Pages

Thursday, June 23, 2016

STRATEGI PEMBINAAN BUDAYA ILMU DALAM KALANGAN GENERASI MUDA ISLAM



Pendahuluan

 Prof. Paul Kennedy dalam bukunya“The Rise and Fall of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500 – 2000” telah menganalisis terdapat 2 faktor utama yang saling berkaitan berkenaan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah Negara. Faktor-faktor tersebut adalah tentang kewibawaan sistem dan kuasa ekonomi, dan kekuatan teknologi ketenteraan. Analisa ini dibuktikan melalui kajian beliau terhadap jatuh bangun kuasa-kuasa besar pada abad ke-16 hingga ke-20 masihi seperti kerajaan Islam Turki, Mughal India, Dinasti Ming China, Jepun, Rusia dan lain-lain. Namun demikian, Profesor Wan Mohd. Nor Wan Daud telah menganalisis lebih dalam lagi dasar kewujudan kedua faktor utama di atas adalah akibat daripada kepuasan, keangkuhan, kejumudan dan kebebalan sikap mereka terhadap ilmu. Hal ini adalah sebab utama kelemahan sistem ekonomi dan ketenteraan mereka lumpuh dan akhirnya mengalami kejatuhan. Terdapat benarnya penyataan ini apabila tokoh pemikir ulung peringkat antarabangsa, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas mengungkapkan bahawa kelemahan yang terdapat pada sistem-sistem utama dalam Negara merupakan jelmaan gejala “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu”.

Demikian juga apabila tokoh kebanggaan Islam di Turki, Badi’uzzaman Said Nursi menyatakan bahawa masalah dan cabaran besar bagi kaum Muslimin adalah kejahilan, kemiskinan dan perpecahan. Namun, Prof. Al-Attas telah mengemukakan analisis beliau bahawa kebolehan mengenalpasti masalah dan cabaran adalah satu hal besar yang perlu diperdalamkan lagi. Beliau telah mempertautkan cabaran tersebut yakni punca sebenar bagi permasalahan kaum Muslimin sebagai suatu tambahan untuk melengkapkan pernyataan Said Nursi tadi. Dalam hal inilah renungan dan analisis Prof. Al-Attas dikira brilliant apabila beliau menyatakan bahawa cabaran Muslimin adalah seperti berikut:

1.    Kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu yang menyebabkan keadaan.
2.    Kehilangan adab dalam kalangan umat. Keadaan yang timbul dari (1) dan (2) adalah.
3.    Kemunculan pemimpin-pemimpin yang tidak layak untuk kepimpinan yang sah bagi umat Islam, yang tidak memiliki taraf modal, intelektual dan spiritual yang tinggi yang disyaratkan untuk kepimpinan Islam, yang melestarikan keadaan pada (1) di atas dan menjamin penguasaan urusan umat yang berkelanjutan oleh pemimpin-pemimpin seolah seperti mereka yang menguasai semua bidang.

Dalam hal ini juga ia telah melanggar apa yang pernah dikatakan oleh Ibnu Khaldun iaitu “Tindakan Awal, Fikir Akhir”  dan “Begin with the end in mind” dari Stephen Covey bahawa betapa pentingnya peranan ilmu sebagai langkah terawal yang perlu diberi penekanan bagi melahirkan pemimpin yang sejati, punya adab serta layak memimpin sebuah bangsa. Kenyataan ini juga dapat dibuktikan kekukuhannya menerusi idea gaya pemikiran ‘water logic’ oleh Edward De Bono yang mana untuk menyelesaikan suatu permasalahan secara kritis dan tepat, adalah perlu untuk mencari bibit punca sebenar masalah tersebut dan bertindak membendungnya bermula dari situ.

Melalui pandangan dan pengalaman dunia Islam pula, pada era nubuwwah dan sistem khilafah, dunia Islam begitu pesat berkembang dan sangat membanggakan.  Kejayaan ini seperti yang telah kita maklum, ia bermula pada zaman kerasulan Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda menerima wahyu pertama membawa kalimah ”Iqra” yang bermaksud “Bacalah”, sekaligus arahan daripada Rabbul Jalil kepada makhlukNya agar menimba dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu pengetahuan untuk difahami dan dihayati. Seruan ini telah mengubah dan memberi suatu anjakan paradigma umat manusia agar beralih dari belenggu kejahilan dan kegelapan menuju kepada jalan yang penuh cahaya kebenaran. Sejak dari itu, pelbagai episod kejayaan umat Islam dikecapi sehingga berjaya membuka 2/3 dunia ketika sampai ke zaman kemuncaknya melalui peristiwa pembukaan kota Konstantinopel oleh kerajaan Byzantine yang diketuai Sultan Muhammad Al-Fateh pada tahun 1453 Masihi. Tetapi kejayaan ini tidak berkekalan apabila berlaku kewujudan Pemimpin Palsu yang lahir dari fenomena kekeliruan dan kepalsuan ilmu oleh serangan Kebudayaan Barat dalam negara-negara dunia Islam3. Akhirnya, kesatuan khilafah yang dibanggakan ini berjaya dipecahkan oleh Barat melalui pengenalan dasar “Pecah dan Perintah”.

          Meskipun Negara-negara Islam telah mencapai kemerdekaan, namun kita masih lagi mengalami penjajahan. Hal ini kerana kita masih belum membebaskan diri daripada pembangunan sebenar, malahan masih tertakluk kepada melihat dan menilai pembangunan itu secara fizikal semata-mata, bukan pembangunan dari sudut rohani dan mentaliti. Kita masih gagal dalam perihal keilmuan kerana kita masih tidak mampu membebaskan diri daripada mengikut konsep pembangunan ala Barat. Negara Islam masih lagi dalam penjajahan ekonomi, kebudayaan, fizikal dan terutamanya pemikiran. Bagi mereka yang sedar tentang kelemahan ini, mereka melihat bahawa Negara Islam masih sedang dalam usaha membebaskan kaum Muslimin daripada penjajahan pemikiran ini (Ghuzwatul Fikr). Sehinggakan kita dalam masyarakat Negara Islam ini belum lagi boleh menyumbang kepada tamadun melalui hasil yang benar-benar diperolehi daripada pemikiran tamadun Islam seperti mana kejayaan tamadun Islam yang terdahulu.

Budaya Ilmu

Faktor kewujudan permasalahan di atas adalah disebabkan kurangnya perhatian untuk mempelajari dan membudayakan ilmu-ilmu yang bersifat tulen. Yang mana akhirnya melahirkan ahli-ahli masyarakat yang bebal dan bersikap anti-ilmu. Hal ini kerana ilmu itu sifatnya benar, tulen dan tidak palsu. Pihak kebudayaan Barat telah memperkenalkan sebuah teori pemikiran songsang yang dinamakan Sekularisme. Teori ini bertujuan untuk memisahkan segala urusan keduniaan daripada konteks agama sebagaimana yang diyakini oleh umat Islam. Ia telah diserap masuk ke dalam konteks keilmuan Islam dan tercetusnya faktor permasalahan umat seperti mana yang telah saya sebutkan tadi. Seorang muslim mesti mempercayai bahawa ilmu itu datangnya dari Rabbul Jalil dan kedatangan punca ilmu itu pun adalah dari Dia Yang Maha Berpengetahuan Luas. Akidah Islam wajib mempercayai bahawa Allah itu Maha Benar, maka segala perkara yang datang dari Tuhan itu adalah benar, dan ilmu itu juga semestinya bersifat benar. Hal inilah saya maksudkan di sini tentang ilmu yang tulen.

Namun kini, agak sukar untuk kita membezakan ilmu yang tulen dan palsu. Oleh itu, haruslah kita kembali kepada definisi makna ilmu itu sendiri agar tidak lari dari tujuan asal.  Apa yang dimaksudkan dengan ilmu? Menurut Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau telah menakrifkan perihal ilmu sebagai “Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sendiri sebagai penafsir, ilmu adalah ketibaan seseorang kepada makna tentang sesuatu”. Takrifan ini secara ringkas dan padat serta lengkap membayangkan peranan Allah SWT sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia sebagai makhluk aktif untuk mendapatkan ilmu. Dalam Islam, sumber ilmu merupakan akidah Islamiah yang mengithbatkan keupayaan manusia bagi mencapai ilmu, yakni keyakinan, adalah melalui pancaindera yang sempurna, penggunaan akal yang betul dan khabar yang benar. Keyakinan, sama ada pada tahap ilmul yaqin, ainul yaqin atau hakkul yaqin ialah anugerah Allah kepda manusia. Oleh itu, pada tahap keyakinan, hasil pencapaian keilmuan manusia bukan lagi bersifat manusia, tetapi Ilahi. Ilmu yang mencapai yakin, yakni bukan tahap hipotesis, teori, syak, zan, dugaan dan waham ialah akibat daripada “pengajaran” Allah SWT, dan bersifat universal, bukan relatif. Terdapat juga 2 sumber ilmu di atas yang ada pada pengetahuan Barat, iaitu pada pancaindera dan penggunaan akal rasional, dan ia hanya ada pada takat itu. Tetapi pengetahuan Barat tidak mempunyai perkhabaran yang benar sebagaimana wujud dalam akidah Islam seperti yang telah diterangkan tadi.Oleh hal yang demikian, untuk mencapai makna tepat di atas dalam diri seseorang, perlu satu gerakan pencarian ilmu, memahami serta menghayatinya, dan akhirnya diterjemah dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Perihal inilah yang dinamakan gerakan Budaya Ilmu.

Budaya ilmu antara maksud lain adalah kewujudan suatu keadaan yang mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung ataupun tidak dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada suatu keadaan yang mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun perbincangan syura.

Ilmu Menuju Hikmah

“Sebagaiman (Kami telahmenyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (al-Baqarah: 151)

Menurut daripada potongan ayat di atas, dijelaskan tentang ketinggian tahap hikmah berbanding dengan ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran, fakta dan data. Hikmah merupakan sebuah ucapan yang sesuai dengan kebenaran, falsafah, perkara yang benar dan lurus, keadilan, pengetahuan dan lapang dada. Definisi hikmah dari sudut bahasa mempunyai Sembilan pengertian; keadilan, tahan marah, kenabian, suatu yang tidak memperlihatkan kejahilan, tiap-tiap perkataan yang bertepatan dengan haq (kebenaran), meletakkan sesuatu pada tempatnya, perkataan yang betul dan tepat, sesuatu yang mencegah belaku kerosakan, mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu.

Hikmah dapat dicapai bermula daripada data dan fakta yang diperolehi melalui pengalaman peristiwa serta uji kaji yang dilaksanakan. Melalui data dan fakta tersebut, dapatan maklumat akan menyusul sebagai pengetahuan am, dan ia bertukar menjadi ilmu seiranya maklumat tadi memberi ketibaan makna pada diri seseorang dengan kaedah berfikir. Kemudian apabila diperdalamkan lagi ilmu tersebut, dengan mencari pelbagai penjelasan dari segenap pandangan, akan muncul suatu kefahaman yang kukuh dalam pemikirannya. Akhir sekali akan dierjemahkan kefahamannya tadi dalam bentuk tindakan pada tahap yang terbaik agar dapat dirasai oleh orang lain dan dirinya sendiri. Di situlah capaian maknanya kepada hikmah.



Pembinaan Budaya Ilmu Dalam Generasi Muda

Generasi muda merupakan pelapis masa depan Negara. Golongan inilah yang bakal menentukan nasib baik atau buruk sesebuah masyarakat bangsa di masa akan datang. Melalui pengalaman-pengalaman tamadun dan kuasa-kuasa besar yang telah dijelaskan dalam pendahuluan di atas, amatlah perlu untuk mempersiapkan generasi ini dengan sikap keilmuan yang tinggi bagi memastikan kesilapan di masa lampau tidak berulang kembali serta dijadikan sempadan. Untuk memastikan nasib masyarakat bangsa di masa hadapan terjamin, wajib bagi kita berusaha untuk mempersiapkan pemimpin yang baik, berintegriti, luhur, budi pekerti, berpengetahuan, bijaksana, punya kreadibiliti dan daya saing, bersikap adil dan saksama dan sewaktuu dengannya. Dan usaha itu haruslah bermula daripada sekarang, iaitu menyasarkan para generasi muda untuk sentiasa bersedia dibentuk.

Dalam Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM kali ke-54 tahun 2016, Saudara Mohd. Fazril Saleh, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), telah membawa sebuah gagasan besar dalam ucapan dasar beliau yang bertajuk, “Membangun Generasi Bitara: Terampil dan Berkemajuan”. Dalam ucapan dasar tersebut, telah disebutkan tentang penekanan terhadap jiwa generasi bitara dan 4 elemen terpenting yang digelar sebagai lingkungan kebitaraan. Apa yang dimaksudkan dengan bitara? Bitara merupakan gabungan dari dua perkataan yang berasal daripada bahasa Parsi iaitu ’Bi’ yang bermaksud Tidak atau Tiada, manakala ’Tara’ bermaksud Tahap, Takat dan Had, apabila digabungkan menjadi Bitara iaitu Tiada Had atau Tiada Tahap, apabila dikaitkan dengan generasi Bitara, ia bermaksud seorang individu yang mempunyai pemikiran dan kemahiran yang agresif dan aktif, mempunyai cita-cita menggunung dan meluas, tiada hadnya. Seperti yang telah disebutkan di atas, untuk mencapai tahap generasi bitara, ia memerlukan ’Lingkungan Kebitaraan’ yang dibangunkan atas empat (4) elemen pembinaan, iaitu Idealisme, Intelektualisme, Aktivisme dan Spiritualisme. Idealisme adalah kekuatan azam memasang matlamat, visi dan misi; harus dipandu dengan kekuatan ilmu dan aktiviti pemikiran yang mendalam, iaitu intelektualisme. Kedua-duanya ini mesti berkait agar ia tidak sekadar tinggal matlamat tanpa ada usaha untuk menyusun strategi bagi mencapai visi tersebut. Aktivisme pula adalah terjemahan kepada strategi yang disusun untuk mencapai matlamat tadi. Ia adalah hasil jelmaan dari idealisme dan intelektualisme. Kemudian ketiga-tiganya ini harus dipandu dan dikawal oleh spiritualisme untuk memastikan ketiga-tiga elemen tadi (Idealisme, Intelektualisme dan Aktivisme) sentiasa dalam landasan. Untuk melahirkan generasi pemimpin yang baik dalam segala lapangan, dia mestilah bertitik tolak daripada penguasaan ilmu yang sejati sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Prof. Al-Attas. Sehubungan dengan itu, gagasan besar ini sesungguhnya amat memerlukan kesabaran yang tinggi untuk dicapai. Sebab itu kita akan melihat pada mereka akan ternyata ruginya bergopoh dan tergesa-gesa, malah untungnya beratur-rapih dalam melaksanakan perjuangan memanjang ini.


Cabaran Pembudayan Ilmu

Meskipun telah diterangkan tadi bahawa pentingnya peranan pembudayaan ilmu dalam pembangunan bangsa, namun masih terdapat cabaran-cabaran yang membawa kepada pertentangan gagasan besar ini. Antara cabaran besar yang timbul adalah wujudnya sikap sufasta’iyyah dari golongan Anti-Ilmu atau gelarannya para sofis. Prof. Al-Attas telah membahagikan golongan ini kepada 3 kelompok:

1.    Kelompok al-la adriyyah.
2.    Kelompok al-indiyyah.
3.    Kelompok al-inadiyyah.

Kelompok pertama iaitu al-la adriyyah disebut sebagai agnostik, merujuk kepada kelompok individu yang selalu mengatakan tidak tahu (la adri, iaitu ”saya tidak tahu”) atau selalu ragu-ragu tentang keberadaan sesuatu sehingga menolak kemungkinan ilmu pengetahuan. Orang seperti ini pada gilirannya juga akan meragui sikapnya yang serba meragui keberadaan segala sesuatu.

Kelompok kedua pula iaitu al-indiyyah adalah mereka yang selalu bersikap subjektif. Bebrbeza dengan kelompok yang pertama, kelompok ini menerima kemungkinan keberadaan ilmu pengetahuan dan kebenaran, tetapi menolak matlamatnya. Bagi mereka, matlamat ilmu pengetahuan dan kebenaran adalah subjektif atau indi atau ”menurut saya” atau hanya bergantung dan yakin dengan pendapatnya sahaja.

Kelompok yang ketiga pula, al-inadiyyah adalah merujuk kepada mereka yang keras kepala. Sentiasa menafikan realiti segala sesuatu (haqa’iq al-asyya’) dan menganggapnya sebagai fantasi (auham) dan khayalan semata-mata, bersifat teori, berada di awang-awangan dan menganggapnya tidak membumi kepada masyarakat. Kelompok terakhir ini lebih mirip dengan kelompok kedua tadi. Para sofis tidak akan dapat menjelaskan kedudukan mereka. Kalaupun ada, satu-satunya kedudukan yang sesuai untuk mereka ialah mendekontruksi setiap wacana keilmuan. Sikap para sofis sudah jelas tidak Islamik kerana para ahli falsafah Muslim seperti al-Farabi, menempatkan kejayaan dalam mencapai suatu keyakinan sebagai tahap akhir daripada proses belajar.

Saya menjelaskan ini adalah kerana hendaklah kita merenung dan memikirkan kembali, adakah wujud sikap kelompok-kelompok ini dalam masyarakat bangsa kita atau lebih dekat lagi, dalam kalangan ahli gerakan jamaah kita ini sendiri? Tujuan persoalan ini adalah untuk koreksi diri masing-masing tentang sikap kita dalam meletakkan keutamaan ilmu sebagai titik-tolak utama bagi sebuah gerakan perlaksanaan program-program.


Strategi Pembinaan

Menurut Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam bukunya bertajuk ”Budaya Ilmu”, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan untuk menyuburkan budaya ilmu. Antaranya ialah memupuk kecintaan terhadap ilmu pengetahuan serta kegigihan menimba, menyebar dan mengamalkannya untuk dianggap sebagai suatu idealisme dan kebaikan tertinggi yang menjadi punca segala kebaikan yang lain. Hal ini menjelaskan betapa pentingnya menerapkan rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu dalam jiwa generasi muda kerana ia akan menjadi faktor atau sumber kebaikan-kebaikan lain yang akan dilakukannya atas dasar kesedaran perlu untuk menyebarkan dan mengamalkan serta mengajak orang lain untuk turut sama berada dalam lingkungan kebaikan. Bayangkan suatu keadaan di mana orang muda akan bertindak untuk berbakti kepada masyarakatnya tanpa diarah atau minta dibayar satu sen pun kerana mereka berlaku demikian atas usaha ingin menabur jasa ilmu kepada bangsanya. Sebab itu wujud motto perjuangan ”Berilmu Menabur Jasa” dan ”Hidup Biar Berjasa” pada sebuah entiti anak muda terpelajar iaitu Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) di bawah naungan PKPIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)Negeri Sabah. Motto perjuangan ini jelas menunjukkan komitmen keilmuan sekelompok generasi muda untuk terus giat menimba ilmu dan menaburkannya kepada orang lain sebagai tanda jasa bakti kepada masyarakat bangsa. Oleh yang demikian, antara strategi lain yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan oleh ger.akan Islam seperti jamaah Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), ABIM, PKPIM dan SISMA adalah sentiasa menggalakkan siri perbincangan mengenai tokoh-tokoh ilmuwan dan karya-karya agung mereka, menganjurkan siri-siri wacana buku dan ilmu secara berterusan selain daripada seminar-seminar umum yang dianjurkan setiap tahun dan  membaca dan usaha untuk menghuraikan idea-idea utama para ilmuwan, ulama dan tokoh pemikir yang terbukti hebat sumbangannya dalam lipatan sejarah seperti Ibnu Khaldun, Confucius, Imam Ghazali, Mahatma Gandhi, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Falimbani, Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Edward De Bono, Stephen Covey, Malek Bennabi, Raja Ali Haji dan lain-lain yang tidak sempat disebutkan di sini. Hal ini kerana dengan usaha menyoroti dan menghurai idea-idea utama dalam karya mereka, kita secara tidak langsung akan dihubungkan kepada para ilmuwan silam yang mana ilmunya terus sampai kepada Rasulullah SAW.

Dengan mempersiapkan generasi seperti ini, akan wujud satu kesedaran besar dalam jiwa insan untuk memastikan kelangsungan masyarakatnya sentiasa dalam keadaan yang baik dan sejahtera. Oleh yang demikian, misi pembangunan umat akan terus berjalan kerana wujudnya legasi atau kelompok anak muda terdidik yang menjadi penerus atau pelangsung kepada visi membina dan memimpin umat yang terbaik.

Kenapa Generasi Muda Perlu Pada Penguasaan Ilmu?

Dalam pembinaan generasi yang berkepimpinan, berkemahiran dan berkomitmen tinggi, mereka ini mestilah dididik dan dilatih untuk menguasai ilmu. Hal ini kerana, dalam gerakan membina kepimpinan masa depan, haruslah dilatih dalam sebuah entiti gerakan berpersatuan. Mereka (generasi muda) yang digelar aktivis akan dilatih secara berperingkat.
1.    Menurut arahan. Dalam peringkat pertama ini, aktivisdididik dan dilatih untuk sentiasa menerima arahan dan bersedia melaksanakan arahan serta-merta dengan tangkas.

2.    Kordinasi dan komunikasi. Peringkat ini adalah melatih aktivis untuk tahu menguruskan program aktiviti dain.an ahli jawatankuasa yang selaras dengan perbincangan dalam mesyuarat serta mampu mencapai sasaran objektif.

3.    Pimpinan. Tiba masa aktivis tadi naik ke satu tahap di mana dia perlu memimpin organisasi ke arah mencapai visi dan misi, perlu menghadam idea-idea utama pimpinan dalam jamaah yang terdahulu seperti karya tulisan Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Prof. Dr. Razali Nawawi, Prof. Dato’ Dr. Redzuan Othman, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, Prof. Dr. Abdul Halim El-Muhammady, Hj. Mokhtar Ramli, ucapan-ucapan dasar presiden jamaah, kertas-kertas kerja pembentangan dalam Tamrin atau Muktamar dan lain-lain. Namun demikian, tidak cukup hanya menghadam idea pimpinan jamaah sendiri, perlu juga menghadam idea-idea tokoh-tokoh lain di luar daripada pimpinan jamaah untuk sedia berdepan dan bekerjasama dengan gerakan Islam serta bukan Islam yang lain. Tuntutan untuk kita memimpin jamaah juga memerlukan kekuatan daya intelek dan idea, kreativiti yang tinggi, inovasi dan bersikap kritis. Kemampuan menerobos masa depan, mengenalpasti cabaran dan realiti setempat, kebolehan memperjuangkan isu-isu bersama, berlapang dada dalam hal-hal perbezaan dan pendekatan. Di sini perlunya pandangan alam Islam yang berasaskan keadilan, kebenaran dan kemanusiaan. Oleh itu, ditegaskan bahawa pentingnya pembudayaan ilmu!

Kesimpulan

Menurut daripada yang telah dijelaskan di atas, kita dapat menemukan bahawa daya pencapaian sesuatu bangsa adalah ditentukan oleh kekuatan budaya ilmunya. Kemudian generasi muda bangsa itu mesti dipersiapkan kekuatan budaya ilmunya bagi memastikan kelangsungan daya pencapaian mereka terus kekal malah menningkat daripada sebelumnya.

          Menekankan semula elemen penting yang perlu diperkuatkan bagi generasi muda adalah kekuatan mindanya dalam merenung peristiwa, berfikir dan mencerna untuk mendapatkan makna ketibaan dalam dirinya (ilmu). Setelah itu, diterjemahkannya dalam bentuk perbuatan atau tindakan agar orang lain dapat merasai dan menghayati apa yang telah dirasai melalui pengalaman keilmuannya. Hal ini sama seperti yang dijelaskan tadi tentang lingkungan kebitaraan. Memupuk generasi agar mampu menghasilkan idealisme sebagai misi dan matlamat perjuangannya. Setelah itu, difikirkan bagaimana caranya untuk mencapai matlamat yang digagaskan dengan menggunakan kekuatan intelektualisme, dan akhirnya akan diterjemahkan hasil pemikiran tersebut dalam bentuk aktivisme kepada masyarakat. Kekuatan spiritualisme perjuangan Islam harus bertindak sebagai aspek kawalan agar segala pemikiran dan tindak-tanduk aktivis tidak tersasar daripada ruh perjuangan Islam, menetapkan misi mengajak umat untuk kembali kepada fitrahnya iaitu ke arah mentauhidkan Allah SWT.

          Akhirnya, pembinaan teras kekuatan budaya ilmu pada kaum generasi muda Islam perlu dimasukkan dalam senarai utama perlaksanaaan gerakan Islam jamaah WADAH-ABIM-SISMA (WAS). Hal yang demikian agar masih wujud kelompok masyarakat yang sentiasa memberikan komitmen keilmuannya demi memastikan matlamat membina dan memimpin khayra ummah itu tercapai.

Oleh,
Mohd. Nur Hilmie Bin Milus

No comments:

Post a Comment