Pages

Monday, July 25, 2011

'Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?' (Siri 2)


Bagaimanakah slogan ini dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan?, oleh itu matlamat serta hala tuju slogan ini boleh dilihat dalam jadual di bawah ini;

SLOGAN
‘Kalau Bukan Kita, Siapa Lagi?’

MAN POWER
-Golongan Akademik
-Tokoh Politik
-Para peniaga dan Korprat
-Pegawai Kerajaan
-Para Aktivis Sosial (NGO)

MATLAMAT
-Akademik Cemerlang
-Pembangunan Infrastruktur mantap
-Lebih ramai ahli koprat dan para jutawan
-masalah sosial dapat dikurangkan
-kemiskinan akan menurun

Apabila slogan ini sering diucapkan di mana-mana saja di daerah ini, sama ada bersembang di restoran, dalam majlis rasmi atau majlis perkahwinan, ianya merupakan slogan yang dapat diterima oleh masyarakat Kota Belud, tapi tidak diaplikasikan dengan sepenuh hati, tiada kesungguhan, tidak serius, seolah-olah slogan ini satu olok-olokan. Tetapi apa sebenarnya makna mendalam yang tersurat di sebalik slogan ini?, slogan ini tidak dihayati dan difahami sepenuhnya oleh setiap warga di daerah ini. Mungkin pada pandangan sesetengah masyarakat Kota Belud, ‘…alaaa… siapala Cikgu Jame Alip, baru seorang guru mahu mengajar kita tentang sikap ‘keprihatinan’, ‘kebertanggungjawaban’, ‘kesedaran’, tentang pembangunan rakyat….kan tokoh politik lagi hebat berbanding dengan dia…’. Kalau ini yang berlaku, maka inilah gambaran mentaliti kita di daerah ini yang tidak melihat dan menilai sebenar peranan, sumbangan serta pemikiran seseorang yang bukan ahli politik.

Dalam sejarah tamadun manusia, golongan pemikirlah yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa atau negara. Lihatlah bagaimana Socretes, Plato dan Aristotle menyumbang kepada kemajuan Tamadun Eropah sebelum masihi dan mereka ini bukan ahli politik, tetapi boleh berbicara tentang politik. Begitu juga Ibn Sina, Ibn Farabi dan ramai lagi yang telah mengutarakan idea-idea dan pemikiran yang bernas untuk membangunkan masyarakat mereka.

Apa yang berlaku dengan masyarakat apabila kebergantungan yang tinggi terhadap tokoh-tokoh politik menjadi harapan. Apakah pencapaian rakyat daerah ini yang dikategorikan sebagai daerah termiskin di Malaysia menjadi kebanggaan? Bolehkah seorang pemimpin memenuhi segala keperluan setiap individu? Ada beberapa persoalan pokok yang patut kita jawab sendiri untuk menilai tahap pencapaian masyarakat kita di Kota Belud setelah Sabah merdeka 48 tahun yang lalu melalui Malaysia;

• berapa banyak Industri Kampung Sederhana (IKS) yang wujud di daerah ini dan telah berjaya
• berapa buah kampung yang masih tiada kemudahan air paip (minum air bersih)
• berapa orang peniaga daerah ini yang sudah menjadi jutawan
• berapa buah pusat ekonomi yang menjadi tarikan kepada orang luar untuk datang ke daerah ini
• berapa orang ahli perniagaan bumiputera yang berniaga di pekan Kota Belud yang memiliki bangunan sendiri
• berapa batang jalan raya yang belum bertar

Persoalan yang dikemukakan di atas adalah sebahagian daripada permasalahan yang memerlukan perhatian dan tindakan serius. Semua pihak terutama tokoh politik mestilah berperanan semaksimanya dan perlu turun ke lapangan bertemu dengan masyarakat memantau apa keperluan rakyat yang masih tertangguh atau belum tertunai. Bukannya lima tahun baru menemui rakyat kembali, wakil rakyat perlu menjadualkan diri masing-masing untuk masuk ke kampung, dan takkan dalam masa sebulan satu kampung pun tidak dapat dilawati. Inilah kerisauan dan kegelisahan yang tercetus daripada minda Cikgu Jame Alip untuk meluahkan rasa keprihatinan yang mendalam terhadap masalah di Kota Belud ini, ‘Kalau Bukan kita, Siapa Lagi?’. Apakah kita perlu menunggu orang lain untuk memperbaiki keadaan masyarakat ini, atau perlu menunggu satu lagi kemerdekaan baru untuk menyelesaikan masalah di daerah ini. Sudah 48 tahun Sabah bebas daripada penjajahan, Sabah sudah melalui empat pemerintahan yang silih berganti daripada USNO, BERJAYA, PBS dan sekarang UMNO-BN, sepatutnya masyarakat ini bukan lagi berbicara soal prasarana seperti jalan raya, tali air, elektrik, telefon, air paip, balai raya dan bangunan sekolah yang masih lagi strukturnya kayu (papan), masalah ini sepatutnya sudah selesai, dan yang sewajarnya dibincangkan pada masa kini adalah persoalan ekonomi seperti kadar pendapatan rakyat di daerah ini, termasuklah kuasa beli rakyat dengan kadar kenaikan barang yang menekan masyarakat serta masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin kronik.

Di mana sebenarnya peranan kita semua yang bergelar warga Kota Belud? Bagaimana kita semua mengatasi persoalan ini sekiranya semua tenaga yang ada ini tidak turut memainkan peranan. Masalah kemiskinan tegar masih lagi membelenggu warga Kota Belud, miskin relative semakin melebar, namun anjakan ekonomi Kota Belud bergerak terlalu perlahan sedang perubahan sentiasa berlaku dengan cepat. Bererti keseimbangan antara kadar kenaikan barang tidak seimbang dengan kadar pendapatan masyarakat Kota Belud.

Manakala bidang pendidikan kelihatan lebih laju dan agresif berbanding ekonomi, namun masyarakat juga menghadapi masalah apabila anak-anak mereka memasuki Institusi Pengajian Tinggi terutama berkaitan pembiayaan. Tetapi masalah yang sering berlaku ialah ramai pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS, namun sebahagian pelajar tidak dapat membayar yuran pengajian kerana pendapatan ibubapa mereka tidak mampu membiayai yuran tersebut kerana kemiskinan yang dihadapi. Biasiswa yang ditawarkan sebahagiannya hanya aliran-aliran tertentu sahaja dan aliran sains sosial kurang diberi perhatian. Di manakah letaknya pendemokrasian pendidikan yang diwar-warkan? Malang sungguh nasib para pelajar yang terlibat ini, mereka telah menghabiskan masa 13 tahun dibangku sekolah semata-mata mengharapkan segulung ijazah yang akhirnya tidak kesampaian. Inilah realiti permasalahan masyarakat Kota Belud yang kurang mendapat perhatian.


Secara umumnya slogan ini membawa misi dan visi yang penuh makna untuk rakyat daerah ini. Masyarakat seharusnya sedar tentang realiti kehidupan masa kini yang perlu kepada persaingan, dan untuk menghadapi persaingan ini, maka masyarakat perlu berubah serta sentiasa menilai persekitaran dari masa ke semasa. Slogan Cikgu Jame ini hendaklah direnung dan dihayati sepenuhnya untuk mencapai kehidupan yang lebih baik “KALAU BUKAN KITA, SIAPA LAGI?”.

No comments:

Post a Comment