SEJARAH

SEJARAH

Wednesday, November 10, 2010

KEPRIHATINAN LUQMAN AL-HAKIM TERHADAP PENDIDIKAN


'Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya, "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan(Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar" (Luqman: ayat 13)

Ayat ini adalah antara kandungan Surah Luqman yang telah disampaikan oleh Dato' Dr. Siddiq Mohd. Fadhil dalam program ABIM Sabah baru-baru ini, iaitu 'Kuliah Tafsir Maudhu'iy Siri Ke-15'. Kandungan ini menjelaskan bagaimana Luqman Al-Hakim memberi peringatan kepada anak-anaknya tentang pendidikan tawhid iaitu jangan menyengutukan Allah SWT. Beliau amat prihatin agar anak-anaknya terselamat daripada sifat syirik. Kerana syirik itu adalah kezaliman yang amat besar yang dilakukan oleh manusia. Mempersekutukan Allah SWT sangat mengancam kehidupan beragama dalam Islam. Sebab itulah Luqman berkali-kali mengingatkan anak-anaknya jangan terjebak dengan kesyirikan.

Namun hari ini, ibu bapa tidak lagi risau tentang pendidikan anak-anak. Ibu bapa tidak lagi mahu tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak, balik lewat malam atau ke mana pergi anak-anak itu bukan lagi kerisauan besar terhadap para ibu bapa. Pendidikan secara Islam bukanlagi tuntutan besar atau syarat utama untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa akan risau apabila anak mereka tidak cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM, dan STPM, tetapi tidak risau apabila anak-anak mereka tidak tahu ambil air sembahyang, tidak bersolat, tidak puas, tidak menghormati mereka dan pelbagai lagi perlakuan yang tidak melambangkan syariat Islam.

Tetapi Luqman telah lama mengajar manusia serta memperingatkan anak-anaknya supaya patuh dan taat kepada Allah SWT. Pendidikan tawhid yang terkandung dalam Islam sudah cukup memandu manusia mencapai kehidupan yang bermakna dan sempurna. Pendidikan tawhid juga merupakan pembebasan besar terhadap natijah insaniah daripada pelbagai kecelaruan dan kekeliruan dalam hidup.

Luqman juga mengingatkan anak-anaknya agar jangan lalai mengerjakan solat, kerana solat itu banyak membantu manusia dalam menghadapi kehidupan sebagai hamba. Lihat bagaimana Luqman memberi pesanan kepada anak-anaknya;

"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)". (Luqman: ayat 17)

Peringatan Luqman ini amat penting bagi manusia supaya jangan sekali-kali meninggalkan solat, kerana solat itu akan lebih menghampirkan diri kepada Allah SWT. Ia juga merupakan tanda pengabdian yang amat luhur terhadap Maha Pencipta. Solat juga adalah tanda bersyukur oleh al-insan terhadap Allah SWT.

Bagaimana pula ibu bapa hari ini, adakah anak-anak sentiasa diingatkan tentang solat? adakah anak-anak dipastikan bersolat? adakah anak-anak diajak bersolat? atau bagaimana para ibu bapa memberi kefahaman terhadap peri pentingnya solat dalam kehidupan? Luqman telah mengambil tanggungjawab besar terhadap anak-anaknya agar jangan meninggalkan solat, kerana solat itu adalah pokok segala kehidupan supaya anak-anak memahami tugas dan peranan mereka diturunkan ke dunia ini.

Begitulah Luqman mengingatkan anak-anaknya, bahkan kita umat Islam hari ini yang semakin lama semakin jauh dari konsep hidup sebagai hamba yang dijadikan oleh Allah SWT. Marilah kita hayati dan fahami pesan-pesan Luqman ini agar kita tergolong dalam golongan yang diredhai dan diberkati hidup di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin