RANJAU
SEPANJANG JALAN
Pada
November 2017, sewaktu sekumpulan pasukan sukarelawan ABIM membawa bantuan
kepada penduduk yang terjejas akibat banjir terbesar yang melanda kawasan Lahar
Yooi Pulau Pinang, seorang warga tua menyahut, “Hangpa dari ABIM ke? Teringat
pulak kat Pak Shaykh, kesian kat dia, dia dok dalam lagi.” Banyak lagi anekdot
boleh dicatat daripada penduduk setinggan Sg Nibong Tengah pada tahun 80’an. Kg
Kerinci dan juga Baling pada tahun 1974 sebagai cerita rakyat marhaen serta
merata pelusuk tanah air. Begitulah sosok Anwar Ibrahim diingati oleh mereka
yang mengenangkan jasanya sewaktu mahasiswa yang turun berkhidmat masuk ke
kampung mereka dan mereka mengamatinya sehingga bersinar naik menjadi menteri
kemudian malap kejatuhannya disumbat ke dalam penjara dan dipukul setengah
mati. Anwar Ibrahim tersemat di dalam hati nurani rakyat kerana dia pelopor
gerakan kebangkitan Islam, pendakwah karismatik, tokoh politik tersohor dan
negarawan yang disanjungi.
Di
ambang pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998, sumber perisekan khas
menganalisa dan mengandaikan penyokong-penyokong Anwar terutama daripada
partinya tidak akan setia bertahan lama, lalu mereka menfokus kepada ABIM
dilabel pendokong tegar atau disifatkan sebagai ‘diehards’. Namun analisa ini
meleset kerana walaupun ketika itu ABIM, gerakan Islam, parti Islam PAS dan
masyarakat sivil memang mengambil pendirian tegas berasaskan kebenaran dan
keadilan tetapi yang sebenar mengangkatnya dan membelanya adalah rakyat. Ini
telah memastikan Anwar tidak dilupakan di mata hati rakyat – ‘jauh di mata
namun tetap di hati’ - walaupun dia dipaksa merengkok lama di balik tabir besi
dan dicaci serta dihina media utama begitu rupa.
Rakyat
menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima oleh seorang pemimpin harapan
umat dan merekalah juga memastikan Anwar diangkat menjadi ikon Reformasi. Anwar
mengajak kepada perubahan daripada sistem yang korup, bobrok dan maju bersama
menyelamatkan negara. Dari sebalik tirai besi, Anwar membidani kelahiran parti
baru, parti Reformasi pelbagai kaum, Parti KeAdilan yang juga bakal membawa perubahan besar kepada ragam politik
tanah air. Pilihanraya 1999 menyaksikan buat pertama kalinya beberapa kekalahan
kerusi-kerusi parti pemerintah tetapi pentadbiran negara masih mengekalkan
status quo. Anwar kekal di dalam penjara.
Setelah
kemenangan besar kerajaan Pak Lah pada pilihanraya 2004, Anwar dibebaskan dan
dia disebut dalam suatu wawancara
sebagai ‘politically forgotten’ – pesaing enteng oleh PM pada waktu itu. Anwar bergerak
merangka strategi, meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan, menemukan
parti-parti berlainan ideologi, menjambatani perbedaan, melerai perbalahan dan
menjelajah seluruh negara membangkitkan semangat rakyat sehingga berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat –
gabungan parti yang berkoalisi, bertahalluf berasaskan ‘moral compact’ – ikatan
moral bagi memperjuangkan keadilan sosial demi mensejahterakan rakyat Malaysia.
Anwar berjaya menangani pertembungan dan kepelbagaian bersama rakan-rakannya
dalam satu pakatan yang sering diuji muafakatnya dalam isu-isu getir yang
berjaya diolah oleh Anwar serta diartikulasi meyakinkan pimpinan semua parti
agar terus bersatu pada waktu itu.
Kemaraan
Anwar disekat sekali lagi dengan tuduhan kedua dan bermula semula adegan fitnah
jijik serta kemunculan Anwar yang kesekian kalinya terpaksa naik turun
menghadiri perbicaraan- perbicaraan di mahkamah bagi membela dan mempertahankan
diri demi memelihara maruahnya. Pilihanraya 2008 menyaksikan Tsunami politik pertama
merubah landskap negara dengan menafikan kuasa dua per tiga kerajaan. Anwar
juga telah kembali ‘menggegarkan parlimen’. Pak Lah akur dengan prestasinya
yang merudum lalu mengundur diri.
Pilihanraya
2013 menyaksikan kemenangan undi popular bagi Pakatan Rakyat walaupun masih
tidak dapat menguasai parlimen. Pada Februari 2015 Anwar dipenjarakan setelah
dijatuh hukum oleh Mahkamah Persekutuan. Musuh-musuh politik Anwar seolah-olah
ingin merayakan musibah ini dengan melakukan ‘jelajah qazaf’ bertujuan membenam
terus reputasinya.
Pakatan
Rakyat dilanda krisis pertelagahan besar apabila perbedaan tidak dapat lagi
ditangani sehingga PAS meninggalkan pakatan berkenaan. Peluang dan harapan
Pakatan Rakyat bertambah tipis.
Anwar
terus merengkok di penjara Sg Buluh dipagari 13 lapisan pintu besi.
Terkenang
kata-katanya, “Setiap hari yang berlalu tanpa perubahan, menyaksikan derita
semalaman lagi tahanan politik merengkok di penjara bersendirian; seorang lagi
nyawa terkorban kerana lapar dan wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi
kesempatan orang korup merompak berjuta dari perbendaharaan negara.”
(Bersambung)
No comments:
Post a Comment