SEJARAH

SEJARAH

Tuesday, January 6, 2015

NEGARA DAKWAH:MILIK KERAJAAN SULAYMAN ‘A.S.

Bicara kali ini adalah merujuk kepada sebuah kisah dalam al-Quran Surah al-Naml yang telah meriwayat kisah Nabi Sulayman ‘a.s., iaitu sebuah kerajaan yang hebat serta mendapat keberkatan daripada Allah swt. Kerajaan Nabi Sulayman ‘a.s. merupakan suatu kerajaan besar kerana kehebatan Nabi Sulayman ‘a.s. mengurus dan mentadbir negara tersebut dengan cara bijaksana, adil dan bertertib. Baginda berupaya menguasai seluruh makhluk yang berada di muka bumi ketika itu. Kehebatan Sulayman ‘a.s. ini telah menggerunkan sesiapa sahaja sama ada kawan atau lawan, namun apa yang dipertontonkan oleh baginda ialah sifat ketaatan kepada penciptaNya, walaupun ianya memiliki sebuah kerajaan yang besar. Dalam Surah al-Naml, ayat ke 16;

             “Dan Sulayman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulayman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu(yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”

Nabi Sulayman memiliki dua darajat iaitu sebagai nabi dan ketua negara, walaupun begitu, Nabi Sulayman tidak berasa angkuh serta takbur, bahkan baginda merasa rendah diri kepada penciptanya. Dalam surat baginda kepada Balqis iaitu ketua kerajaan Saba’, ayat ke 30 dan 31;

             “Sesungguhnya (surat) itu dari Sulayman yang isinya, “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Janganlah engkau berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.

Surat baginda kepada Balqis yang dimulai dengan ayat ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang’, adalah merujuk kepada rasa rendah diri kepada pencipta. Nabi Sulayman telah meletakkan Allah swt sebagai tunjang kekuatan kerajaannya iaitu mengisbatkan Allah sebagai tuhan yang Esa yang sepatutnya disembah, bukannya menyerahkan diri kepada makhluk lain.

Kenapa Nabi Sulayman ‘a.s terlalu mengambil berat terhadap kerajaan Balqis?, di situ dapat dilihat bagaimana Nabi Sulayman menjadikan negaranya sebagai ‘Negara Dakwah’, iaitu mengajak manusia supaya kembali kepada pencipta iaitu Tuhan sekalian alam. Kerajaan Balqis telah mencabuli sifat kehambaannya, sehingga dia lupa kepada asal usulnya, dia alpa terhadap perjanjiannya ketika berada dalam alam roh.
Misi Nabi Sulayman ‘a.s ialah mengembalikan manusia kepada fitrah kehambaan iaitu makhluk yang dicipta oleh yang Maha Pencipta. Balqis tersasar daripada natijah insan yang bersifat hamba, sehingga Balqis dan rakyatnya mengenepikan kekuasaan Allah swt sebagai tuhan sekalian alam. Berita yang dibawa oleh burung Hudhud tentang kehebatan kerajaan Balqis iaitu sebuah kerajaan yang berada berada dalam kesesatan, dan telah menarik perhatian Nabi Sulayman ‘a.s.
Komitmen Nabi Sulayman ‘a.s menyelamatkan Balqis dan rakyatnya daripada tersesat jauh, merupakan salah satu misi rabbaniy yang diamanahkan kepada beliau sebagai utusan iaitu nubuwah. Laporan Hudhud amat menyentuh hati nurani Nabi Sulayman, lalu beliau mengambil tindakan untuk membawa kembali Balqis dan rakyat jelatanya menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Baginda Sulayman ‘a.s telah menulis surat kepada Balqis sebagai satu peringatan.
Surat peringatan itu dimulai dengan al-basmalah yang merujuk tentang pentauhidan Allah swt (‘Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang’). Balqis yang sedar akan kehebatan kerajaan Nabi Sulayman memilih untuk berdamai daripada berperang dengan menghantar hadiah-hadiah lumayan untuk melembutkan Nabi Sulayman agar tidak akan melanggari kerajaan beliau, ayat 35 menyatakan;
“Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu”.
Persis hadiah tersebut tidak menarik perhatian baginda, bahkan baginda dengan tegas menempelak akan hadiah itu di hadapan utusan Balqis, ayat 36 menjelaskan;
             “Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulayman, ia (Sulayman) berkata, ‘Apakah (patut) kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya kepadamu; tetapi kamu berasa bangga dengan hadiahmu”.
Nabi Sulayman ‘a.s telah menetapkan pendirian, bahawa harta bukan tututannya, bukan juga sebagai galang ganti terhadap misi nubuwah. Sulayman ‘a.s telah pun memiliki kekayaan yang besar yang tiada taranya dan yang dianugerahkan oleh Allah swt. Apa yang dipinta oleh Sulayman ‘a.s ialah Balqis dan seluruh kerajaannya mestilah beriman kepada Allah swt.
Penolakan terhadap hadiah-hadiah lumayan itu, memperlihatkan mesej sebenar Sulayman ‘a.s bukannya semata-mata politik duniawi, tetapi adalah persoalan dakwah iaitu mengajak manusia kepada keimanan yang tulus kepada Allah swt, yakni pembebasan mutlak manusia dari belenggu kesesatan dan kejahilan.  Kerana manusia apabila lupa kepada misi insaniyy, maka ianya akan tersasar daripada tujuan murni sebagai ‘khalifa’ di muka bumi yang membawa manusia kepada kesejahteraan dunia dan kebahagiaan akhirat.

(ulasan ringkas daripada Tafsir Maudhuiyy)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin