Pages

Saturday, April 2, 2016

KERUNTUHAN INTEGRITI: PERANAN GERAKAN ISLAH(Memahami pesan islahi dalam surah Hud)


Risalah para rasul sepanjang sejarah semuanya berpaksi pada tauhid (mengesakan Allah) dengan segala implikasinya. Kerana itu Dr. Taha Jabir al-Elwaniy dalam gagasan maqasid al-shari`ah-nya (al-maqasid al-`ulya al-hakimah) meletakkan tawhid sebagai objektif utama syari`at, di samping tazkiyah (penyucian jiwa manusia) dan `umran (pentamadunan bumi/alam). Maqasid al-shari`ah (objektif utama syari`at) pada hakikatnya adalah nilai-nilai universal yang terumus pada satu kata: maslahah dalam pengertian pemeliharaan dan pengembangan kepentingan dan manfaat umat keseluruhannya (masalih al-`ibad).
Untuk merealisasikan objektif maslahah, diperlukan penampilan manusia yang salih dan muslih (manusia yang baik dan mampu memperbaiki yang lain). Lawan bagi kata maslahah ialah mafsadah (kerosakan). Sejarah manusia banyak diwarnai perlawanan antara al-muslihun (pejuang maslahah/islahumat keseluruhannya) berhadapan dengan al-mufsidun (pelaku mafsadah/fasad)yang menindas dan mengeksploitasi massa rakyat semata-mata demi kepentingan diri.
Petikan ayat-ayat dari surah Hud memberikan pemerian tentang perlawanan Nabi Shu`ayb `a.s. terhadap gejala fasad dalam kehidupan masyarakat zamannya, khususnya al-fasad al-iqtisadiy (kerosakan di ranah ekonomi) akibat keruntuhan integriti moral warga Madyan, terutama para elit ekonominya.
Sifat materialistik, tamak, rakus dan mementingkan diri telah menjadikan mereka “binatang-binatang ekonomi” yang berleluasa mengeksploitasi rakyat kecil menerusi pelbagai bentuk penindasan, penipuan dan pengkhianatan urus-niaga. Agenda islah Nabi Shu`ayb `a.s. bertolak dari pembangunan `aqidah (tawhid) yang berlanjut pada penegakan nilai amanah dan keadilan dalam kehidupan sosial umat, khususnya dalam bidang ekonomi. Perjuangan islahi Nabi Shu`ayb `a.s. melawan kebejatan perilaku bisnes warga kota Madyan seharusnya dapat memugar semangat dan komitmen islahi, dan seterusnya mengilhami penggagasan sebuah model ekonomi berasaskan iman (faith-based), berteraskan nilai integriti (the economics of integrity).

WADAH PUSAT

No comments:

Post a Comment