ISTIQAMAH DAN KESABARAN
DALAM PERJUANGAN
Di sinilah dapat
disaksikan istiqamah dan kesabaran Anwar Ibrahim dalam perjuangan. Apabila
ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia
merujuk kepada pesanan-pesanan tok guru dan alim ulama – al marhum Tok Guru Nik
Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Dr Wahbah al Zuhaili semuanya berpesan yang
sama - supaya berpaut kepada ayat Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya
orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas
ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan
pendirian mereka)” (Surah al Fushshilat: 30)
Profesor Yusuf al
Qaradawi berkali-kali mengutus surat dan datang sendiri bertemu pemimpin negara
ini memohon agar Anwar dibebaskan. Al marhum Dr Wahbah telah menegaskan semasa
kunjungan ke rumah Anwar, “Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, dia seorang
yang baik dan bersih. Sangat wajar dia mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t..”
Keyakinan dan dokongan para ulama luar dan dalam negeri menggembirakan
kedukaannya serta mengukuhkan ketabahannya menempuh tribulasi.
Anwar berkata, “Waktu
saya terpenjara itu memang masa yang susah. Saya tidak pernah membayangkan
bahawa sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri sebuah negara demokratik, saya
akan dipukul dan disumbat ke dalam penjara seperti mana penjenayah lain di
negara ini. Saya dipisahkan daripada keluarga dan anak-anak yang masih sedang membesar tanpa seorang bapa di
sisi mereka.
Pada saat-saat kelam
itu, iman yang sentiasa membekalkan sumber harapan dan pasrah bahawa segala
kejadian yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah swt, di mana
kita sebagai manusia kerdil tidak akan mampu mengerti dan kepadaNya kita mesti
berserah. Saya berasa tenang hati apabila menerima surat-surat mendoakan saya
dari orang daripada pelbagai kepercayaan. Sehingga sekarang, saya masih terharu
apabila berjumpa dengan orang-orang dan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan
belasan kasihan dan prihatin mereka ke atas diri saya dan keluarga.
Ada hikmah
kelebihannya, walaupun saya tidaklah menyarankan kepada orang lain untuk ke
penjara juga, hikmah membolehkan saya menumpukan masa yang panjang berdhikir
mengingati Allah dan kebesaranNya, kepada bacaan dan hafalan al Qurรกn serta
mengerjakan ibadat-ibadat sunat di dalam kamar kecil, berbanding jika berada di
tampuk kerajaan. Saya lihat ada sinar harapan, kelebihan yang daripadanya saya
mengambil kekuatan spiritual.”
Tema perjuangan Anwar
disingkap apabila dia ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau
penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, Anwar sering merujuk
kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan
untuk melakukan islah sekuat daya kami.””
Rakyat tetap memerhati
memendam rasa. Bukan rakyat tidak bangkit. Bukan sedikit turun berdemonstrasi.
Bukan sedikit berdepan lantunan belantan keras, semburan gas pemedih dan
pancutan cecair menyakitkan. Bukan sedikit menjadi OKT. Namun perubahan
bermakna memerlukan masa dan kebangkitan yang tuntas.
Anwar berazam bahawa
perjuangan untuk demokrasi, untuk kebebasan, untuk keadilan bukan suatu lakaran
teori. Anwar mempunyai ‘tabiat hati’, satu iltizam, ‘courage of conviction’ -
keberanian moral berbekalkan keyakinan, dengan ketabahan, dengan niat yang
luhur. Dia percaya bahawa ini prinsip yang tidak boleh dikompromi. Itulah
sebabnya dia menolak tawaran agar menjadi suaka politik di luar negara seperti
yang cuba dipujuk rayu oleh rakan-rakannya memandangkan usia dan kesihatan
fizikalnya bagi menjalani penjara semula. Anwar berkata, “Saya harus pulang dan
berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan saya. Saya akan hadapi apa pun
termasuk penjara.”
Rakyat dapat melihat
bahawa Anwar dikurniakan keluarga yang hebat. Dr Wan Azizah dan anak-anak bukan
sahaja menyokong, mendokong penuh tetapi mereka semua komited sepenuhnya kepada
idealisme perjuangan. Anwar juga terinspirasi dan terhutang budi kepada rakyat
Malaysia, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua orang yang mempercayai perjuangannya,
demi kebebasan, untuk demokrasi, demi kedaulatan undang-undang, untuk kebebasan
hati nurani. Dan dia percaya jika semua ini memerlukan sedikit usaha dan
pengorbanannya, ia mesti dilakukan.
Anak lelaki Anwar,
Ihsan mengungkapkan, “Papa mengutamakan negara dan rakyat daripada
dirinya.”
(Bersambung)
No comments:
Post a Comment