Pages

Thursday, May 28, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM Bahagian 6 (Akhir)


POLITIK LUHUR POLITIK PERUBAHAN

Politik perubahan memerlukan manusia berprinsip dan beramanah bagi melaksanakan idea dan pendekatan baru memacu negara dengan cemerlang. Inilah politik luhur bukan politik durjana, politik jahat, politik kebencian, politik pecah perintah, politik cantas mencantas, politik negatif atau politik menakut-nakutkan. Kezaliman, korupsi dan salahlaku tidak boleh dipertahankan langsung atas nama apa sekalipun.

Politik luhur memerlukan jiwa besar dan berlapang dada. Perpaduan politik memerlukan pemimpin yang boleh mengetepikan sentimen, mudah memaafkan dan mengutamakan matlamat lebih tinggi. Itulah mungkin yang disebut Anwar Ibrahim tentang penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ lalu sanggup berkorban demi memastikan berlaku perubahan politik dan memberi harapan baru politik negara setelah sekian lama. ‘Luka kecil’ menyaksikan Anwar diaibkan, dipukul, ditelanjangkan, dipenjara berulangkali dan sehingga kini masih ada percubaan menfitnah serta menganiayanya. (Apabila Anwar bebas dan dapat pengampunan penuh, dia tidak menuntut balas dendam dan tidak menggesa memenjarakan atau memecat sesiapa pun yang terlibat dalam konspirasi jahat pendakwaan dan pembicaraan yang menderitakan serta cuba memalukannya dan keluarga.)

Itulah yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dengan menyifatkan penganiayaan terhadap dirinya sebagai ‘luka kecil’ lantas dia serta keluarga memaafkan Tun Dr Mahathir dan tidak ingin membalas dendam.

Pengorbanan Anwar dan keluarga ini membolehkan muafakat padu Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 yang bersejarah. 

Anwar bersungguh, bertekad menjamin kedaulatan Islam, memperkasa Bahasa Melayu, memastikan orang Melayu terbela, khususnya mereka yang miskin dan terkebawah, memperjuangkan nasib mereka dan terangkum menjaga nasib semua warga serta menganggap dan menegaskan bahawa semua kaum di negara ini adalah kerabat keluarganya. Anwar dengan tulus dan nyata melaungkan bait, “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya, Anak Iban anak saya, anak Kadazan anak saya.”

Anwar mengungkapkan pesanan al-marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz kepadanya, “Kalau ditakdirkan pemimpin maka Anwar kena pastikan jangan ada seorang pun rakyat Malaysia, Melayu, Cina , India, Dayak, Kadazan yang hadapi dan rasa sakit derita seperti yang kamu rasa.

Kamu mesti pastikan bila kamu ada kuasa, kamu kenang nasib mereka, setiap rakyat ini kerana tidak ramai orang yang rasa macam kamu rasa. Rasa susah derita macam mereka rasa.

Jaga mereka seperti anak-anak kamu sendiri maka inshaa Allah, kamu akan menjadi pemimpin yang baik.”

Itulah yang didoakan oleh Anwar Ibrahim, “Saya takkan lupa cerita derita saya. Dengan niat,  Ya Allah, janganlah bagi seorang pun rakyat derita macam aku lalui.” 

Anwar adalah instrumental  dalam pembentukan pakatan politik baru iaitu Pakatan Harapan. Dia percaya bahawa Pakatan Harapan memiliki kesungguhan untuk memulih dan membina semula negara manakala Barisan Nasional pula mempunyai pelbagai rekod kefasadan yang nyata serta tidak berdaya untuk berubah. Malaysia amat memerlukan perubahan politik. Inilah citra gerakan reformasi Anwar Ibrahim. Oleh itu, Anwar Ibrahim mesti diberi keadilan, ditebus dengan pembebasan dan pembersihan nama serta maruahnya. Ini hanya mungkin dengan kemenangan Pakatan Harapan. 

Isu kleptokrasi dan rasuah bertaraf mega serta global 1MDB dan skandal-skandal lain telah mengheret rakyat menjadi derita berpanjangan bakal meninggalkan malapetaka kewangan kepada  beberapa generasi akan datang sedangkan elit pemerintah dan kuncu-kuncunya hidup mewah penuh pembaziran yang melampau-lampau.  Pada 9 Mei rakyat telah bangkit dan dengan sebatang pena melakukan perubahan besar.

Pada 15 Mei 2018, Anwar Ibrahim dibebaskan. 
 َ ينِرِاكَمْ ال ُرْيَ خ ُاللَّه َو ۖ ُ اللَّه َرَكَمَ وا و ُرَكَمَ و
"Mereka merancang , Allah juga merancang ,Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang" 
(surah Aali-Imran ayat 54) 
 
(Perjalanannya masih belum berakhir……………………………… ) 


I  S  L  A  H      M  E  D  I  A   2 | 2 

Wednesday, May 20, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM Bahagian 5

   
PERSAHABATAN DAN SETIAKAWAN 

Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di tanah air serta di serata dunia. Jalinan persahabatan yang merentasi jurang kaum dan kabilah, agama serta geografi. Malangnya kekuatan karisma inilah yang  cuba dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui ‘pengakuan berpaling tadah’ bekas sahabatnya sendiri. Padahal tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.
 
Kelebihan Anwar adalah mudah bersapa, bermesra dan berkenalan dengan semua orang. Dia boleh memenuhi jemputan kenduri kampung dan terus ke tempat masak memasak, merewang, membantu mengacau kawah sambil berbual-bual dengan hadirin. Tidak semua orang politik mampu melakukan ini tanpa rasa kekok dan sumbang. Itu sebab pengawal-pengawal penjara cukup mesra dan rapat dengan Anwar sehingga datang menziarahinya setelah bebas menzahirkan sokongan mereka kepadanya. Begitulah juga sikap pengawal-pengawal penjara Kamunting pada 1978 yang datang ke Masjid Kamunting bagi tujuan menghadiri ceramah Anwar Ibrahim selepas dia bebas tahanan ISA. 

Semua terkesan dengan jalinan persabahatan Anwar Ibrahim sejak dia menjadi aktivis remaja, pelajar dan belia bersama rakan-rakan WAMY, IIFSO, IIT dan Pertubuhan Kesatuan Ulama Sedunia, rangkaian persahabatan seangkatan yang dapat bersatu hati, pemikiran dan tindakan. Kesatuan yang bukan mudah direalisasikan dan kehadiran mereka merupakan suatu rahmat kepada umat bahawa telah berlaku pada masa itu satu kesatuan hati, fikir dan amal di peringkat global diusahakan dan digerakkan oleh pemuda-pemudi beridealisme Islam pada waktu itu. Geakan yang berjaya menongkah arus nasionalisme sempit, sekularisme, sosialisme  dan liberalisme yang sedang mendominasi umat dan dunia pada ketika itu. Angkatan persahabatan inilah yg berjasa menyumbang kepada kebangkitan Islam alami. Bukan diperkotak katik seperti sekarang dengan pelbagai aliran aktivis Islam yang saling berantakan tanpa tujuan. 

Sisi kemanusiaan penting dalam setiap perbahasan peradaban. Persahabatan yang tulus dan bersandarkan kepada persaudaraan serta rahmah kemanusiaan. Itulah sebab ramai tokoh-tokoh Islam, alim ulama’ besar serta komuniti Islam sangat bersimpati dan mendoakannya. Mereka tidak berhenti mengunjung pemimpin negara, mengutus surat dan mengumpul petisyen merayu pembebasannya. Ramai komuniti Non Muslim juga sangat bersimpati dengan nasibnya. Cerita dan iktibar persahabatan ini patut mengatasi buruk sangka politik partisan.
 
Dengan Barat, terserlah keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Bukan mudah untuk membina persahabatan dan ‘trust’ sehingga boleh berkenalan, berdialog dan berinteraksi di peringkat antarabangsa. Itulah jasa dan usaha bagi berdepan dengan dunia luar di peringkat dasar secara membina. Kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ‘ala Taliban’ dan juga bukan ‘Pak Turut Barat’, membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah, berupaya menyampaikan – reach out dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi 1998, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong- penyokong terkenal dan pimpinan pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat berkobar-kobar. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu langkah yang nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja. 
 
Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan.  Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang didera begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah lalu menjaja CD aib merata-rata. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa betapa perit jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, mengganggu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman jerih, ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang. 

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Ada yang khianat apabila terpukau kilauan kuasa, pangkat dan harta. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang. 

Sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim telah dan akan membela serta lebih setia kepada persahabatan dan prinsip. Sememangnya banyak sahabat-sahabat setianya dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan pantas menolak label yang digunakan bagi  memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali. 
(Bersambung)

I  S  L  A  H      M  E  D  I  A    3 | 3 

Wednesday, May 13, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM Bahagian 4

WAWASAN ANWAR IBRAHIM. MEHNAH DAN FITNAH 
Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi memiliki kemampuan pelbagai sebagai pemimpin karismatik,  ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang.    Dia juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas menginspirasikan:  wawasan  kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia,  wawasan ekonomi kemanusian,  wawasan pendidikan keinsanan,  wawasan masyarakat madani, dan ‘Muslim Democrats’.

Anwar menganjurkan pemerataan kefahaman Islam yang syumul dan pendekatan da'wah bil  hikmah wal mau'izatul hasanah. Kesederhanaan dan keseimbangan - ummatan wasata; dan keyakinan bahawa hanya dengan derajat mulia dan seimbang, umat akan menjadi contoh dan saksi kepada umat manusia - shuhada' 'alannas. 

Anwar menolak pandangan agama yang dogmatik, terperangkap dengan taqlid buta, tidak memberi ruang untuk pemikiran kreatif yang berlandaskan kepada asas Islam. Dia menyarankan supaya menyingkap sejarah mengambil iktibar daripada kelenturan dan kelesuan pemikiran hingga berlaku 'kelompong ijtihad'. Gejala mutakhir, adalah kemunculan ulama yang menganggap penafsiran mereka sebagai muktamad - dan kecenderungan menjurus kepada takfir dan faham kabilah secara sempit. Islam menekankan keseimbangan sosial - tawazun ijtima'i  bukan cara keras, memaksa, mengugut dan mengherdik. Anwar menolak faham jumud kalangan yang bersekongkol dengan penindas terutama yang menganiaya golongan miskin dan lemah. Agamawan mesti menghindari penyakit ingin mendapat laba. 

Program agama hendaklah memberi penekanan ke arah pencerahan dan pencerdasan umat, mengekalkan landasan da'wah berhikmah, memanfaatkan gudang pengalaman, khazanah ilmu dan turath Islam untuk menyinarkan obor. 

Iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar sinonim dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, menubuhkan universiti Islam, mengembangkan perbankan dan sistem kewangan Islam, membangunkan Falsafah Pendidikan Sepadu dan memartabatkan mahkamah syariah melalui pindaan Akta 121 (1A), pengurusan ekonomi manusiawi serta berimbang membuktikan iktikad dan kewibawaannya memimpin umat. 

Anwar memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Zionis Israel bahkan lantang menentang kezaliman mana-mana pihak pun terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin merentasi semua faction.   
Dr Siddiq Fadzil pernah menyatakan bahawa kita berkongsi perasaan kasih kepada Anwar Ibrahim kerana sedih dengan apa yang menimpanya dan kita semua terasa terhutang kepadanya. Anwar pemimpin paling berjasa untuk Islam  dan dialah yang betul-betul mencipta sejarah kebangkitan Islam. Dialah ikonnya. Dialah tokoh yang berjasa dan berjaya merubah ribuan malah jutaan orang – berhijrah daripada kejahilan kepada Islam. Dia pula orang yang paling banyak diaibkan di dalam sejarah kita. Kesedihan itu turut disebut oleh Dr Razali Nawawi apabila dia mengatakan, “Tangisan itu adalah doa untuk sahabat kita.” 

Rakyat yang prihatin turut mendoakan. Solat hajat ditunaikan. Pasrah kepada pertolongan dan ketentuan Allah swt.  

Sudah tiga kali dia dipenjarakan – 2 tahun di bawah ISA, tragedi 1998 selama 6 tahun dan sekarang 5 tahun pula. Tidak ada tokoh lain yang didera dan diaibkan seperti ini. Keputusan politiklah yang telah menjatuhkan Anwar Ibrahim. Ada yang merasa telah menang dan beruntung dengan memenjarakan dan terus menerus menfitnah Anwar.  

Anwar pula tidak dilawan kekayaannya kerana dia memang tidak kaya. Anwar terbukti kewibawaan integritinya kerana tidak pernah mengambil kesempatan mengaut laba atau harta padahal sewaktu dia berjawatan menteri, TPM atau Menteri Kewangan memang banyak kesempatan. Oleh kerana dia bukan hartawan maka tidak ada guna bagi cubaan membankrapkannya. Kekuatannya adalah pada kekuatan moralnya. Musuhnya tidak sanggup untuk melawannya dari segi moral. Maka terjadilah fitnah paling dahsyat dan paling aib. Sehingga lidah kita pun tak sanggup, tak terdaya, tak tergamam menyebutnya.  

Dr Siddiq Fadzil berpesan, “Kita berserah kepada Allah swt bagi membersihkan orang-orang bersih. Soal berapa lama dan bila, kita hanya mampu berserah dan ambillah iktibar kisah Musa a.s. dan Aisyah r.a. Politik fitnah adalah politik keji dan bukan politik luhur. Kita perlu selamatkan umat daripada terjebak dalam kancah jenayah qadhaf dan kefasikan.”  

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.” ( surah al Ahzab : 69) 

(bersambung)

I  S  L  A  H      M  E  D  I  A   2 | 2 

Friday, May 8, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM:Bahagian 2


ISTIQAMAH DAN KESABARAN DALAM PERJUANGAN

Di sinilah dapat disaksikan istiqamah dan kesabaran Anwar Ibrahim dalam perjuangan. Apabila ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia merujuk kepada pesanan-pesanan tok guru dan alim ulama – al marhum Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Dr Wahbah al Zuhaili semuanya berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ayat Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka)” (Surah al Fushshilat: 30) 

Profesor Yusuf al Qaradawi berkali-kali mengutus surat dan datang sendiri bertemu pemimpin negara ini memohon agar Anwar dibebaskan. Al marhum Dr Wahbah telah menegaskan semasa kunjungan ke rumah Anwar, “Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, dia seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar dia mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t..” Keyakinan dan dokongan para ulama luar dan dalam negeri menggembirakan kedukaannya serta mengukuhkan ketabahannya menempuh tribulasi. 

Anwar berkata, “Waktu saya terpenjara itu memang masa yang susah. Saya tidak pernah membayangkan bahawa sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri sebuah negara demokratik, saya akan dipukul dan disumbat ke dalam penjara seperti mana penjenayah lain di negara ini. Saya dipisahkan daripada keluarga dan anak-anak yang  masih sedang membesar tanpa seorang bapa di sisi mereka.

Pada saat-saat kelam itu, iman yang sentiasa membekalkan sumber harapan dan pasrah bahawa segala kejadian yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah swt, di mana kita sebagai manusia kerdil tidak akan mampu mengerti dan kepadaNya kita mesti berserah. Saya berasa tenang hati apabila menerima surat-surat mendoakan saya dari orang daripada pelbagai kepercayaan. Sehingga sekarang, saya masih terharu apabila berjumpa dengan orang-orang dan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan belasan kasihan dan prihatin mereka ke atas diri saya dan keluarga.

Ada hikmah kelebihannya, walaupun saya tidaklah menyarankan kepada orang lain untuk ke penjara juga, hikmah membolehkan saya menumpukan masa yang panjang berdhikir mengingati Allah dan kebesaranNya, kepada bacaan dan hafalan al Qurán serta mengerjakan ibadat-ibadat sunat di dalam kamar kecil, berbanding jika berada di tampuk kerajaan. Saya lihat ada sinar harapan, kelebihan yang daripadanya saya mengambil kekuatan spiritual.” 

Tema perjuangan Anwar disingkap apabila dia ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, Anwar sering merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”” 

Rakyat tetap memerhati memendam rasa. Bukan rakyat tidak bangkit. Bukan sedikit turun berdemonstrasi. Bukan sedikit berdepan lantunan belantan keras, semburan gas pemedih dan pancutan cecair menyakitkan. Bukan sedikit menjadi OKT. Namun perubahan bermakna memerlukan masa dan kebangkitan yang tuntas. 

Anwar berazam bahawa perjuangan untuk demokrasi, untuk kebebasan, untuk keadilan bukan suatu lakaran teori. Anwar mempunyai ‘tabiat hati’, satu iltizam, ‘courage of conviction’ - keberanian moral berbekalkan keyakinan, dengan ketabahan, dengan niat yang luhur. Dia percaya bahawa ini prinsip yang tidak boleh dikompromi. Itulah sebabnya dia menolak tawaran agar menjadi suaka politik di luar negara seperti yang cuba dipujuk rayu oleh rakan-rakannya memandangkan usia dan kesihatan fizikalnya bagi menjalani penjara semula. Anwar berkata, “Saya harus pulang dan berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan saya. Saya akan hadapi apa pun termasuk penjara.”
 
Rakyat dapat melihat bahawa Anwar dikurniakan keluarga yang hebat. Dr Wan Azizah dan anak-anak bukan sahaja menyokong, mendokong penuh tetapi mereka semua komited sepenuhnya kepada idealisme perjuangan. Anwar juga terinspirasi dan terhutang budi kepada rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan  semua orang yang mempercayai perjuangannya, demi kebebasan, untuk demokrasi, demi kedaulatan undang-undang, untuk kebebasan hati nurani. Dan dia percaya jika semua ini memerlukan sedikit usaha dan pengorbanannya, ia mesti dilakukan. 

Anak lelaki Anwar, Ihsan mengungkapkan, “Papa mengutamakan negara dan rakyat daripada dirinya.” 

(Bersambung)

Sunday, May 3, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM Bahagian 1


RANJAU SEPANJANG JALAN 

Pada November 2017, sewaktu sekumpulan pasukan sukarelawan ABIM membawa bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir terbesar yang melanda kawasan Lahar Yooi Pulau Pinang, seorang warga tua menyahut, “Hangpa dari ABIM ke? Teringat pulak kat Pak Shaykh, kesian kat dia, dia dok dalam lagi.” Banyak lagi anekdot boleh dicatat daripada penduduk setinggan Sg Nibong Tengah pada tahun 80’an. Kg Kerinci dan juga Baling pada tahun 1974 sebagai cerita rakyat marhaen serta merata pelusuk tanah air. Begitulah sosok Anwar Ibrahim diingati oleh mereka yang mengenangkan jasanya sewaktu mahasiswa yang turun berkhidmat masuk ke kampung mereka dan mereka mengamatinya sehingga bersinar naik menjadi menteri kemudian malap kejatuhannya disumbat ke dalam penjara dan dipukul setengah mati. Anwar Ibrahim tersemat di dalam hati nurani rakyat kerana dia pelopor gerakan kebangkitan Islam, pendakwah karismatik, tokoh politik tersohor dan negarawan yang disanjungi. 

Di ambang pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998, sumber perisekan khas menganalisa dan mengandaikan penyokong-penyokong Anwar terutama daripada partinya tidak akan setia bertahan lama, lalu mereka menfokus kepada ABIM dilabel pendokong tegar atau disifatkan sebagai ‘diehards’. Namun analisa ini meleset kerana walaupun ketika itu ABIM, gerakan Islam, parti Islam PAS dan masyarakat sivil memang mengambil pendirian tegas berasaskan kebenaran dan keadilan tetapi yang sebenar mengangkatnya dan membelanya adalah rakyat. Ini telah memastikan Anwar tidak dilupakan di mata hati rakyat – ‘jauh di mata namun tetap di hati’ - walaupun dia dipaksa merengkok lama di balik tabir besi dan dicaci serta dihina media utama begitu rupa. 

Rakyat menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima oleh seorang pemimpin harapan umat dan merekalah juga memastikan Anwar diangkat menjadi ikon Reformasi. Anwar mengajak kepada perubahan daripada sistem yang korup, bobrok dan maju bersama menyelamatkan negara. Dari sebalik tirai besi, Anwar membidani kelahiran parti baru, parti Reformasi pelbagai kaum, Parti KeAdilan yang juga bakal  membawa perubahan besar kepada ragam politik tanah air. Pilihanraya 1999 menyaksikan buat pertama kalinya beberapa kekalahan kerusi-kerusi parti pemerintah tetapi pentadbiran negara masih mengekalkan status quo. Anwar kekal di dalam penjara.

Setelah kemenangan besar kerajaan Pak Lah pada pilihanraya 2004, Anwar dibebaskan dan dia disebut dalam suatu wawancara  sebagai ‘politically forgotten’ – pesaing enteng  oleh PM pada waktu itu. Anwar bergerak merangka strategi, meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan, menemukan parti-parti berlainan ideologi, menjambatani perbedaan, melerai perbalahan dan menjelajah seluruh negara membangkitkan semangat rakyat  sehingga berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat – gabungan parti yang berkoalisi, bertahalluf berasaskan ‘moral compact’ – ikatan moral bagi memperjuangkan keadilan sosial demi mensejahterakan rakyat Malaysia. Anwar berjaya menangani pertembungan dan kepelbagaian bersama rakan-rakannya dalam satu pakatan yang sering diuji muafakatnya dalam isu-isu getir yang berjaya diolah oleh Anwar serta diartikulasi meyakinkan pimpinan semua parti agar terus bersatu pada waktu itu. 

Kemaraan Anwar disekat sekali lagi dengan tuduhan kedua dan bermula semula adegan fitnah jijik serta kemunculan Anwar yang kesekian kalinya terpaksa naik turun menghadiri perbicaraan- perbicaraan di mahkamah bagi membela dan mempertahankan diri demi memelihara maruahnya. Pilihanraya 2008 menyaksikan Tsunami politik pertama merubah landskap negara dengan menafikan kuasa dua per tiga kerajaan. Anwar juga telah kembali ‘menggegarkan parlimen’. Pak Lah akur dengan prestasinya yang  merudum lalu mengundur diri. 

Pilihanraya 2013 menyaksikan kemenangan undi popular bagi Pakatan Rakyat walaupun masih tidak dapat menguasai parlimen. Pada Februari 2015 Anwar dipenjarakan setelah dijatuh hukum oleh Mahkamah Persekutuan. Musuh-musuh politik Anwar seolah-olah ingin merayakan musibah ini dengan melakukan ‘jelajah qazaf’ bertujuan membenam terus reputasinya. 

Pakatan Rakyat dilanda krisis pertelagahan besar apabila perbedaan tidak dapat lagi ditangani sehingga PAS meninggalkan pakatan berkenaan. Peluang dan harapan Pakatan Rakyat bertambah tipis. 

Anwar terus merengkok di penjara Sg Buluh dipagari 13 lapisan pintu besi.  

Terkenang kata-katanya, “Setiap hari yang berlalu tanpa perubahan, menyaksikan derita semalaman lagi tahanan politik merengkok di penjara bersendirian; seorang lagi nyawa terkorban kerana lapar dan wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi kesempatan orang korup merompak berjuta dari perbendaharaan negara.” 
(Bersambung)