SEJARAH

SEJARAH

Thursday, June 24, 2010

HIDUP SEORANG PEMIMPIN

Said bin Amir al-Jumahi merupakan seorang gabenor yang dilantik oleh Umar al-Khattab di Wilayah Hims dan beliau merupakan antara sahabat yang amat dipercayai. Pada mulanya Said Amir menolak perlantikan tersebut, setelah dirayu oleh Umar al-Khattab, maka beliau menerima jawatan tersebut dengan syarat hanya setahun sahaja jawatan itu dipangku oleh beliau. Umar al-Khattab bersetuju dengan permintaan Said Amir. Antara tujuan Umar melantik beliau sebagai gabenor di wilayah tersebut ialah untuk menyelesaikan karenah penduduk Hims yang amat cerewet dengan gabenor yang dihantar kewilayah itu.

Tidak lama selepas itu, Umar al-Khattab meminta pegawai yang ditugaskan untuk membuat pantauan tentang tahap kemiskinan di wilayah itu melaporkan keadaan di Hims. Umar al-Khattab minta dibacakan senarai tersebut bagi menyediakan keperluan bantuan. Pegawai itu menyebut nama-nama yang layak sebagai penerima. Tiba-tiba Umar menyampuk.

'Siapakah Said yang kamu maksudkan itu?
'Dia adalah Said bin Amir, gabenor kami'
'Gabenor kamu termasuk dalam senarai nama orang miskin?' Umar bertanya lagi.
'Ya, malah dapur rumahnya pernah beberapa hari tidak berasap!

Umar menjadi sebak sehingga air matanya mengalir membasahi janggutnya, beliau memasukkan sejumlah wang ke dalam bungkusan.

'Sampaikan salam saya kepada Said dan ini adalah hadiah daripada saya, sudilah dia menerimanya.'

Semasa Said bin Amir al-Jumahi membuka bungkusan daripada Umar itu, wajahnya bertukar pucat.

'Daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita kembali.'

Isterinya mendengar keluhan Said, lalu bertanya. 'Mengapa? Pemimpin kita meninggal dunia?'Said menggelengkan kepala.

'Malah lebih malang daripada itu.' kata Said.
'Tentera Islam kalah di medan perang?' Isterinya meneka.
'Malah, lebih buruk daripada itu,' Said menjawab.
'Jelaskan kepada saya apa sebenarnya yang berlaku?' isterinya berhenti meneka.
'Dunia masuk ke dalam kehidupan kita bagi merosakkan akhirat. Bencana dahsyat masuk ke rumah kita.'
'Jauhkan dirimu daripada bencana itu.' Isteri Said memberi saranan tanpa mengetahui sejumlah wang yang dihadiahkan oleh Umar.

Said merenung wajah isterinya. 'Bolehkah kamu membantu saya?'
'Sudah tentu saya membantu kamu,' isterinya menyakinkan.
Said mengambil wang yang dikirim oleh Umar itu dan dia memberika wang itu kepada fakir miskin sehingga semua habis disedekahkan.

Inilah kehidupan seorang pemimpin pada zaman kegemilangan Islam, mereka amat berhati-hati ketika diberi tanggungjawab sebagai ketua. Mereka sanggup hidup susah daripada terjebak dalam kehidupan yang meragukan ketika mereka berkuasa. Hidup miskin lebih baik daripada kaya yang sentiasa dipersoalkan sama ada rakyat dan apatah lagi di hadapan Allah swt pada hari akhirat nanti.

Trend kepimpinan kita hari ini, lebih mengutamakan diri sendiri berbanding keperluan rakyat yang menjadi tanggungjawab. Amanah bukan lagi satu tanggungjawab, tetapi menjadi muslihat untuk kepentingan sendiri.

Bukan kita mendesak mereka menjadi papa kedana, tetapi tugas dan peranan sebagai pemimpin dan wakil rakyat mestilah diletakkan dihadapan. Perjanjian dengan rakyat mestilah ditunaikan, undi itu adalah perjanjian yang amat berat dan pasti akan dituntut di akhirat.

Marilah kita hayati, kepimpinan para rasul, para sahabat yang telah memimpin rakyat bukan sahaja di dunia ini, tetapi mereka memimpin rakyat sampai ke akhirat. Mereka sanggup miskin demi rakyat, mereka sanggup susah demi amanah dan tanggungjawab.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin