SEJARAH

SEJARAH

Monday, July 5, 2010

KUASA TEMPATAN DI TEMPASUK (1781-1879)


Tempasuk mempunyai sejarah silam yang amat terpenting di Nusantara pada suatu ketika dahulu. Nama Tempasuk amat terkenal dalam kalangan kerajaan-kerajaan yang wujud di Nusantara seperti kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Johor Riau, Kedah, Brunei, Sulu dan beberapa kerajaan yang wujud pada seawal abad ke-15 dan hinggalah ketika kedatangan kuasa barat seawal tahun 1500-an, iaitu Portugis, Belanda, Inggeris, dan Sepanyol.


Kemunculan Tempasuk sekitar tahun 1700-an adalah didorong oleh aktiviti yang amat sinonim dengan masyarakat Iranun iaitu kegiatan 'perlanunan di perairan Nusantara'. Kegiatan ini menjadikan masyarakat Iranun amat dikenali oleh kuasa-kuasa tradisional di seluruh Nusantara. Masyarakat ini amat aktif dalam kegiatan merompak di perairan Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan. Menurut Ahmad Jelani Halimi, istilah 'lanun'adalah disinonimkan oleh orang Melayu dengan kegiatan etnik Iranun sebagai 'perompak laut'. Menurut beliau lagi, orang Iranun amat aktif dan mereka menyerang perkampungan untuk mendapatkan harta serta hamba abdi yang akan diniagakan. Owen Rutter juga turut menyatakan tentang kegiatan 'merompak di laut' oleh masyarakat Iranun ini dalam buku beliau 'The Pirate Wind'.

Beberapa pandangan ahli sejarah sama ada tempatan dan luar, menyatakan bahawa orang Iranun adalah berasal dari Pulau Mindanao. Oleh kerana orang Iranun ini suka mengembara di laut atau di sebut 'pelayag-layag', maka mereka telah membuka beberapa kawasan baru di Utara Borneo seperti, Kudat, Tungku dan Tempasuk sebagai penempatan baru.

Penempatan Iranun di Tempasuk disebabkan oleh kedudukannya yang berhampiran dengan pantai serta muara sungai Tempasuk yang amat strategik sebagai pusat kegiatan mereka. Pada tahun 1781, Tempasuk dikuasai sepenuhnya oleh orang Iranun dan ketuanya dikenali sebagai Raja Ismail. Semasa berlaku peperangan antara Sultan Mahmud dengan pihak Belanda di Riau Johor, maka Sultan Mahmud telah memohon bantuan daripada Raja Ismail untuk menyerang Belanda di Tanjung Pinang. Menurut Sultan Mahmud, Raja Ismail ada kaitan kekeluargaan dengan beliau, dan dengan sebab itulah Sultan Mahmud tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada raja Tempasuk iaitu Raja Ismail. Baginda telah mengutus Encik Talib ke Tempasuk bagi menyampaikan hasrat tersebut.

Oleh kerana hubungan yang sedia ada antara Tempasuk dan Riau Johor, maka Raja Ismail pula tidak menolak permintaan Sultan Mahmud dan mengarahkan para pengikutnya untuk berangkat ke Johor dengan kekuatan lebih tiga puluh buah perahu dan kapal. Raja Ismail bersama dengan tiga orang anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam berserta isterinya Raja Aisyah dan Raja Muda Umak dan Datu Sikolo serta Tok Lukus merupakan para pembesar yang turut serta. Menurut catatan dalam Tuhfat al-Nafis, serangan tersebut berlaku pada 1215 hijrah.

Dalam serangan itu, tentera Sultan Mahmud dan Raja Ismail telah mengalahkan Belanda, tetapi ketika Sultan Mahmud meraikan kemenangan itu beserta tentera Iranun dari Tempasuk yang diraikan bersama pembesar Iranun iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja Muda Umak sahaja yang hadir, manakala Raja Ismail tidak disebut dalam majlis tersebut. Ada kemungkina n Raja Ismail telah terkorban dalam serangan tersebut.

Setelah selesai majlis tersebut, Raja Tebuk dan Raja Alam kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memberi perlindungan terhadap Sultan mahmud. Menurut sumber tempatan Raja Alam tidak ikut balik ke Tempasuk, tetapi beliau mencari penempatan baru. Manakala Raja Tebuk kembali ke Tempasuk dan menggantikan ayahanda beliau Raja Ismail sebagai ketua atau raja baru di Tempasuk.

Raja Tebuk atau dikenali juga sebagai Sultan Sa Tebuk telah mengetuai masyarakat Iranun di Tempasuk dan adalah difahamkan Raja Tebuk menetap di Matampai atau sekarang dikenali sebagai Kg. Kota Peladok. Semasa Raja Tebuk berkuasa di Tempasuk, beliau telah menyerang Ambong yang pada ketika itu di bawah kekuasaan Raja Brooke. Setelah Raja Brooke mengetahui serangan Raja Tebuk itu, maka beliau telah menghangtar utusan bagi mendapat penjelasan mengapa Raja Tebuk menyerang Ambong. Antara alasan Raja Tebuk ialah berlaku kekecohan antara orang Iranun dan penduduk Ambong sendiri, maka itu, Raja Brooke tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Raja Tebuk. Peristiwa ini dijelaskan oleh Ivor H. Evan dalam bukunya 'Among Primitive Peoples in Borneo'.

Dalam masa yang sama wujud juga kuasa tempatan di Pandasan yang diketuai oleh Mirajah Dinda, namun kuasa ini juga adalah tertakluk dalam kuasa Tempasuk yang diketuai oleh Raja Tebuk selepas bapanya Raja Ismail. Pengaruh Raja Tebuk ini dapat dilihat apabila Sultan Mahmud mengiktiraf kedudukannya selepas serangan ke atas Belanda. Raja Brooke juga turut mengakui kedudukan Raja Tebuk sebagai ketua orang Iranun di Tempasuk. Ketika W. Pretymen datang ke Tempasuk Raja Tebuk sudah digantikan oleh anaknya Datu Komidal yang memakai gelaran juga sebagai Sultan Sa Tebuk seperti bapanya. Oleh itu, ketika W. Pretymen menjadi residen di Tempasuk pada tahun 1879 sebelum pemajakan penuh Syarikat Berpiagam Borneo Utara Berhad atau SBBUB pada tahun 1881, beliau turut mengakui wujudnya sultan Iranun di Tempasuk dan selepas itu beliau telah memberikan kuasa ke atas perkampungan di pesisir pantai iaitu Tamau, Merabau dan Matampai (Kota Peladok) sebagai ketua utama di samping Datu Mamuda yang mengawal Tamau, Merabau dan Asam, manakala Rampayan dan Nanamun diketuai oleh Datu Inderajayah.

Kesan terhadap kehadiran W. Pretymen sebagai residen Tempasuk, Sultan Sa Tebuk telah kehilangan kuasa sepenuhnya ke atas Tempasuk yang diwarisinya daripada bapanya Raja Tebuk. Sultan Sa Tebuk tidak dapat membantah tindakan W. Pretymen ini kerana beliau di pengaruhi oleh ipar beliau iaitu Datu Rambangan yang telah berkahwin dengan adiknya Bai Pandaupan.

Pembahagian kuasa atau lebih dikenali sebagai Mukim ini telah menjejaskan kedudukan Sultan Sa Tebuk atau Datu Komidal sebagai kuasa dominan. Datu Rambangan telah dilantik sebagai ketua utama ke atas perkampungan berhampiran sebelah kanan sungai Tempasuk seperti Linau, Bobot, Gunding, Gadding, Tambulion, Tempasuk, dan Piasau. Manakala Datu Tumongong sebagai ketua utama di perkampungan sebelah kiri sungai Tempasuk seperti Labuan, Lebak Inged, Gantisan, Timbang Dayang, Sembirai, Ragussa, Abai dan Lantigi. Inilah kedudukan Tempasuk setelah British datang sebagai kuasa baru yang mengambilalih kuasa Sultan Sa Tebuk.

Sebenarnya Tempasuk ini dahulu dikenali sebagai sebuah kerajaan, namun disebabkan pembuktian yang kurang kukuh, maka mengangkat Tempasuk sebagai satu kerajaan adalah amat sukar. Sejarah kewujudan Tempasuk sebagai satu entiti politik penting dalam sejarah Nusantara memang tidak dapat dinafikan dan kuasa Sultan Sa Tebuk berakhir apabila kuasa barat datang menjajah Tempasuk sekitar 1879 dan seterusnya pemajakan ke atas Borneo oleh SBBUB pada tahun 1881.

Bukti-bukti yang boleh diperakui ialah senjata sebuah meriam yang digunakan ketika mereka menyerang Belanda di Riau Johor 1781 yang masih ada di perkuburan Kg. Peladok. Selain itu, kubur Raja Tebuk di Kg. Kota Peladok (dulu Matampai) juga turut menjadi bukti penting dan juga jurai keturunan beliau yang masih dekat mengikut tarsila keluarga ini. Menurut sumber tempatan, Raja Tebuk juga mempunyai alat-alat kebesaran sebagai raja, tetapi malangnya peralatan ini telah hilang begitu saja terutama apabila pihak penjajah datang dan beberapa orang kepercayaan Raja Tebuk yang telah diamanahkan untuk menjaga peralatan tersebut telah menjualnya. Orang kepercayaan beliau ini terdiri daripada keluarga beliau juga, mungkin keadaan pada masa itu tidak lagi memerlukan perlindungan kuasa raja tetapi kuasa barat adalah lebih baik dan juga tekanan ekonomi yang amat kuat.

Ada juga pandangan daripada keturunan Raja Tebuk yang menyatakan antara faktor Raja Tebuk tidak mempedulikan kuasa beliau ialah tekanan barat. Orang Iranun adalah etnik yang amat kuat semangatnya menentang barat. Mereka menyerang kapal-kapal dagang barat yang berdagang di kepulauan Nusantara, maka itu orang Iranun merasa tekanan ini amat berat dan membiarkan kuasa mereka hilang begitu saja apabila barat menjajah.

Mengikut maklumat keluarga ini, Raja Tebuk juga memiliki kapal besar yang boleh memuatkan lebih 150 orang tentera. Kapal ini telah digunakan ketika belayar ke Riau Johor dan juga apabila mereka menyerang kapal-kapal dagang pihak barat. Kapal ini musnah di Sungai Tempasuk berhampiran Kg. Peladok dan Kota Peladok. Meriam yang ada sekarang ini adalah sebahagian daripada meriam yang ditemui oleh penduduk Kg. Peladok dan diarahkan oleh Sharif Junit merupakan Ketua Kampung pada tahun 1951 dan ditanam secara menegak di perkuburan Kg. Peladok.

Oleh itu, sejarah kuasa tempatan Iranun di Tempasuk bukanlah satu rekaan seperti yang diwar-warkan. Bahkan ianya merupakan realiti sejarah yang mempunyai bukti kukuh dan boleh diperakui. Pengkitirafan oleh para sejarawan tempatan dan luar negara telah membuktikan bahawa etnik Iranun telah memainkan peranan besar terhadap penentangan kuasa-kuasa barat yang cuba menguasai kegiatan ekonomi, politik, agama dan sosial di Nusantara. Serangan demi serangan yang dibuat oleh etnik Iranun amat menggerunkan pihak barat sehingga mereka menggelar Iranun adalah 'pirate' sebagai gambaran negatif terhadap etnik ini yang cuba menghalang barat daripada menyebarkan agama Kristian serta pengaruh mereka.

Itulah sebabnya orang Iranun lambat menerima pendidikan yang dianjurkan oleh barat berbanding pendidikan agama Islam yang diajar oleh guru-guru agama seperti belajar al-Quran dan Berzanji sentiasa dititik beratkan oleh setiap keluarga dalam masyarakat Iranun.

Rujukan:

Mohd. Yassin Isa, 1987. Asal-Usul Bajau, dalam Buletin Membaca. Bil. 2, Perpustakaan Negeri Sabah.

Ranjit Singh, 2000. The Making of Sabah 1865-1941. Kuala Lumpur: Universiti of Malaya Press.

Lanuns and other Pirates, The British North Borneo Herald, 17th Januari 1938.

G. N. Appell, Ethnographic Notes on the Iranon Maranao (Illanun) of Sabah.

G. N. Appell, Iventory of Urgent Antropological Research: II. Borneo Research Bulletin 2: 5-7, 1970.

D. Headly, Some Illanun and Bajau Marriage Customs in the Kota Belud District, North Borneo, Journal Vo., XXIV., Part III., Oct., 1951.

Virginia Matheson Hooker, 1991. Tuhfat Al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ivor H. Evans, 1922. Among Primitive Peoples in Borneo. London: Seeley Service.

Ahmad Jelani Halimi, 2006. Perdagangan dan Perkapalan di selat Melaka. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tom Harrisson, The Diary of Mr. Pretymen: First Resident of Tempassuk, North Borneo.

Owen Rutter, 1986. The Pirate Wind: Tales of the Sea-Robbers of Malaya. Singapore: Oxford University Press.

15 comments:

  1. Alang kah eloknya kalau jurai raja sa tebuk di panjangkan hingga masa kini. Tujuan nya agar generasi sekarang tahu asal usulnya. Setelah diketahui, maka implikasi berpolitik boleh dikurangkan, agar supaya, penguasaan kepimpinan peringkat daerah tidak hilang seperti mana hilangnya tahta raja Ismail setelah kedatangan penjajah.

    ReplyDelete
  2. Congratulations! to be able to provide clarification on the number of activities PAGISA. For the purpose of purification PAGISA goals recommended that activities were focused on the development of human capital, especially the younger generation in the early development of children (primary school).

    so, Greetings

    ReplyDelete
  3. Dari mana fakta menunjukkan bahawa suku kaum iranun ''perlanunan di perairan Nusantara' ???

    Adakah anda mengatakan seperti ini disebabkan oleh perkataan Melayu "Lanun" hampir sama dengan nama suku kaum ini. Kalau ia.. maka saya boleh katakan bahawa orang Melayu sendiri adalah dari perkataan Cina yg bermaksud "Ayam Mati".

    Setahu saya, dalam bahasa Iranun, perkataan "lanun" adalah "mundu". Begitu juga bahasa2 lain di Borneo, Filipina.. perkataan "lanun" tidak digunakan.

    Ini tidak bermakna.. sama perkataan lanun dan nama suku kaum illanun membawa maksud suku kaum iranun'adalah dari Lanun.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum....
    Sebagai generasi baru anak jati Kota Belud, saya cukup kagum dengan fakta sejarah ini. Jelas sekali fakta terhadap kekuatan pertahanan Iranun dalam menentang kuasa Barat sehingga digeruni oleh kuasa-kuasa besar pada masa itu.
    Pada pendapat saya, orang Barat sebenarnya telah menabur dakyah meracuni perjuangan Iranun ini sebagai 'Lanun'(Pirate)bagi menimbulkan persepsi negatif bukan hanya kepada perjuangan Iranun yang cukup dikagumi ilmu peperangannya, tetapi objektif terbesar ialah menghancurkan entiti agama Islam yang cukup kuat di Tempasuk pada waktu itu. Tektik Barat dalam melumpuhkan semangat komuniti agama Islam sebenarnya sangat jelas sehingga sekarang. Meracuni pemikiran global melalui penulisan sejarah dunia yang didominasi oleh penulis Barat, tentu sahaja mudah bagi mereka mengolah perjuangan iranun sebagai 'lanun' yang akhirnya meninggalkan konflik berpanjangan dalam komuniti Tempasuk. Misi Barat nyata berjaya apabila sehingga kini konflik yang diwujudkan semakin parah sehingga KITA SEAGAMA di K.B kian sukar bersatu menjayakan misi negara.
    Saya cuba bayangkan jika Raja Tebuk diberi bantuan wajar oleh Kerajaan Johor Riau untuk mempertahan kuasanya, sudah tentu misi Barat di Tempasuk gagal dan KITA di Tempasuk tidak akan menghadapi sindrom perpaduan dalam memajukan anak bangsa kita melalui wadah politik masa kini.
    Berasaskan fakta sejarah ini, mohon respon jika saya bahawa Tempasuk dengan takdir Allah SWT sebenarnya cukup kukuh dari sudut pertahanan, ekonomi, perancangan dan serangan terhadap anasir Barat. Syaratnya semua suku etnik di Tempasuk menaiki 'nakhoda perpaduan' demi maruah bangsa dan agama kita. Saya masih yakin kemampuan Iranun mengetuai sektor pertahanan dan keagamaan di Tempasuk (sebab Barat turut akui fakta ini). Dari sudut kepimpinan, sejarah jelas mengajar kita untuk menolak kepimpinan beranasir Barat. Akhir sekali mohon maaf jika idea ini terlalu mentah memandangkan saya bukan seorang pro dalam politik dan sejarah, namun sebagai generasi baru, saya tetap impikan kebahagiaan, keharmonian dan perpaduan dalam melakar kemajuan total di Kota Belud. Sekian, wassalam.

    music InfoView at:http://e-profileofsuhaimiejamli.blogspot.com

    ReplyDelete
  5. kita bercerita merujuk pada fakta, bukanya persamaan sesuatu perkara yg hendak diceritakan..

    bgi cerita saudara ini, ianya bole dikatagorikan sbgi merampuk atau ianya sekadar utk mgisi cerita dlm blogger...tanpa megira perasaan org yg mmpunyai kpentingan (sukum iranun) yg mmbacanya...justeru itu saudara seharusnya memohon maaf pada mrk seblum saudara menerima padah hasil dari keceluparan jarimu menekan keybord komputer...

    ReplyDelete
  6. tentang yg ditulis oleh beliau ini, ada yg berfakta dan ada yg tidak berfakta. cth: mana ada keluarga Raja Tebuk telah menjual peralatannya. Setahu sy, ada peralatan raja tebuk yg masih disimpan oleh (keluarganya/warisnya). tentang lanun pula, bkn iranun sj yg digelar oleh penjajah sbg lanun, bugis (daeng Lopule), Jawa (Pangeran Anom), Melayu (raja Mahdi), Bajau laut (Arung Sikang), Bajau (pangeran Maidin), Iban (Linggir), Dayak (Asun), Cina (gee-hin dan Haisan) telah digelar juga oleh penjajah. Lanun adalah dakyah penjajah ...

    ReplyDelete
  7. Saudara Zarie
    "Setahu sy, ada peralatan raja tebuk yg masih disimpan oleh (keluarganya/warisnya). "
    Boleh saya tahu dimana waris keluarga Sultan Setebuk sekarang?
    Menurut sumber rumah waris sultan setebuk terbakar. Dan ada barang yg dapat dan tidak dpat diselamatkan..
    Bagi isu perkataan lanun dari perkataan bangsa irranun itu sendiri saya rasa tidak perlu la kita melatah.. kita suda berada di era tahun 2000 mungkin iyaaa hakikatnya dilabelkan sebagai lanun tetapi itu ratusan tahun sudah berlalu.. saya rasa sungguh menarik dan boleh dijadikan sebagai feature ataupun trait dlm bangsa kita..pada suatu ketika dulu.. hatusla kita bersikap lebih terbuka..

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. penulisan ini sepatutnya mengatakan legasi Datu Komidal (Sultan Se Tebok) diteruskan oleh iparnya Datu Rambangan bin Datu Baskal (Datu Amir Bahar) Suami Bai Pandaupan sebagai Raja Tempasuk disebabkan campurtangan inggeri sama dengan Miharaja Dinda yang berkuasa di Pandasan.

    ReplyDelete
  10. Rupanya nama Tampasuk sudah wujud seawal 1781. Tahniah Tampasuk

    ReplyDelete
  11. Kalau barang peninggalan masih ada seperti cop mohor dan sebagainya,bukan kah waris-waris sultan irranun ni ada hak untuk menuntut,kerana tanah itu telah di hadiahkan oleh sultan brunei kepada raja ismail dan keturunannya?

    ReplyDelete
  12. Sejarah Sultan Setebuk -Iranun
    Sejarah Datu Rambangan-Bajau Samah
    Sejarah Datu Siraja Dinda(Raja Muda)-Yakan/Sulu

    ReplyDelete
  13. Sejarah Sultan Setebuk -Iranun
    Sejarah Datu Rambangan-Bajau Samah
    Sejarah Datu Siraja Dinda(Raja Muda)-Yakan/Sulu

    ReplyDelete
  14. Adakah Raja Ismail merupakan orang yang sama dengan empunya nama Sultan Ismail Abdul Jalil jalaluddin Shah ?

    ReplyDelete

LinkWithin