bantahan kepada Ketua Menteri 'Isu Gejala Murtad' iaitu undang2 Syariah ( wakil Tim. Presiden)
5. Beberapa kenyataan akhbar bersama CORNCEN
6. Wacana Ilmu di Likas Plaza 'Penerangan berkaitan PAGISA' yang hadir tak sampai 20 orang bennar sudah digantung, namun tak ada sambutan.
7. Seminar Ekonomi di USIA pembentang Allahyarham Datu Bandira Datu Alang (yang hadir tak sampai 10 orang)
8. Kunungan Hormat kepada Datuk Masidi Manjun Menteri Belia dan Sukan Sabah pada masa itu.
9. Hari Bersama PAGISA sempena pelancarannya di KB dirasmikan oleh Datuk Masidi Manjun
10.Beberapa siri mesyuarat setiap bulan dengan CORNCEN

Peringkat Daerah
1. Rawatan Kesihatan di Kg. Pantai Emas dan Kg. Tamau (AJK yang hadir saya dengan Abu Aslam, isteri beliau adalah doktor yang dijemput sebagai perawat, ubat2an beliau yang dermakan). Program ini menjadi isu dan PAGISA dituduh mula berpolitik kerana Abu Aslam S/U Kewanagan adalah PAS.
2. Motivasi Siri 1 UPSR di SMK Arshad
3. Hari Anugerah Cemerlang UPSR, PMR, SPM, STPM di SMK Arshad
4. Motivasi Siri 2 UPSR di sekolah2 masyarakat Iranun.
5. Jamuan Hari Raya
Banyak lagi aktiviti yang tak sempat saya paparkan.

Apakah ini bukan aktiviti namanya sehingga PAGISA dituduh sudah lesu, tenggelam. Cuma aktiviti ini kami tak siarkan dalam akhbar atau media elektronik. Saya pun tak faham apa yang dimaksudkan aktiviti? Saya sedia meletakkan jawatan selaku S/U sekiranya ini adalah kegagalan saya dan berikan jawatan ini kepada yang berapi-api menuduh PAGISA sudah berkubur, kekangan kita kerana setiap aktiviti memerlukan kos dan perbelanjaan. Kalau bukan Abu Aslam, saya tak tahu macam mana PAGISA boleh bergerak sejauh ini?

Mungkin ada pihak mahu melihat para pemimpin PAGISA berdiri di medan politik, maka barulah PAGISA dikatakan aktif, atau mahu PAGISA membuat program yang akan menjadikan semua masyarakat Iranun kaya-raya. Ini mustahil boleh berlaku, tugas politik serahkan kepada yang berpolitik, kalau ada ahli PAGISA yang berpolitik jangan dilihat PAGISA terlibat dalam politik, kerana ada juga pemimpin2 pertubuhan lain yang pemimpinnya terlibat dalam politik, tetapi tak dituduh berpolitik, ini pemikiran songsang dan terkebelakang.

Saudara KM, hidup sebagai pengkisah kebenaran memang sentiasa mendapat krtitikan dan tentangan, lihat bagai mana ar-Rasul menyampaikan dakwah Islam di Makkah dan Madinah, apa yang beliau dapat bukan cemuhan dan ejekan. Siapa kita yang tidak boleh dikritik? tapi para pengkritik dalam Iranun tak tahu apa yang dikritik? masalahnya mereka hanya melihat apa yang dapat dilihat tak ada strategi, tak ada perancangan, kita ada agenda tersendiri. Mudaha2an komen ini dapat membantu.

Mohon maaf kerana memberi komen yang panjang. Terima kasih....wassalam

S/U PAGISA.

Saturday, July 24, 2010

BELIA DAN BUDAYA ILMU

Jiwa belia Islam hari ini jauh berbeza dengan jiwa belia ketika zaman kegemilangan Islam, dewasa ini belia amat cenderung jiwanya terhadap budaya yang lebih bersifat hiburan berbanding majlis keilmuan. Kecenderungan ini dapat dilihat apabila majlis-majlis ilmuan jarang sekali dihadiri oleh para belia, bahkan mereka lebih suka berada di pusat-pusat beli-belah hanya semata-mata melayani jiwa membuang masa.

Perkara ini amat membimbangkan dan menggerunkan kita terutama ahli masyarakat serta ibu bapa yang amat prihatin terhadap gejala sosial yang melanda belia hari ini. Saban hari sama di media cetak atau elektronik ada sahaja kes-kes yang membabitkan belia. Hubungan luar nikah banyak berlaku dalam kalangan belia yang akhirnya melahirkan anak-anak luar nikah yang begitu menggerunkan dan kesannya ramai bayi yang dibuang di merata tempat, di mana tindakan ini tidak lagi menjadi kesalahan besar dalam kalangan para belia.

Di sinilah kekuatan ilmu untuk mendidik para belia kini memahami dan menghargai nilai kehidupan sebagai insan yang dijadikan oleh Allah SWT. Apabila para belia memiliki kekuatan ilmu, kejadian-kejadian seumpama ini pasti tidak berlaku. Para belia kurang mendapat pendedahan yang kuat tentang hidup beragama. Ilmu yang mereka miliki tidak mampu menangkis godaan dan tarikan kehidupan yang menyeronokan. Tanpa ilmu yang utuh dan kukuh serta pengamalan dan penghayatan sepenuh keimanan, maka belia-belia ini akan sentiasa terdedah kepada kemungkaran dan kemaksiatan.

Sepatutnya tradisi keilmuan yang telah mengangkat martabat umat Islam perlu diperkukuhkan serta dirancang dengan penuh teliti agar ianya kelihatan lebih menarik. Contohnya 'Sehari bersama Tokoh Ilmuan', di mana dalam program itu disediakan cabutan-cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik yang mensasarkan kepada citarasa belia yang berlandaskan Islam. Seperti hadiah buku-buku ilmiah, pakaian (wanita/lelaki Islam), pakej-pakej Umrah atau sebagainya.

Menggabungkan program keilmuan selaras dengan jiwa belia amat perlu, seperti perkhemahan beliawanis dalam kalangan wanita Islam dengan pengisian yang menjurus kepada mencintai ilmu, begitu juga dengan belia lelaki sesama mereka. Perkhemahan mestilah dilakukan secara berasingan. Secara tidak langsung kita mendidik belia-belia kita menjauhi perkara kemaksiatan dan dapat mengelak percampuran antara lelaki dan perempuan.

Belia merupakan aset utama terhadap kelangsungan masa depan umat ini, andainya kita gagal memberikan mereka pendidikan yang sempurna selaras dengan tuntutan Islam, maka kerosakan pasti akan terjadi. Ilmu adalah asas utama sebagai kekuatan umat dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Majlis-majlis ilmu masa kini tidak lagi menjadi kegilaan dalam kalangan belia, bahkan hiburan lebih menarik mereka untuk hadir dan menyebabkan mereka lalai dan terbuai dengan suasana tersebut. Ilmu berupaya menjadikan para belia lebih cemerlang dalam segenap kehidupan serta boleh melahirkan generasi yang dapat dipertanggungjawabkan tentang masa depan umat ini.

Kekerapan mengadakan seminar dan wacana amat signifikan dengan jiwa belia yang membawa kepada pembinaan akliyah yang mantap. Budaya ilmu juga boleh membina adab serta akhlak mulia dalam kalangan belia yang Islamik. Tokoh-tokoh ilmuan harus bersifat pemurah dengan ilmu yang mereka miliki, jangan meletakkan majlis ilmu itu dengan harga yang mahal kerana para belia tidak berupaya hadir kerana yuran penyertaan yang mahal. Biarlah ilmu yang dimiliki itu dapat dikembangkan serta direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Pengabaian terhadap rencana kehidupan berilmu amat besar implikasinya dalam masyarakat. Oleh itu, belia dan budaya ilmu hendaklah selari dan selaras dengan pembangunan negara serta menjadi aspirasi setiap warga sama ada pemimpin atau tokoh-tokoh ilmuan. Lihatlah pengalaman Islam lampau, di mana kekuatan mereka kerana ilmu yang dimiliki oleh masyarakatnya. Iraq suatu masa merupakan pusat keilmuan yang menggerunkan dunia barat. Mereka mencemburui kekuatan ilmu yang dimiliki oleh dunia Islam, dan akhirnya mereka akur dan terus menerokai alam pemikiran tokoh-tokoh ilmuan Islam seperti Ibn Khaldun, al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Arabi, Ibn Sina dan ramai lagi yang telah menjadikan barat lebih membangun dan maju dalam pelbagai disiplin keilmuan.

Monday, July 5, 2010

KUASA TEMPATAN DI TEMPASUK (1781-1879)


Tempasuk mempunyai sejarah silam yang amat terpenting di Nusantara pada suatu ketika dahulu. Nama Tempasuk amat terkenal dalam kalangan kerajaan-kerajaan yang wujud di Nusantara seperti kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Johor Riau, Kedah, Brunei, Sulu dan beberapa kerajaan yang wujud pada seawal abad ke-15 dan hinggalah ketika kedatangan kuasa barat seawal tahun 1500-an, iaitu Portugis, Belanda, Inggeris, dan Sepanyol.


Kemunculan Tempasuk sekitar tahun 1700-an adalah didorong oleh aktiviti yang amat sinonim dengan masyarakat Iranun iaitu kegiatan 'perlanunan di perairan Nusantara'. Kegiatan ini menjadikan masyarakat Iranun amat dikenali oleh kuasa-kuasa tradisional di seluruh Nusantara. Masyarakat ini amat aktif dalam kegiatan merompak di perairan Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan. Menurut Ahmad Jelani Halimi, istilah 'lanun'adalah disinonimkan oleh orang Melayu dengan kegiatan etnik Iranun sebagai 'perompak laut'. Menurut beliau lagi, orang Iranun amat aktif dan mereka menyerang perkampungan untuk mendapatkan harta serta hamba abdi yang akan diniagakan. Owen Rutter juga turut menyatakan tentang kegiatan 'merompak di laut' oleh masyarakat Iranun ini dalam buku beliau 'The Pirate Wind'.

