SEJARAH

SEJARAH

Saturday, December 10, 2011

"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 3)

oleh: Dato' Dr. Mohd Siddiq Fadzil


Khayriyyah (keunggulan) yang dicapai menerusi amar makruf-nahi mungkar suatu kejayaan (falah) yang besar. Khayriyyah al-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang disebut dalam ayat tersebut adalah keunggulan bersyarat (khayriyyah mashrutah) dan keunggulan yang harus diraih dengan amal perjuangan amar makruf-nahi mungkar. Demikianlah keunggulan yang ditawarkan oleh al-Qur'an. Ia adalah khayriyyah muktasabah, iaitu keunggulan yang dicapai dengan usaha gigih dan amal yang serius, bukan keunggulan berasaskan unsuriyyah mawruthah atau keunggulan yang diwarisi tanpa susah-payah. Al-Qur'an tidak menawarkan ketuanan warisan, yang ditawarkan adalah keunggulan yang bersyaratkan komitmen dan amal nyata di gelenggang amar makruf-nahi mungkar yang didasari iman kepada Allah. Keunggulan sedemikian bukan milik eksklusif kaum tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua, siapa sahaja termasuk ahl al-kitab asalkan sanggup memenuhi syarat.


Misi nabawi seterusnya ialah menghalalkan segala yang baik (al-tayyibat), iaitu yang berkualiti, bersih, lazat dan bermanfaat; di samping mengharamkan segala yang buruk (al-khaba'ith), iaitu yang tidak berkualiti, kotor, memudaratkan dan menjijikkan. Ittiba' al-rasul dalam konteks ini ialah dengan pengamalan cara hidup sihat berasaskan syari'at, mendidik umat dengan kesedaran hukum halal-haram, dan membudayakan gaya hidup religius, bersih dan indah.




Antara komponen penting risalah Muhammadiah ialah pelepasan umat dari beban yang memberatkan sehingga tidak berdaya untuk bergerak ke mana-mana, dan pembebasan umat dari belenggu yang merantai sehingga tidak berupaya berbuat apa-apa. Ketika menjelaskan makna kata al-aghlal (jamak ghullun), A. Yusuf Ali menyebut Islam sebagai a religion for freedom in the faith of Allah, of universality in the variety of races, languages, manners and customs. Memang ayat tersebut secara khusus merujuk bangsa Yahudi yang terbeban dan terbelenggu dalam hukum-hakam keagamaan yang berat sebagai hukuman Tuhan terhadap kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan; tetapi secara umum menyiratkan semangat liberatif agama Islam. Yang harus dibebaskan bukan hanya bangsa-bangsa tertentu, tetapi umat manusia keseluruhannya. Ittiba' al-rasul dalam konteks semangat pembebasan ini ialah dengan perjuangan membina umat yang berjiwa dan berminda merdeka, bebas dari segala bentuk pembelengguan: pembodohan, pembisuan, pengurangan dalam kepompong perkauman sempit, pembatasan ruang berfikir dalam tembok kepartian dan lain-lain yang sejenisnya. ....bersambung......


No comments:

Post a Comment

LinkWithin