Apabila membicarakan kepimpinan dan perubahan, maka pembicaraan itu tidak akan terpisah dengan beberapa persoalan masyarakat yang berlaku sama ada dulu dan kini. Masyarakat Iranun kini adalah berbeza dengan masyarakat Iranun yang lampau dan begitu juga gaya berfikir mereka juga pastinya amat berbeza. Kehebatan masyarakat Iranun mendepani cabaran zaman sebelum penjajah pastinya berbeza dengan era penjajahan dan begitulah seterusnya hingga kini. Situasi ini dipengaruhi oleh aspek 'kepimpinan' dan 'perubahan' yang sentiasa berlaku sepanjang zaman.
Apa pun yang terjadi, masyarakat Iranun tidak boleh dipisahkan daripada sejarahnya sendiri. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Iranun terikat dengan pemikiran 'animisme' yang banyak bergantung penuh kepada faktor persekitaran. Mereka hidup dengan suasana ketahyulan yang melingkari pemikiran serta pembinaan watak masyarakat yang bersifat 'fata morgana'. Ketika ini masyarakat dipimpin mendewa-dewakan alam semula jadi serta memujanya sebagai satu kuasa spiritual. Keterikatan masyarakat terhadap kuasa alam telah melahirkan watak pemimpin yang bersifat mistik yang autokratik.
Setelah kedatangan Islam pemikiran masyarakat terus berubah kerana faktor kepimpinan yang turut membawa perubahan. Islam telah membebaskan pemikiran serta jiwa raga masyarakat Iranun daripada terus terbelenggu dengan kuasa alam. Perkara ini telah disebut oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya 'Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu', di mana al-Attas menyatakan bahawa kedatangan Islam ke alam Melayu telah merubah dimensi budaya serta watak Melayu itu sendiri. Perubahan yang berlaku dalam dunia Melayu ini tidak tertumpu kepada sesuatu kaum, tetapi rumpun Melayu itu sendiri termasuklah 'Iranun'. Kepimpinan Melayu yang dibina atas prinsip Islam ini telah melingkari gugusan kepulauan Melayu turut terkesan, di mana kemunculan Islam ini telah dilihat oleh Barat sebagai ancaman baru terhadap misi 'westernization'. Islam yang hadir dalam dunia masyarakat Iranun memberi impak besar terhadap kepimpinan. Perubahan secara mendadak ini dirantai dengan misi 'islamization' yang berjaya meletakkan masyarakat Iranun dalam peta alam Melayu.
Dewasa ini masyarakat Iranun turut mengalami proses perubahan, sama ada berkaitan politik, ekonomi, pendidikan atau sosial. Oleh itu, transformasi kepimpinan perlu berlaku dalam masyarakat dengan segera agar ianya menepati watak kepimpinan masyarakat itu sendiri. Kepimpinan kini mestilah bersifat merakyat atau ummatik yang mana mampu membawa perubahan kepada masyarakat. Pemimpin itu mestilah mempunyai pandangan jauh yang boleh membaca masa depan atau bersifat futuristik. Kepimpinan juga mempunyai misi mendaulatkan masyarakat serta berupaya mengangkat martabat masyarakat dalam pelbagai bidang.
Kepimpinan mestilah memahami aspirasi masyarakat semasa tanpa melupakan sejarah silam bangsanya. Pimpinan mestilah mampu menelaah gelombang kemasyarakatan yang berlaku tanpa dirancang. Keadaan ini sudah disedari oleh Dr. Siddik Fadil dalam makalahnya 'Kepimpinan Melayu Era Perubahan', di mana beliau mengungkapkan "Dunia dewasa ini sedang mengalami pelbagai perubahan yang pesat dan dahsyat. Terlalu banyak new realities, realiti-realiti baru yang harus ditangani. Malah apa yang dinamakan masa depan itu sebenarnya sudah kita masuki". Maknanya pimpinan memiliki kualiti diri dengan menjadikan ilmu sebagai kekuatan, selain Islam sebagai tunjangnya. Masyarakat Iranun perlu keluar daripada memilih pemimpin watak jadi-jadian yang tidak berupaya mengangkat martabat masyarakat.
Pemimpin jadi-jadian ini kerap kali terbabas daripada landasannya kerana dia tidak mampu menggalas amanah masyarakatnya apabila berhadapan cabaran yang datang dari semasa ke semasa. Dengan itu, menjadi pengikut lebih mudah daripada menjadi pemimpin, kita perlukan pemimpin yang boleh membawa perubahan secara total terhadap masyarakat.
Harapan besar kita, kepimpinan dalam masyarakat Iranun memerlukan watak tulen sebagai qudwah yang baik serta memiliki world view yang jelas. Pemimpin perubahan perlu mempersiapkan diri dengan segala disiplin keilmuan sebagai kekuatan.
Kita kena cari pemimpin yang benar benar memimpin bangsa bukan yang mencari kesempatan cuma. Ada pemimpin kita dulu bermati matian bersama mencari kejayaan tapi bila sudah berjaya pelbagai syarat kita alami. Biarlah ikhlas dan berjuang untuk bangsa bukan peribadi semata
ReplyDelete