Oleh Ismail Yusop
Timbalan Ketua Pengarah J-Kom
19 Januari 2023, setahun yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di PICC, Putrajaya, telah meluncurkan buku Membangun Malaysia Madani, yang hari ini menjadi dasar pelaksanaan Agenda Malaysia MADANI, yang digerakkan dengan penuh iltizam oleh beliau sebagai Perdana Menteri ke 10, bersama Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.
MADANI, atau "SCRIPT" (judul asalnya), adalah suatu gagasan idea dn cerminan citra Anwar yang bersumberkan garis masa pengalaman panjang beliau dalam politik, kepimpinan dn keprihatinan terhadap rakyat, sejak muda hinggalah diberi amanah hari ini, mengemudi negara sebgai Perdana Menteri.
Kerana itu, Malaysia Madani bukan hanya suatu tema atau slogan dari seorang Perdana Menteri, tetapi ia adalah suatu gagasan dan falsafah sosial membina negara bangsa bersama seluruh rakyat Malaysia.
Dan pada tarikh keramat, 19 Januari 2023, setelah genap 3 bulan beliau diamanahkan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, beliau telah mengagaskan Agenda Malaysia Madani, dengan mengangkat istilah "MADANI", dan enam teras atau kerangka utama, nilai MADANI: KeMampanan, KesejAhteraan, Daya Cipta, HormAt, KeyakiNan dan Ihsan, untuk diterapkan dalam segenap polisi, agenda bertindak dan proses reformasi yang menyeluruh dalam masyarakat.
Kerangka Malaysia Madani sebenarnya adalah kesinambungan kerangka pemikiran Anwar Ibrahim membina masyarakat Malaysia sejak era 70an lagi.
Pada 1979, telah terbit buku ucapan dasar beliau dalam Muktamar ABIM bertajuk, "Islam Penyelesaian kepada masyarakat Majmuk".
Kemudian pada 1989, beliau telah memberikan ucaputama yang kemudian dibukukan bersama beberapa artikel lain dengan judul, "Mendepani Perubahan".
Di tahun 1994, beliau menghasilkan "The Asian Renaissance", yang kemudiannya diterjemahkan sebagai "Gelombang Kebangkitan Asia".
Setahun kemudian, beliau memberi ucaputama dalam satu forum bertajuk, "Islam dn Pembentukan Masyarakat Madani". Dan pada 1996, beliau berbicara dalam satu konvensyen bertajuk, "Pembentukan Masyarakat Madani model Malaysia".
Selepas itu pada 1998, beliau memimpin gerakan reformasi dengan mengangkat pemikiran agenda reformasi dalam masyarakat, yg dikenali sebagai "Deklarasi Permatang Pauh".
Pada 2005, beliau berbicara mengenai "Membangun semula makna diri Malaysia". Dan pada 2007, beliau mengutarakan pandangan, "The evolution of a Muslim Democrats".
Demikianlah sebahagian dari rantaian buah pemikiran dan lontaran idea beliau untuk membina negara bangsa Malaysia.
Dalam bahagian penghargaan, buku "Membangun Negara Madani", Anwar mengungkapkan dengan jelas susur galur terbitnya gagasan ini.
Katanya; "Kerangka Madani merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.
Sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam kerajaan, mengepalai pelbagai kementerian, benih-benih pada segugus idea yg dilontarkan ini mula disemai menerusi "Gelombang Kebangkitan Asia".
"Percubaan saya untuk mereformasikan sistem yang rasuah dari dalam telah mengakibatkan saya dipenjarakan, dengan separuh daripada dua dekad lamanya mendekam bersendirian. Tetapi pengalaman ini memberikan saya kelapangan masa untuk membaca dan mencatat nota - suatu pengalaman berharga seperti juga ramai tokoh lain di sepanjang zaman dari timur dan barat," katanya lagi.
"Susulan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, yang bersejarah, dan pembebasan saya dari penjara, maka saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mengumpul semula semua nota, diari dan catatan yang berserakan sebelum ini, serta merumuskan kesemuanya menjadi suatu gagasan ampuh untuk menjana perubahan buat Malaysia, seperti yang telah dihasratkan rakyat melalui peti undi pada tahun 2018.
"Saya merangkul para pemikir, perancang strategi, pakar ekonomi, pakar undang-undang, sarjana sains politik, dan pemikir masa hadapan. Kami telah bertungkus-lumus bersama lebih setahun membangunkan kerangka MADANI, melalui siri bengkel dan pemukiman.
"Meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan, - langkah Sheraton, pandemik Covid-19 serta kemelut yang lain, kami terus menelaah, mengulang dan memperhalusi setiap perincian, menyesuaikan kerangka ini dengan isu semasa dan perubahan yg berlak," ujar Anwar lagi.
Hakikatnya, Malaysia Madani adalah kesinambungan dari mata rantai perjuangan sejak dari awal kemerdekaan, berteraskan sendi utuh yang termaktub dalam Perlembagaan, mengambil kira kearifan lokal dan budaya serta latar khazanah sejarah negara yang telah subur membumi sejak dahulu.
Ia jelas terangkum, mengiktiraf polisi dan kecemerlangan negara yang menjadikan kita hari ini, kesan dari perjuangan kepimpinan terdahulu.
Malaysia Madani adalah model kepada konsep pembinaan ketamadunan berdasarkan kepada prinsip kearifan lokal (local wisdom), yang selalu diungkapkan oleh Almarhum Professor Datuk Dr Siddiq Fadzil, sahabat karib Anwar Ibrahim, sebagai "Fiqh atau Manhaj Maliziy".
Sesungguhnya, pada tarikh 19 Januari 2023, majlis peluncuran buku "Membangun Negara Madani" di PICC, Putrajaya bukan sekadar meluncurkan kembali buku tersebut, tetapi ia adalah satu syarahan Perdana, amanat Perdana Menteri melancarkan "Agenda Malaysia Madani", untuk sekalian warga Malaysia.
Malaysia Madani bukan sekadar suatu "branding", tema atau slogan buat Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Ia ada latar yang cukup panjang, memunculkan hasrat dan kehendak hati nurani rakyat yang dijelmakan dalam suatu gagasan untuk digerakkan bersama oleh rakyat.
Buku Membangun Malaysia Madani, - "The Dream Nation", negara impian yang dinukilkan oleh Anwar Ibrahim, dan diperjuangkan secara konsisten, dengan melalui pelbagai tribulasi, adalah untuk membina sebuah tamaddun rakyat Malaysia yang inklusif, sesuai dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara.
Merumuskan catatan memperingati peluncuran "Malaysia Madani" pada tarikh 19 Januari 2023, maka wajar kita merenungkan naratif dan ungkapan Anwar Ibrahim di akhir penutup buku "Membangun Negara Madani" dengan saranan berikut:
"Hasil usaha ini tentunya saya dedikasikan buat seluruh rakyat Malaysia. Saya tahu ada masa hadapan yang lebih baik mampu kita bina bersama. Saya berharap usaha ini dapat menjadi seruan kepada generasi penerus supaya mereka mampu lakukan lebih baik daripada apa yang kita telah lakukan dengan keterhadan masa yang ada.
"Kenanglah kata-kata tokoh agung Melayu, Jose Rizal, seperti yang dinukilkan dalam novelnya, "Noli Me Tangere" :
"Aku tidak menulis untuk generasi ini. Aku menulis untuk zaman yang lain. Jika generasi ini membaca, tentunya mereka akan membakar sekalian buku ku ini dan segala tulisan ku. Sebaliknya, generasi yang mampu menafsirkan tulisan ini, mereka akan menjadi generasi terpelajar, mereka akan memahami ku dan berkata, "Tidak semuanya nyenyak tidur di kepekatan malam pada zaman moyang kita".
Menutup penulisan ini, diajukan tiga saranan berikut untuk difikirkan bersama sebagai tindakan:
(i) Malaysia Madani sewajarnya tidak dilihat dari kaca mata politik yang sempit. Malaysia Madani adalah gagasan halatuju masa depan negara milik semua pihak dan rakyat, dengan penuh amanah dan iltizam untuk menjayakannya.
(ii) Enam teras Malaysia Madani perlu difahami, dihayati dan dijelmakan sebagai budaya dalam kehidupan setiap warga Malaysia.
(iii) Perlu wujud satu gerakan nasional melalui program pendidikan dan latihan kenegaraan untuk mendidik setiap warga Malaysia berkaitan konsep, penghayatan dan pelaksanaan merakyatkan agenda Malaysia Madani.
Terima kasih YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana berkongsi idea besar ini, sebuah gagasan membina negara bangsa yang mampu mencapai ketamadunan yang tinggi, Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment