SEJARAH

SEJARAH

Sunday, May 16, 2010

BEBERAPA PANDANGAN TERHADAP MASYARAKAT IRANUN DI SABAH

Oleh
Milus Hj. Abd. Wahad

Terdapat beberapa kajian berkaitan masyarakat Iranun dan antara yang pernah diterbitkan ialah kajian Datu Bandira Datu Alang, ‘Iranun: Sejarah dan Adat Tradisi’, (1992). Buku ini banyak memerikan kaitan antara asal-usul dan budaya masyarakat Iranun. Tumpuan perbincangan dalam buku tersebut hanya melihat kepada persoalan sejarah, struktur sosial, adat perkahwinan, kematian, sistem beragama dan senario masyarakat Iranun kini. Tetapi kajian ini tidak menggunakan sumber primer secara meluas, tetapi maklumat yang digunakan adalah berasaskan sumber sekunder. Oleh itu, sebahagaian maklumat yang beliau kemukakan dalam penulisan ini banyak bergantung kepada sumber lisan dan tidak diperkukuhkan dengan senarai responden sebagai pemberi maklumat.

Penulisan ini kelihatan bercanggah dengan beberapa maklumat, terutama kehadiran kuasa tempatan di Tempasuk. Sedangkan pada tahun 1790 Raja Ismail merupakan kuasa pemerintah di Tempasuk dan selepas itu kuasa memerintah Tempasuk beralih kepada anaknya Sultan Sa Tebuk sehinggalah 1879. Ketika Sultan Sa Tebuk menyerang Ambong, Brooke iaitu Raja Putih Sarawak telah datang ke Tempasuk menemui Sultan Sa Tebuk bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan sultan tersebut. Menurut penulisan beliau, pada tahun 1850 Tempasuk di bawah kuasa Sultan Sa-Malabang.

Meneliti terhadap penulisan ini, maka didapati kajian tersebut tidak memuatkan beberapa maklumat penting berkaitan etnik Iranun. Walau bagaimanapun kajian ini boleh memberikan pelbagai sumber dan maklumat yang dapat menyumbang terhadap sejarah masyarakat Iranun di Sabah. Pernyataan beliau berkaitan politik juga adalah terhad, terutama pergolakan politik dalam bentuk kepartian ketika era kemerdekaan, dan beliau hanya menjelaskan beberapa penentangan awal orang Iranun terhadap kuasa Syarikat Berpiagam Borneo Utara British atau SBBU.

Selain itu, seorang pengkaji barat Howard P. McKaughan telah menulis dan menyatakan pandangannya tentang bahasa Iranun di Sabah berjudul ‘Iranun Verb Structure’ yang dibentangkan dalam seminar pada 8 April 2000. Beliau menyatakan bahawa bahasa Iranun ini mempunyai beberapa keunikan dan tingkat kosa kata yang banyak. Contohnya: Su, si, a, i, sa, ku, ki, pen, den ,run, da, di, na, kagia, du’u, aya, kun, utu, agu’, tantu, ba, dan banyak lagi . Kajian ini hanya menyentuh aspek bahasa Iranun sebagai tumpuan, namun kajian terhadap sejarah dan politik terus diabaikan.

Selain itu, seorang lagi pengkaji dari Filipina iaitu Mamitua Saber turut mengkaji dan menulis berkaitan masyarakat Iranun di Sabah di dalam rencananya yang berjudul, ‘Ilanun of Sabah an Ethnic Extration from Mindanao’(1984). Namun tulisan ini hanyalah merupakan kajian perbandingan antara masyarakat Iranun di Sabah dan masyarakat Iranun di Mindanao sama ada dari aspek bahasa, sejarah dan kebudayaan. Kajian ini tidak dilakukan secara mendalam, namun ianya merupakan artikel penting yang turut menceritakan kedudukan orang Iranun. Walaupun begitu segala maklumat yang terdapat dalam artikel ini adalah amat penting lebih mengenali dan memahami etnik Iranun.

D. Headly pula di dalam kajiannya ada menulis tentang adat-adat perkahwinan masyarakat Iranun dalam ‘Some Illanun and Bajau Marriage Customs in Kota Belud District, North Borneo,(1951)’. Penulisan ini melihat bagaimana masyarakat Iranun dan Bajau mengadakan majlis perkahwinan dan adat-adat yang perlu dipatuhi sama ada oleh pihak lelaki atau pun pihak perempuan. Antara aspek yang dibincangkan seperti ‘pelit, peramai-ramaian, benga atau getas sarirai’ dan yang paling penting adalah adat ‘berian.’ Adat-adat yang dibincangkan itu adalah amat penting dalam sosio budaya masyarakat Iranun. D. Headly melihat hal ini dalam kehidupan masyarakat Iranun dan Bajau sesuatu yang unik dan menarik.

Tetapi tindakan beliau ini telah meletakkan orang Iranun dan Bajau adalah dua komuniti yang sama dengan menyamakan adat-istiadat dan budaya. Kesannya kedudukan stratifikasi sosial dalam masyarakat Iranun mula terancam yang melibatkan beberapa identiti penting dalam masyarakat Iranun, contohnya kedudukan golongan bangsawan iaitu ‘datu’ dan ‘sharif’. Sedangkan golongan ini telah memainkan peranan penting dalam sejarah dan perkembangan politik Iranun.

Selain itu, seorang pengkaji Barat iaitu Ivor H. N. Evans, telah menulis tentang kehidupan masyarakat Iranun dan Bajau. Penelitian Evans terhadap sosio budaya dan kehidupan masyarakat Iranun dan Bajau agak luas sehinggakan beliau beranggapan bahawa etnik Iranun dan Bajau mempunyai sifat yang buruk seperti suka berjudi, mabuk, sombong, garang dan sebagainya. Penelitian Evans ini dilihat sebagai satu penghinaan terhadap masyarakat Iranun secara keseluruhannya.

Gambaran Evans terhadap orang Iranun dan Bajau adalah sesuatu yang negatif dalam penulisan tersebut. Banyak aspek yang disentuh oleh Evans, terutama kegiatan orang Iranun sebagai lanun, cara berpakaian dan agama Islam sebagai anutan masyarakat ini. Namun begitu, apa yang dinyatakan oleh Evans ini perlu dijelaskan kembali untuk menyatakan keadaan sebenar berkaitan masyarakat Iranun.

Owen Rutter menulis berkaitan orang Iranun juga, di mana beliau memberi tumpuan terhadap kegiatan perlanunan. Beliau menyatakan tentang kehebatan orang Iranun dalam aktiviti perlanunan ini di dalam ’Chapter II: The Illanun Pirates’ , sehingga orang Iranun membentuk kekuatan sekitar 30-40 orang untuk satu pasukan. Kajian ini turut dikukuhkan oleh penulis Barat iaitu James Warren, di mana beliau menyatakan bahawa orang Iranun melakukan kegiatan perlanunan di kepulauan Nusantara yang melibatkan perhambaan.

Beberapa orang pengkaji tempatan seperti Dayang Suraya Haji Mulia, telah menulis berkaitan sosial masyarakat Iranun di Kampung Rampayan Laut, yang melibatkan sistem kekeluargaan mengikut Islam. Antaranya sistem pendidikan al-Quran dalam masyarakat Iranun, peranan Imam, sistem kekerabatan dan hubungan keluarga, serta pembahagian harta. Manakala Ismail Ahmad telah menulis berkaitan sistem warna dalam kebudayaan masyarakat Illanun, di mana beliau menjelaskan bahawa warna adalah melambangkan status individu dalam masyarakat Iranun. Begitu juga Datu Raiman Datu Kauman yang menulis tentang bahasa sapaan dalam masyarakat Iranun.

Kajian yang dilakukan itu, boleh dijadikan asas dalam penulisan ini, walaupun kajian tersebut tidak menyentuh aspek politik. Tetapi dalam penulisan ini terdapat maklumat yang berbentuk sejarah dan boleh dijadikan sebagai maklumat tambahan bagi menyokong penulisan ini. Selepas kemerdekaan banyak maklumat berkaitan orang Iranun terdapat dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Daily Express, Sabah Times, dan Borneo Post. Peranan parti USNO juga sebagai medan politik baru orang Iranun telah membantu merubah senario politik Iranun sejak seawal merdeka.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin