Pages

Saturday, September 3, 2016

SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM DI BORNEO: SUATU KAJIAN PENSEJARAHAN

Pengenalan

Kedatangan Islam ke Alam Melayu merupakan penerusan terhadap penyebaran Islam di luar Wilayah Hijaz, dan ianya berlaku apabila empayar Islam semakin luas serta tersebar hampir ke seluruh dunia. Peranan kerajaan Bani Umayyah serta Bani Abbasiyah meluaskan empayar turut membantu penyebaran Islam dengan lebih berkesan. Ini dapat dibuktikan apabila wujudnya beberapa kerajaan Islam di Afrika, Eropah, India, China dan Asia Tenggara. Islam mula berkembang apabila Nabi Muhammad saw dilantik menjadi rasul pada tahun 610 Masehi, dan baginda telah menyebarkannya kepada penduduk Arab selama 23 tahun sehinggalah Islam turut berkembang ke Alam Melayu.

Menurut beberapa catatan dan laporan menjelaskan bahawa Nusantara adalah antara yang terawal menerima Islam. Laporan orang Cina menunjukkan Islam bertapak di Alam Melayu bermula pada abad ke 7 Masehi, di Kedah dan Palembang. Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naqiub Al-Attas, kedatangan Islam ke Nusantara telah dibawa juga oleh para pendakwah dari Tanah Arab selain pedagang yang datang menyebarkan Islam, dan mereka ini terdiri daripada ahli sufi. Antara tokoh-tokoh pendakwah tersebut seperti Nurudin ar-Raniri, Abdul Rauf Singkel dan Samsuddin as-Sumatrani. Golongan ini membawa aliran mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hujah Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas ini telah dikuatkan lagi dengan sistem bacaan al-Quran mengikut resam Uthmani yang telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman Ibn Affan iaitu khalifah yang keempat.  

Walaupun pandangan beliau ini bertentangan dengan beberapa sarjana Barat, seperti Emanuel Eredia Gadinho dan Snock Hugronjee serta S. Q. Fatimi, namun pandangan beliau dan John Crawford adalah lebih tepat berbanding pandangan yang lain. Kejituan pandangan ini dibuktikan dengan suasana pengamalan Islam di Alam Melayu menepati amalan orang Arab.

Beberapa maklumat juga menyatakan bahawa Islam sampai lebih awal lagi berbanding pengislaman sultan Melaka pada tahun 1414 M. Pada tahun 1136 Masehi, terdapat masyarakat Islam di Kedah dan ini dibuktikan apabila Raja Kedah yang bernama Derba Raja memeluk Islam hasil dakwah Tuan Shaykh Abdullah dari Yaman. Pembuktian juga turut diperkukuhkan dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 22 Februari 1303 Masehi. Seterusnya Islam berkembang ke Sumatera dan telah membawa kepada kewujudan beberapa kerajaan yang mengamalkan undang-undang Islam. Antaranya kerajaan Islam Acheh yang merupakan kerajaan terawal muncul menggantikan kedudukan Melaka sebagai pusat Islam setelah serangan Portugis pada tahun 1511 M. Kedudukan Acheh yang amat strategik dan berhadapan dengan Selat Melaka telah membantu kegiatan Islam terus berkembang.

Peranan Kerajaan Brunei Terhadap Penyebaran Islam

Islam bukan sahaja berkembang di Semenanjung Tanah Melayu tetapi Islam juga bertapak di pulau Borneo. Kewujudan kerajaan Melayu Islam Brunei adalah antara bukti bahawa masyarakat Borneo telah pun menerima Islam. Kedatangan Islam ke Sabah dan Sarawak lebih kepada pengaruh kedatangan Islam ke Brunei. Pengislaman kerajaan Brunei dilihat oleh ahli Sejarah sebagai asas kepada pengislaman Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Islam Brunei telah wujud sekitar tahun 1368 dan pada ketika itu Brunei diperintah oleh seorang sultan yang dikenali sebagai Sultan Muhammad dari keturunan Sultan Sharif Zainal Abidin dari kesultanan Johor. Ada dakwaan yang mengatakan bahawa Awang Alak Betatar adalah orang yang sama dengan Sultan Muhammad, namun hujah ini dinafikan oleh Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di mana beliau menjelaskan bahawa Sultan Muhammah adalah dari salasilah keturunan Sultan Sharif Zainal Abidin dari Johor dan bukan Awang Alak Betatar.

“The Brunei Stone Tablet on which the Tarsila was inscribed dated 1807 gives a straightforward construction of the salasilah of the Sultans of Brunei up to that time. There is no mention there of Awang Alak Betatar, nor of his identity as Sultan Muhammad,…”

Kerajaan Melayu Islam Brunei ini meliputi hampir seluruh Sarawak dan separuh daripada Sabah. Kekuasaan Brunei ke atas Sarawak dan Sabah hanya berakhir setelah berlaku penjajahan terhadap pulau Borneo seawal abad ke 18. Satu pandangan menyatakan bahawa Islam telah sampai ke Sabah sekitar abad ke 10 dengan berdasarkan hujah pengislaman kerajaan Sulu yang dicatatkan oleh peniaga China pada tahun 982 M, serta kewujudan kerajaan Brunei yang dikenali sebagai Pu-ni yang terletak di pulau Borneo. Pandangan lain juga turut menjelaskan bahawa kedatangan Islam di Borneo adalah atas pengaruh kerajaan Brunei.

Menurut Najeeb M. Saleeby dan Antonio Martel de Gayangos, peranan kerabat diraja Johor dari keturunan Sultan Sharif Zainal Abidin adalah amat penting terhadap penyebaran Islam yang dibawa oleh beberapa orang anaknya dan mendarat di beberapa kawasan seperti Brunei, Kuran, Tempasuk, Sandakan, Palimbang, Banjar, Sulug Tubuk, dan Malabang. Rombongan ini telah belayar dan kapal mereka telah bertembung dengan angin kuat dan menyebabkan rombongan ini berpecah dan terdampar di beberapa pulau dan seterusnya menetap dan menyebarkan Islam di kawasan tersebut. Mengikut maklumat ini, keturunan Sultan Sharif Zainal Abidin dari Johor telah memainkan peranan penting terhadap pertapakan Islam di Brunei dan Tempasuk. Peranan yang dimainkan oleh Sultan Muhammad amat penting terhadap memperkukuhkan Islam, dan manakala di Tempasuk tokoh tempatannya adalah Raja Ismail yang telah membina kekuatan untuk mempertahankan Islam daripada serangan pihak Barat.

“…..menyuruhlah ia satu utusan ke Tempasuk (adalah yang pergi itu namanya Encik Talib serta beberapa orang lagi sertanya) membawa surat kepada raja Tempasuk minta pertolongan (kepada raja Tempasuk itu) pada mengamuk Holanda di dalam Riau. (Dan pada satu kaul memang keturunan daripada raja Johor di dalam Tempasuk itu bernama Raja Ismail. Maka tatkala tibalah Encik Talib itu dimaklumkannya seperti maksud Raja Indera Bongsu itu kepada raja Tempasuk. Maka diterimalah oleh raja Tempasuk kehendak Raja Indera Bongsu serta Baginda Sultan Mahmud itu). Maka lalulah menyuruh anak-anaknya tiga orang, dan empat dengan Raja Ismail itu, dan adalah Raja Ismail itu menjadi panglima besarnya. Adalah namaraja yang disuruhnya itu pertama Raja Tebuk (namanya), kedua Raja Alam (namanya,. Adalah Raja Alam membawa isterinya bernama Raja Aisyah), ketiga Raja Muda (Umak namanya, dan keempat datuk-datuknya yang bernama Datuk Sikolo, dan maka apabila selesailah mereka itu daripada muafakatnya dan musyawarahnya) maka belayarlah mereka itu ke Riau.” .

Pernyataan di atas telah menjelaskan lagi kedudukan dan peranan kerabat Sultan Sharif Zainal Abidin tentang penyebaran Islam di kepulauan Nusantara ini. Sultan Sharif Zainal Abidin bukan sahaja sebagai ketua kerajaan tetapi sebagai keluarga penyebar Islam yang sangat berjasa terhadap pertapakan Islam di kepulauan ini. Hubungan kekeluargaan ini banyak membantu menyebarkan Islam dan sentiasa bekerjasama untuk mempertahankan kerajaan serta Islam yang menjadi anutan.

Selain itu, para pedagang China juga mendapati bahawa kerajaan Pu-ni atau Brunei telah mengamalkan Islam terutama  keluarga istana serta rakyat negeri tersebut. Penulis-penulis China mencatatkan bahawa kerajaan P’o-ni juga dikenali sebagai kerajaan Brunei. Sultan Brunei yang memerintah ketika itu telah melawat Negeri China pada tahun 1408. Selain itu, Magellan juga menyebut bahawa Borney adalah merujuk kepada Brunei. Beberapa replika seperti batu nisan yang bercorak Islam telah ditemui yang digunakan oleh masyarakat Brunei. Pengislaman golongan istana ini telah mempermudahkan penyebaran Islam di pulau Borneo dan masyarakat khususnya pesisir pantai dari Sarawak hinggalah ke Pantai Utara Sabah yang telah menerima Islam sebagai pegangan dan anutan. Pengaruh kerajaan Brunei dan kerajaan Sulu ke atas Sabah turut mengukuhkan kedudukan Islam terutama bahagian sebelah Pantai Timur yang dipengaruhi oleh kerajaan Sulu dan sebelah Pantai Barat dipengaruhi oleh kerajaan Brunei.

            Ada juga pendapat menyatakan bahawa Islam yang sampai ke Sabah adalah atas pengaruh kaum yang menduduki sepanjang pesisir pantai di Sabah. Kedatangan kaum-kaum ini seperti Suluk, Bajau, Iranun, Bugis dan kaum-kaum lain juga telah membawa Islam secara tidak langsung. Kaum-kaum ini menetap di kawasan pesisir pantai dan membina penempatan yang berbentuk kekal dan akhirnya mereka berkembang menjadi satu masyarakat yang kuat berpegang serta pemahaman terhadap Islam.

Pengaruh kesultanan Sulu adalah amat penting terhadap penyebaran Islam di Sabah. Kuasa pemilikan bahagian Utara Sabah oleh sultan Sulu membuktikan bahawa masyarakat yang mendiami dari wilayah Tempasuk hinggalah ke Sungai Sibuku Lahad Datu boleh menjelaskan lagi pengaruh Islam yang semakin melebar. Suku kaum Suluk, Iranun dan Bajau adalah antara kaum yang sudah menerima Islam sebelum berhijrah ke Sabah seawal abad ke 10. Kaum Suluk telah menerima Islam daripada Syarif Awliya yang telah datang ke kepulauan Sulu sekitar tahun 1360 untuk menyebarkan Islam dan seterusnya berkahwin dengan puteri Sulu. Sharif Awliya ini juga dikenali sebagai Tuan Masha’ika atau Karim al-Makhdum. Begitu juga dengan kaum Iranun yang telah menerima Islam daripada Syarif Kabungsuwan yang telah mendarat di Maguindanao dan mengislamkan penduduk Maguindanao sekitar tahun 1515.

            Berdasarkan maklumat di atas, maka kedatangan Islam ke Sabah adalah atas pengaruh kerajaan-kerajaan yang wujud di sekitarnya seperti kerajaan Islam Brunei dan kerajaan Islam Sulu. Hubungan serta pengaruh dua kerajaan ini ke atas Sabah adalah amat kuat sekali, di samping itu Sabah juga menjadikan hubungan Brunei dan Sulu semakin erat. Menurut seorang sarjana iaitu Nik Suhaimi menyatakan bahawa sempadan antara kerajaan Brunei dan kerajaan Sulu adalah Sungai Pandasan yang terletak di wilayah Tempasuk. Walau pun Brunei dan Sulu adalah dua kerajaan Islam, namun kedua-dua kerajaan ini mempunyai persefahaman untuk menguasai Sabah dan tidak ada rekod yang menyatakan bahawa berlaku perebutan atau pertembungan antara kedua kuasa ini ke atas Sabah.

            Peranan kerajaan Brunei sebagai kuasa Islam turut membantu memperkukuhkan Islam terhadap masyarakat Sabah, ini dibuktikan dengan hubungan erat antara kerajaan dan kuasa tempatan khususnya Tempasuk. Hubungan ini diikat dengan perkahwinan antara Sultan Muhammad Kanzul Alam dari Brunei dengan puteri Iranun iaitu keluarga kepada Raja Ismail yang menjadi ketua di Tempasuk sekitar 1700an.

‘The Sultan Omar Ali had, amongst others, two sons, Mahommed Tuzudeen and Mahommed Kanzul Alam; the former of whom being the eldest, succeede his father Omar Alion the throne; and had one legitimate son, Jamalul Alam and, amongst his islegitimate sons, Pangeran Usop, our present adversary. The second brother, Mahommed Kanzul Alam, had by his fisrt wife, Rajah Api and Noor Alam a daughter. By his second wife, Pengeran Muda Hashim and Pangeran Muhammad, and by his third wife (an Illanun woman of rank). Pangeran Budruddin Jelaluddin and Pangeran Ishmael.

Hasil perkahwinan antara orang tempatan dengan kerabat Brunei ini telah membina satu jalinan erat yang telah membantu kedudukan Brunei sama ada dari segi politik, ekonomi serta sosial. Hubungan ini telah memperkukuhkan lagi kekuasaan kerajaan Brunei terhadap Sabah serta berjaya menyebarkan pengaruh Islam dalam kalangan masyarakat tempatan.

Hubungan ini semakin bertambah erat apabila pembesar Iranun dan bangsawan Brunei iaitu Pengeran Muda Hashim dan Sharif Osman yang menjalinkan persahabatan dengan Iranun di Utara Borneo iaitu kawasan Tempasuk dan Teluk Marudu ketika menghadapi serangan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kesan terhadap kerjasama antara kerajaan Brunei dengan beberapa kuasa tempatan Utara Borneo telah memperkukuhkan kuasa politik kerajaan Brunei, di mana kuasa-kuasa Barat yang sentiasa mengancam kerajaan Brunei dapat dihalang oleh kuasa-kuasa tempatan seperti Raja Laut di Lahad Datu, Sharif Osman di Teluk Marudu dan juga Raja Ismail di Tempasuk. Antara buktinya ialah pertempuran Raja Laut di Sungai Sibahat Lahad Datu dengan pihak Sepanyol pada tahun 1840. Raja Laut dapat menguasai tiga sungai kecil iaitu Sungai Tunku, Sibahat dan Mekawa, yang menjadi laluan Barat untuk mendapatkan bahan-bahan mentah daripada pedalaman Sandakan.

Kesan besar terhadap pengaruh kerajaan Brunei ini telah meletakkan Islam sebagai agama dominan selain daripada kepercayaan animisme masyarakat tempatan. Pengaruh ini bukan sahaja tertumpu kepada kuasa politik, tetapi dalam amalan keagamaan turut berlaku. Contohnya kandungan khutbah masyarakat di Sabah masih lagi meletakkan nama kesultanan Brunei sebahagian kandungan utama, contohnya khutbah ‘Ilaahu’. Bukti penemuan manuskrip dalam bahasa Idahan di Lahad Datu menyatakan tentang kedatangan Islam ke Sabah. Manuskrip itu direkodkan pada tahun 1408. Seorang penduduk tempatan bernama Abdullah telah diIslamkan oleh seorang makhdum yang mengajarkan tentang ajaran di dalam Islam. Berdasarkan penemuan manuskrip ini menunjukkan bahawa Islam begitu berpengaruh dalam masyakarat pesisir pantai Sabah. Hubungan kaum pesisir pantai ini amat rapat dan saling bantu membantu demi untuk mempertahankan Islam. Kewujudan kuasa tempatan seperti kuasa Raja Ismail di Tempasuk sekitar tahun 1700an dan berakhir ketika Pretymen menjadi Residen Pertama Tempasuk, kuasa Sharif Osman di Teluk Marudu sekitar tahun 1830 hingga 1845 serta pengaruh kesultanan Makasar di sebelah Tawau dan kuasa Raja Laut di Tunku sekitar tahun 1840an, peristiwa-peristiwa penting ini menggambarkan bahawa Islam begitu dominan dan berpengaruh di Sabah.

Kesimpulan

Ada juga pendapat menyatakan, pengislaman Sabah dan Sarawak, tidak terdapat bukti yang jelas, namun pengislaman itu dikaitkan dengan pengislaman Brunei. Maknanya Brunei adalah kuasa besar yang banyak melindungi serta membantu penyebaran Islam ke atas Sabah. Pendapat yang mengatakan bahawa kedatangan Islam ke Sabah tidak ada bukti jelas adalah hujah yang cuba melindungi peranan kerajaan Brunei, Sulu, Makasar dan Mindanao terhadap Sabah. Bahkan peranan kerabat Sultan Sharif Zainal Abidin dari Johor amat penting dan juga merupakan satu penjelasan baru terhadap penyebar Islam dalam kalangan istana. Penjelasan oleh Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya ‘Historical Fact and Fiction’ banyak sumber baru yang mengesahkan peranan Islam di Nusantara ini dan peranan kerajaan Brunei ke atas perkembangan Islam di Borneo. Hubungan yang wujud antara kerajaan Brunei, kerajaan Sulu dan kerajaan Mindanao menunjukkan satu pertalian kerabat daripada Sultan Sharif Zainal Abidin dari Johor, yang mana mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Ancaman Barat terhadap kerajaan Islam di Alam Melayu turut dipertahankan oleh kerajaan-kerajaan yang ada perkaitan salasilah. Kerajaan Brunei di Borneo berjaya menempatkan Islam sebagai kuasa yang disegani di Alam Melayu dan kerajaan Brunei juga berperanan membantu kerajaan yang dalam ancaman Barat.

Rujukan

Abu Bakar Abdullah, 1986. Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam Di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya. Kuala Terengganu: Pustaka Damai.

Cesar Adib Majul (terjemahan Shamsuddin Jaapar), 1988. Islam di Filipina. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Gilbert Khoo & Dorothy Lo, 1978. Asia Dalam Perubahan: Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) LTD.

Haji Mokhtar Ramli, 1988. Sejarah Islam dan Perjuangan Ulamak Sabah. Sabah: Kota Kinabalu, Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Sabah.

Journal Of James Brooke, Narative Of Events In Borneo & Celebes, Down To The Occupation Of Labuan: John Murray, Albermarle Street, 1848 hal. 20 (Dipetik dalam Mini Tesis Jasmi Datu Tumai, 2012. Sejarah Asal-Usul Kaum Iranun: Iranun, Illanun atau Lanun?, hal. 11.)

Milus Bin Alu @ Abd Wahad, 2009. Masyarakat Iranun Di Sabah, 1780-an Hingga 1994: Persaingan Politik Akar Umbi Di Kota Belud. Universiti Malaysia Sabah: Sekolah Sains Sosial.

Milus Hj Abd Wahab & Muddin Beting, 2015. Figura dan Fakta: Perjuangan Islam di Sabah. Kota Kinabalu, Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Sabah.

Muhiddin Yusin, 1990. Islam Di Sabah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Najeeb M Saleeby, Studies in Moro History, Law and Religion and Antonio Martel de Gayangos, 1976. The Island of Mindanao, Manila, Filipina Book Guild, Inc. XXIV.

Nik Anuar Nik Mahmud, 2001. Tuntutan Filipina ke Atas Borneo Utara, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 2011. Historical Fact and Fiction: Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Malaysia.

Virginia Matheson Hooker, 1991. Tuhfat Al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam.  Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment