Secara terus terang tajuk ini
‘Ekonomi Manusiawi’ memang lunak dibicarakan tetapi sukar dilaksanakan.
Saya memulakan dengan beberapa
kenyataan bank-bank:-
Maybank mencatat keuntungan RM6.48 bilion pada tahun kewangan 2020. Public Bank pula mencatat keuntungan RM4.87 bilion manakala RHB pula untung RM2.03 bilion. Menteri Kewangan pula mengulas, “Bank rugi RM 6.4 bilion kerana langkah moratorium.” (Rugi ini bermaksud kekurangan kuntungan) Inilah yang terkait dengan ekonomi manusiawi yang harus dibincangkan bersama soal etika. Kita mulakan dengan akhlak dan ekonomi barulah ekonomi manusiawi. Kerana ada perbedaan.
Kitab lihat tadi kenyataan bank beruntung berbilion tetapi apabila sang penguasa, si menteri, berbicara dia merujuk kepada ‘kerugian’ bank disebabkan menolong rakyat yang meminjam melalui pelaksanaan moratorium. Ini kita perlu renung kerana kesukaran menembusi tembok penguasa yang lebih memihak kepada golongan yang kaya. Sebab itu Sayyidina Ali ibn Abi Talib r.a. dalam suatu warkah yang masyhur dan utama yang harus dibaca dan direnung generasi sekarang, generasi muda. Sayyidina Ali mengutus surat dan berpesan kepada Malik bin Ashtar, “Ingatlah bahawa kelompok kecil yang menikmati kemewahan itu tidak akan menolong kamu dalam krisis. Mereka akan cuba menghalang tertegaknya keadilan. Mereka akan meminta lebih daripada apa yang sepatutnya dan tidak akan menghargai bantuan yang diberikan.”
Maknanya isu kemiskinan, kesenjangan sebahagian daripada masalah ekonomi manusiawi. Itu sudah lama dibincangkan dan menjadi pembenturan idea dan perjuangan. Kita biasa mendengar tokoh-tokoh seperti Abu Dhar al Ghifari r.a. yang mewakili sosok paling keras menolak kemewahan, ketelanjuran dan pengabaian nasib masyarakat. Tetapi bicara ini pada sudut yang agak terbatas.
Kerana ekonomi manusiawi itu berakar kepada prinsip kepada karamah insaniah – kemuliaan insan
۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلْنَٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak cucu Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (al Isra:70)
Ini bukan ‘juxtaposition of ideas’
atau ideologi tetapi suatu yang sebenar terikat dengan keyakinan kita bahawa
hidup ini, manusia ini dan agama ini menuntut kita menegakkan keadilan
mempertahankan semangat kemanusiaan. Kemanusiaan ini tidak terbatas kepada
kepentingan keluarga atau kelompok atau kaum atau agama. Karamah insaniah itu
bermaksud, ‘Allah has exalted the Children of Adam’, Allah mengangkat
darjat umat manusia.
Kemanusiaan itu bersandar kepada etika dan moral, sandaran kepada prinsip keadilan. Bagaimana kita boleh terima kenyataan sebuah negara dengan hasil mahsulnya melimpah ruah, boleh mengizinkan kelompok miskin samada di bandar, desa atau pendalaman?
Dasar-dasar elit penguasa, ‘the ruling clique’ selalunya memihak kepada yang besar. Selain contoh bank tadi, kita ambil contoh beras, padi. Ini dimonopoli, untung syarikat yang menguasai monopoli ini ratusan juta. Yang bekerja sebagai petani, pesawah padi ini termasuk kategori miskin tegar. Bukankah itu tidak munasabah? Mengapa tidak perkenalkan kaedah dimana sebahagian besar pegangan saham untuk impot beras dapat diagihkan, didistribusi, seperti apa di sebut ‘distributive justice’, kepada kelompok bukan sahaja yang miskin tetapi kerana mereka mengerjakan sawah padi namun tidak dapat habuan setimpal.
Soedjatmoko pada karyanya Dimensi Manusia dalam Pembangunan membicarakan tentang aspek kemanusiaan dalam pembanguan, kesenjangan, keseimbangan, ‘limits to growth’ – had-had pertumbuhan ekonomi, impak persekitaran.
Saya bukan ahli akademik tetapi saya cuba mengasak pemikiran yang dominan dalam mana-mana pemerintahan yang memihak kepada suatu kelompok lalu meminggirkan golongan ramai rakyat. Kalau kita kembali kepada asas pemikiran Islam, Islam sentiasa mempertahankan keseimbangan ‘man and nature’ – manusia dan alam, ‘material and spiritual’ – kebendaan dan kerohanian, ‘principles of humanity at large’ – prinsip-prinsip kemanusiaan secara keseluruhannya.
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (al Baqarah: 143)
Masyarakat umat ‘equilibrium’ – seimbang itu memikir diri, keimanan, akhlak dan masyarakat serta persekitaran. Tidak boleh adakan kemusnahan, tidak boleh membiarkan penindasan, pengabaian hak. Pak Natsir berpesan, “Jangan sambil membangun kita merobohkan!” Yang kita bangunkan itu gedung dan industri, yang kita robohkan itu kemanusiaan. Kita tindas pekerja, kita ambil keuntungan berlebihan, syarikat untung ratusan juta, gaji pekerja sekadar mahu hidup, hidup pula dalam keadaan paling sesak, dalam keadaan seolah-olah perhambaan moden. Mesti ada asakan dalam masyarakat untuk merubah dan menyedarkan kita bersama.
Di Amerika, di Malaysia mahupun Indonesia kesenjangan itu melebar, jurang kaya miskin. Malah di masa wabak Covid ini, pandemik ini telah memberikan ruang untuk memperkayakan segelintir dan dianggap suatu hal yang biasa. Oleh kerana ia syarikat yang berkembang dan boleh beruntung berbilion ringgit. Padahal jika kita bincang soal etika yang merentas faham, ideologi dan kaum, itu tidak dibolehkan iaitu di kala ramai orang sengsara, para peniaga itu mengaut untung yang melonjak tinggi.
Kefahaman ekonomi manusiawi ini harus disampaikan kepada khalayak yang ramai kerana tidak mudah untuk memecah tembok penguasa yang mempunyai pendapat ekonomi yang berbeda. Mereka pun boleh saja mengungkapkan itu ini pun ‘manusiawi’ tetapi kita tidak percaya.
Bagi seorang Muslim, matlamat agama, matlamat shariah dan kehidupan itu di antaranya adalah hifz al mal, hak seseorang untuk mendapat nafkah kehidupan dan keselesaan yang minima. Dan tidaklah boleh segelintir meraih segala kekayaan dan dengannya akan menafikan hak orang yang lain. Bagaimana mungkin penguasa Islam dan yang memakai pakaian alim ulama tidak langsung mempunyai sentimen keadilan ini.
Apabila al marhum Profesor Ungku Aziz
menerima kunjungan Syaikh Yusuf al Qaradawi yang kita jemput suatu masa dulu,
Syaikh Yusuf bertanya kepada Ungku Aziz tentang zakat.
Ungku Aziz sebut, “Yang paling setia
membayar zakat adalah golongan pesawah, penanam padi.”
Syaikh Yusuf bertanya, “Kelompok ini
memiliki tanah dan kaya serta ada kemampuan?”
Ungku Aziz jawab, “Ini kelompok yang
paling miskin di utara, di Kedah dan juga di Kelantan.”
Syaikh Yusuf bekata, “Kenapa mereka
diminta membayar zakat?”
Ungku Aziz menjawab, “Itulah
kefahaman agama yang ada.”
Syaikh Qaradawi berkata bahawa dia
perlu meneliti lagi perkara itu tetapi pada umumnya orang yang di bawah paras
kemiskinan yang tidak cukup untuk nafkah hidupnya tidak seharusnya membayar
zakat.
Ini suatu kejutan kepada pemikiran normatif dan kefahaman pada masa itu bahawa zakat padi sedemikian rupanya tetapi untuk memecah tembok golongan penguasa memerlukan suatu islah, suatu reform pemikiran masyarakat.
Demikian sebagai pengantar kepada tajuk ini.
(Suntingan Transkripsi Ucapan
Perasmian dan Ucaptama Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi IIIT)
Wacana Antarabangsa Ekonomi Manusiawi 27 Februari 2021)
I S L A H M E D I A
No comments:
Post a Comment