SEJARAH

SEJARAH

Tuesday, October 25, 2011

FITNAH: BUDAYA TERHINA DALAM ISLAM ( siri 1 )

‘al fitnatul ashaddu minal qatl’, (fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh) demikianlah al-Quran mengungkapkan istilah fitnah sebagai satu ancaman yang paling besar berbanding dengan membunuh. Persoalannya mengapa Allah SWT memberi amaran kepada manusia tentang bahayanya fitnah itu, apakah fitnah ini boleh merosakan masyarakat dan negara? Di dalam al-Quran Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang bahayanya fitnah yang boleh menghancurkan dunia. Dr. Taha Jabir al-Alwani mengatakan; ‘bahawa fitnah ini banyak berlaku terhadap para nabi dan di mana musuh-musuh mereka terdiri daripada penguasa yang zalim dan menuduh mereka sebagai fasik, melakukan zina atau menyeleweng daripada ajaran moral dan kejujuran yang mereka serukan.’ Pendapat tokoh ilmuan ini menggambarkan bagaimana sejarah terdahulu menyatakan bahawa apabila bertembung antara yang hak dan batil, maka fitnah adalah senjata utama untuk menghancurkan kebenaran.

Menurut Dr. Abdul Halim El-Muhammady; ‘Kencenderungan sebahagian masyarakat kini menghina dan mengaibkan seseorang semacam menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka.’ Fitnah sudah menjadi satu budaya serta amalan bagi mengalahkan musuh-musuh dalam sebarang pertarungan. Kegiatan fitnah umpama isi dengan kuku yang sukar dipisahkan daripada kehidupan masyarakat kini. Allah s.w.t mengingatkan orang-orang yang beriman tentang bahayanya fitnah; ‘Sesungguhnya orang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar dalam kalangan orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’ (an.Nur: 19).

Fitnah Dalam Sirah Para An-biyya’

Kisah Nabi Yusof a.s. adalah contoh terbaik sebagai renungan dan iktibar kepada umat untuk memahami serta menghayati kesan-kesan besar yang terjadi angkar fitnah. Nabi Yusof a.s. telah difitnah oleh Siti Zulaikha isteri seorang Menteri Kerajaan Mesir, kerana Siti Zulaikha terpesona dengan ketampanan Nabi Yusof a.s. yang mana beliau tidak dapat menahan diri apabila melihat Nabi Yusof a.s. Oleh kerana segala rancangan Siti Zulaikha untuk memikat Nabi Yusof a.s. tidak berjaya, maka beliau telah memilih jalan fitnah terhadap Nabi Yusof a.s dengan tuduhan cubaan merogol beliau dan antara buktinya ialah pakaian Nabi Yusof a.s. koyak rabak kerana kononnya beliau cuba melepaskan diri daripada tindakan Nabi Yusof itu.

Tuduhan terhadap Siti Maryam a.s yang telah melahirkan anak tanpa bapa, merupakan fitnah terbesar juga dalam sirah para nabi. Siti Maryam a.s telah berhadapan dengan para pemfitnah yang luar biasa sehinggalah Allah s.w.t memberikan mukjizat terhadap anaknya Isa a.s yang boleh bercakap dan membela ibunya Siti Maryam a.s untuk menafikan tuduhan tersebut. Siti Maryam a.s juga menerima nasib yang sedih apabila berhadapan dengan fitnah yang besar kesannya terhadap maruah serta sifat keimanan yang teguh terhadap Allah s.w.t.

Setelah diadili oleh hakim didapati baju Nabi Yusof a.s koyak di belakang, ini menunjukkan bahawa Nabi Yusof tidak bersalah kerana bajunya tidak koyak di hadapan. Pengadilan yang diputuskan oleh hakim itu menunjukkan Nabi Yusof a.s tidak bersalah, bahkan Siti Zulaikha yang bersalah terhadap tuduhannya sendiri. Pembuktian bahawa baju Nabi Yusof a.s. koyak di belakang sudah memadai untuk menafikan tuduhan Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusof a.s. dan hakim pada masa itu menolak tuduhan tersebut dan membebaskan Nabi Yusof a.s.

Satu lagi kisah berlaku ketika mana rombongan Rasulullah s.a.w. pulang dari peperangan, dan rombongan tersebut berhenti di suatu tempat untuk berehat. Setelah semua sudah segar, maka rombongan itu meneruskan perjalanan pulang ke Madinah, namun pada ketika itu juga Siti Aisyah isteri Rasulullah s.a.w. telah menunaikan khajatnya dan tanpa disedari oleh rombongan itu Siti Aisyah telah tertinggal. Kebetulan ada seorang sahabat yang ditugaskan untuk meninjau dari belakang sekiranya ada yang tertinggal, dan kebetulan sahabat itu telah menemui Siti Aisyah yang tertinggal itu dan membawanya secepat untuk menyertai rombongan tersebut. Namun peristiwa ini telah diambil kesempatan oleh Abdullah bin Ubay seorang munafiq dan membuat tuduhan terhadap Siti Aisyah dengan sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w. tidak senang dengan tuduhan tersebut dan menunggu petunjuk daripada Allah s.w.t untuk menjawab segala tuduhan terhadap Ummul Mukminin Siti Aisyah, sehinggalah turun wahyu yang telah membersihkan Ummul Mukminin Siti Aisyah dari tuduhan itu.

Tuduhan terhadap Siti Maryam a.s yang telah melahirkan anak tanpa bapa, merupakan fitnah terbesar juga dalam sirah para nabi. Siti Maryam a.s telah berhadapan dengan para pemfitnah yang luar biasa sehinggalah Allah s.w.t memberikan mukjizat terhadap anaknya Isa a.s yang boleh bercakap dan membela ibunya Siti Maryam a.s untuk menafikan tuduhan tersebut. Siti Maryam a.s juga menerima nasib yang sedih apabila berhadapan dengan fitnah yang besar kesannya terhadap maruah serta sifat keimanan yang teguh terhadap Allah s.w.t.

Penghakiman Terhadap Kisah An-biyya’

Tiga kisah utama dalam sejarah Islam ini, membuktikan betapa beratnya fitnah di dalam Islam yang boleh menghancurkan kestabilan, perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Nabi Yusof a.s. yang dituduh oleh Siti Zulaikha, isteri seorang pembesar Mesir tetap dinafikan tuduhan beliau kepada Nabi Yusof a.s. Tidak ada keistimewaan yang diberikan oleh hakim terhadap Siti Zulaikha selaku isteri pembesar Mesir untuk menerima tuduhan beliau tersebut. Kerana hakim lebih memahami keadilan itu tanpa melihat kedudukan serta status dan yang seadilnya ialah rakyat dilayan sama tanpa mengira pangkat, jawatan, status dan kedudukan.

Begitu juga apa yang berlaku terhadap Siti Aisyah yang difitnah oleh golongan munafiq, sehinggakan peristiwa ini hampir-hampir menghuru-harakan negara Islam Madinah. Sehinggalah diturunkan wahyu untuk menyelesaikan kemelut umat Islam ketika itu demi kesejahteraan dan keharmonian Islam.

Pembersihan terhadap Siti Maryam a.s juga berlaku melalui wahyu, di mana Allah s.w.t mengizinkan Isa a.s yang masih kecil telah membela ibunya daripada tuduhan zina. Penghakiman yang berlaku ini adalah merupakan petunjuk kepada umat ketika itu, bahawa fitnah terhadap Siti Maryam a.s adalah tuduhan yang berasaskan sangkaan semata-mata.

Sirah yang dibentangkan ini adalah pentunjuk yang sepatutnya menjadi pedoman kepada umat untuk meneliti serta mengambil iktibar dalam mengadili tuduhan fitnah ini. Allah s.w.t amat mengetahui, betapa besarnya kesan-kesan fitnah terhadap pihak penuduh dan yang tertuduh. Nabi Yusof a.s terpaksa berhadapan dengan pembesar Mesir untuk menafikan tuduhan kepadanya, Rasulullah s.a.w dibantu dengan wahyu untuk menafikan tuduhan para munafiqun, dan begitu juga Siti Maryam a.s diselamatkan oleh Allah s.w.t dengan kuasanya sehingga budak kecil yang baru lahir menjadi saksi.

Penghakiman yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t dalam tiga peristiwa itu merupakan panduan yang amat jelas kepada umat manusia, bahawa fitnah itu adalah kegiatan terhina dan jijik serta dosa besar yang sukar dimaafkan melainkan dengan kemaafan daripada pihak yang tertuduh.


1 comment:

  1. Benarlah apa yang dinyatakan di atas. Al-Quran telah menjelaskannya. Namun budaya fitnah semakin berkembang dewasa ini. Saban hari kita disajikan dengan berbagai tomahan dan fitnah. Kita mengharapkan agar budaya ini dapat dihindari dengan mengamalkan ilmu agama yang benar dan sejajar dengan ajaran al-Quran

    ReplyDelete

LinkWithin