SEJARAH

SEJARAH

Tuesday, August 23, 2011

PENGAJARAN DARIPADA KISAH NABI ADAM a.s. DIKELUARKAN DARI SYURGA (Siri 1)

Manusia pertama adalah Nabi Adam a.s yang telah diciptakan oleh Allah swt daripada tanah, dan selepas itu semua manusia melalui proses penciptaan melalui rahim wanita. Kehebatan Nabi Adam a.s sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah telah mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada para makhluk termasuk Iblis dan Malaikat. Mereka merasa sangsi akan keboleh upayaan manusia untuk menerajui kepimpinan dunia ini yang disebut sebagai ‘khalifah’.

Cadangan daripada Allah SWT untuk mewartakan manusia sebagai peneraju dunia tidak dapat juga disanggah oleh Iblis yang merasa cemburu ke atas pewartaan ini. Maka Iblis dengan terang cuba mencari helah bagaimana manusia ini terkeluar daripada syurga yang menjadi tempat tinggal Nabi Adam a.s. Iblis merancang dan merencana strategi untuk mengenakan manusia, dan strategi Iblis ini benar-benar berkesan serta berjaya mengeluarkan manusia secepatnya daripada syurga. Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa telah menjadi pengembara di dunia untuk memulakan penghidupan baru seperti mana Iblis juga turut mengalaminya.

Beberapa perkara sepatutnya menjadi renungan kepada umat manusia terhadap peristiwa ini, dan antaranya ialah sikap dendam, dengki dan irihati yang telah menguasai iblis. Iblis mendakwa bahawa dia dijadikan daripada api, manakala manusia dijadikan daripada tanah yang busuk. Persoalan Iblis terhadap Allah SWT ialah bagaimana manusia yang sebusuk itu (tanah) boleh menjadi lebih baik daripada dia yang asalnya api?. Kenapa Allah SWT memerintahkan dia (Iblis) sujud serta hormat kepada manusia sedangkan dia adalah lebih baik berbanding manusia?. Kenapa pula Allah SWT mengangkat manusia setinggi itu, dan yang pasti manusia ini apabila dilantik sebagai khalifah akan melakukan kerosakan, kebinasaan, pertumpahan darah dan pelbagai tabi’at buruk yang menunjukkan kelemahan manusia?.

Apabila kita merenung sejenak tentang kritikan Iblis itu ada juga kewajarannya, bilamana kita melihat situasi manusia di dunia ini. Segala hujah Iblis itu telah berlaku pada masa kini, namun Allah SWT maha mengetahui di sebalik peristiwa-peristiwa di dunia ini. Allah SWT menjelaskan “sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tahu dan kamu tidak tahu apa yang Aku tahu”.

Iktibar daripada peristiwa ini, ialah sikap Iblis yang amat berdendam dengan manusia yang menyebabkan dia terhina dan dilaknat oleh Allah SWT sebagai golongan kafir iaitu engkar. Hukuman ini terus menjadikan Iblis lebih ganas serta bersumpah akan menyesatkan manusia sampai mereka sama-sama engkar serta sama-sama menduduki neraka sebagai hukuman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin