WAWASAN ANWAR IBRAHIM. MEHNAH DAN FITNAH
Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi memiliki kemampuan pelbagai sebagai pemimpin karismatik, ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang. Dia juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas menginspirasikan: wawasan kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia, wawasan ekonomi kemanusian, wawasan pendidikan keinsanan, wawasan masyarakat madani, dan ‘Muslim Democrats’.
Anwar menganjurkan pemerataan kefahaman Islam yang syumul dan pendekatan da'wah bil hikmah wal mau'izatul hasanah. Kesederhanaan dan keseimbangan - ummatan wasata; dan keyakinan bahawa hanya dengan derajat mulia dan seimbang, umat akan menjadi contoh dan saksi kepada umat manusia - shuhada' 'alannas.
Anwar menolak pandangan agama yang dogmatik, terperangkap dengan taqlid buta, tidak memberi ruang untuk pemikiran kreatif yang berlandaskan kepada asas Islam. Dia menyarankan supaya menyingkap sejarah mengambil iktibar daripada kelenturan dan kelesuan pemikiran hingga berlaku 'kelompong ijtihad'. Gejala mutakhir, adalah kemunculan ulama yang menganggap penafsiran mereka sebagai muktamad - dan kecenderungan menjurus kepada takfir dan faham kabilah secara sempit. Islam menekankan keseimbangan sosial - tawazun ijtima'i bukan cara keras, memaksa, mengugut dan mengherdik. Anwar menolak faham jumud kalangan yang bersekongkol dengan penindas terutama yang menganiaya golongan miskin dan lemah. Agamawan mesti menghindari penyakit ingin mendapat laba.
Program agama hendaklah memberi penekanan ke arah pencerahan dan pencerdasan umat, mengekalkan landasan da'wah berhikmah, memanfaatkan gudang pengalaman, khazanah ilmu dan turath Islam untuk menyinarkan obor.
Iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar sinonim dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, menubuhkan universiti Islam, mengembangkan perbankan dan sistem kewangan Islam, membangunkan Falsafah Pendidikan Sepadu dan memartabatkan mahkamah syariah melalui pindaan Akta 121 (1A), pengurusan ekonomi manusiawi serta berimbang membuktikan iktikad dan kewibawaannya memimpin umat.
Anwar memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Zionis Israel bahkan lantang menentang kezaliman mana-mana pihak pun terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin merentasi semua faction.
Dr Siddiq Fadzil pernah menyatakan bahawa kita berkongsi perasaan kasih kepada Anwar Ibrahim kerana sedih dengan apa yang menimpanya dan kita semua terasa terhutang kepadanya. Anwar pemimpin paling berjasa untuk Islam dan dialah yang betul-betul mencipta sejarah kebangkitan Islam. Dialah ikonnya. Dialah tokoh yang berjasa dan berjaya merubah ribuan malah jutaan orang – berhijrah daripada kejahilan kepada Islam. Dia pula orang yang paling banyak diaibkan di dalam sejarah kita. Kesedihan itu turut disebut oleh Dr Razali Nawawi apabila dia mengatakan, “Tangisan itu adalah doa untuk sahabat kita.”
Rakyat yang prihatin turut mendoakan. Solat hajat ditunaikan. Pasrah kepada pertolongan dan ketentuan Allah swt.
Sudah tiga kali dia dipenjarakan – 2 tahun di bawah ISA, tragedi 1998 selama 6 tahun dan sekarang 5 tahun pula. Tidak ada tokoh lain yang didera dan diaibkan seperti ini. Keputusan politiklah yang telah menjatuhkan Anwar Ibrahim. Ada yang merasa telah menang dan beruntung dengan memenjarakan dan terus menerus menfitnah Anwar.
Anwar pula tidak dilawan kekayaannya kerana dia memang tidak kaya. Anwar terbukti kewibawaan integritinya kerana tidak pernah mengambil kesempatan mengaut laba atau harta padahal sewaktu dia berjawatan menteri, TPM atau Menteri Kewangan memang banyak kesempatan. Oleh kerana dia bukan hartawan maka tidak ada guna bagi cubaan membankrapkannya. Kekuatannya adalah pada kekuatan moralnya. Musuhnya tidak sanggup untuk melawannya dari segi moral. Maka terjadilah fitnah paling dahsyat dan paling aib. Sehingga lidah kita pun tak sanggup, tak terdaya, tak tergamam menyebutnya.
Dr Siddiq Fadzil berpesan, “Kita berserah kepada Allah swt bagi membersihkan orang-orang bersih. Soal berapa lama dan bila, kita hanya mampu berserah dan ambillah iktibar kisah Musa a.s. dan Aisyah r.a. Politik fitnah adalah politik keji dan bukan politik luhur. Kita perlu selamatkan umat daripada terjebak dalam kancah jenayah qadhaf dan kefasikan.”
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.” ( surah al Ahzab : 69)
(bersambung)
I S L A H M E D I A 2 | 2
No comments:
Post a Comment