Pages

Monday, July 25, 2011

'Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?' (Siri 2)


Bagaimanakah slogan ini dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan?, oleh itu matlamat serta hala tuju slogan ini boleh dilihat dalam jadual di bawah ini;

SLOGAN
‘Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?’

MAN POWER
-Golongan Akademik
-Tokoh Politik
-Para peniaga dan Korprat
-Pegawai Kerajaan
-Para Aktivis Sosial (NGO)

MATLAMAT
-Akademik Cemerlang
-Pembangunan Infrastruktur mantap
-Lebih ramai ahli koprat dan para jutawan
-masalah sosial dapat dikurangkan
-kemiskinan akan menurun

Apabila slogan ini sering diucapkan di mana-mana saja di daerah ini, sama ada bersembang di restoran, dalam majlis rasmi atau majlis perkahwinan, ianya merupakan slogan yang dapat diterima oleh masyarakat Kota Belud, tapi tidak diaplikasikan dengan sepenuh hati, tiada kesungguhan, tidak serius, seolah-olah slogan ini satu olok-olokan. Tetapi apa sebenarnya makna mendalam yang tersurat di sebalik slogan ini?, slogan ini tidak dihayati dan difahami sepenuhnya oleh setiap warga di daerah ini. Mungkin pada pandangan sesetengah masyarakat Kota Belud, ‘…alaaa… siapala Cikgu Jame Alip, baru seorang guru mahu mengajar kita tentang sikap ‘keprihatinan’, ‘kebertanggungjawaban’, ‘kesedaran’, tentang pembangunan rakyat….kan tokoh politik lagi hebat berbanding dengan dia…’. Kalau ini yang berlaku, maka inilah gambaran mentaliti kita di daerah ini yang tidak melihat dan menilai sebenar peranan, sumbangan serta pemikiran seseorang yang bukan ahli politik.

Dalam sejarah tamadun manusia, golongan pemikirlah yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa atau negara. Lihatlah bagaimana Socretes, Plato dan Aristotle menyumbang kepada kemajuan Tamadun Eropah sebelum masihi dan mereka ini bukan ahli politik, tetapi boleh berbicara tentang politik. Begitu juga Ibn Sina, Ibn Farabi dan ramai lagi yang telah mengutarakan idea-idea dan pemikiran yang bernas untuk membangunkan masyarakat mereka.

Apa yang berlaku dengan masyarakat apabila kebergantungan yang tinggi terhadap tokoh-tokoh politik menjadi harapan. Apakah pencapaian rakyat daerah ini yang dikategorikan sebagai daerah termiskin di Malaysia menjadi kebanggaan? Bolehkah seorang pemimpin memenuhi segala keperluan setiap individu? Ada beberapa persoalan pokok yang patut kita jawab sendiri untuk menilai tahap pencapaian masyarakat kita di Kota Belud setelah Sabah merdeka 48 tahun yang lalu melalui Malaysia;

• berapa banyak Industri Kampung Sederhana (IKS) yang wujud di daerah ini dan telah berjaya
• berapa buah kampung yang masih tiada kemudahan air paip (minum air bersih)
• berapa orang peniaga daerah ini yang sudah menjadi jutawan
• berapa buah pusat ekonomi yang menjadi tarikan kepada orang luar untuk datang ke daerah ini
• berapa orang ahli perniagaan bumiputera yang berniaga di pekan Kota Belud yang memiliki bangunan sendiri
• berapa batang jalan raya yang belum bertar

Persoalan yang dikemukakan di atas adalah sebahagian daripada permasalahan yang memerlukan perhatian dan tindakan serius. Semua pihak terutama tokoh politik mestilah berperanan semaksimanya dan perlu turun ke lapangan bertemu dengan masyarakat memantau apa keperluan rakyat yang masih tertangguh atau belum tertunai. Bukannya lima tahun baru menemui rakyat kembali, wakil rakyat perlu menjadualkan diri masing-masing untuk masuk ke kampung, dan takkan dalam masa sebulan satu kampung pun tidak dapat dilawati. Inilah kerisauan dan kegelisahan yang tercetus daripada minda Cikgu Jame Alip untuk meluahkan rasa keprihatinan yang mendalam terhadap masalah di Kota Belud ini, ‘Kalau Bukan kita, Siapa Lagi?’. Apakah kita perlu menunggu orang lain untuk memperbaiki keadaan masyarakat ini, atau perlu menunggu satu lagi kemerdekaan baru untuk menyelesaikan masalah di daerah ini. Sudah 48 tahun Sabah bebas daripada penjajahan, Sabah sudah melalui empat pemerintahan yang silih berganti daripada USNO, BERJAYA, PBS dan sekarang UMNO-BN, sepatutnya masyarakat ini bukan lagi berbicara soal prasarana seperti jalan raya, tali air, elektrik, telefon, air paip, balai raya dan bangunan sekolah yang masih lagi strukturnya kayu (papan), masalah ini sepatutnya sudah selesai, dan yang sewajarnya dibincangkan pada masa kini adalah persoalan ekonomi seperti kadar pendapatan rakyat di daerah ini, termasuklah kuasa beli rakyat dengan kadar kenaikan barang yang menekan masyarakat serta masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin kronik.

Di mana sebenarnya peranan kita semua yang bergelar warga Kota Belud? Bagaimana kita semua mengatasi persoalan ini sekiranya semua tenaga yang ada ini tidak turut memainkan peranan. Masalah kemiskinan tegar masih lagi membelenggu warga Kota Belud, miskin relative semakin melebar, namun anjakan ekonomi Kota Belud bergerak terlalu perlahan sedang perubahan sentiasa berlaku dengan cepat. Bererti keseimbangan antara kadar kenaikan barang tidak seimbang dengan kadar pendapatan masyarakat Kota Belud.

Manakala bidang pendidikan kelihatan lebih laju dan agresif berbanding ekonomi, namun masyarakat juga menghadapi masalah apabila anak-anak mereka memasuki Institusi Pengajian Tinggi terutama berkaitan pembiayaan. Tetapi masalah yang sering berlaku ialah ramai pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS, namun sebahagian pelajar tidak dapat membayar yuran pengajian kerana pendapatan ibubapa mereka tidak mampu membiayai yuran tersebut kerana kemiskinan yang dihadapi. Biasiswa yang ditawarkan sebahagiannya hanya aliran-aliran tertentu sahaja dan aliran sains sosial kurang diberi perhatian. Di manakah letaknya pendemokrasian pendidikan yang diwar-warkan? Malang sungguh nasib para pelajar yang terlibat ini, mereka telah menghabiskan masa 13 tahun dibangku sekolah semata-mata mengharapkan segulung ijazah yang akhirnya tidak kesampaian. Inilah realiti permasalahan masyarakat Kota Belud yang kurang mendapat perhatian.


Secara umumnya slogan ini membawa misi dan visi yang penuh makna untuk rakyat daerah ini. Masyarakat seharusnya sedar tentang realiti kehidupan masa kini yang perlu kepada persaingan, dan untuk menghadapi persaingan ini, maka masyarakat perlu berubah serta sentiasa menilai persekitaran dari masa ke semasa. Slogan Cikgu Jame ini hendaklah direnung dan dihayati sepenuhnya untuk mencapai kehidupan yang lebih baik “KALAU BUKAN KITA, SIAPA LAGI?”.

Friday, July 15, 2011

KALAU BUKAN KITA, SIAPA LAGI? (siri 1)


‘Kalau bukan kita, siapa lagi?’ demikianlah ungkapan yang sering diucapkan oleh seorang tokoh pendidik yang tidak asing lagi iaitu Cikgu Jame Alip, Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia. Semasa beliau menjawat jawatan sebagai Pengetua, di SMK Taun Gusi, Kota Belud, slogan ini sering kali diungkapan di hadapan pelajar-pelajar dan guru-guru di sekolah tersebut. Slogan ini juga diteruskan oleh beliau semasa menerajui Pejabat Pelajaran Gabungan KOBTAR iaitu Kota Belud, Tamparuli dan Ranau sejak tahun 2001.

Apa signifikannya slogan ini dengan semua warga pendidik di Kota Belud dan juga masyarakat di daerah ini, di mana beliau seringkali mengulanginya dalam majlis-majlis yang melibatkan warga pendidik serta juga ketika mana beliau sendiri bersembang dengan rakan-rakan tokoh politik dan para peniaga tempatan. Beliau begitu bersemangat sekali menjelaskan makna sebenar ungkapan ini, sehinggalah slogan ini menjadi sebutan masyarakat di daerah ini dan seterusnya meniti dari mulut ke mulut. Namun pada masa kini ramai orang yang menuturkannya, tetapi sama ada memahaminya atau langsung tidak memahaminya.

Sebenarnya slogan ini membawa makna serta konotasi yang semestinya dihayati serta difahami secara mendalam yang boleh dikaitan dengan beberapa persoalan penting dalam sektor pendidikan, politik, ekonomi dan sosial tentang hala tuju slogan ini. Istilah ‘kalau bukan kita’ dalam ungkapan ini adalah lebih merujuk kepada;

• setiap warga pendidik, dan
• masyarakat daerah ini.

Harapan beliau yang tinggi ialah mahu melihat semua warga pendidik dalam gabungan KOBTAR dapat memainkan peranan semaksimanya untuk meletakkan taraf pendidikan dalam gabungan tersebut lebih baik dan lebih cemerlang berbanding dengan gabungan-gabungan lain di Sabah. Maknanya pengoptimaan terhadap man power untuk mencapai kecemerlangan amat diperlukan, dan tanpa kerjasama semua pihak, mana mungkin harapan dan cita-cita ‘kalau bukan kita, siapa lagi?’ akan tercapai.

Apakah sebenarnya man power yang dimaksudkan itu?
• golongan akademik
• tokoh politik
• para peniaga atau korprat
• pegawai kerajaan, dan
• para aktivis sosial

Seandainya slogan ini dijadikan asas untuk memajukan dan membangunkan daerah ini dalam semua aspek, maka sumber tenaga manusia seperti di atas adalah amat berkeupayaan untuk memainkan peranan penting terhadap gagasan ‘kalau bukan kita, siapa lagi?’. Kejayaan individu tidak akan datang dengan sendirinya, sekiranya individu itu tidak berusaha untuk mencapainya. Slogan yang sering dilaungkan oleh Encik Jame Alip ini juga ada hubungkait dengan peringatan Allah SWT di dalam Al-Quran terhadap manusia ‘Sesungguhnya Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya’, dan sekiranya slogan ini dijadikan dasar untuk membangunkan masyarakat Kota Belud ini, pastinya kejayaan itu akan dapat dicapai.