Beberapa pandangan ahli sejarah sama ada tempatan dan luar, menyatakan bahawa orang Iranun adalah berasal dari Pulau Mindanao. Oleh kerana orang Iranun ini suka mengembara di laut atau di sebut 'pelayag-layag', maka mereka telah membuka beberapa kawasan baru di Utara Borneo seperti, Kudat, Tungku dan Tempasuk sebagai penempatan baru.

Penempatan Iranun di Tempasuk disebabkan oleh kedudukannya yang berhampiran dengan pantai serta muara sungai Tempasuk yang amat strategik sebagai pusat kegiatan mereka. Pada tahun 1781, Tempasuk dikuasai sepenuhnya oleh orang Iranun dan ketuanya dikenali sebagai Raja Ismail. Semasa berlaku peperangan antara Sultan Mahmud dengan pihak Belanda di Riau Johor, maka Sultan Mahmud telah memohon bantuan daripada Raja Ismail untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Menurut Sultan Mahmud, Raja Ismail ada kaitan kekeluargaan dengan beliau, dan dengan sebab itulah Sultan Mahmud tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada raja Tempasuk iaitu Raja Ismail. Baginda telah mengutus Encik Talib ke Tempasuk bagi menyampaikan hasrat tersebut.

Oleh kerana hubungan yang sedia ada antara Tempasuk dan Riau Johor, maka Raja Ismail pula tidak menolak permintaan Sultan Mahmud dan mengarahkan para pengikutnya untuk berangkat ke Johor dengan kekuatan lebih tiga puluh buah perahu dan kapal. Raja Ismail bersama dengan tiga orang anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam berserta isterinya Raja Aisyah dan Raja Muda Umak dan Datu Sikolo serta Tok Lukus merupakan para pembesar yang turut serta. Menurut catatan dalam Tuhfat al-Nafis, serangan tersebut berlaku pada 1215 hijrah.

Dalam serangan itu, tentera Sultan Mahmud dan Raja Ismail telah mengalahkan Belanda, tetapi ketika Sultan Mahmud meraikan kemenangan itu beserta tentera Iranun dari Tempasuk yang diraikan bersama pembesar Iranun iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak sahaja yang hadir, manakala Raja Ismail tidak disebut dalam majlis tersebut. Ada kemungkina n Raja Ismail telah terkorban dalam serangan tersebut.

Setelah selesai majlis tersebut, Raja Tebuk dan Raja Alam kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memberi perlindungan terhadap Sultan mahmud. Menurut sumber tempatan Raja Alam tidak ikut balik ke Tempasuk, tetapi beliau mencari penempatan baru. Manakala Raja Tebuk kembali ke Tempasuk dan menggantikan ayahanda beliau Raja Ismail sebagai ketua atau raja baru di Tempasuk.

Raja Tebuk atau dikenali juga sebagai Sultan Sa Tebuk telah mengetuai masyarakat Iranun di Tempasuk dan adalah difahamkan Raja Tebuk menetap di Matampai atau sekarang dikenali sebagai Kg. Kota Peladok. Semasa Raja Tebuk berkuasa di Tempasuk, beliau telah menyerang Ambong yang pada ketika itu di bawah kekuasaan Raja Brooke. Setelah Raja Brooke mengetahui serangan Raja Tebuk itu, maka beliau telah menghangtar utusan bagi mendapat penjelasan mengapa Raja Tebuk menyerang Ambong. Antara alasan Raja Tebuk ialah berlaku kekecohan antara orang Iranun dan penduduk Ambong sendiri, maka itu, Raja Brooke tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Raja Tebuk. Peristiwa ini dijelaskan oleh Ivor H. Evan dalam bukunya 'Among Primitive Peoples in Borneo'.

Dalam masa yang sama wujud juga kuasa tempatan di Pandasan yang diketuai oleh Mirajah Dinda, namun kuasa ini juga adalah tertakluk dalam kuasa Tempasuk yang diketuai oleh Raja Tebuk selepas bapanya Raja Ismail. Pengaruh Raja Tebuk ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud mengiktiraf kedudukannya selepas serangan ke atas Belanda. Raja Brooke juga turut mengakui kedudukan Raja Tebuk sebagai ketua orang Iranun di Tempasuk. Ketika W. Pretymen datang ke Tempasuk Raja Tebuk sudah digantikan oleh anaknya Datu Komidal yang memakai gelaran juga sebagai Sultan Sa Tebuk seperti bapanya. Oleh itu, ketika W. Pretymen menjadi residen di Tempasuk pada tahun 1879 sebelum pemajakan penuh Syarikat Berpiagam Borneo Utara Berhad atau SBBUB pada tahun 1881, beliau turut mengakui wujudnya sultan Iranun di Tempasuk dan selepas itu beliau telah memberikan kuasa ke atas perkampungan di pesisir pantai iaitu Tamau, Merabau dan Matampai (Kota Peladok) sebagai ketua utama di samping Datu Mamuda yang mengawal Tamau, Merabau dan Asam, manakala Rampayan dan Nanamun diketuai oleh Datu Inderajayah.

Kesan terhadap kehadiran W. Pretymen sebagai residen Tempasuk, Sultan Sa Tebuk telah kehilangan kuasa sepenuhnya ke atas Tempasuk yang diwarisinya daripada bapanya Raja Tebuk. Sultan Sa Tebuk tidak dapat membantah tindakan W. Pretymen ini kerana beliau di pengaruhi oleh ipar beliau iaitu Datu Rambangan yang telah berkahwin dengan adiknya Bai Pandaupan.

Pembahagian kuasa atau lebih dikenali sebagai Mukim ini telah menjejaskan kedudukan Sultan Sa Tebuk atau Datu Komidal sebagai kuasa dominan. Datu Rambangan telah dilantik sebagai ketua utama ke atas perkampungan berhampiran sebelah kanan sungai Tempasuk seperti Linau, Bobot, Gunding, Gadding, Tambulion, Tempasuk, dan Piasau. Manakala Datu Tumongong sebagai ketua utama di perkampungan sebelah kiri sungai Tempasuk seperti Labuan, Lebak Inged, Gantisan, Timbang Dayang, Sembirai, Ragussa, Abai dan Lantigi. Inilah kedudukan Tempasuk setelah British datang sebagai kuasa baru yang mengambilalih kuasa Sultan Sa Tebuk.

Sebenarnya Tempasuk ini dahulu dikenali sebagai sebuah kerajaan, namun disebabkan pembuktian yang kurang kukuh, maka mengangkat Tempasuk sebagai satu kerajaan adalah amat sukar. Sejarah kewujudan Tempasuk sebagai satu entiti politik penting dalam sejarah Nusantara memang tidak dapat dinafikan dan kuasa Sultan Sa Tebuk berakhir apabila kuasa barat datang menjajah Tempasuk sekitar 1879 dan seterusnya pemajakan ke atas Borneo oleh SBBUB pada tahun 1881.

Bukti-bukti yang boleh diperakui ialah senjata sebuah meriam yang digunakan ketika mereka menyerang Belanda di Riau Johor 1781 yang masih ada di perkuburan Kg. Peladok. Selain itu, kubur Raja Tebuk di Kg. Kota Peladok (dulu Matampai) juga turut menjadi bukti penting dan juga jurai keturunan beliau yang masih dekat mengikut tarsila keluarga ini. Menurut sumber tempatan, Raja Tebuk juga mempunyai alat-alat kebesaran sebagai raja, tetapi malangnya peralatan ini telah hilang begitu saja terutama apabila pihak penjajah datang dan beberapa orang kepercayaan Raja Tebuk yang telah diamanahkan untuk menjaga peralatan tersebut telah menjualnya. Orang kepercayaan beliau ini terdiri daripada keluarga beliau juga, mungkin keadaan pada masa itu tidak lagi memerlukan perlindungan kuasa raja tetapi kuasa barat adalah lebih baik dan juga tekanan ekonomi yang amat kuat.

Ada juga pandangan daripada keturunan Raja Tebuk yang menyatakan antara faktor Raja Tebuk tidak mempedulikan kuasa beliau ialah tekanan barat. Orang Iranun adalah etnik yang amat kuat semangatnya menentang barat. Mereka menyerang kapal-kapal dagang barat yang berdagang di kepulauan Nusantara, maka itu orang Iranun merasa tekanan ini amat berat dan membiarkan kuasa mereka hilang begitu saja apabila barat menjajah.

Mengikut maklumat keluarga ini, Raja Tebuk juga memiliki kapal besar yang boleh memuatkan lebih 150 orang tentera. Kapal ini telah digunakan ketika belayar ke Riau Johor dan juga apabila mereka menyerang kapal-kapal dagang pihak barat. Kapal ini musnah di Sungai Tempasuk berhampiran Kg. Peladok dan Kota Peladok. Meriam yang ada sekarang ini adalah sebahagian daripada meriam yang ditemui oleh penduduk Kg. Peladok dan diarahkan oleh Sharif Junit merupakan Ketua Kampung pada tahun 1951 dan ditanam secara menegak di perkuburan Kg. Peladok.

Oleh itu, sejarah kuasa tempatan Iranun di Tempasuk bukanlah satu rekaan seperti yang diwar-warkan. Bahkan ianya merupakan realiti sejarah yang mempunyai bukti kukuh dan boleh diperakui. Pengkitirafan oleh para sejarawan tempatan dan luar negara telah membuktikan bahawa etnik Iranun telah memainkan peranan besar terhadap penentangan kuasa-kuasa barat yang cuba menguasai kegiatan ekonomi, politik, agama dan sosial di Nusantara. Serangan demi serangan yang dibuat oleh etnik Iranun amat menggerunkan pihak barat sehingga mereka menggelar Iranun adalah 'pirate' sebagai gambaran negatif terhadap etnik ini yang cuba menghalang barat daripada menyebarkan agama Kristian serta pengaruh mereka.

Itulah sebabnya orang Iranun lambat menerima pendidikan yang dianjurkan oleh barat berbanding pendidikan agama Islam yang diajar oleh guru-guru agama seperti belajar al-Quran dan Berzanji sentiasa dititik beratkan oleh setiap keluarga dalam masyarakat Iranun.

Rujukan:

Mohd. Yassin Isa, 1987. Asal-Usul Bajau, dalam Buletin Membaca. Bil. 2, Perpustakaan Negeri Sabah.

Ranjit Singh, 2000. The Making of Sabah 1865-1941. Kuala Lumpur: Universiti of Malaya Press.

Lanuns and other Pirates, The British North Borneo Herald, 17th Januari 1938.

G. N. Appell, Ethnographic Notes on the Iranon Maranao (Illanun) of Sabah.

G. N. Appell, Iventory of Urgent Antropological Research: II. Borneo Research Bulletin 2: 5-7, 1970.

D. Headly, Some Illanun and Bajau Marriage Customs in the Kota Belud District, North Borneo, Journal Vo., XXIV., Part III., Oct., 1951.

Virginia Matheson Hooker, 1991. Tuhfat Al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ivor H. Evans, 1922. Among Primitive Peoples in Borneo. London: Seeley Service.

Ahmad Jelani Halimi, 2006. Perdagangan dan Perkapalan di selat Melaka. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tom Harrisson, The Diary of Mr. Pretymen: First Resident of Tempassuk, North Borneo.

Owen Rutter, 1986. The Pirate Wind: Tales of the Sea-Robbers of Malaya. Singapore: Oxford University Press.

Wednesday, June 30, 2010

PEKO (PELAN EKONOMI KOTA BELUD)

Kota Belud merupakan daerah yang terletak di Utara Negeri Sabah yang berlatarbelakangkan Gunung kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara dan mempunyai pantai yang cantik serta panjang yang terletak di Laut China Selatan. Jarak dari Kota kinabalu lebih kurang 77 km. Luas daerah ini 1,385.6 km dan terdiri daripada 164 kampung yaang didiami oleh pelbagai etnik dan antara etnik terbesar ialah Dusun, Bajau dan Iranun serta beberapa etnik minoriti.


Kedudukan daerah ini adalah amat strategik dari segi kegiatan ekonomi, di mana daerah ini terletak di antara laluan utara dan barat terutama ke Kudat, Kota Marudu dan Pitas. Tambahan sekarang ini ia juga menjadi laluan ke Pantai Timur setelah jalanraya Pitas ke Nangoh, Sandakan dibuka. Keadaan ini turut memberi ruang terhadap perkembangan ekonomi di Kota Belud. Pada masa ini, para peniaga kecil-kecilan telah membuka gerai-gerai di laluan Utara ini dan salah seorang peniaga iaitu Puan Ayad Derah yang telah membuka gerai perniagaan di jalanraya pintas yang baru siap beberapa tahun yang lalu, boleh memperoleh pendapatan purata sehari tidak kurang RM150.00 hanya berniaga pisang goreng dan beberapa makanan lain.


Selain peluang kecil seperti itu, Kota Belud juga mempunyai tanah pertanian padi yang luas. Pertanian sawah padi ini menjadi nadi utama kegiatan ekonomi daerah ini. Ramai penduduk daerah ini melibatkan diri dalam bidang pertanian. Difahamkan oleh Pejabat Pertanian Kota Belud, setiap satu ekar sawah padi boleh mengeluarkan hasil bernilai lebih kurang RM1,500.00. Walaupun Pejabat Pertanian memantau kegiatan ini termasuklah Pejabat PELADANG Kota Belud, namun disebabkan kekurangan prasarana terutama taliair yang tidak boleh memberi perkhidmatan menyeluruh mengakibatkan ada sebahagian petani hanya menanam padi setahun sekali berbanding kawasan yang ada saluran taliair seperti Jawi-Jawi, Kg. Taun Gusi, Kg. Tempasuk, Kg. Dayang, Kg. Sembirai dan lain-lain kampung. Tetapi perkampungan seperti Tamau, Tawadakan, Kota Bongan, Pantai Emas, Ramapayan Ulu, Timbang, Pandasan, Keguran, Sarang, Dudar dan Taburan yang mengharapkan air hujan. Sedangkan menurut Pejabat Daerah Kota Belud, seramai 9,250 orang adalah petani yang mengusahakan seluas 25,000 ekar dengan hasil bernilai RM37.5 juta semusim secara kasar, sekiranya petani boleh menanam dua kali setahun, maka mereka boleh menyumbang kepada ekonomi Sabah RM75 juta setahun.


Kota Belud juga mempunyai jumlah ternakan bintang yang berkeliaran terbesar di Malaysia, antaranya lembu, kerbau, kambing dan kuda. Masyarakat mengamalkan sistem ternakan yang tidak bersifat komersial, iaitu ternakan mereka dibiarkan berkeliaran di atas jalan raya yang banyak terkorban kerana dilanggar kereta dan kekadang amat berbahaya kepada pengguna jalan raya. Secara kasarnya harga ternakan seperti lembu dan kerbau bagi seekor ialah RM2,000.00 dan dianggarkan satu tahun lebih kurang 10-15 ekor ternakan tersebut mati dilanggar kenderaan dan ini menyebabkan para penternakan akan kerugian lebih kurang RM30,000.00 setahun. Ini tidak termasuk ayam dan itik yang tidak diurus secara sistematik sebagai ternakan yang boleh menyumbang terhadap perkapita pendapatan tahunan. Seorang mantan Pegawai Pejabat Perkhidmatan Haiwan dan Ternakan, Kota Belud menyatakan bahawa Kota Belud ini suatu masa mempunyai padang ragut yang luas yang terletak di beberapa kawasan seperti Pintasan, Tengkurus, Lingkodon dan Pantai Emas telah ditutup kerana dijadikan penempatan. Keadaan ini telah menyebabkan kegiatan menternak lembu dan kerbau semakin berkurang.


Daerah ini juga mempunyai pantai yang cantik, sungai serta alam sekitar yang amat menarik untuk dijadikan pusat pelancongan. Teluk Kuala Abai adalah kawasan batu karang yang menarik untuk para penyelam menikmati keindahannya. Sebuah pusat peranginan 'INNO TRAVEL SDN BHD' ada mengusahakan sebuah resort yang menyediakan kemudahan tersebut. Di Kg. Pantai Emas terdapat beberapa unggas yang boleh menjadi daya tarikan iaitu bangau putih dan monyet belanda. Selain itu, pantai ini juga boleh di majukan untuk pusat peranginan yang amat berpotensi. Laut China Selatan juga boleh menyumbang kepada ekonomi di daerah ini, dan ramai penduduk yang tinggal di tepi pantai seperti Kuala Abai, Pantai Emas, Tamau, Rampayan laut terlibat sebagai nelayan selain kedudukan pulau Mantanani yang menjadi eko perikanan penting.


Sumber-sumber yang sedia ada ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai asas utama ekonomi daerah ini yang selama ini menyumbang kepada kegiatan ekonomi di Kota Belud. Sewajarnya sumber-sumber ini telah pun dimajukan sebagai Pelan Ekonomi Kota Belud atau kata singkatannya PEKO. Para pemimpin di daerah ini, terutamanya wakil-wakil rakyat mengambil peranan dan inisiatif dengan memberi perhatian terhadap PEKO sebagai rancangan jangka panjang daerah.


Kegiatan seperti pertanian, penternakan, dan pelancongan boleh menyumbang terhadap pembangunan daerah ini. PEKO mampu mengintegrasikan kesemua sumber ini untuk menarik para pelabur memasuki pasaran Kota Belud. Membawa pelabur membuka perniagaan mereka di daerah ini amat menguntungkan masyarakat, contohnya pelancongan yang amat berpotensi untuk dimajukan. Aliran wang masuk ke daerah ini mengurangkan jumlah kadar kemiskinan yang mana Kota Belud disenaraikan sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia. Jelapang padi yang dalam pembinaan ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran padi di Kota Belud, dan ianya mestilah diperluaskan ke kawasan masyarakat Iranun yang banyak terlibat dalam pertanian. Jabatan Pertanian dan PELADANG perlu mengembling tenaga dan fikiran membantu para petani mengusahakan tanaman mereka dengan memberi bimbingan secara tuntas.


Penternakan ikan dan haiwan secara komersial mestilah ditingkatkan, kematian ternakan yang terbiar ini yang merugikan perlu diatasi dan ternakan hendaklah disusun secara sistematik agar pembazir tidak lagi berlaku. Peranan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Ternak perlu diperluaskan, dan rancang secara terperinci supaya semua penternak mendapat khidmat dengan baik. Sistem ternakan bersepadu hendaklah digalakkan kepada penternak.


Oleh itu, PEKO boleh dijadikan sebagai satu organisasi penting untuk mengkaji, menganalisis, memantau, menilai dan menyelidik kegiatan-kegiatan ekonomi daerah ini. Selain itu. PEKO juga perlu mencipta ruang-ruang perniagaan dan pemasaran terhadap hasil-hasil tersebut sama ada dalam negeri, negara atau luar negara. Masalah yang dihadapi oleh para petani dan penternakan adalah cara memasarkan hasil-hasil mereka, dengan adanya PEKO ianya diharap dapat menyelesaikan masalah tersebut.


PEKO atau Pelan Ekonomi Kota Belud adalah merupakan cadangan sahaja, saya hanya pencetus sama ada ianya relevan atau tidak saya serahkan kepada masyarakat. Saya melihat potensi Kota Belud amat luas, tapi saya tidak ada keupayaan untuk melaksankannya, dan ianya perlu kepada dokongan dan sokongan semua pihak terutama para pemimpin di daerah ini. Saya juga tahu ramai orang Kota Belud yang telah menjadi jutawan, tetapi mereka tidak sanggup melabur di daerah ini kerana jumlah penduduk yang tidak ramai hanya sekitar 100 ribu orang dan tidak berpotensi. Namun, sekiranya kita mampu menarik orang luar berbelanja di Kota Belud ini, ianya juga merupakan satu sumbangan besar. Lihat saja Singapura yang luasnya hampir sama dengan Kota Belud, boleh menjadi kuasa ekonomi Asia Tenggara, satu lagi Perlis yang hampir sama luas dengan Kota Belud turut berupaya membangun sebagai sebuah negeri. Tahniah kepada Pengusaha Burung Unta, Village Lodge, INNO TRAVEL, Kolam Udang Dudar (Yick Ming) yang sanggup melabur di daerah ini. Sedikit mereka telah menyumbang terhadap ekonomi daerah ini.


PEKO bersedia untuk dibahas dan dibincang bagi mendapat idea-idea baru serta cadangan untuk penambahbaikan agar cita-cita dan harapan tercapai, dan kita boleh mengurangkan budaya 'peminta' yang amat sinonim dengan masyarakat Kota Belud. Saya anak Kota Belud kadang-kadang merasa malu dan terhina apabila rakan-rakan luar memperkatakan orang Kota Belud selalu di rumah YB-YB seawal pagi lagi.

Thursday, June 24, 2010

HIDUP SEORANG PEMIMPIN

Said bin Amir al-Jumahi merupakan seorang gabenor yang dilantik oleh Umar al-Khattab di Wilayah Hims dan beliau merupakan antara sahabat yang amat dipercayai. Pada mulanya Said Amir menolak perlantikan tersebut, setelah dirayu oleh Umar al-Khattab, maka beliau menerima jawatan tersebut dengan syarat hanya setahun sahaja jawatan itu dipangku oleh beliau. Umar al-Khattab bersetuju dengan permintaan Said Amir. Antara tujuan Umar melantik beliau sebagai gabenor di wilayah tersebut ialah untuk menyelesaikan karenah penduduk Hims yang amat cerewet dengan gabenor yang dihantar kewilayah itu.

Tidak lama selepas itu, Umar al-Khattab meminta pegawai yang ditugaskan untuk membuat pantauan tentang tahap kemiskinan di wilayah itu melaporkan keadaan di Hims. Umar al-Khattab minta dibacakan senarai tersebut bagi menyediakan keperluan bantuan. Pegawai itu menyebut nama-nama yang layak sebagai penerima. Tiba-tiba Umar menyampuk.

'Siapakah Said yang kamu maksudkan itu?
'Dia adalah Said bin Amir, gabenor kami'
'Gabenor kamu termasuk dalam senarai nama orang miskin?' Umar bertanya lagi.
'Ya, malah dapur rumahnya pernah beberapa hari tidak berasap!

Umar menjadi sebak sehingga air matanya mengalir membasahi janggutnya, beliau memasukkan sejumlah wang ke dalam bungkusan.

'Sampaikan salam saya kepada Said dan ini adalah hadiah daripada saya, sudilah dia menerimanya.'

Semasa Said bin Amir al-Jumahi membuka bungkusan daripada Umar itu, wajahnya bertukar pucat.

'Daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali.'

Isterinya mendengar keluhan Said, lalu bertanya. 'Mengapa? Pemimpin kita meninggal dunia?'Said menggelengkan kepala.

'Malah lebih malang daripada itu.' kata Said.
'Tentera Islam kalah di medan perang?' Isterinya meneka.
'Malah, lebih buruk daripada itu,' Said menjawab.
'Jelaskan kepada saya apa sebenarnya yang berlaku?' isterinya berhenti meneka.
'Dunia masuk ke dalam kehidupan kita bagi merosakkan akhirat. Bencana dahsyat masuk ke rumah kita.'
'Jauhkan dirimu daripada bencana itu.' Isteri Said memberi saranan tanpa mengetahui sejumlah wang yang dihadiahkan oleh Umar.

Said merenung wajah isterinya. 'Bolehkah kamu membantu saya?'
'Sudah tentu saya membantu kamu,' isterinya menyakinkan.
Said mengambil wang yang dikirim oleh Umar itu dan dia memberika wang itu kepada fakir miskin sehingga semua habis disedekahkan.

Inilah kehidupan seorang pemimpin pada zaman kegemilangan Islam, mereka amat berhati-hati ketika diberi tanggungjawab sebagai ketua. Mereka sanggup hidup susah daripada terjebak dalam kehidupan yang meragukan ketika mereka berkuasa. Hidup miskin lebih baik daripada kaya yang sentiasa dipersoalkan sama ada rakyat dan apatah lagi di hadapan Allah swt pada hari akhirat nanti.

Trend kepimpinan kita hari ini, lebih mengutamakan diri sendiri berbanding keperluan rakyat yang menjadi tanggungjawab. Amanah bukan lagi satu tanggungjawab, tetapi menjadi muslihat untuk kepentingan sendiri.

Bukan kita mendesak mereka menjadi papa kedana, tetapi tugas dan peranan sebagai pemimpin dan wakil rakyat mestilah diletakkan dihadapan. Perjanjian dengan rakyat mestilah ditunaikan, undi itu adalah perjanjian yang amat berat dan pasti akan dituntut di akhirat.

Marilah kita hayati, kepimpinan para rasul, para sahabat yang telah memimpin rakyat bukan sahaja di dunia ini, tetapi mereka memimpin rakyat sampai ke akhirat. Mereka sanggup miskin demi rakyat, mereka sanggup susah demi amanah dan tanggungjawab.

Sunday, May 23, 2010

KARISMA EMBO' ALI SEBAGAI PEMIMPIN PEMERSATU

Oleh
Milus Hj. Abd. Wahad

Sejarah perjuangan Sharif Ali atau lebih dikenali dalam masyarakt Kota Belud sebagai Embo’ Ali, merupakan catatan penting dalam lipatan sejarah daerah ini. Suatu penentangan yang amat tinggi nilainya, dan sepatutnya menjadi teladan kepada semua warga Kota Belud. Penentangan yang tercetus di Kg. Pandasan, satu perkampungan yang terletak di utara Kota Belud, jalan ke Kudat. Suasana kampung yang tenang dan damai itu telah melakar sejarah terpenting dalam negara ini.

Mengungkap kembali sejarah tersebut adalah amat perlu dan wajar untuk melihat secara mendalam tentang perjuangan beliau bersama-sama dengan pengikutnya di Pandasan pada tahun 1915. Sudah 105 tahun yang lalu peristiwa ini berlaku, namun kita bersyukur kerana sejarah ini tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Sejak pembentangan 2006, perbincangan dan perdebatan berkaitan penentangan Embo’ Ali masih hangat dibahaskan di daerah Kota Belud, iaitu daerah tercetusnya peristiwa tersebut dan seolah-olah masa yang diberikan ketika sesi soaljawab dalam seminar tersebut amat tidak cukup.

Masyarakat Kota Belud, sama ada Iranun, Bajau, Dusun, Ubian, Cina dan Banjar atau apa sahaja etnik yang terdapat di Kota Belud turut terlibat dalam perbahasan yang berlaku kini. Medan-medan kedai kopi, warung, majlis-majlis keramaian seperti kahwin dan kenduri-kendara, di facebook iaitu medan maya dan juga program wakil-wakil rakyat di Kota Belud turut dibincangkan. Kegiatan seperti ini amat baik dan positif bagi meningkatkan daya intelektual serta sikap celik sejarah dalam kalangan masyarakt Kota Belud.

Sejarah Embo’ Ali sebagai tokoh pejuang telah membuka minda dan fikiran kita tentang hebatnya beliau dalam mempertahankan hak dan kebebasan sebagai pribumi dan pemimpin. Sewajarnya penghayatan secara mendalam terhadap dasar-dasar perjuangan beliau dijadikan asas utama untuk masyarakat melakukan anjakan paradigma bagi membina bangsa jiwa merdeka. Pengorbanan beliau amat tinggi dan mulia, akhlak beliau serta ilmu yang dimilikinya telah menjadi asas kuat kepada pengikutnya menyokong dan turut mengorbankan diri demi kemuliaan bangsa.

Embo’ Ali telah membelakangkan kepentingan peribadi, tetapi memilih jalan bahaya untuk bangsa. Beliau menolak harta dan pangkat, beliau mengenepikan kesenangan dan kemewahan, dan menyerahkan mati hidup kepada Allah kerana agamanya. Apa yang beliau tinggalkan kepada anak buahnya, harta, pangkat, tanah, atau rumah besar, semua itu tidak berlaku kepada beliau. Embo’ Ali terkorban, darah yang menitis di persada Pandasan, jasad yang terkubur di tanah merdeka Pandasan, pokok-pokok dan sungai menjadi saksi terhadap keikhlasan Embo’ Ali, megah, menghijau, dan merimbun menaungi medan merdeka itu. Sejarah ini telah mengakar dan cuba merimbun dalam masyarakat kini.

Karisma beliau sebagai pemimpin terulung berupaya menyatukan pelbagai etnik menentang pihak Inggeris daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British yang cuba merampas dan memaksa masyarakat tunduk terhadap kehendak mereka. Namun, Embo’ Ali, dengan tegas serta konsisten tidak sanggup menjual diri, tanah air serta perjuangannya. Embo’ Ali mempunyai harga diri serta maruah, harta bukan taruhannya. Beliau melaungkan slogan ‘lawan tetap lawan’ perdamaian bukan penyelesaian, dan perjanjian bukan jaminan untuk bangsannya merdeka dan bebas. Bagi beliau, bangsa yang merdeka adalah bebas daripada jiwa terjajah, bangsa ada maruah, bangsa bukan peminta, bangsa bukan hamba harta, bangsa bukan pengampu, bahkan bangsanya adalah bangsa mulia, dihormati, dihargai dan bangsa yang berbudi pekerti, beriman, bertaqwa dan berilmu.

Kepimpinan beliau, terserlah bila mana semua anak muridnya dapat bertahan tanpa gerun, walaupun mereka tahu bahawa pertarungan kali ini adalah menentukan mati atau hidup, oleh kerana jiwa merdeka mereka serta semangat pejuang sudah sebati, nyawa bukan lagi perhitungan, dan apa yang penting harga perjuangan, maruah, agama dan bangsa. Embo’ Ali menyerlahkan kredibilti beliau selaku pemimpin ulung, susah senang bersama rakyat, jiwa pejuang beliau telah tercerna dalam diri, ‘biar putih tulang jangan putih mata, biar mati berdarah, jangan hidup merana. Itulah karisma Embo’ Ali dalam perjuangannya yang menjadi pemersatu kepada semua etnik yang sedar akan erti jiwa merdeka.

Biarlah perjuangan beliau lebih 105 tahun yang lalu kekal dan mengakar dalam sanubari kita semua, kita ambil iktibar atas ketegasan beliau. Kepada pemimpin yang mahu mengaku pemimpin, lihatlah bagaimana Embo’ Ali mengutamakan rakyat atau bangsanya sehingga beliau dulu yang terkorban kerana rasa kebertanggungjawaban yang tinggi. Pemimpin sebeginilah yang seharusnya ada pada hari ini, yang sentiasa bersama dengan rakyat sehingga ke liang lahad.