Menjadi mahasiswa
adalah satu penghormatan tetapi menjadi mahasiswa juga adalah satu
tanggungjawab . Mahasiswa mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas.
Perkataan mahasiswa, terdiri daripada 2 kata iaitu maha yang bererti besar dan
siswa yang bererti orang yang sedang melakukan pembelajaran. Menurut Suwono
(1978), mahasiswa merupakan golongan intelektual atau cendekiawan muda dalam
suatu lapisan masyarakat yang seringkali terikat dengan pelbagai syarat. Peringkat
paling tinggi yang dimaksudkan adalah menara gading. Maksud penggunaan simpulan
bahasa ‘menara gading’ adalah merujuk kepada universiti atau lebih dikenali
sebagai institusi pengajian tinggi. Bila sahaja mendengar perkataan tersebut
semestinya pandangan dan ekspektasi adalah masyarakat tinggi dan sudah tentu
yang menuntut di menara gading tidak kurang juga dipandang sebagai golongan
ilmuwan. Universiti adalah institusi yang diangkat tinggi oleh masyarakat di
luar lingkungannya punya tarikan istimewa yang menjadikan sesiapa sahaja
memiliki impian untuk menjadi warganya.
Malang sekali, menara
gading kini tidak lagi dianggap sebagai pusat melahirkan ahli falsafah dan para
pemikir kerana timbulnya persoalan daripada pihak luar yang menyatakan kejayaan
tidak semestinya diperolehi dalam universiti. Sekiranya semua orang berfikir
sedemikian, bagaimana untuk kita merealisasikan harapan negara untuk melahirkan
lebih ramai golongan intelektual? Masyarakat seharusnya sedar situasi mahasiswa kini yang
menggambarkan kelesuan bukanlah satu cerita rekaan. Malaysia sekarang daif
dengan anak muda yang mempunyai kecerdasan intelektual atau tenaga berfikir
yang berani dan kritis. Melahirkan cendekiawan muda yang bermutu tidak semudah
yang disangka kerana pelbagai pengaruh luar dan dalam yang dihadapi oleh
seorang mahasiswa. Berada di peringkat menara gading, setiap individu seharusnya
bijak menilai baik dan buruk sesuatu perkara sebelum bertindak melakukannya
serta perlu ada ketegasan dalam menjaga martabat diri.
Dalam buku yang
berjudul ‘Imbasan’ hasil penulisan Hassan Ahmad, telah dinyatakan ilmu dianggap
sebagai disiplin akademik, sebagai sesuatu yang elitis dan serius. Ternyata
dengan ilmu, mahasiswa boleh mengetahui dan memahami ilmu secara global atau
secara menyeluruh untuk membolehkan mahasiswa merenung kembali tentang hakikat hidup sebenar dan mengikuti perkembangan
yang berlaku di persekitarannya untuk membina pandangan hidup yang luas dan
menghindari diri daripada mangsa kejahilan dan kepalsuan atau putar belit
maklumat yang kerap berlaku, bukan sahaja melalui media massa, malah juga dalam beberapa banyak buku yang
dikatakan berasaskan ilmu. Tambahan pula, dalam agama Islam, setiap
seorang muslim adalah diwajibkan menuntut ilmu yang tidak hanya terbatas pada
ilmu akhirat saja tetapi juga tentang keduniaan. Tujuan diwajibkannya menuntut
ilmu dalam Islam tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melahirkan umat yang
cerdas serta jauh dari kejahilan atau kebodohan.
Pada era globalisasi
ini, wajarlah anak muda memfokuskan minda ke arah pembangunan diri dan negara
kerana usia muda adalah proses merekayasa generasi intelektual pada masa hadapan.
Negara kini kekurangan anak muda yang aktif melibatkan diri dalam gerakan
mahasiswa. Tidak kurang juga yang membudayakan ilmu dalam kampus adalah amat
tidak memberansangkan. Sehubungan dengan itu, salah satu langkah menangani
masalah ini maka sebuah gerakan mahasiswa
iaitu Siswazah Muda ABIM Sabah atau lebih dikenali sebagai SISMA telah
menganjurkan program Perkampungan Menara Gading Sabah setiap tahun dengan
kerjasama daripada pihak-pihak tertentu. Hasrat ini dilaksanakan dengan
meletakkan tradisi pembentukan bangsa yang mapan dan pembinaan tamadun yang
tinggi. Tambahan pula, program ini bertujuan membantu mendedahkan para pelajar
tentang kehidupan di kampus serta memupuk sahsiah yang tinggi dengan memiliki
matlamat yang jelas dan mampu untuk membangunkan diri, keluarga dan negara
berlandaskan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul. Melalui medium ini,
SISMA juga berusaha mengubah paradigma para pelajar ke arah yang lebih positif
seiring dengan arus pembangunan dan perkembangan intelektual pada hari ini
serta menyemai intelektualisme
bagi membudayakan ilmu dalam setiap tindakan dan perancangan untuk menghadapi
zaman cabaran yang berada di
hadapan.
Untuk pengetahuan
semua, Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) adalah organisasi bukan kerajaan (NGO)
yang bernaung di bawah ABIM Sabah dan merupakan sayap kanan ABIM Sabah di mana
SISMA banyak menumpukan kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di Sekolah
Menengah, Institut Pengajian Tinggi dan para siswazah. Biro ini ditubuh khas
bagi mengumpulkan lapisan generasi muda ABIM yang terdiri daripada kalangan
mahasiswa dan mahasiswi di IPT mahu pun yang masih menuntut dan yang telah
tamat pengajian untuk berpartisipasi secara aktif dan serius dalam
aktiviti-aktiviti belia. Gerakan ini ditubuhkan khusus untuk melatih dan
melahirkan siswazah muda Islam yang dinamik yang mampu menyumbangkan tenaga
dalam usaha-usaha dakwah dan kebajikan dalam kalangan masyarakat khususnya
dalam kalangan generasi muda di Sabah. SISMA juga berperanan melahirkan
intelektual-intelektual muda yang dapat menyumbang kepada pembangunan ummah dan
menyokong serta mendokong ABIM untuk membina Khayra Ummah.
Tegasnya, mahasiswa
harus mengubah pola pemikiran terhadap IPT serta mengubah tanggapan masyarakat
dan menjadikan institusi pendidikan sebagai medan melahirkan golongan pemikir
muda yang membudayakan ilmu dalam kampus. Ketahuilah bahawa menjadi mahasiswa
mempunyai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas kerana mahasiswa adalah agent of change kepada pembangunan
negara.
Bibliophilia adalah salah satu platform untuk SISMA
membudayakan ilmu.
No comments:
Post a Comment