SEJARAH

SEJARAH

Wednesday, May 20, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM Bahagian 5

   
PERSAHABATAN DAN SETIAKAWAN 

Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di tanah air serta di serata dunia. Jalinan persahabatan yang merentasi jurang kaum dan kabilah, agama serta geografi. Malangnya kekuatan karisma inilah yang  cuba dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui ‘pengakuan berpaling tadah’ bekas sahabatnya sendiri. Padahal tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.
 
Kelebihan Anwar adalah mudah bersapa, bermesra dan berkenalan dengan semua orang. Dia boleh memenuhi jemputan kenduri kampung dan terus ke tempat masak memasak, merewang, membantu mengacau kawah sambil berbual-bual dengan hadirin. Tidak semua orang politik mampu melakukan ini tanpa rasa kekok dan sumbang. Itu sebab pengawal-pengawal penjara cukup mesra dan rapat dengan Anwar sehingga datang menziarahinya setelah bebas menzahirkan sokongan mereka kepadanya. Begitulah juga sikap pengawal-pengawal penjara Kamunting pada 1978 yang datang ke Masjid Kamunting bagi tujuan menghadiri ceramah Anwar Ibrahim selepas dia bebas tahanan ISA. 

Semua terkesan dengan jalinan persabahatan Anwar Ibrahim sejak dia menjadi aktivis remaja, pelajar dan belia bersama rakan-rakan WAMY, IIFSO, IIT dan Pertubuhan Kesatuan Ulama Sedunia, rangkaian persahabatan seangkatan yang dapat bersatu hati, pemikiran dan tindakan. Kesatuan yang bukan mudah direalisasikan dan kehadiran mereka merupakan suatu rahmat kepada umat bahawa telah berlaku pada masa itu satu kesatuan hati, fikir dan amal di peringkat global diusahakan dan digerakkan oleh pemuda-pemudi beridealisme Islam pada waktu itu. Geakan yang berjaya menongkah arus nasionalisme sempit, sekularisme, sosialisme  dan liberalisme yang sedang mendominasi umat dan dunia pada ketika itu. Angkatan persahabatan inilah yg berjasa menyumbang kepada kebangkitan Islam alami. Bukan diperkotak katik seperti sekarang dengan pelbagai aliran aktivis Islam yang saling berantakan tanpa tujuan. 

Sisi kemanusiaan penting dalam setiap perbahasan peradaban. Persahabatan yang tulus dan bersandarkan kepada persaudaraan serta rahmah kemanusiaan. Itulah sebab ramai tokoh-tokoh Islam, alim ulama’ besar serta komuniti Islam sangat bersimpati dan mendoakannya. Mereka tidak berhenti mengunjung pemimpin negara, mengutus surat dan mengumpul petisyen merayu pembebasannya. Ramai komuniti Non Muslim juga sangat bersimpati dengan nasibnya. Cerita dan iktibar persahabatan ini patut mengatasi buruk sangka politik partisan.
 
Dengan Barat, terserlah keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Bukan mudah untuk membina persahabatan dan ‘trust’ sehingga boleh berkenalan, berdialog dan berinteraksi di peringkat antarabangsa. Itulah jasa dan usaha bagi berdepan dengan dunia luar di peringkat dasar secara membina. Kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ‘ala Taliban’ dan juga bukan ‘Pak Turut Barat’, membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah, berupaya menyampaikan – reach out dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi 1998, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong- penyokong terkenal dan pimpinan pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat berkobar-kobar. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu langkah yang nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja. 
 
Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan.  Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang didera begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah lalu menjaja CD aib merata-rata. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa betapa perit jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, mengganggu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman jerih, ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang. 

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Ada yang khianat apabila terpukau kilauan kuasa, pangkat dan harta. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang. 

Sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim telah dan akan membela serta lebih setia kepada persahabatan dan prinsip. Sememangnya banyak sahabat-sahabat setianya dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan pantas menolak label yang digunakan bagi  memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali. 
(Bersambung)

I  S  L  A  H      M  E  D  I  A    3 | 3 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin