SEJARAH

SEJARAH

Sunday, May 3, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM Bahagian 1


RANJAU SEPANJANG JALAN 

Pada November 2017, sewaktu sekumpulan pasukan sukarelawan ABIM membawa bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir terbesar yang melanda kawasan Lahar Yooi Pulau Pinang, seorang warga tua menyahut, “Hangpa dari ABIM ke? Teringat pulak kat Pak Shaykh, kesian kat dia, dia dok dalam lagi.” Banyak lagi anekdot boleh dicatat daripada penduduk setinggan Sg Nibong Tengah pada tahun 80’an. Kg Kerinci dan juga Baling pada tahun 1974 sebagai cerita rakyat marhaen serta merata pelusuk tanah air. Begitulah sosok Anwar Ibrahim diingati oleh mereka yang mengenangkan jasanya sewaktu mahasiswa yang turun berkhidmat masuk ke kampung mereka dan mereka mengamatinya sehingga bersinar naik menjadi menteri kemudian malap kejatuhannya disumbat ke dalam penjara dan dipukul setengah mati. Anwar Ibrahim tersemat di dalam hati nurani rakyat kerana dia pelopor gerakan kebangkitan Islam, pendakwah karismatik, tokoh politik tersohor dan negarawan yang disanjungi. 

Di ambang pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998, sumber perisekan khas menganalisa dan mengandaikan penyokong-penyokong Anwar terutama daripada partinya tidak akan setia bertahan lama, lalu mereka menfokus kepada ABIM dilabel pendokong tegar atau disifatkan sebagai ‘diehards’. Namun analisa ini meleset kerana walaupun ketika itu ABIM, gerakan Islam, parti Islam PAS dan masyarakat sivil memang mengambil pendirian tegas berasaskan kebenaran dan keadilan tetapi yang sebenar mengangkatnya dan membelanya adalah rakyat. Ini telah memastikan Anwar tidak dilupakan di mata hati rakyat – ‘jauh di mata namun tetap di hati’ - walaupun dia dipaksa merengkok lama di balik tabir besi dan dicaci serta dihina media utama begitu rupa. 

Rakyat menyaksikan sendiri layanan buruk yang diterima oleh seorang pemimpin harapan umat dan merekalah juga memastikan Anwar diangkat menjadi ikon Reformasi. Anwar mengajak kepada perubahan daripada sistem yang korup, bobrok dan maju bersama menyelamatkan negara. Dari sebalik tirai besi, Anwar membidani kelahiran parti baru, parti Reformasi pelbagai kaum, Parti KeAdilan yang juga bakal  membawa perubahan besar kepada ragam politik tanah air. Pilihanraya 1999 menyaksikan buat pertama kalinya beberapa kekalahan kerusi-kerusi parti pemerintah tetapi pentadbiran negara masih mengekalkan status quo. Anwar kekal di dalam penjara.

Setelah kemenangan besar kerajaan Pak Lah pada pilihanraya 2004, Anwar dibebaskan dan dia disebut dalam suatu wawancara  sebagai ‘politically forgotten’ – pesaing enteng  oleh PM pada waktu itu. Anwar bergerak merangka strategi, meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan, menemukan parti-parti berlainan ideologi, menjambatani perbedaan, melerai perbalahan dan menjelajah seluruh negara membangkitkan semangat rakyat  sehingga berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat – gabungan parti yang berkoalisi, bertahalluf berasaskan ‘moral compact’ – ikatan moral bagi memperjuangkan keadilan sosial demi mensejahterakan rakyat Malaysia. Anwar berjaya menangani pertembungan dan kepelbagaian bersama rakan-rakannya dalam satu pakatan yang sering diuji muafakatnya dalam isu-isu getir yang berjaya diolah oleh Anwar serta diartikulasi meyakinkan pimpinan semua parti agar terus bersatu pada waktu itu. 

Kemaraan Anwar disekat sekali lagi dengan tuduhan kedua dan bermula semula adegan fitnah jijik serta kemunculan Anwar yang kesekian kalinya terpaksa naik turun menghadiri perbicaraan- perbicaraan di mahkamah bagi membela dan mempertahankan diri demi memelihara maruahnya. Pilihanraya 2008 menyaksikan Tsunami politik pertama merubah landskap negara dengan menafikan kuasa dua per tiga kerajaan. Anwar juga telah kembali ‘menggegarkan parlimen’. Pak Lah akur dengan prestasinya yang  merudum lalu mengundur diri. 

Pilihanraya 2013 menyaksikan kemenangan undi popular bagi Pakatan Rakyat walaupun masih tidak dapat menguasai parlimen. Pada Februari 2015 Anwar dipenjarakan setelah dijatuh hukum oleh Mahkamah Persekutuan. Musuh-musuh politik Anwar seolah-olah ingin merayakan musibah ini dengan melakukan ‘jelajah qazaf’ bertujuan membenam terus reputasinya. 

Pakatan Rakyat dilanda krisis pertelagahan besar apabila perbedaan tidak dapat lagi ditangani sehingga PAS meninggalkan pakatan berkenaan. Peluang dan harapan Pakatan Rakyat bertambah tipis. 

Anwar terus merengkok di penjara Sg Buluh dipagari 13 lapisan pintu besi.  

Terkenang kata-katanya, “Setiap hari yang berlalu tanpa perubahan, menyaksikan derita semalaman lagi tahanan politik merengkok di penjara bersendirian; seorang lagi nyawa terkorban kerana lapar dan wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi kesempatan orang korup merompak berjuta dari perbendaharaan negara.” 
(Bersambung)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin