SEJARAH

SEJARAH

Monday, October 4, 2021

JAMAN EDAN

"Perjuangan pemberdayaan rakyat dan pelaksanaan misi pembebasan dan pencerahan adalah suatu perjuangan moral-intelektual yang getir. Di tengah semarak retorik demokrasi, hak asasi, masyarakat madani, era informasi dan entah apa lagi, kita sebenarnya sedang menyaksikan gejala berulangnya Jaman Edan (zaman gila), zaman rosaknya segala aturan dan tananan etika, moral dan susila. Dalam dunia yang segalanya sudah serba gila, tidak ada tempat untuk orang yang waras dan siuman, hanya mereka yang "gila" atau yang sanggup ikut jadi "gila" yang dapat  hidup. Demikianlah kira-kira suasana zaman yang terlukis dalam Serat Kalatidha, sebuah karya sastera Jawa era Surakarta (abad 19) yang merakamkan memori duka dan guratan luka pujangga terakhir Keraton Surakarta, R.N. Ronggowarsito. Kerana mempertahankan kehidupan berintegriti moral, beliau menjadi korban kegilaan Jaman Edan. Ronggowarsito dibekukan pada jawatan Pujangga yang sudah disandangnya sejak empat puluh tahun; walhal seharusnya beliau sudah diangkat menjadi Pangarsa, jawatan yang setingkat lebih tinggi daripada Pujangga. Beliau merakamkan rintihan batinnya, tentang pahitnya hidup berprinsip pada zaman gila: tidak ikut gila tak merasa, mahu ikut gila tak sampai hati. Tetapi biar bagaimanapun beliau memilih untuk tetap setia dengan prinsip dan amanah kepujanggaan atas keyakinan, "Betapa pun untungnya orang yang lupa (prinsip), masih lebih beruntung lagi orang yang ingat dan waspada." Demikianlah optimisme seorang pejuang berprinsip, tampil ke gelanggang melawan kuasa dan budaya edan dengan keyakinan akan menang. "...Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah kamu harus berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang  yang beriman." (al-Ma'idah:23)

Siddiq Fadzil, 2012: Islam Dan Melayu: Martabat Umat Dan Daulat Rakyat, m.s. 56

No comments:

Post a Comment

LinkWithin