SEJARAH

SEJARAH

Tuesday, November 22, 2011

FITNAH: BUDAYA TERHINA DALAM ISLAM (Siri 2)




Pertembungan Antara Ketakwaan dan Kemunafiqan

Peristiwa ini diungkapkan di dalam al-Quran dan Hadis yang menjadi pegangan serta amalan umat Islam sebagai panduan serta iktibar terhadap umat-umat seterusnya. Namun, apa yang berlaku pada masa kini kes fitnah ini tidak pernah dirujuk kepada al-Quran dan Hadis sebagai jalan penyelesaian. Pada hal ianya termaktub dalam Rukun Iman iaitu Percaya kepada Kitab (al-Quran). Tetapi pengadilan dan hukuman yang dilakukan dalam kes-kes fitnah dalam negara ini tidak pun dirujuk kepada al-Quran. Tindakan ini menunjukkan bahawa kebenaran al-Quran sebagai kalimah Allah s.w.t telah dinafikan. Al-Quran sebagai kalimah Allah s.w.t sudah tidak diyakini oleh umat Islam sendiri dan tidak dilihat sebagai petunjuk dalam pelbagai urusan.

Persoalannya apakah dengan menolak al-Quran maka segala hukuman sudah mampu berlaku adil terhadap manusia dan makhluk di dunia ini? Fitnah yang dijajah dan disebarkan itu seumpama satu kegiatan perniagaan yang amat menguntungkan. Allah s.w.t mengingatkan manusia di dalam al-Quran berkaitan fitnah seperti menuduh seseorang berzina, maka Allah s.w.t mewajibkan sipenuduh mendatangkan empat orang saksi yang baik, salih, beriman dan bertakwa sebagai penyaksian yang muktabar.

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang fasik.” (an-Nur (24): 4).

Kenapa Allah s.w.t berkehendakkan demikian, kerana maruah seseorang itu lebih besar maknanya berbanding membunuh dan boleh memberi akibat besar terhadap masyarakat, negara dan agama. Allah s.w.t. memberi mesej yang besar kepada manusia, bahawa fitnah itu boleh menghancurkan sesebuah negara. Tetapi manusia tidak mengambil iktibar daripada peringatan serta amaran ini dan dengan wewenangnya fitnah itu dijajah serta diterima sebagai satu budaya hidup untuk mengaibkan rakan seagama serta masyarakat lain.

Oleh itu, apabila seseorang penuduh gagal menampilkan empat orang saksi yang beriman terhadap seseorang pelaku yang dituduh, maka secara tidak langsung orang itu termasuk dalam golongan fasiq yang mana segala penyeksiannya tidak dapat diterima serta dihukum sebat sebanyak lapan puluh sebatan. Kenapa Allah s.w.t. mensyaratkan empat orang saksi yang beriman? Apakah bukti-bukti seperti media elektronik yang ditampilkan itu tidak relevan? Bagaimana dengan penyaksian orang yang tidak beriman?

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (an-Nur (24): 19)

Ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran ini bukannya hiasan seperti pantun, seloka, syair, puisi atau sebagai sajak. Namun apa yang berlaku sebahagian umat Islam kini telah menolak jauh al-Quran ini daripada kehidupan mereka. Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia adalah sebagai panduan serta rujukan yang muktabar dalam segala perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Dalam surah al-Baqarah ayat 1-2, Allah s.w.t. menjelaskan;

“AlifLam Mim. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”

Sekiranya manusia memilih keimanan dan ketakwaan, maka tentulah kitab al-Quran ini dijadikan panduan serta rujukan yang utama demi memelihara keharmonian dan maruah Islam. Al-Quran sudah memberi garis panduan terhadap ancaman fitnah, namun ada yang memilih sifat kemunafikan sebagai jalan mencapai matlamat politik.

Pertarungan Politik dengan Keimanan

Ironinya budaya fitnah yang berlaku kini kerana kefahaman serta amalan Islam yang amat longgar dalam masyarakaat, oleh itu memilih jalan fitnah sebagai ‘Wadah’ serta saluran untuk kepentingan politik semata-mata bukan lagi merujuk kepada ketakutan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Masyarakat Islam tidak lagi takut terhadap amaran Allah s.w.t. yang terkandung di dalam al-Quran dan bahkan lebih gemar mempersenda al-Quran sebagai kitab suci, yang mana dengan sendiri telah mengimaninya. Allah s.w.t. telah menjelaskan bagaimana sepatutnya fitnah itu ditanggapi;

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (an-Nur (4): 12)

Tetapi apa yang berlaku setiap fitnah itu adalah peluang besar yang akan menyangkut keuntungan politik dan ekonomi, seperti penyebaran dalam media-media elektronik serta akhbar-akhbar utama. Keimanan tidak lagi menjadi ukuran serta nilai untuk menghalang fitnah. Pertembungan antara keimanan serta ketakwaan dengan kemunafikan, dan yang berlaku adalah sifat kemunafikan akan lebih dominan untuk mempengaruhi persekitaran.

Persoalan politik telah mengatasi segala-galanya sehingga ada yang menggadai keimanannya kepada Allah s.w.t. serta kitab suci al-Quran demi kepentingan politik. Seolah-olah politik ini lebih besar nilainya daripada kedudukan Allah s.w.t. dalam segala segi. Segelintir daripada manusia amat berani menjadikan amaran ini sebagai senda gurau yang tidak akan ada pembalasannya kelak.

Allah s.w.t. telah mengingatkan manusia dengan jelas tentang sikap berlaku adil serta kewajipan kembali kepada al-Quran dalam melaksanakan sebarang hukuman;

“Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca(keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walapun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa”. (al-Hadid: 25).

Apakah keadilan manusia yang berdasarkan dendam serta pra sangka mampu membimbing manusia kepada ketakwaan? Nilai manusia yang cuba berlaku adil tanpa merujuk kepada al-Quran adalah kesesatan yang amat nyata. Persaksian yang tanpa merujuk kepada perintah Allah s.w.t. lebih menjerumuskan manusia kepada kemunafikan.

Surah al-Hadid: 25 itu, sebanarnya Allah s.w.t. mendidik serta memandu manusia kepada ketakwaan, perkara ini diperkuatkan lagi dalam surah al-Baqarah: 2, “ Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa”. Apakah manusia dikira bertakwa apabila menolak al-Quran?, apakah manusia dikira beriman apabila merendahkan al-Quran? Allah s.w.t. pula menjelaskan golongan munafik dalam surah al-Baqarah: 8-9, “Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar”. Apakah kalimah-kalimah Allah s.w.t. ini bukan penjelasan bagi sifat kemunafikan terhadap golongan yang menolak al-Quran dan sunnah Rasul.

Islam menetapkan peraturan atau undang-undang adalah untuk memberi keadilan yang hakiki kepada semua makhluk. Justeru itu manusia wajib mengembalikan fitrah keadilan yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar permusuhan dapat dielakkan dalam Islam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin